Harumanis hanya terdapat di Padang Besar, Padang Kelubi dan Chuping, Perlis. Percubaan untuk menanam pokok mempelam atau mangga harumanis di Jitra dan Changlun, Kedah telah beberapa gagal apabila tidak ada putik dan tidak hidup. Penggemar harumanis tidak ada pilihan melainkan datang ke Perlis pada pertengahan April hingga awal Jun untuk merasai kelazatan buah ini.
Harumanis adalah buah yang bermusim, justeru hanya terdapat di Perlis kerana kaitannya dengan cuaca negeri itu.
Struktur fizikal harumanis berbentuk sedikit lonjong kebulatan. Panjangnya 10 hingga 12 sentimeter dan dibahagikan kepada tiga gred iaitu gred A, B dan C. Buah gred A adalah yang terbaik dan setiap biji harumanis dianggarkan seberat 400 gram.
Kulit hijau harumanis tidak banyak berubah warna apabila masak tetapi kita dapat menghidu bau harum buah ini. Isinya berwarna kekuningan atau oren dengan rasa yang sangat manis. Sekali meletakkan hirisan harumanis di atas lidah, kita tentu hendak merasai hirisan kedua dan seterusnya.
Ada tiga cara makan harumanis iaitu makan mentah, dibuat jus dan makan bersama pulut beserta santan kelapa.
Keistimewaan harumanis ialah kandungan antioksidan yang tinggi seperti vitamin C dan E, mengurangkan paras kolestrol dan menghilangkan kahak.
Sesetengah orang menggelar harumanis sebagai “Raja Mangga”, justeru harganya pun mahal. Di pasaran, sekilogram harumanis mencecah RM16 hingga RM25 mengikut gred. Bagi pasaran Jepun, harganya ialah RM100 sekilogram.
Oleh kerana sukar mendapat harumanis dari Jabatan Pertanian Bukit Bintang (atau lebih dikenali sebagai Abi di Perlis), saya menghubungi saudara untuk mendapatkan tiga kilogram harumanis. Daripada sepuluh biji, dua biji telah diberikan kepada orang lain, tinggallah lapan biji.
Alhamdulillah, saya dapat merasa kelazatan buah ini. Disebabkan mahal, cara makannya juga kenalah berbeza. Setiap hirisan harumanis yang dimasukkan ke dalam mulut mesti dinikmati kemanisan dan keenakannya. Kalau dibuat jus, tiga kilo tentulah tidak cukup.
Terdapat usaha untuk memastikan harumanis berbuah sepanjang tahun. Jika usaha ini berjaya, keunikan harumanis sudah berkurangan kerana orang ramai boleh makan buah ini pada bila-bila masa. Saya fikir biarlah harumanis muncul dalam tiga buan sahaja tetapi mempunyai pelbagai jenis kualiti supaya negeri Perlis riuh dengan pengunjung dalam tempoh tiga bulan ini. Apabila ramai yang datang, industri pelancongan akan hidup, hotel penuh dengan tempahan dan bisnes inap desa turut mendapat sambutan.
No comments:
Post a Comment