Wednesday, May 21, 2014

PATI, isu perceraian antara yang dibincang dalam mesyuarat Majlis Sosial








Isu pendatang asing tanpa izin dan perceraian serta agenda sosial adalah tiga perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Sosial di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat itu yang berlangsung di Bangunan Perdana Putra, serta dihadiri menteri-menteri, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pegawai awam yang menjadi anggota tetap majlis itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Urusetia Majlis Sosial, Bahagian Kesejahteraan Rakyat, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri hari ini, tiga kertas kerja dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk yang bertajuk "Masalah Pendatang Asing Tanpa Izin Di Malaysia: Isu dan Hala tuju Baru Bagi Menanganinya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN)".

"Hala tuju baru KDN telah dibincangkan dengan teliti supaya tindakan susulan dapat diambil dengan lebih berkesan terhadap permasalahan ini yang dilihat membimbangkan rakyat dan kerajaan," menurut kenyataan itu.

Mesyuarat itu turut membincangkan kertas kerja bertajuk "Isu Perceraian Di Kalangan Pasangan Islam dan Bukan Islam Di Malaysia: Punca dan Cadangan Penyelesaiannya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)".

"Isu tersebut dibincangkan kerana ia memberi kesan negatif kepada anak-anak, institusi kekeluargaan dan masyarakat, dan supaya semua pihak dapat membendung dan menangani puncanya daripada awal, dan seterusnya mencari jalan penyelesaian seiring dengan pembangunan semasa negara," menurut kenyataan itu.

Kertas ketiga yang dibincang bertajuk Hala tuju Agenda Sosial Negara: Dapatan Bengkel Majlis Sosial 2014 dan Cadangan Tindakan Susulan oleh Majlis Profesor Negara (MPN).

"Tindakan seterusnya adalah berupa pendekatan permasalahan sosial yang perlu ditingkatkan dan ditangani secara holistik, terselaras, dan penilaian sewajarnya diutamakan," menurut kenyataan itu. - BERNAMA


(Berita Harian, 20 Mei 2014)

 

No comments:

Post a Comment