Saturday, May 24, 2014

Bahasa jahiliah








Penggunaan bahasa kesat dan biadap dalam kalangan pemimpin politik bukanlah perkara baru. Berucap di khalayak dengan perkataan”haram jadah”, “kepala hotak” atau “paria” menjadi hiasan bibiran ketika memberi ceramah. Ia berlaku kepada kebanyakan pemimpin politik yang emosional.

Terbaru ialah ungkapan yang dikeluarkan oleh seorang wakil rakyat DAP yang ditujukan khusus kepada parti yang mewakili kaum Melayu di Malaysia iaitu UMNO.

"Biar saya ulang lagi di sini, “celaka UMNO dan yang saya maksudkan ini hanya kepada parti, bukan orang Melayu”.

Siapa yang memberi lesen kepada mulutnya untuk menghina parti orang Melayu itu?

Wakil rakyat ini bersungguh-sungguh mahu menghina parti berkenaan sehingga tidak ada rasa malu untuk mengulanginya atau menarik balik ungkapan berkenaan.

"Saya tidak akan memohon maaf dan sesekali menarik balik perkataan ini,"

Beginikah sikap seorang wakil rakyat DAP?

Masyarakat Melayu tanpa terikat dengan ideologi politik memiliki tradisi dan tatasusila yang beradab, berakar umbi daripada kerangka pemikiran Islam. Nilai dan ajaran Islam telah membentuk paradigma pemikiran masyarakat Melayu dalam seluruh kehidupan mereka.

Menyatakan sesuatu ungkapan biadap dan menjatuhkan maruah dianggap melepasi sempadan toleransi nilai dan pegangan hidup mereka, justeru kelompok Melayu yang berasa bertanggungjawab mempertahankan bangsanya telah bangkit menyatakan pendirian.

Dalam hal ini, wakil rakyat DAP berkenaan wajarlah bersedia untuk menerima apa juga tindakan akibat perbuatannya. Kalau tidurnya diganggu, rumahnya dikunjungi siang atau malam tanpa diundang ataupun kehidupan privasinya dicerobohi, itu menandakan tindak balas spontan orang yang marah kepadanya.

Dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum di Malaysia, sensitiviti kaum amat kritikal. Ungkapan “celaka” yang dikeluarkan merupakah “mencurah minyak ke dalam api” yang menyebabkan gelora kemarahan orang Melayu semakin merebak. Menghina bangsa atau kelompok parti yang diwakili kaum itu merupakan satu bentuk kebiadapan dan menjatuhkan maruah.

Masyarakat Melayu sentiasa dekat dengan sirah Rasulullah saw dalam mengatur kehidupan mereka. Antara kisah sirah yang menjadi panduan ialah teguran baginda saw kepada Abu Zar yang menggelar Bilal sebagai anak hitam. Memang Bilal berkulit hitam tetapi gelaran tersebut telah menyakitkan hati Bilal.

Tarbiah yang diterima Abu Zar sebagai seorang Islam menunjukkan akhlak yang sangat baik dan wajar dicontohi. Selepas ditegur “Kamu adalah lelaki yang masih ada lagi jahiliah dalam diri kamu”, Abu Zar terus mendapatkan Bilal dan berkata, “Pijaklah kepala aku wahai Bilal”.

Kita boleh fahami bahawa wakil rakyat DAP mahu menghina parti orang Melayu dan enggan memohon maaf kerana dia tidak pernah tahu bagaimana Rasulullah saw mendidik umat Islam apabila berhadapan dengan sifat jahiliah berkenaan.

Pemimpin-pemimpin UMNO wajar menunjukkan akhlak yang mencontohi Rasulullah saw iaitu melihat penghinaan berkenaan dari sudut dakwah dan tarbiah. Masyarakat umum sentiasa melihat bagaimana tindak balas UMNO, justeru menjadikan sirah Rasulullah saw sebagai panduan amatlah tepat.

Sekiranya dakwah dan tarbiah menjadi keutamaan pemimpin-pemimpin UMNO, masyarakat akan menerima mesej bahawa Islam sebagai panduan terbaik ketika berhadapan dengan cacian dan kata-kata biadap daripada pemimpin yang rendah bahasanya,

No comments:

Post a Comment