Wednesday, May 28, 2014

Modi diperhati masyarakat Islam








Perdana Menteri India, Narendra Modi seorang penganut Hindu yang dilihat kurang mesra dengan masyarakat Islam India. Justeru beliau sedang diperhatikan oleh masyarakat Islam negara itu. 

Ketika menjadi ketua menteri Gujerat, lebih daripada seribu orang telah terbunuh pada tahun 2002 akibat sengketa agama di mana kebanyakannya adalah Islam. Peristiwa ini memberi kesan kepada kebanyakan penduduk Islam wilayah itu.

Walaupun wujud kebimbangan terhadap corak pentadbiran Modi, kebanyakan pengundi Islam memberi sokongan kepadanya untuk meningkatkan momentum pembangunan negara selepas kecewa dengan dasar-dasar ekonomi parti Kongres.

Masyarakat Islam membentuk 13 peratus daripada penduduk India. Sebahagian besar mereka masih berada dalam kelompok kemiskinan dan jauh tertinggal dalam penddidikan dan kesihatan. Mereka juga menjadi mangsa diskriminasi dalam bentuk tersembunyi dan terang-terangan apabila mencari pekerjaan atau membeli rumah.

Latar belakang politik Modi bermula apabila beliau menyertai Rashtriya Swayam Sevak Dal (RSS) atau National Voluenteers Association iaitu sebuah pertubuhan militan Hindu dan organisasi induk BJP. RSS diketahui sebagai kelompok yang mencetuskan pelbagai konflik agama khususnya gerakan anti-Islam. Sesetengah masyarakat India melihat hubungan Modi-RSS boleh mempengaruhi proses membuat keputusan beliau.

Salah satu manifesto BJP ialah membina kuil Hindu di tapak masjid kurun ke-16 di bahagian utara India. Masyarakat Islam menghormati Masjid Babri manakala penganut Hindu mengatakan masjid tersebut merupakan tempat kelahiran dewa Rama. Pada tahun 1992, penganut Hindu merosakkan sebahagian daripada masjid dengan penyodok, kuku kambing dan tangan-tangan mereka. Pelampau-pelampau ini bertindak di hadapan pemimpin BJP dan petugas keselamatan.

Kemusnahan Masjid Babri diingati sebagai tidak ada tolerasi agama dalam kalangan pemimpin BJP. Lebih 2000 orang terbunuh akibat tindakan berkenaan.

Kejayaan Modi dipacu oleh perkembangan ekonomi Gujerat yang dijadikan model ekonomi India namun masyarakat Islam melihat tangannya penuh dengan darah umat Islam. Kepada mereka, Modi masih perlu belajar menguruskan konflik kaum dengan lebih baik.


No comments:

Post a Comment