Thursday, May 08, 2014

Integrasi etnik di IPTA







1.0 Pengenalan

Integrasi bermaksud satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah. Integrasi sosial pula membawa maksud proses penyesuaian antara unsur-unsur yang saling berbeza dalam kehidupan masyarakat sehingga menghasilkan pola kehidupan masyarakat yang memiliki keserasian fungsi. Integrasi nasional pula menerangkan suatu proses yang menyatupadukan pelbagai kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti bersama dengan menghilangkan perbezaan dan identiti masing-masing.

Integrasi kaum ini terjadi dari dulu disebabkan pendidikan berorientasikan kaum. Pengasingan institusi pendidikan berteraskan kaum di Malaysia juga merupakan suatu masalah besar yang dihadapi masyarakatnya. Tidak perlu dinafikan, pendidikan adalah wahana penting untuk mengintegrasikan kaum. Namun, sistem pendidikan di Malaysia terutama di sekolah rendah adalah berteraskan satu-satu kaum sahaja. Perpaduan yang seharusnya diajarkan kepada masyarakat semenjak mereka kecil telah menemui kegagalan di dalam konteks ini kerana diasingkan mengikut aliran persekolahan rendah yang berbeza. Dalam kes ini, kaum Cina dan India tidak mahu sistem pendidikan yang menggunakan bahasa ibunda mereka dihapuskan. Justeru mereka tetap berkeras untuk mengekalkan sekolah-sekolah aliran Cina dan Tamil di Malaysia. Hasilnya, perpaduan kaum yang longgar telah berlaku.

Pendidikan yang seharusnya menjadi platform terawal ke arah penerapan nilai perpaduan di dalam jiwa rakyat Malaysia yang pelbagai kaum telah secara tidak langsung, memecahbelahkan kaum-kaum ini semenjak kecil lagi. Bahkan, tidak keterlaluan dikatakan bahawa oleh kerana wujudnya sistem pendidikan berteraskan kaum ini, fahaman perkauman telah diterapkan di dalam minda masyarakat pelajar semenjak mereka berada di bangku sekolah rendah. Justeru, apabila mereka ini berada di institusi pengajian tinggi, mereka akan terbawa-bawa dengan cara pergaulan dari sekolah rendah dan tidak hairan jika mereka berpuak-puak mengikut kaum masing-masing.

1.1 Objektif Kajian

Kajian ini mempunyai dua objektif iaitu mengukur integrasi kaum di kalangan pelajar di UTeM, serta mengenal pasti hubung kait polarasi etnik dengan cara pembelajaran pelajar UTeM

1.2 Kepentingan Kajian

Dalam melaksanakan kajian ini beberapa manfaat telah diperolehi iaitu kajian perlu dilaksanakan untuk mengukur integrasi dalam kalangan pelajar berlainan bangsa berdasarkan pola pembelajaran. Kajian juga dapat mengenal pasti arah dan tahap perubahan batas etnik di kalangan pelajar.


2.0 Sorotan Kajian

Hubungan etnik dan integrasi adalah isu yang penting dalam pembinaan negara Malaysia yang berbilang etnik. Selain etnik Melayu, terdapat etnik Cina, India, Kadazandusun, Bajau, Iban, Bidayuh dan lain-lain. Kepelbagaian ini menuntut satu pendekatan yang membolehkan semua etnik ini dapat hidup bersama dan berusaha memajukan negara tanpa perasaan syak wasangka dan tidak selamat.

Dalam satu dekad kebelakangan ini, pengenalan kursus-kursus yang memfokuskan kepada pembelajaran dan pemahaman budaya yang berbeza di institusi pengajian tinggi pula cuba menimbulkan perasaan menghargai dan kefahaman yang lebih dalam kalangan mahasiswa kepada budaya dan tamadun yang berbeza yang ada di sekeliling mereka. Ini dilakukan dengan pengenalan kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia dan seterusnya pengenalan konsep Islam Hadari tidak lama dulu di peringkat nasional. Kursus Hubungan Etnik yang diperkenalkan sejak tahun 2006 di pusat pengajian tinggi pula adalah satu usaha untuk menangani masalah hubungan etnik yang sering menjadi isu dalam pembangunan negara. Ianya bukan hanya memberi pendedahan kepada konsep-konsep hubungan etnik, malah pelajar diberikan peluang untuk melakukan aktiviti bersama untuk membolehkan kefahaman yang lebih mendalam bagaimana masyarakat pelbagai etnik dapat bekerjasama dan berinteraksi.

