Pengeluar coklat Cadbury di Malaysia melenyapkan kepercayaan masyarakat Islam negara ini kerana memasarkan dua produk coklat yang bercampur kandungan tidak halal.
Pengesahan kandungan DNA porcine dalam Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond amat mengecewakan penggemar coklat beragama Islam kerana merasa tertipu dengan standard halal yang dijamin bagi keluaran Cadbury Malaysia. Persepsi yang wujud ketika ini ialah tanda logo halal Jakim tidak semestinya menunjukkan produk Cadbury adalah halal. Persepsi ini tidak hanya di Malaysia malah menjangkau ke Brunei.
Jika keyakinan pengguna terhadap Cadbury semakin merosot, syarikat itu berhadapan dengan fasa pemulihan imej yang sangat panjang. Hal ini kerana masyarakat Islam di Malaysia semakin menunjukkan tahap kesedaran terhadap kehalalan sesuatu produk.
Makanan halal mejadi penting kerana ia berkait rapat dengan ibadat dan amalan agama. Ia juga mempengaruhi sikap dan pemikiran kerana fikiran dan tubuh badan telah tercemar dengan bahan haram memberi impak ke atas semua amalan agama.
Buat masa sekarang penggemar coklat wajar mengambil pendekatan berhati-hati ketika memilih produk Cadbury kerana dikhuatiri terbeli produk tercemar itu sehingga syarikat Cadbury Malaysia mengeluarkan jaminan bahawa produk mereka tidak mengandungi bahan haram.
Kerajaan harus memberi peringatan dan amaran tidak mengulangi perkara yang sama kepada Cadbury Malaysia. Pemantauan berterusan terhadap produk-produk berkenaan perlu diperluaskan kerana terdapat kemungkinan peralatan pemprosesan coklat Cadbury digunakan bersama-sama.
Cadbury Malaysia mesti belajar untuk menghormati pengguna Islam kerana mereka juga mempunyai hak untuk diberi jaminan kehalalan produk makanan yang dikeluarkan.
No comments:
Post a Comment