Thursday, May 29, 2014

Kecenderungan terhadap amalan e-rokok









1.0 Pengenalan

Rokok elektronik atau e-cigarette ialah rokok yang diinovasikan daripada rokok biasa dan tidak mengandungi kandungan bahan kimia yang sama seperti rokok biasa. Rokok elektronik pertama kali dicipta adalah pada tahun 2003 oleh SBT Co. Ltd iaitu sebuah perusahaan yang bertapak di Beijing, China. Rokok ini terdiri daripada tiga bahagian iaitu bateri, atomizer dan kartrij nikotin. Cip elektronik akan mengesan pengaliran udara di dalamnya apabila pengguna menyedut rokok kemudian mikroprosesor akan menghidupkan atomizer dan mencampurkan nikotin cair dan udara. Hasilnya, penghisap rokok elektronik akan mendapat dos nikotin yang diperlukan. Walau bagaimanapun, alat elektronik ini diimport dari China dan dikatakan tidak menjalani sebarang pemeriksaan keselamatan sebelum dijual kepada orang ramai. Kandungan nikotin dalam rokok ini juga tidak diluluskan dan masih belum disahkan lebih selamat daripada rokok biasa oleh mana-mana persatuan kesihatan. Kandungan nikotin yang terkandung dalam e-rokok ini juga meningkatkan ketagihan merokok.

Sejak akhir-akhir ini, e-rokok yang menggunakan cecair bagi menghasilkan wap dijual secara berleluasa dan mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan perokok. Pelbagai spekulasi timbul apabila e-rokok semakin mendapat sambutan yang hangat. Dahulu, para perokok seolah-olah bangga apabila menghisap sebatang rokok, namun kini mereka berasa seperti dalam kelas yang tersendiri apabila mereka menghisap e-rokok.

Menurut Pakar Perubatan dan Pernafasan Price Court, Dr. Daniel Lee Keat Chye, kebanyakan pengguna menganggap e-rokok sebagai selamat kerana menyangka mereka hanya menghisap wap air sahaja walhal kandungan nikotin yang terkandung di dalam e-rokok tersebut tidak diketahui dan berbahaya kepada kesihatan pengguna. Walaupun e-rokok tidak menyebabkan kanser kepada penggunanya, namun pengguna tetap akan mengalami masalah kesihatan yang sama seperti perokok biasa iaitu sesak nafas dan radang paru-paru. Nikotin boleh mempercepat denyutan nadi dan pengaliran hormon adrenalin serta melembapkan sistem urat saraf.

Bagi perokok yang memilih e-rokok sebagai rawatan berhenti merokok, sewajarnya mereka mencari alternatif lain yang lebih selamat dan diyakini berhasil. Perokok juga boleh menggunakan bantuan rawatan gantian nikotin (RGN) untuk mengurangkan ketagihan terhadap rokok. Selain itu, ahli keluarga serta para sahabat perokok tegar perlu sentiasa memberi sokongan moral dan membantu perokok berusaha untuk berhenti merokok sepenuhnya.

1.1 Objektif Kajian

Tujuan kajian ini ialah mengkaji kefahaman masyarakat terhadap e-rokok. Selain itu adalah mengetahui kesan-kesan e-rokok terhadap tabiat merokok. Seterusnya mengetahui faktor pengguna e-rokok menggunakan e-rokok.


2.0 Sorotan Kajian

E-rokok yang lazim digunakan oleh perokok sebenarnya tidak membantu mengurangkan ketagihan merokok sebaliknya hanya memburukkan lagi keadaan perokok. E-rokok yang menggunakan cecair bagi menghasilkan wap sebenarnya mengandungi nikotin yang menyebabkan ketagihan dan kuantiti nikotin dalam sebatang e-rokok adalah tidak diketahui. Dalam sebuah laporan yang dibentangkan pada Kongres Tahunan Persatuan Pernafasan Eropah (ERS) di Vienna menunjukkan bahawa e-rokok juga mampu merosakkan paru-paru mereka yang menggunakannya. Hal ini kerana alat itu mengakibatkan kekurangan oksigen yang diserap di dalam darah dan mengakibatkan rintangan udara segera dalam paru-paru.

