Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 berlangsung dalam suasana meriah kali ini. Ruang dan gerai jualan lebih luas dan selesa menjadikan pengunjung bebas memborong buku yang dipamerkan.
Saya bergerak ke Kuala Lumpur sejak awal pagi bagi mengelak kesesakan jalan raya. Sepanjang perjalanan, saya singgah di Universiti Malaya untuk menyerahkan deraf tesis doktor falsafah kepada seorang pakar dasar sosial seterusnya singgah sebentar untuk bersarapan di kantin IPS. Kantin ini lebih cantik dan semakin menceriakan.
Di Pusat Dagangan Dunia Putra, pelajar-pelajar sekolah lebih ramai di aras bawah. Hampir semua gerai buku dipenuhi oleh mereka di samping ibu bapa yang membawa anak-anak. Golongan ibu bapa tidak ramai mungkin kerana hari bekerja hari itu.
Matlamat saya kali ini ialah mendapat tiga jenis buku untuk bacaan sepanjang tahun iaitu tafsir al-quran dalam bahasa Melayu, buku Bacalah Anakku serta buku-buku kontroversi dan biografi. Aras bawah menempatkan buku-buku agama dan bahan bacaan peringkat prasekolah dan sekolah rendah. Saya berasakan semakin ramai yang berminat dengan buku-buku agama khususnya berkaitan dengan fikrah Islamiah dan feqah.
Sekadar sebuah buku berharga RM50 hingga RM100 tidak menghalang pengunjung membeli sebuah dua buku untuk bacaan di rumah.
Saya memilih satu gerai yang biasa saya kunjung. Jurujual gerai ini memang biasa dengan saya kerana kami sering berjumpa di gerai cawangan Pudu Raya tujuh atau lapan tahun lalu. Saya bertanyakan adakah dia mempunyai tafsir al-quran dalam bahasa Melayu selain daripada Ibnu Kathir, lalu beliau menunjukkan sederet jilid tafsir fi zilalil quran karangan Syed Qutb. Di luar deret jilid itu tertampal harga RM1500, suatu jumlah yang besar.
Selepas tawar-menawar, saya ditawarkan harga RM1200. Alhamdulillah. Ini koleksi kedua selepas memiliki tafsir Ibnu Kathir.
Selepas itu saya beredar ke aras tiga dan empat untuk melihat buku-buku yang boleh diborong. Saya tidak memfokuskan buku motivasi atau akademik kerana kedua-dua jenis buku sudah diborong tahun lepas. Tambahan pula buku akademik lebih mudah dipinjam dari perpustakaan universiti.
Gerai PTS ditempatkan pada aras 4 di Dewan Merdeka. Ruang yang lebih luas memudahkan pengunjung untuk bergerak dan membuat pilihan. Saya memilih dua buah buku yang belum ada dalam koleksi kerana diskaunnya amat menarik.
Buku yang saya ingin cari, Jalan Yang Lurus belum lagi ditemui. Saya turun ke bawah dengan harapan dapat mencari buku ini. Semasa membelek-belek buku yang diletakkan pada rak sebuah gerai, tangan saya menolak lapisan buku yang tersusun dan ternampak buku berkulit putih Jalan Yang Lurus, satu-satunya naskah yang tinggal. Saya tidak pernah baca buku tulisan Kassim Ahmad atau mengikuti seminar atau syarahannya, tetapi disebabkan kontroversi di media, saya berminat untuk mengetahui corak pemikirannya.
Selain buku Kassim Ahmad, saya juga memiliki Jejak Seorang Pemimpin dan Biografi Syed Mokhtar Albukhary.
Saya berasa puas kerana berjaya mendapatkan buku-buku menarik untuk dibaca sepanjang tahun 2014 ini.
No comments:
Post a Comment