Kajian-kajian mengenai pelbagai dimensi persoalan hubungan etnik dan integrasi nasional dilakukan kebanyakannya oleh pensyarah dan juga pelajar sarjana dan doktor falsafah dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Selain itu terdapat penyelidik dari universiti-universiti lain yang menjalankan penyelidikan dalam tema yang sama termasuk universiti-universiti baru. Secara umum, kajian-kajian bidang hubungan etnik dan integrasi nasional boleh dianalisis menurut dua kategori iaitu hubungan antara etnik yang merupakan satu komponen penting pembangunan sosial dalam pembinaan negara dan kajian yang bersifat dalaman etnik itu sendiri, misalnya kajian tentang ritual, budaya atau kelakuan etnik itu secara khusus tetapi isinya mempunyai pengajaran untuk pembangunan sosial. 

Kajian-kajian mengenai hubungan etnik dan integrasi nasional menunjukkan kepelbagaian tema yang agak menarik dan penting. Antaranya termasuklah integrasi dalam kalangan pelajar, toleransi agama, pendidikan, bahasa, kebudayaan dan cara hidup, sosioekonomi serta peranan media dalam menjaga dan memupuk hubungan etnik

Pelajar dan belia merupakan pelapis kepada pembinaan dan pembangunan negara. Golongan ini yang akan menentukan tahap hubungan etnik dan integrasi nasional pada masa hadapan. Oleh itu, kajian mengenai tahap hubungan dan integrasi dilakukan dari peringkat sekolah hinggalah peringkat pengajian tinggi untuk menilai statusnya. Kajian Hazri Jamil et.al (2004) bertajuk “Hostiliti atau Harmoni dalam Interaksi Sosial Pelajar Budaya Majmuk di Sekolah-sekolah Menengah Pulau Pinang” menilai keharmonian dalam interaksi sosial pelajar majmuk di sekolah.

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pula cuba membangunkan para remaja agar lebih patriotik dan cinta kepada negara dengan pengisian pelbagai aktiviti yang melibatkan fizikal, menal, pembinaan karektor, kenegaraan dan kemasyarakatan. Walaupun pada awal tahun pelaksanaannya ia menerima pelbagai reaksi dan kritikan lebih-lebih lagi dari segi pengurusan, namun kini diakui oleh pelbagai pihak bahawa program ini dapat membentuk sikap yang lebih positif dalam kalangan generasi muda pelbagai kaum terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Di samping itu, pergaulan di antara etnik juga dapat diperbaiki dengan penglibatan semua peserta dalam aktiviti kerjasama dan berkumpulan. Penemuan seperti ini terdapat dalam kajian Zaliha Hussin (2005) bertajuk “Kajian Tinjauan Mengenai Kaedah Pengurusan dan Pengendalian Program Khidmat Negara”.

Kajian tentang tahap hubungan etnik dan integrasi dalam kalangan pelajar diteruskan lagi di peringkat pengajian tinggi. Kajian Nga Lay Hui @ Janice Nga (2005) bertajuk “Integrasi Antara Kaum dalam Kalangan Penuntut-penuntut di Institusi Pengajian Tinggi” mengkaji corak pergaulan dan integrasi dalam kalangan pelajar supaya fahaman etnosentrik dan kelemahan yang dikesan dapat diminimumkan manakala perpaduan sebenar dapat dipergiat dan diteruskan. Kajian ini cuba meneliti bagaimana perbezaan ras dan kekurangan akibatnya dapat dikurangkan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini yang mungkin akan mengancam kestabilan sosial, ekonomi dan politik untuk mendorong pembinaan bangsa Malaysia. Ini adalah kerana golongan pelajar inilah merupakan bakal pemimpin negara dan akan memasuki golongan kelas menengah pada masa hadapan. Sekiranya tahap hubungan dan integrasi memuaskan, maka akan wujud satu masyarakat Malaysia yang harmoni dan berperibadi tinggi, begitu juga sebaliknya. 

