Tuesday, May 06, 2014

Pengetahuan umum terhadap Istana Melaka






1.0 Pengenalan

Seni bina biasanya dibayangkan (direka) dan dilahirkan (didirikan) sebagai balasan terhadap sekumpulan keadaan yang sedia ada. Keadaan ini mungkin bersifat fungsi semata-mata ataupun mungkin membayangkan maksud sosial, ekonomi, politik bahkan khayalan atau lambang dalam kedaan yang berbeza-beza. Walau bagaimanapun, perlu diandaikan bahawa kumpulan keadaan yang sedia ada, yakni masalahnya, tidak begitu memuaskan dan suatu keadaan baru iaitu perlukan penyelesaian. Oleh itu perbuatan mencipta seni bina merupakan proses menyelesaikan masalah ataupun mereka bentuk.

Proses reka bentuk ialah mengakui keadaan yang bermasalah itu dan keputusan mencari penyelesaiannya dalam erti kata reka bentuk merupakan perbuatan yang disengajakan iaitu usaha yang mempunyai tujuan. Seni juga menyelesaikan masalah yang tidak dapat dirumuskan sebelum masalah ini diselesaikan dan cara membentuk persoalannya merupakan sebahagian dari jawapannya. Penyelesaian masalah itu adalah betujuan memperkaya perbendaharaan reka bentuk melalui penerokaan, pengkajian dan penggunaan.

Sebagai suatu kesenian, seni bina adalah lebih daripada semata-mata memuaskan kehendak penggunaan (fungsi) sesuatu program binaan. Pada dasarnya manifestasi fizik seni bina disesuaikan dengan kegiatan manusia. Walau bagaimanapun, susunan dan organisasi unsur bentuk dan ruang akan menentukan bagimana seni bina mungkin memajukan usaha, mencuba mendapat balasan dan menyampaikan maksud.

1.1 Latar Belakang

Melaka merupakan salah satu destinasi pelancongan yang menjadi tumpuan utama. Melaka terkenal dengan kesan-kesan tinggalan sejarah sama ada dari bangsa luar seperti Portugis, Belanda atau British. Salah satu tempat yang menarik yang ada di Melaka adalah di sekitar Bukit St. Paul. Dahulunya tempat ini adalah merupakan pusat Empayar Melayu Melaka. Di sini terdapatnya kesan–kesan tinggalan Portugis dan Belanda seperti Kota A’ Famosa, Bangunan Stadthuys dan lain-lain lagi.

Di atas Bukit St. Paul jugalah terdapatnya kesan-kesan tapak Istana Kesultanan Melayu Melaka. Istana Kesultanan Melayu Melaka yang dibina di atas Bukit St. Paul atau nama dahulunya dikenali sebagai Bukit Melaka ini dipercayai Istana Sultan Mansor Syah merupakan sebuah istana yang indah seperti yang digambarkan dalam Sejarah Melayu karangan Tun Seri Lanang.

Oleh kerana Melaka terkenal dengan negeri tinggalan sejarah, kerajaan Negeri Melaka telah mengambil daya usaha mencadangkan agar replika Istana Kesultanan Melayu Melaka didirikan dengan tujuan utamanya untuk membangun semangat dan kegemilanagan zaman Empayar Melaka. Hasrat ini dicetuskan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Dato’ Abdul Rahim Tamby Chik.

Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) telah dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan hasrat ini. Sehubungan dengan itu, sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka, Muzium Melaka dan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka telah dibentuk bagi mengkaji dan mengumpul maklumat untuk mereka bentuk istana tersebut.

Penyediaan model istana ini telah diserahkan kepada Pesatuan Pelukis Melaka dan beberapa pengubahsuaian dibuat berdasarkan pandangan Jawatankuasa Petugas Pelancongan. Model ini dipamerkan di pejabat muzium bagi mendapatkan pandangan orang ramai. Selepas itu, model ini telah diserahkan kepada Bahagian Kejuruteraan Perbadanan Negeri Melaka untuk tugas penyediaan pelan bangunan. Bangunan ini mula dibina pada bulan Oktober 1984 dan siap menjelang pertengahan tahun 1986. Istana ini dibuka secara rasminya pada 17 Julai 1986 oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Pembinaan replika istana ini di atas tanah seluas 0.7 hektar menelan sebanyak RM1.4 juta. Ukiran di dinding dan tiang istana ini menekankan ukiran corak bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan tempatan. Selain sebagai replika Istana Kesutanan Melaka, ia juga berfungsi sebagai Muzium Budaya yang pertama di Melaka.

