Thursday, May 01, 2014

Peratusan kemiskinan di Malaysia

 
 
 
 

 

Dalam Rancangan Rangka Panjang Ketiga yang merangkumi dasar Wawasan Negara dan Wawasan 2020, kerajaan masih lagi menekankan kepada usaha-usaha memenuhi keperluan pendidikan dan latihan kemahiran sebagai teras utama untuk meningkatkan taraf hidup golongan miskin. Ini kerana pendidikan dilihat sebagai satu alat jangka panjang yang dapat membasmi kemiskinan dan salah satu kaedah terbaik untuk merangsang integrasi sosial (ICEG, 1995, Noor Azizah dan Zalinah, 2005). 

Sehubungan itu, usaha-usaha ke arah membekalkan pendidikan kepada golongan miskin ini diteruskan. Bantuan kewangan yang sewajarnya turut disalurkan kepada golongan ini bagi membolehkan mereka mendapatkan pendidikan yang sepatutnya. Selain daripada itu, bantuan turut diberikan dalam bentuk buku teks, makanan tambahan dan pembinaan asrama di kawasan sekolah bagi memastikan golongan ini tidak tercicir dalam pelajaran. 

Infrastruktur yang berkaitan dengan pendidikan di kawasan luar bandar terus dipertingkatkan termasuklah usaha menaik taraf sekolah sedia ada supaya setaraf dengan sekolah di bandar.

Usaha peningkatan taraf hidup juga difokuskan kepada penyediaan program latihan kemahiran. Tujuannya ialah membolehkan golongan miskin dan berpendapatan rendah mendapat pekerjaan dalam sektor ekonomi yang menguntungkan. Hal ini kerana kemahiran yang diterapkan melalui program latihan dapat memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing dalam pekerjaan. 

Merujuk kepada Rancangan Malaysia Kelapan, kerajaan membina lebih banyak kolej komuniti bagi menyediakan latihan kemahiran kepada lepasan sekolah dan pekerja termasuk di kawasan luar bandar dan estet. Kerajaan juga menyediakan satu kolej komuniti di setiap kawasan parlimen dalam usaha menyediakan tenaga kerja mahir bagi keperluan pembangunan negara. 

Kolej komuniti bertujuan memberi peluang kepada komuniti setempat untuk mendapatkan pendidikan dan latihan kemahiran yang terancang. Hal ini kerana permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi dijangka meningkat dengan bertambahnya pelaburan industri berintensif modal dan berasaskan pengetahuan serta penggunaan teknologi baru. Berdasarkan kepada RJP3, kerajaan memperuntukkan lebih banyak pelaburan dalam pembangunan negara terutama dalam latihan dan latihan semula bagi meningkatkan daya saing Malaysia di pasaran antarabangsa (Noor Azizah dan Zalinah, 2005).

Pada tahun 1970, satu daripada dua isi rumah dikategorikan sebagai miskin (Ozay Mehmet, 1988). Kini, kadar kemiskinan di luar bandar telah pun berkurangan daripada 14.8 peratus pada tahun 1999 kepada 11.9 pada 2004.  

Walaupun kadar kemiskinan di kawasan luar bandar berkurangan, namun kemiskinan masih ketara sebagai fenomena luar bandar dengan 70.6 peratus daripada isi rumah miskin tinggal di kawasan luar bandar (Malaysia, 2006). 

Fenomena kemiskinan boleh dilihat daripada pelbagai dimensi antaranya ekonomi, sosiobudaya, agama, pendidikan, kesihatan, temporal, ruang, gender, alam sekitar dan sebagainya.


 

No comments:

Post a Comment