Kajian yang dilakukan oleh Fatimah Daud (2002) bertajuk “Polarasi Kaum dalam Kalangan Pelajar-pelajar Universiti” pula memberi tumpuan kepada hubungan etnik dan polarisasi kaum dalam kalangan pelajar-pelajar di universiti dengan persoalan adakah ethnic maintainance masih kuat atau berkurangan dalam kalangan generasi muda sekarang. Kajian ini dilakukan untuk melihat sejauh mana golongan pelajar ini bergaul dan berinteraksi dalam sebuah komuniti kampus dan adakah akan mempengaruhi cara pergaulan dan interaksi mereka dengan struktur masyarakat luar yang lebih kompleks. Kajian ini mendapati program yang melibatkan aktiviti bersama, pertukaran program budaya, meningkatkan tahap kefasihan bahasa, dan pemahaman antara agama dapat meningkatkan persefahaman dan perpaduan antara pelajar pelbagai kaum. 

Menarik diketahui bahawa untuk meningkatkan integrasi antara kaum dan etnik, faktor penguasaan bahasa memainkan peranan yang memang penting. Bahasa sudah lama memainkan peranan sebagai satu wadah yang dapat mengeratkan integrasi dan hubungan. Kefahaman dan kefasihan bahasa yang tinggi akan memudahkan komunikasi dan seterusnya dapat memupuk perpaduan dan integrasi. Kedudukan Bahasa Malaysia sabagai bahasa kebangsaan mendorong ke arah ini. Pada masa yang sama, penguasaan bahasa kaum lain memang membantu perpaduan.

Kajian Cheng Heng Huat et.al (2002) bertajuk “Attitude Towards the Learning of Chinese Characters among Students in Universiti Teknologi MARA” pula meneliti sikap pelajar di institusi pengajian tinggi khasnya di UiTM dalam proses pembelajaran tulisan Cina. Hasil kajian mendapati bahawa proses pembelajaran adalah agak sukar akibat kekangan masa pembelajaran serta sifat tulisan bahasa Cina yang agak sukar. Namun, ramai yang beranggapan bahawa bahasa Cina akan menjadi salah satu bahasa yang penting pada masa hadapan.

Juga terdapat kajian-kajian yang mengkaji etnik minoriti peribumi seperti kajian terhadap cara hidup, amalan seharian, bahasa dan budaya mereka. Kebanyakan etnik yang dikaji adalah dalam kalangan peribumi masyarakat Borneo yang jauh dari arus pembangunan. Sebagai contoh kajian Hanafi Hussin (2001) bertajuk “Ritual Moginom dalam Kalangan Masyarakat Dusun Tatana, Kuala Penyu Sabah” yang mengkaji dan mendokumentasikan ritual Monigom oleh komuniti Tatana untuk beberapa tujuan seperti jamuan tahunan kepada roh nenek moyang, pengubatan dan pembayaran niat. Sehingga kini, ramai pengamalnya, sedikit demi sedikit mula meninggalkan amalan ritual Moginom sehingga ianya jarang dan hampir tidak dilakukan lagi kerana menganggap amalan tersebut ketinggalan zaman. Ianya satu kehilangan sekiranya kajian dan dokumentasi ritual Moginom ini lewat dilakukan.

Media massa sama ada media cetak dan elektronik di Malaysia mempunyai kesan dan pengaruh yang tinggi terhadap masyarakat dan pembangunan sosial negara. Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, media mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan penerbitan mereka boleh mendorong perpaduan dan harmoni. Kajian Baharuddin Aziz (2003) bertajuk “Media, Patriotisme dan Pembangunan Nasional, Satu Analisa Mengenai Perana Media dan Penghayatan Hari Kemerdekaan (31 Ogos) dalam Kalangan Rakyat Malaysia” hendak mengenal pasti bagaimana media dapat memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dengan menganalisis peranan media penghayatan Hari Kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Secara tidak langsung, hubungan antara etnik dan kaum dapat dipererat dan lebih mesra melalui kempen kesedaran dalam menyambut sambutan perayaan Hari Kebangsaan.  

