Tuesday, May 27, 2014

Tanggungjawab ketua balai









Kematian seorang anggota polis akibat rempuhan kereta penjenayah mengundang simpati masyarakat. Suasana menjadi lebih menyayat hati apabila perkahwinannya akan dilangsungkan dalam dua tiga hari lagi. Bagaimanapun takdir kematiannya telah mendahului dan kita sedekahkan al-fatihah semoga ruh allahyarham ditempatkan dalam kalangan hamba-hambaNya yang soleh.

Peristiwa seperti ini mengundang beberapa persoalan kepada kita khususnya peranan ketua balai. Sewajarnyalah ketua balai menyedari bahawa arwah hanya beberapa hari lagi akan berkahwin dan beliau perlu memberi nasihat kepada orang bawahan untuk tidak melakukan tugasan yang mencabar ataupun menasihatkan supaya mengambil cuti yang agak panjang supaya urusan kenduri dapat dilaksanakan dengan baik.

Keadaan yang sama juga berlaku dalam kalangan pekerja di pelbagai sektor. Anak-anak muda yang hendak melangsungkan perkahwinan sebaiknya dinasihatkan mengambil cuti lebih awal, menjaga keselamatan diri dan sentiasa beringat bahawa mereka harus sentiasa berwaspada.

Ada sesetengah bakal pengantin yang dirompak, cedera kemalangan dan terlibat dalam pergaduhan ketika hampir tiba hari akad nikah. Suasana yang sepatutnya menjadi sejarah manis dalam hidup bertukar menjadi sejarah pahit yang dikesal sepanjang masa. Ada juga bakal pengantin perempuan yang dilarikan kerana perbuatan balas dendam.

Memberi kesedaran kepada bakal-bakal pengantin amat penting dan menjadi tanggungjawab ketua atau majikan untuk meminta mereka menjaga diri sebaik-baiknya. Kita tentulah mahu melihat perkahwinan yang diatur dan disusun dalam jangka masa panjang berkakhir dengan kegembiraan. Kejadian buruk yang menimpa salah satu pengantin hanya merosakkan kehidupan dan menjadi kenangan pahit sepanjang zaman, ia perlu dielakkan sama sekali.

No comments:

Post a Comment