1.2 Objektif Kajian

Antara objektif yang terdapat dalam kajian ini adalah membuat kajian tentang sejarah pencetus pelan pembinaan, tenaga kerja dan alatan yang digunakan sewaktu membina Istana Melaka yang pertama, membuat kajian struktur binaan, Istana Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Mansor Shah serta mengkaji fungsi setiap ruang yang terdapat di dalam Istana Melaka pada zaman Sultan Mansor Shah.

1.3 Kepentingan Kajian

Generasi sekarang semakin banyak terpengaruh dengan ideologi daripada barat. Pengaruh ini menyebabkan ciri-ciri ketimuran dalam diri masyarakat semakin terhapus. Masyarakat lebih suka mengambil contoh-contoh kehidupan seharian masyarakat barat dalam kehidupan seharian dan sekali gus identiti tempatan semakin dilupakan. Seni bina sekarang juga banyak diambil ilham dari seni bina moden yang tampak lebih kukuh, mewah dan menarik berbanding seni bina dahulu.

1.4 Limitasi Kajian

Laporan ini mengandungi pencetus pelan pembinaan, tenaga kerja dan alatan yang digunakan sewaktu membina Istana Melaka yang pertama. Seperti yang diketahui struktur Istana Melaka tidak mengalami perubahan yang drastik dari satu sultan ke sultan yang lain. Laporan ini juga mengandungi struktur binaan dan fungsi setiap ruang yang terdapat di dalam istana Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Mansor Shah. Struktur binaan dan fungsi setiap ruang yang terdapat di dalam istana selain dari zaman pemerintahan Sultan Mansor Shah tidak disertakan dalam laporan ini.


2.0 Metodologi Kajian

Bab ini akan menghuraikan tentang beberapa aspek yang berkaitan dengan pengkaedahan dan prosedur kajian. Tujuan kajian adalah untuk mengkaji mengenai Istana Melaka di Negeri Melaka. Dihuraikan juga kaedah dan tatacara kajian termasuk reka bentuk kajian, sampel kajian, instrumentasi dan penganalisisan data.

2.1 Metodologi Kajian

Metodologi kajian ialah teknik-teknik kajian yang mengkaji secara teratur dan teliti mengenai aspek sesuatu masalah itu. Dalam mengenal pasti metode kajian, perincian mungkin tidak begitu penting memandangkan cara dan teknik mungkin boleh diubah suai selepas kajian awal dilakukan. Kajian lapangan adalah merujuk kepada Istana Melaka

Metod Historis. Metod Historis digunakan untuk mendapatkan data yang mempunyai maklumat sejarah. Kajian ini dilakukan secara intensif ke atas satu unit kecil sosial seperti individu, satu keluarga atau satu universiti. Selain itu ia juga mengkaji dan memeriksa individu atau unit sosial secara terperinci termasuklah menyelidiki pelbagai aspek pemboleh ubah yang terlibat daripada segi sejarah dan perkembangan subjek. Kajian ini menggunakan metod historis untuk mendapatkan maklumat mengenai latar belakang kawasan kajian secara umum. Selain itu, untuk mendapatkan maklumat berkaitan sejarah Istana Melaka.

Metod Observasi (Tinjauan). Metod ini ialah satu daripada teknik penyelidikan yang sering digunakan. Bagi kaedah ini, satu perkara penting yang diutamakan ialah teknik pemilihan sampel kajian iaitu jenis responden yang patut digunakan agar ia dapat mewakili keseluruhan sampel yang hendak dikaji. Metod Observasi ialah satu cara pengumpulan data dengan mengkaji secara langsung terhadap aspek-aspek subjeknya di mana tujuan penyelidikan yang dilakukan dapat dirahsiakan.

2.2 Reka Bentuk Kajian

Kajian ini berbentuk kualitatif iaitu suatu bentuk pertanyaan sosial yang memfokuskan kepada cara interpretasi manusia dan logikal terhadap pengalaman mereka serta persekitaran di mana mereka tinggal. Kajian ini termasukh kajian kes, kajian tindakan dan etnografi.

2.3 Instrumen Kajian

Instrumen kajian utama yang digunakan bagi pengumpulan data ialah soal selidik. Pembinaan instrumen kajian adalah hasil dari pengubahsuaian instrumen yang telah digunakan oleh penyelidik lepas dan rekaan penyelidik sendiri berdasarkan objektif yang ingin dicapai. Para responden yang terlibat dalam kajian ini dikehendaki memberikan jawapan sama ada ya atau tidak. Instrumen kajian yang digunakan bagi pengumpulan data ialah soal selidik. Data yang dikumpul melalui set soal selidik telah diproses dengan menggunakan kiraan manual dan diolah ke dalam bentuk carta pai dengan menggunakan khidmat Microsoft Office Powerpoint.