E-rokok yang dipasarkan dari China ini tidak mendapat kelulusan kesihatan daripada Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) dan disyaki amat merbahaya kepada kesihatan jika digunakan. Kebanyakan pengguna menganggap wap yang disedut dari e-rokok ini hanyalah wap daripada cecair biasa yang tidak mengandungi nikotin, walhal, nikotin ialah bahan utama yang digunakan dalam e-rokok.

Menghisap rokok elektrik adalah amalan sia-sia. Cecair yang digunakan adalah ‘propylene glycol’ dan ‘glycerin’ yang biasanya digunakan dalam neubulizer dan inhaler bagi pesakit asma. Kedua-dua bahan ini akan menyebabkan nikotin meruap dan disedut oleh pengguna. Kedua-dua bahan ini sebenarnya tidak berbahaya tetapi bahaya sebenar terletak pada nikotin. Jumlah nikotin yang terkandung dalam e-rokok berbeza bergantung kepada kenyataan yang tertulis pada label. Ia boleh mengandungi antara 6-8mg dalam setiap 1ml cecair, yang dilabelkan berpekatan rendah. Jika semua 60mg nikotin diserap dalam darah, ia boleh menyebabkan keracunan nikotin.

E-rokok lebih bahaya. Menurut sumber Harian Metro online, penggunaan rokok elektronik dalam kalangan perokok tegar yang mahu berhenti merokok di samping menarik minat remaja untuk kelihatan lebih macho dan bergaya akan difatwakan haram di sisi Islam. Ini kerana kesan penggunaan e-rokok adalah lebih berbahaya berbanding rokok biasa dan shisha yang diharamkan di sesebuah negeri. Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, apa saja kegiatan yang menjejaskan kesihatan, ekonomi dan alam sekitar berpunca daripada tindakan manusia boleh diklasifikasikan sebagai haram. “Apa saja yang diketahui dapat memabukkan dan memudaratkan kesihatan adalah haram dan ditegah dalam Islam.” Bagaimanapun, menurut beliau, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan masih belum memutuskan secara rasmi fatwa mengenai e-rokok dan kini bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mengkaji lebih dalam implikasi penggunaan alat tersebut.

Dalam artikel yang telah ditulis di Terengganu, pengguna menyatakan rasa tidak puas hati hati terhadap status penggunaan e-rokok yang masih menjadi tanda tanya. Salah seorang pengguna e-rokok yang ditemu bual oleh pemberita iaitu Muhd Kamaruzzaman Mahmud memberitahu sepanjang setahun menggunakan e-rokok tahap ketagihannya terhadap rokok semakin berkurang dan tahap kesihatan tubuh badan beliau semakin sihat berbanding ketika menghisap rokok biasa. Beliau juga menafikan bahawa e-rokok boleh mengakibatkan penyakit kronik. Selain itu, pengamal perubatan alternatif iaitu Mohammad Mansur Abdullah berkata beliau masih keliru mengenai pengharaman e-rokok kerana penjualan e-rokok sudah lama bertapak di Malaysia.