Persoalan hubungan etnik dan integrasi nasional sememangnya diakui merupakan perkara yang penting, lebih-lebih lagi dengan keadaan masyarakat Malaysia yang berbilang. Banyak kajian yang dijalankan tentang perbandingan etnik Melayu atau Islam dengan etnik atau agama lain. Namun, kurang dilakukan kajian perbandingan di antara etnik-etnik lain atau di antara agama-agama lain dan kajian yang ada lazimnya kajian mengenai budaya atau bahasa etnik itu sahaja. Amalan, budaya dan cara hidup dan ini merupakan satu kerugian kepada khazanah warisan negara sekiranya ianya tidak didokumentasikan segera. Kajian mengenai tahap integrasi belia pelbagai etnik sama ada dari peringkat sekolah rendah, menengah atau IPT juga agak kurang. Kekurangan ini perlu ditampung pada masa akan datang.  


3.0 Metodologi Kajian

Pendekatan yang digunakan untuk mengumpul data dalam kajian ini ialah soal selidik. Kajian adalah di sekitar kampus andar dan kampus induk UTeM. Kriteria pemilihan berdasarkan pelajar berlainan bangsa di kampus.


4.0 Hasil Kajian

Kajian ini melibatkan enam buah fakulti di UTeM, Melaka yang melibatkan pelbagai etnik. Seramai 30 responden dipilih yang terdiri daripada 12 orang responden lelaki dan 18 orang responden perempuan.

Berdasarkan Rajah 1, terdapat 13 orang responden daripada tahun pertama, 12 orang responden daripada tahun kedua, empat orang responden daripada tahun tiga dan seorang responden daripada tahun empat. Bagi membuat kajian tentang integrasi di UTeM, responden yang terdiri daripada tiga etnik berlainan iaitu etnik Melayu, Cina, dan India. Sepuluh orang responden dari setiap etnik dipilih untuk mengetahui cara belajar, pergaulan dan hubungan antara satu etnik dengan etnik lain.

Merujuk kepada Rajah 2, semua responden mengatakan bahawa mereka pernah mendengar perkataan integrasi antara kaum. Ini membuktikan mereka mengikuti perkembangan semasa yang begitu mementingkan integrasi antara kaum atau etnik. Selain itu, mereka juga mungkin mendengar perkataan integrasi antara kaum dalam subjek yang mereka pelajari seperti hubungan etnik dan sebagainya.  

Berdasarkan Rajah 3, 30 orang responden pelajar UTeM telah mengatakan bahawa mereka memahami definisi integrasi antara kaum. Ini membuktikan bahawa mereka mengambil berat tentang seruan Perdana Menteri Malaysia iaitu Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang begitu mementingkan integrasi antara kaum di Malaysia khususnya.  

Rajah 4 menunjukkan seramai 24 orang responden yang mengatakan wujud integrasi di UTeM manakala enam orang responden mengatakan bahawa tidak wujud integrasi di UTeM. Graf ini menunjukkan responden yang mengatakan wujudnya integrasi di UTeM lebih ramai daripada responden yang mengatakan tidak wujud integrasi di UTeM. Responden mengatakan wujudnya integrasi di UTeM kerana kebanyakan pelajar UTeM berkawan dengan semua etnik manakala responden yang mengatakan tidak wujud integrasi di UTeM kerana mereka lebih suka berkawan dengan kawan daripada etnik yang sama dan tidak suka berkawan dengan etnik yang berlainan.

Rajah 5 menunjukkan seramai 15 orang responden belajar secara sendiri manakala 15 orang responden lagi belajar secara berkumpulan. Graf ini menjelaskan bahawa bilangan responden belajar secara kumpulan adalah sama dengan bilangan responden belajar secara sendiri. Responden yang memilih belajar secara sendiri kerana mereka hendak mendapat tumpuan dan fokus semasa sesi pembelajaran. Mereka juga mengandaikan bahawa sekiranya mereka berlajar secara berkumpulan, mereka akan lebih berbual-bual bersama rakan berbanding membuat perbincangan. Walau bagaimanapun, terdapat 15 orang responden berpendapat bahawa belajar secara berkumpulan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai pelajar melalui perbincangan di dalam kumpulan. Tambahan pula, mereka juga dapat berkongsi dan bertukar-tukar pendapat mengenai pelajaran di samping dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi di dalam kumpulan.

