Sarawak meliputi sebuah kawasan yang luas iaitu hutan, sungai dan daratan. Pintu masuk utama ialah Kuching, justeru penerbangan tambang murah menjadi pilihan kerana lebih jimat dan selesa. Perjalanan merentas Laut China Selatan hanya mengambil masa satu jam 45 minit dari Kuala Lumpur.
Bandaraya Kuching semakin bersih dan banyak bangunan komesil. Berhampiran lapangan terbang ialah Kuching Sentral yang kreatif, moden dan bersih. Tempat parkir sentiasa penuh kerana masyarakat Kuching menjadikan tempat ini tempat bersosial, makan-makan dan membeli-belah.
Lokasi Kuching Sentral yang berdekatan lapangan terbang memudahkan pelancong mencari tempat makan dan bersiar-siar.
Pelancong yang terus ke Kuching dari lapangan terbang boleh mengambil teksi dengan bayaran sekitar RM25 hingga RM35 sebuah. Masa perjalanan lebih kurang 20 hingga 30 minit bergantung waktu kita sampai di sana.
Kebiasaan saya ialah bersembang dengan pemandu teksi. Hari itu Encik Hau membawa saya ke Hotel Magherita bersebelahan tebingan Sungai Sarawak. Dalam kalangan pemandu teksi mereka menggelar hotel ini sebagai hotel menderita, mungkin lebih senang menyebutnya. Namun nama Magherita sudah tentu ada sejarahnya sendiri.
Bandaraya Kuching ketika ini terang-benderang tanpa ada jerebu. Hujan juga turun sekali-sekala, suatu keadaan yang jauh beza dengan Semenanjung Malaysia yang panas dan tanpa hujan. Di sini, hujan renyai-renyai sebelah pagi.
Jalan raya ke arah bandaraya Kuching sangat memuaskan walaupun terdapat satu dua tampalan. Bangunan baru juga semakin banyak dan teratur.
Pemandu di sini amat tertib namun masih ada yang memandu perlahan di lorong kanan dan mengganggu pemandu lain. Bunyi hon sangat kurang. Kereta-kereta jenis lama pun masih kelihatan.
Asyik bersembang, saya sampai di hotel hampir waktu maghrib selepas mengharungi kesesakan dan kesibukan bandaraya Kuching.
Hotel Magherita menghadap Kampung Boyan iaitu kawasan jualan kek lapis Sarawak yang terkenal. Bilik penginapan saya menghala ke arah Sungai Sarawak amat menarik kerana sungai ini memang dijaga dengan baik dalam keadaan bersih.
Kelebihan Hotel Magherita ialah kita mudah bergerak ke kawasan tumpuan pelancong seperti waterfront, muzium dan hotspot untuk makan malam. Tempat makan makanan laut di hotspot memang murah, bayangkan ketam, udang dan umai segar dimakan oleh tiga atau orang baru seratus ringgit lebih. Saya cadangkan cari gerai cina muslim terletak di hujung.
Bagi saya, aktiviti paling menarik ialah menyusuri Sungai Sarawak dengan sampan.
Saya hanya mengambil masa sepuluh minit berjalan dari hotel ke jeti seterusnya naik sampan. Dari hotel ke Astana dikenakan bayaran RM20. Kalau kita hendak bot yang lebih besar dan selesa, kita boleh gunakan perkhidmatan yang lebih baik dengan bayaran lebih mahal. Bagi saya cukup dengan sampan kerana kita boleh berbual-bual dengan pengemudi sampan tentang pengalaman, kisah negeri Sawak dan juga inspirasi terhadap pekerjaannya.
Bagi mereka yang suka meneroka, tempat yang boleh dilawati ialah Pusat Hidupan Liar Semenggoh. Di sini orang hutan diberi jagaan supaya habitat mereka dapat kekal sebagai sebahagian daripada usaha mengekalkan haiwan berkenaan. Pengunjung boleh membawa kereta hingga ke dalam dan diletakkan di kawasan khas.
Kita perlu berjalan lebih kurang satu kilometer untuk melihat orang utan ini khususnya waktu pagi dan petang. Melihat orang utan adalah detik paling indah kerana kehebatan Allah swt mencipta makhluk ini. Ketika saya di sini, lebih ramai pelancong Eropah berbanding tempatan, masing-masing bersedia dengan lensa kamera.
Di samping orang utan, pusat ini turut menyediakan perlindungan untuk buaya di tempat kurungan khas. Di kiri dan kanan laluan terdapat pelbagai jenis pokok dan tumbuhan yang hidup dalam hutan.
Sarawak juga mempunyai produk pelancongan yang lebih menarik dan memberi kepuasan seperti Taman Budaya dan pelancongan eko. Jika ditanya apakah kita perlu menyewa kereta atau menggunakan pakej, saya lebih suka pakej kerana menjimatkan masa. Berbanding naik kereta sewa dan memandu sendiri, banyak masa terbuang dan sering terlajak. Justeru, labik baik berkongsi dengan rakan-rakan dan melancong secara pakej walaupun bayarannya agak lebih sedikit.
Satu produk pelancongan yang boleh dipopularkan ialah kehidupan masyarakat Sarawak yang pelbagai etnik. Kehidupan seperti ini menjadi “pelik” kepada pelancong kerana bagaimana masyarakat pelbagai bangsa dan budaya boleh hidup sekali tanpa bergaduh.
Selepas tiga hari, saya pulang dengan impian akan datang lagi ke Sarawak.
No comments:
Post a Comment