Friday, May 23, 2014

Liqa’ keluarga suburkan kasih sayang

 
 
 
 


Setiap anak adalah anugerah Allah swt kepada pasangan suami isteri. Anak lelaki atau anak perempuan yang menyinari kehidupan berkeluarga adalah waris yang akan mendoakan kesejahteraan kedua ibu dan bapa.

Dalam Islam, individu yang hendak berkahwin harus sedar bahawa tanggungjawab sebagai suami atau isteri sangat besar. Justeru memilih bakal calon yang mempunyai keperibadian beragama mesti diberi keutamaan kerana banyak proses yang dilalui dalam alam rumah tangga berkait rapat dengan hal-hal agama.

Rumah tangga bukan dibina atas dasar cinta semata-mata seperti yang difahami ramai orang. Jika dibina atas rasa cinta, bagaimana pula dengan kasih sayang, akhlak dan kesolehan peribadi? Lebih penting lagi ialah bagaimana menjadikan liqa’ keluarga sebagai lingkaran iman dan taqwa supaya wujud konsep “rumahku syurgaku” dalam rumah tangga.

Proses tarbiah dalam keluarga bermula apabila lelaki dan perempuan diijab kabul sebagai pasangan suami isteri. Liqa’ keluarga yang dibentuk boleh disusun setiap minggu biarpun hanya berdua. Selepas itu, sebaik sahaja isteri disahkan hamil, proses tarbiah kepada anak boleh dimulakan.

Kedua-dua bakal ibu dan bapa perlu menetapkan sasaran dalam mendidik anak ketika dalam kandungan seperti berusaha mendidik dengan sifat-sifat rabbani dan mencintai ilmu. Cara-cara lain ialah membaca al-quran yang berkaitan kisah teladan para nabi dan menjadikan amalan-amalan sunnah sebagai aktiviti harian.

Bagi keluarga yang ramai atau mempunyai anak-anak yang sedang meningkat remaja, peranan liqa’ keluarga menjadi lebih penting. Ciri-ciri liqa’ ketika ini ialah berorientasikan keceriaan, berterusan, terancang dan menetapkan objektif. Perlu diingat, sistem pendidikan berkumpulan adalah lebih baik dengan silibus yang khusus.

Penekanan penyampaian bahan liqa’ harus melliputi tiga perkara iaitu cinta Allah, cinta Rasul dan cinta Islam. Ketiga-tiga cinta ini dilaksanakan melalui penanaman prinsip iman, tadarus, membina adab dan akhlak serta menyuburkan pemikiran.

Di samping itu, ibu bapa boleh membina hubungan keterikatan hati dan emosi dengan anak supaya suka dan minat dengan prinsip dan amalan Islam. Bagi anak-anak remaja yang berjauhan dengan kelaurga, berusaha menanam rasa takut kepada Allah dapat memberi kesedaran kepada diri sendiri. Jadi, masalah tidak solat atau berperangai liar tidak timbul sama sekali.

Hal ini kerana cinta Allah dan takut Allah mesti seiring manakala cinta kepada Rasul, anak-anak patut kenal Rasulullah saw dan bukan setakat tahu sahaja. Hari ini ramai orang yang ada agama tetapi tidak ada hubungan dengan Allah (ataupun ada agama tetapi tidak ada hubungan dengan Allah).

Peranan liqa’ keluarga ialah memindahkan ilmu yang ada dalam diri ibu bapa kepada anak-anak. Ilmu ini merangkumi pelbagai aspek seperti kemahiran mengaji al-quran, kesedaran beragama, perbincangan dan menjawab kemusykilan persoalan berkaitan Islam dan Rasulullah saw. Antara kemusykilan yang boleh dileraikan ialah kenapakah Rasulullah saw mempunyai ramai isteri? Ibu bapa yang memahami sirah atau kehidupan Rasulullah saw akan memberi respon yang positif iaitu supaya kita dapat mempelajari bagaimana baginda saw menjadi seorang suami yang bertanggungjawab kepada isteri yang muda, tua, janda atau anak dara. Aspek seperti ini kurang ditonjolkan dalam siri ceramah atau penulisan buku-buku kekeluargaan.

Liqa’ keluarga mestilah bersifat rabbani, meaningful, motivating dan memorable supaya pelaksanaannya lebih berkesan. Ibu bapa boleh menggunakan kaedah-kaedah lain yang lebih sesuai mengikut tahap umur anak-anak. Di samping itu, liqa’ keluarga mesti ditetapkan pada hari-hari tertentu dalam seminggu supaya semua ahli keluarga dapat meluangkan masa bersama-sama. Kehadiran mestilah diwajibkan supaya setiap orang merasakan kehadiran mereka dapat memberi sumbangan dalam menjayakan pertemuan mingguan ini. Kepada semua orang, bapa boleh memberikan sebuah buku catatan yang baru dan menarik supaya setiap orang boleh mengambil catatan dengan sempurna.  



No comments:

Post a Comment