Hasil daripada Rajah 6, didapati seramai 21 orang responden belajar bersama-sama dengan rakan pelajar dari etnik yang lain manakala sembilan orang responden mendapati bahawa mereka tidak belajar bersama-sama rakan pelajar dari etnik yang lain. Responden yang memilih belajar bersama-sama rakan pelajar yang berlainan etnik kerana mereka dapat berkongsi dan bertukar-tukar pendapat bersama rakan berlainan etnik. Selain itu, mereka juga berpendapat bahawa belajar bersama-sama rakan pelajar dari etnik yang lain dapat mengeratkan persahabatan di samping mempelajari budaya etnik lain. Walau bagaimanapun, seramai sembilan orang responden tidak belajar bersama-sama rakan pelajar dari etnik yang lain kerana mereka sukar memahami bahasa pertuturan dan berkomunikasi dengan rakan yang berlainan etnik.

Berdasarkan Rajah 7, lebih dua per tiga daripada responden bersetuju bahawa pembelajaran secara berkumpulan dapat mengeratkan perpaduan antara etnik dan dua orang responden lagi mengatakan tidak. Mereka yang mengatakan “ya” mungkin kerana mereka gemar belajar secara berkumpulan dan mereka akan dapat mengenali budaya etnik lain yang berlainan manakala mereka yang mengatakan “tidak: berkemungkinan tidak suka belajar secara berkumpulan kerana bagi mereka merumitkan dari segi berkomunikasi dan lain-lain.

Berdasarkan Rajah 8, dua per tiga daripada responden pelajar UTeM mengatakan mereka memang menjalinkan hubungan yang baik dengan kawan yang berlainan etnik. Mungkin mereka menganggap berkawan dengan orang yang berlainan etnik dapat meningkatkan pengetahuan mereka tentang etnik-etnik lain yang ada di Malaysia manakala tiga orang responden lagi tidak menjalinkan hubungan yang baik dengan kawan yang berlainan etnik mungkin disebabkan oleh masalah komunikasi, perbezaan budaya yang ketara dan lain-lain.

Dalam Rajah 9, responden diberi pilihan lebih daripada satu. Hasil daripada kajian ini, didapati seramai 21 orang responden mengatakan perpaduan dalam kalangan etnik di kampus UTeM dapat dieratkan melalui belajar bersama etnik lain, 25 orang responden mengatakan perpaduan dalam kalangan etnik di kampus UTeM dapat dieratkan dengan mengikuti program-program yang dianjurkan oleh fakulti atau UTeM sendiri dan 17 orang responden mengatakan perpaduan dalam kalangan etnik dapat dieratkan dengan menyiapkan tugasan bersama etnik lain. Hal ini menunjukkan bahawa perpaduan dalam kalangan etnik di kampus UTeM dapat dieratkan dengan pelbagai cara.  

Rajah 10 menunjukkan pendapat responden sama ada kampus UTeM telah mencapai tahap perpaduan yang kukuh antara etnik atau belum mencapai tahap perpaduan yang kukuh antara etnik. Didapati seramai 18 responden mengatakan kampus UTeM telah mencapai tahap perpaduan yang kukuh antara etnik manakala 12 orang responden mengatakan kampus UTeM belum mencapai tahap perpaduan yang kukuh antara etnik. Responden yang mengatakan UTeM telah mencapai tahap perpaduan yang kukuh antara etnik kerana mereka merasakan yang setiap etnik mempunyai hubungan yang baik dengan etnik yang lain.

