Wednesday, April 30, 2014

Joyah Vegas lakar nama di Las Vegas







oleh Manja Ismail

Nama sebenarnya ialah Pon Jumat tetapi tidak ramai mengetahuinya kecuali keluarga dan rakan di kampung asalnya di Pagoh, Johor.

Bagi masyarakat Malaysia di California dan Nevada, Amerika Syarikat (AS) beliau lebih dikenali sebagai Joyah Vegas. Malah beliau membahasakan dirinya JV (singkatan Joyah Vegas). Sesetengah rakyat Malaysia yang melancong ke AS dengan bajet terhad mungkin pernah mendengar nama Joyah atau menginap di rumah penginapannya. Joyah mempunyai 10 rumah penginapan di sekitar Las Vegas untuk disewa kepada pelancong yang tidak mampu atau tidak suka menginap di hotel.

Tiga hari dalam seminggu, Joyah juga menganjurkan kelas masakan makanan Malaysia/Asia dan membuka kedai dalam talian. Beliau turut menyediakan perkhidmatan sajian makanan Malaysia/Asia.


Tiada kelulusan tinggi

Menariknya mengenai wanita berusia 48 tahun ini ialah beliau tidak mempunyai kelulusan tinggi, apalagi menjejakkan kaki ke universiti. Anak kelima daripada 12 beradik kepada keluarga penoreh getah di Pagoh ini hanya berbekalkan pengalaman keperitan hidup dan kebimbangan ditimpa kesusahan, untuk mencapai kejayaannya sekarang.

Saya diperkenalkan dengan Joyah ketika di Las Vegas minggu lalu untuk menghadiri seminar dan pameran penyiaran tahunan anjuran National Association of Broadcasting (NAB).
“Kalau ada masalah di Vegas seperti nak makan nasi Melayu atau mencari tempat menginap, kau telefon Joyah. Beliau pasti cari kau,” kata teman di Malaysia yang menghubungi Joyah memintanya mencari kami di Vegas.

Memang layak namanya Joyah. Sepanjang sejam bertemu dengannya di lobi hotel, beliau bukan saja tak berhenti bercakap serta bertanya, tetapi sering berjenaka seolah-olah rakan lama.

“Aku ini orang susah. Lepas SPM, datang KL buat bermacam kerja. Aku pernah makan biskut dengan air kosong dan berjalan kaki dari rumah sewa di Keramat ke tempat kerja di Jalan Silang selama seminggu kerana mahu jimat. Aku tidak mahu kesukaran seperti itu dihadapi dua anak kami dan tidak mahu melihat orang lain ditimpa kesusahan. Jika ada rakyat Malaysia yang ditimpa kesusahan di sini, aku bantu setakat terdaya,” katanya.

Joyah berhijrah ke AS pada 1988 mengikut suaminya, rakyat negara itu yang terpaksa pulang selepas kehilangan pekerjaan sebagai pengurus besar sebuah kilang kimia di Klang ekoran kemelesetan ekonomi.

Sebelum menikahi suaminya, John (nama Islam, Yahya), Joyah menjadi pembantu remisier di sebuah syarikat broker saham. Ketika bekerja di situ, Joyah belajar selok-belok pelaburan saham dan turut membeli/menjual saham sehingga mampu membeli sebuah pangsapuri di Bukit Tunku.

Ketika tinggal di pangsapuri itulah beliau menemui John yang akhirnya memeluk Islam untuk berkahwin dengannya. Tidak sampai setahun berkahwin Joyah terpaksa berhijrah ke AS selepas John mendapat tawaran bekerja di Delaware.

Kerana tidak tahu duduk diam, minggu kedua di Delaware ketika suaminya keluar kerja, Joyah memasak dan menghantar kepada jirannya sebagai salam perkenalan. Daripada jirannya, beliau mendapat tahu di mana untuk mendapatkan bekalan bahan dapur pada harga murah.

Selepas dua tahun dan melahirkan anak kedua, Joyah diperkenalkan dengan bekas adik ipar John yang bekerja dengan syarikat pengedar kad telefon. Penggunaan kad telefon ketika itu amat popular terutama dalam kalangan rakyat asing kerana cajnya hanya 12 sen seminit berbanding 45 sen jika membuat panggilan biasa.

“Syarikat itu memberi komisen 25 peratus. Dalam tempoh empat bulan, saya menghubungi semua agensi Malaysia di Washington, New York, Chicago dan Los Angeles, mempromosi produk ini. Akhirnya, saya dapat mendaftar 2,000 rakyat Malaysia di seluruh Amerika sebagai pelanggan. Ia kejayaan pertama saya,” katanya.


Berjinak bidang hartanah

Joyah dan keluarga tinggal enam tahun di Delaware sebelum berpindah ke Las Vegas apabila John mendapat pekerjaan baharu. Di situlah, Joyah mula berjinak dengan bidang hartanah, mengambil kesempatan daripada krisis sub prime yang melanda AS ketika itu.

“Setiap hari harga rumah jatuh. Berbekalkan simpanan daripada jualan rumah kami di Delaware dan keuntungan perniagaan kad telefon, saya meninjau rumah yang saban hari dilelong. Kebetulan, setiap hari Feds (Rizab Persekutuan AS) turunkan kadar faedah untuk menggalak orang ramai membeli rumah, tetapi kerana banyak kilang tutup dan rakyat Amerika hilang kerja, mereka terpaksa menyerahkan rumah kepada bank.

“Sementara orang Amerika meninggalkan rumah mereka, saya membeli yang mana murah dan termampu. Rumah yang saya beli pada harga AS$51,000 ketika itu, meningkat kepada AS$399,000 dua tahun lalu,” katanya. Joyah sempat membeli 10 rumah di sekitar Las Vegas yang kini dijadikan rumah penginapan.

Berbeza dengan orang lain yang mungkin suka berbelanja, Joyah tetap berjimat walaupun sudah berduit.
“Selama enam tahun di Delaware, saya tak pernah membeli-belah kecuali keperluan dapur dan baju anak.

“Sampai hari ni saya masih pakai pakaian yang saya bawa dari Malaysia, dibeli pada tahun 1993. Setiap sen hasil berniaga saya simpan. Dengan duit itulah, saya ambil risiko berniaga walaupun dua kali kena tipu,” katanya.

Selama beberapa bulan pada tahun 2012, Joyah mempunyai blognya ‘From Estate to United States’ menceritakan kehidupan suka dukanya ketika di tanah air dan rantau orang tetapi memaksanya berhenti menjadi blogger.


(Berita Harian, 22 April 2014)


No comments:

Post a Comment