Saturday, May 17, 2014

Perubahan nilai generasi muda







Saya berpeluang menjadi fasilitator dalam program pembangunan diri di salah sebuah institusi pengajian tinggi baru-baru ini. Para peserta terdiri daripada generasi muda dan generasi tua etnik Cina dan India.

Saya membuka perbincangan tentang nilai-nilai sejagat yang dikongsi oleh semua penganut agama dan etnik di Malaysia. Saya mengambil contoh Malaysia dan Turkey sebagai perbandingan dengan melihat kepada kesatuan nilai telah berjaya menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Berbanding Turkey, lebih daripada 90 peratus rakyatnya adalah muslim tetapi Malaysia hanya 65 peratus yang muslim.

Selepas itu semua peserta memberi respon masing-masing mengikut perspektif agama dan etnik mereka.

Saya melihat terdapat pertentangan nilai pemikiran di antara dua generasi bagi etnik Cina.

Generasi muda melihat dirinya dari kaca mata “semua orang adalah sama iaitu rakyat Malaysia tanpa membezakan rupa bangsanya” manakala generasi tua lebih memahami fungsi dan nilai tradisi etnik lain, justeru baginya hidup dalam persekitaran etnik yang berbeza adalah lebih baik.

Bagi mengetahui bagaimana nilai hidup dua generasi ini berbeza, saya melontarkan kes sebuah keluarga yang berebut anak selepas pasangan menukar agama. Asalnya pasangan ini beragama Hindu namun suami telah memeluk Islam dan menggunakan saluran Mahkamah Syariah untuk menuntut hak penjagaan dua anak mereka. Mahkamah memberi hak tersebut kepada suami.

Namun isteri turut menggunakan haknya dengan membawa kes ini ke mahkamah sivil. Keputusan mahkamah ialah membenarkan isteri menjaga kedua-dua anak mereka.

Keesokan hari, suami telah mengambil salah seorang anak mereka di rumah isterinya kerana beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Syariah.

Saya utarakan kes ini kepada peserta dan meminta respon mereka.

Generasi muda menyifatkan masalah itu adalah masalah sendiri dan dia tidak perlu berfikir bagaimana cara terbaik untuk menyelesaikannya. Biarlah orang lain yang berfikir. Namun bagi generasi tua, dia melihat kes berkenaan adalah masalah semua pihak. Kepada generasi muda beliau memberi nasihat iaitu oleh kerana kes ini tidak berlaku ke atas dirinya, dia mudah berkata demikian.

Saya mengakhiri diskusi itu dengan merumuskan tiga perkara iaitu pertama, masyarakat pelbagai etnik di Malaysia berkongsi nilai-nilai umum yang boleh disepakati bersama, kedua, masyarakat wajar mengekalkan hubungan baik dan melihat lebih banyak aspek positif, dan ketiga, generasi muda Cina berbeza nilai dengan generasi tua Cina.

 

No comments:

Post a Comment