3.0 Hasil Kajian

Kajian dilakukan dengan mengagihkan borang soal selidik kepada 30 pelajar UTeM. Borang tersebut berkaitan struktur, binaan dan pembinaan Istana Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Mansor Shah. Kami mengagihkan borang soal selidik kepada 20 orang pelajar lelaki dan 10 orang pelajar perempuan, berumur dia ntara 20 sehingga 30 tahun dan antara mereka 20 merupakan bangsa Melayu, lapan berbangsa Cina dan dua berbangsa India. Semua respondan terdiri daripada pelajar.

Rajah 1 bertanyakan reka bentuk Istana Melaka dipengaruhi seni bina luar. Sebanyak 73.33% responden bersetuju dengan soalan dan 26.67% lagi tidak.

Rajah 2 bertanyakan seni bina Istana Melaka dipengaruhi unsur-unsur agama. 60% responden bersetuju dengan soalan tersebut manakala selebihnya tidak bersetuju.

Soalan 3 menyatakan bahawa Sultan Mansor Shah adalah pencetus idea pembinaan Istana Melaka. 47% responden bersetuju dengan pernyataan tersebut dan 53% responden tidak bersetuju dengan pernyataan tersebut.

Rajah 4 bertanyakan bahawa struktur Istana Melaka dikuatkan dengan hanya menggunakan pasak. 60 % responden menjawab ya dan 40% lagi menjawab tidak.

Soalan 5 menyatakan Istana Melaka kini berada di Bukit St. Paul. 53% responden bersetuju dengan pernyataan ini dan lagi 47% tidak bersetuju dengan pernyataan tersebut.

Rajah 6 bertanyakan adakah replika Istana Melaka dibina sekitar 1984. 60% daripada 30 responden menjawab ya dan selebihnya menjawab tidak.

Rajah 7 menyatakan Istana Melaka dijadikan Muzium Budaya dan dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 17 Julai 1986. 80% daripada responden bersetuju dengan pernyataan ini dan 40% daripada responden tidak bersetuju.

Rajah 8 bertanyakan keseluruhan bangunan diperbuat daripada kayu keras manakala atapnya dari kepingan kayu berlian. 67% respoden menjawab ya dengan soalan ini dan 33% responden menjawab tidak.

Rajah 9 menyatakan pembinaan Istana Melaka bercirikan seni pertukangan Rumah Melayu Melaka. 57% responden bersetuju dengan kenyataan ini manakala 43% responden tidak bersetuju dengan kenyataan ini.

Rajah 10 bertanyakan bahawa Istana Melaka ini terdapat pelbagai ruang tertentu seperti Balairong Seri, Balai Beradu dan Bilik Bersiram. 77% responden menjawab ya manakala 23% responden jawab tidak.


Jawapan sebenar untuk kesemua soalan yang terdapat dalam borang soal selidik ini ada ‘ya’. Berdasarkan hasil jawapan yang diterima daripada 30 responden, lebih 50% responden menjawab ‘ya’. Ini menunjukkan responden-responden ini memiliki pengetahuan yang memuaskan dalam struktur dan binaan Istana Melaka. Walaupun ada segelintir responden mempunyai pengetahuan yang sedikit dalam bab ini, kesuluruhan hasil kajian adalah amat memuaskan.


4.0 Kesimpulan

Dalam bab ini, huraian dan rumusan tentang keputusan kajian yang telah dianalisis akan dibincangkan. Di samping itu beberapa cadangan kepada pihak yang terlibat dengan kajian akan dimuatkan supaya dapat diambil tindakan dan dapat diteruskan oleh penyelidik-penyelidik yang berminat di dalam bidang ini pada masa akan datang.

Melihat dari sudut sejarah, Negeri Melaka kaya dengan khazanah sejarah. Salah satunya adalah Istana Melaka. Kepelbagain dari segi sejarahnya, Melaka sebenarnya mempunyai kelebihan yang perlu ditekankan kepada semua pihak agar sejarahnya tidak luput dimamah usia. Selain itu, secara tidak langsung sumber ekonomi negara juga mendapat tempiasnya. Tindakan susulan harus dilakukan bagi menjamin keaslian dan sejarah tersebut kekal tidak luput ditelan zaman.


Rujukan
http://www.arkib.gov.my/replika-istana-kesultanan-melaka-melaka2
http://bubble929.tripod.com/senibina.htm
http://www.freewebs.com/fedat/
http://www.melaka.gov.my/index.php/bm/pelancongan-12subsektor/223-istana-kesultanan-melaka.html
http://www.melaka.gov.my/index.php/bm/pelancongan-12subsektor/220-sejarah.html


MZ Zainudin, Ungku Mohd Faris Ariffin Ungku Amir, Muhammad Hafiz Mohamad Thani, Mohamad Affezzudin Mat Sani, Ishak Ibrahim, Mohammad Fauzee Ishak

No comments:

Post a Comment