Rajah 11 menunjukkan aspek-aspek seperti pembelajaran, pergaulan dan perayaan mampu membawa kepada integrasi kaum dalam kalangan pelajar UTeM. Seramai 20% responden tidak bersetuju dengan aspek-aspek ini manakala seramai 20% responden bersetuju dan seramai 60% responden amat bersetuju dengan aspek-aspek seperti pembelajaran, pergaulan dan perayaan mampu membawa kepada integrasi kaum dalam kalangan pelajar UTeM. Hal ini menunjukkan bahawa lebih ramai responden yang bersetuju dengan aspek-aspek seperti pembelajaran, pergaulan, dan perayaan mampu membawa kepada integrasi kaum dalam kalangan pelajar UTeM.

Rajah 12 di atas menunjukkan hasil daripada kajian pelajar UTeM sama ada integrasi kaum dalam kalangan pelajar mampu memberi manfaat kepada universiti, bangsa dan negara ataupun tidak. Carta pai menunjukkan seramai 30% responden bersetuju yang integrasi kaum dalam kalangan pelajar mampu memberi manfaat kepada unversiti, bangsa, dan negara manakala 60% responden lagi amat bersetuju integrasi kaum dalam kalangan pelajar mampu memberi manfaat kepada universiti, bangsa, dan negara. Tidak ada responden yang tidak bersetuju dengan pernyataan ini.Ini menunjukkan bahawa integrasi kaum dalam kalangan pelajar mampu memberi manfaat kepada universiti, bangsa dan negara.

Rajah 13 menunjukkan hasil daripada kajian pelajar UTeM tentang integrasi kaum harus dipupuk dalam kalangan pelajar UTeM. Seramai 50% responden bersetuju integrasi harus dipupuk dalam kalangan pelajar UTeM dan 50% responden lagi amat bersetuju jika integrasi dipupuk dalam kalangan pelajar UTeM. Hal ini menunjukkan semua responden bersetuju jika integrasi dipupuk dalam kalangan pelajar UTeM dan ini menunjukkan yang pelajar UTeM suka kepada perpaduan dan integrasi antara kaum.

Rajah 14 menunjukkan hasil daripada soalan kajian mengenai pendapat responden sama ada responden bersetuju atau tidak bersetuju program-program perayaan yang berkaitan dengan integrasi kaum harus kerap diadakan. Didapati 40% responden bersetuju dan 60% responden sangat bersetuju jika program-program perayaan yang beraitan dengan integrasi kaum harus kerap diadakan. Hal ini menunjukkan yang semua responden bersetuju jika program-program perayaan harus kerap diadakan di UTeM.


4.0 Kesimpulan

Dapat disimpulkan bahawa aspek-aspek seperti pembelajaran, pergaulan, perayaan dan sebagainya yang diamalkan oleh pelajar mampu membawa kepada integrasi di antara kaum dalam kalangan pelajar-pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Aspek-aspek ini bukan tertumpu kepada pelajar-pelajar UTeM sahaja tetapi juga kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia. Ini kerana dengan aspek-aspek ini seluruh rakyat Malaysia mampu membentuk integrasi di antara kaum dan sekaligus dapat merialisasikan gagasan 1 Malaysia yang diseru oleh kerajaan Malaysia.

Pelajar universiti amnya dan pelajar-pelajar UTeM khasnya merupakan bakat pemimpin negara pada masa akan datang. Dengan adanya integrasi kaum di Malaysia, pelajar-pelajar mampu membangunkan dan memajukan negara bersama-sama dengan seluruh etnik di Malaysia pada masa hadapan kelak. Hal ini bermaksud, dengan adanya integrasi kaum dalam kalangan pelajar di universiti, pelajar akan mudah bekerjasama dengan sesiapa sahaja walaupun berlainan etnik jika mereka sudah melangkah ke alam pekerjaan kelak.     


Rujukan
http://www.kpwkm.gov.my/uploadpdf/KIPPSBab9.pdf http://www.scribd.com/doc/11460850/Perpaduan-Dan-Integrasi-Nasional-by-Suhaila-Sonia
http://id.wikipedia.org/wiki/Integrasi_sosial



MZ Zainudin, Muhammad Afzan Majid, Siti Zulaikha Mahadzir, Nor Shahida Zakaria, Nurul Ain Buniamin, Noormazni Mohd Ahsami, Jessie Wong, Chan Lee Ting


 

No comments:

Post a Comment