Di samping itu, penjualan e-rokok telah bertapak lebih kurang dua tahun lalu di Terengganu dan bilangan pengguna juga telah mencecah hampir 5000 orang. Menurutnya lagi, rokok tembakau mengandungi 4000 bahan beracun berbanding yang terdapat dalam e-rokok yang mempunyai jumlah nikotin sebanyak 12 miligram (mg) dalam setiap 1 mililiter (ml) cecair. Komuniti pengguna juga mempersoalkan mengapa kini baru ada pengumuman pengharaman e-rokok. Hal ini jelas menunjukkan pengguna masih kurang kefahaman terhadap e-rokok dari segi kesihatan dan status e-rokok itu sendiri.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menggesa kerajaan segera mengharamkan penjualan rokok elektronik berikutan peningkatan penggunaan rokok ini dalam kalangan belia. Presiden CAP, SM MOHAMED IDRIS berkata hal ini harus dipandang serius kerana e-rokok didapati digunakan begitu meluas oleh pelajar dan golongan wanita.ini kerana mereka beranggapan e-rokok tidak begitu bahaya seperti rokok biasa. Beliau juga mengatkan bahawa kira-kira 50 remaja di bawah umur 18 tahun mula merokok setiap hari dan e-rokok dikatakan mampu menarik golongan berkenaan mendekati rokok. Walau bagaimanpun negara-negara seperti Brazil, Norway, Colombia, Panama, Singapura dan Uruguay telah mengharamkan rokok ini termasuk Perancis yang bercadang mengharamkan penggunaan di tempat awam. Sebaliknya berlaku di Malaysia kerana tiada had umur dikenakan bagi penjualan rokok elektronik berbanding rokok biasa yang telah digariskan had usia dari segi penjualan.

Beliau juga menegaskan bahawa Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) juga tidak menganggap e-rokok sebagai terapi untuk perokok berhenti merokok kerana masih belum terbukti kesahihan tentang e-rokok yang dikatakan mampu dijadikan terapi dan pengganti kepada nikotin. Selain itu, kebanjiran laman sesawang yang mempromosikan e-rokok sebagai penyelesaian mudah terhadap ketagihan nikotin sedangkan melalui label rokok berkenaan jelas menyatakan terdapat 3.6 peratus kandungan nikotin untuk setiap 10 mililiter kandungan cecair perisa e-rokok.

Dalam sebuah laporan yang ditulis ABC News, terdapat satu kejadian ngeri yang berlaku di Florida, Amerika Syarikat melibatkan e-rokok dan penggunanya. Dalam laporan tersebut, disebut bahawa pengguna e-rokok itu iaitu Tom Hallingway, 57, mengalami cedera parah setelah rokok elektronik yang sedang digunakannya meletup. Menurut sumber, mangsa sedang menggunakan rokok elektronik di ruang tamu rumahnya apabila secara tiba-tiba bateri di dalam rokok elektronik itu meletup dan mengakibatkan mangsa mengalami luka teruk pada hujung lidah, barisan gigi hadapannya tercabut dan luka teruk pada muka. Mangsa yang diberi rawatan kecemasan di hospital berdekatan dilaporkan stabil walaupun kecederaannya sangat serius.


3.0 Metodologi Kajian

Kajian mengenai kecenderungan terhadap amalan e-rokok dilakukan melalui beberapa kaedah. Soal selidik telah dilakukan terhadap 20 orang responden di UTeM bagi mengetahui sejauh mana kefahaman mereka tentang rokok elektronik. Kaedah ini adalah kaedah paling pantas bagi mendapatkan maklumat mengenai kesan penggunaan e-rokok. Kaedah pemerhatian juga telah dilakukan ke atas pengguna e-rokok di UTeM. Kaedah ini dijalankan sepanjang kajian ini dilakukan terutama ketika borang soal selidik diedarkan.


4.0 Dapatan Kajian dan Analisis


Rajah 1: Umur responden

Berdasarkan rajah 1, bilangan responden yang berumur 25 tahun ke bawah adalah lebih banyak berbanding dengan responden yang berumur 26 tahun dan ke atas. Hal ini kerana majoriti pelajar yang tinggal di asrama adalah dalam kalangan mereka yang masih menuntut di Tahun 1 dan Tahun 2.

Rajah 2: Jantina responden

Rajah 2 pula menunjukkan bahawa 80% daripada bilangan responden adalah lelaki memandangkan lelaki lebih mengetahui akan teknologi rokok elektronik ini berbanding responden perempuan. Bilangan responden lelaki adalah sebanyak 24 orang, manakala 6 orang lagi adalah responden perempuan.

Rajah 3: Kaum responden

Dalam rajah 3, borang soal selidik diedarkan kepada tiga kaum terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. 18 orang daripada 30 responden yang berbangsa Melayu, 7 orang berbangsa Cina dan 5 orang berbangsa India. Kajian ini merangkumi pelbagai bangsa kerana perokok bukan sahaja berbangsa Melayu, malah bangsa lain juga merokok.

