Thursday, May 22, 2014

Bidang teknikal majukan negara







Ilmu sangat penting dalam hidup kita. Tidak kira secara individu, kelompok atau bermasyarakat, menguasai ilmu dengan belajar sehingga ke universiti sudah tentu memberi manfaat kepada negara. Terdapat transformasi yang ketara dalam diri setiap ahli masyarakat jika ilmu menjadi keutamaan dalam hidup mereka.

Lima puluh tahun lalu, seseorang yang mempunyai kemahiran menulis dan membaca boleh mendapat tempat yang baik dalam agensi kerajaan atau swasta. Dia juga boleh berjaya dalam hidup, namun perubahan zaman menyebabkan berlaku pelbagai perubahan termasuk paradigma pemikiran.

Puncak kepada perubahan kemajuan ini ialah penubuhan institusi pendidikan yang semakin bertambah. Universiti sebagai institusi tertinggi dapat memajukan dan menambah kekayaan negara sebagai sebuah negara yang bertamadun tinggi.

Semasa British menjajah Malaysia, pendekatan yang diguna pakai ialah tidak mahu melihat orang-orang tempatan menjadi pandai. Justeru jika terdapat anak-anak muda yang pintar, mereka akan digalakkan memilih jurusan perubatan. Sebalik galakan ini ialah pelajar perubatan kurang memberi masalah kepada British berbanding jurusan perundangan. Hal ini kerana pelajar yang menjadi peguam cenderung membangkitkan tuntutan kemerdekaan yang lantang.

Ketika Malaysia mencapai kemerdekaan, kebanyakan rakyat negara ini tidak dapat merasai pendidikan formal yang teratur kerana beban kemiskinan dan kurangnya institusi pengajian tinggi. Tambahan keadaan sosioekonomi masyarakat yang sangat dhaif yang membataskan hajat dan impian mereka.

Kerajaan memikirkan pendidikan sebagai instrumen paling penting untuk membangunkan negara. Oleh kerana itu peruntukan tahunan banyak disalurkan kepada sektor pendidikan khususnya bagi meningkatkan penguasaan ilmu dan kemahiran penduduk. Biasanya peruntukan sebanyak 20 hingga 25 peratus diberikan kepada sektor pendidikan supaya pembangunan modal insan yang dilaburkan dapat memberi sumbangan kepada negara.

Impak memberi keutamaan kepada pendidikan dapat kita rasai pada hari ini. Masyarakat Malaysia berlumba-lumba menambah ilmu pengetahuan dengan melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi pilihan sesuai dengan minat masing-masing. Bidang teknikal, sains dan matematik turut berkembang kerana untuk memenuhi ciri-ciri negara maju, rakyat negara ini mesti mempunyai kepakaran dalam tiga bidang ini. Justeru kita harus terima hakikat bahawa untuk memajukan negara kita, ilmu dalam bidang teknikal mesti diberi keutamaan.

Contohnya Jerman dan Jepun. Kedua-dua negara ini mempunyai institusi teknikal yang berkualiti untuk melahirkan teknologis dan jurutera yang mampu memberi kualiti kepada produk sentuhan mereka.

Negara yang kekal dalam sektor pertanian sukar hendak maju. Begitu juga negara yang memiliki sumber minyak dan setiap rakyatnya mempunyai purata pendapatan $40,000 setahun belum dianggap negara maju sebaliknya masih dalam kategori negara membangun. Hal ini kerana takrifan negara maju ialah negara itu memiliki kekayaan ekonomi dan rakyat yang mahir dalam bidang-bidang tertentu.

Merintis jalan ke arah negara maju mesti dilihat tahap penguasaan ilmu rakyat. Salah satu daripadanya ialah melihat penguasaan bahasa-bahasa ilmu dalam kalangan rakyat di semua peringkat.

Jika lima atau enam ratus tahun lalu bahasa Arab dan latin menjadi bahasa ilmu, tempat dua bahasa ini telah diambil alih oleh bahasa Inggeris. Justeru untuk mendapatkan ilmu, rakyat Malaysia mesti berani mempelajari bahasa Inggeris dengan minda yang terbuka.

Ketika bahasa Arab menjadi bahasa ilmu dalam kegemilangan tamadun Islam, masyarakat Islam berkembang maju dan membina sebuah tamadun yang hebat kerana mereka mempunyai ilmu dalam semua bidang. Orang-orang Eropah mengejar ilmu ini dengan mendatangi Kordova dan Baghdad seterusnya meneroka ilmu-ilmu baru yang lebih terkehadapan. Mereka mengembangkan ilmu teknikal, sains dan matematik melalui penyelidikan demi penyelidikan. Tiga bidang ilmu ini lebih cepat berubah dan berkembang berbanding ilmu-ilmu yang lain.

Hari ini, negara yang memiliki rakyat yang berilmu dapat memberi kekayaan kepada negara mereka. Korea Selatan pernah menjadi negara mundur kerana tindakan mengasingkan diri dan rakyat yang hanya mahu berbahasa Korea. Namun sebaik sahaja rakyat Korea Selatan membebaskan diri daripada cengkaman adat-adat lama, negara itu berani bertanding dengan negara-negara lain seperti Jepun. Kerajaan Korea Selatan gigih menghantar rakyatnya belajar keluar negara dan membenarkan bahasa asing berkembang dalam insitusi pendidikan. Hasilnya Korea Selatan menjadi lebih baik daripada sesetengah negara Barat malah bukan sahaja mengejar kejayaan malah mendahului mereka.

Justeru, rakyat Malaysia perlu mengejar imu dari Barat yang boleh menguatkan ekonomi, politik, sosial dan kebudayaan negara. Cara ini menjadikan negara kita lebih kuat, menjadi contoh dan menyumbang kepakaran kepada negara-negara lain.

No comments:

Post a Comment