Rajah 4: Tahap kelulusan responden

Berdasarkan rajah 4, memandangkan kajian kes adalah di UTeM dan tinggal di asrama, pengkaji cenderung memilih para pelajar yang berkelulusan SPM dan diploma sebagai responden. Sebahagian kecil responden adalah pelajar Diploma Tahun 1 yang baru lulus peperiksaan SPM pada tahun 2012 manakala selebihnya adalah pelajar lepasan Diploma atau bakal menamatkan sijil Diploma mereka dalam masa terdekat.

Rajah 5: Kegiatan responden

Dalam rajah 5, hanya 7 orang responden yang bekerja manakala selebihnya adalah pelajar. Hal ini bersesuaian dengan keadaan responden yang tinggal di asrama dan berkelulusan diploma kerana sebahagian kecil yang bakal menamatkan sijil diploma mereka dalam masa terdekat sudah bekerja.

Rajah 6: Penjualan e-rokok harus diharamkan

Berdasarkan rajah 6, majoriti responden yang setuju dengan pengharaman e-rokok di Malaysia kerana mereka beranggapan bahawa rokok elektronik tersebut mendatangkan keburukan kepada penggunanya.

Rajah 7: E-rokok lebih merbahaya

Berdasarkan rajah 7, 22 orang bersetuju bahawa e-rokok adalah lebih bahaya berbanding rokok biasa, manakala 7 orang tidak setuju dan 1 orang sahaja yang tidak pasti. Hal ini menunjukkan bahawa majoriti responden mengetahui dengan baik akan teknologi rokok elektronik ini dan hanya sebahagian kecil sahaja yang tidak tahu mengenai rokok ini.

Rajah 8: E-rokok merupakan alternatif lain untuk menggantikan rokok biasa

Berdasarkan rajah 8, dua pertiga responden bersetuju dengan soalan yang diberikan. Enam orang tidak setuju dan tiga orang tidak pasti. Secara keseluruhannya, jumlah dua pertiga itu masih belum mengetahui akan kesan yang boleh diakibatkan oleh rokok elektronik ini kepada penggunanya.

Rajah 9: Penggunaan e-rokok merupakan trend zaman terkini

Berdasarkan rajah 9, memandangkan rokok elektronik ini baru sahaja mendapat tempat di pasaran, maka 25 orang responden bersetuju bahawa rokok elektronik ini merupakan trend masa kini bagi si perokok. Bagi mereka, penggunaan rokok elektronik adalah lebih mengikuti peredaran masa berbanding penggunaan rokok tembakau tradisional.

Rajah 10: E-rokok lebih menjimatkan

Berdasarkan rajah 10, dua pertiga responden bersetuju bahawa e-rokok menjimatkan wang perokok, lapan orang tidak bersetuju dan seorang tidak pasti. Pendapat yang diberikan oleh responden ialah pembelian rokok elektronik ini hanyalah sekali dan hanya perlu membeli cecair nikotinnya sahaja selepas itu. Bagi responden yang tidak bersetuju pula, mereka menyatakan bahawa pembelian rokok elektronik ini adalah tetap membazir kerana menghisap rokok adalah satu perbuatan yang sia-sia. Responden yang tidak pasti menyatakan bahawa beliau tidak tahu berapa harga sebatang rokok elektronik dan cecair nikotin.

Rajah 11: E-rokok lebih mudah untuk digunakan

Rajah 11 di atas menunjukkan bahawa 15 orang responden menyokong bahawa rokok elektronik lebih mudah digunakan berbanding rokok biasa. Berdasarkan pendapat mereka, rokok elektronik hanya perlu dihidupkan dengan menekan suis dan pengguna hanya perlu menyedut wap yang dihasilkan.

Rajah 12: E-rokok mampu mendatangkan penyakit seperti rokok biasa

Berdasarkan rajah 12, bagi 20 orang responden mereka bersetuju bahawa rokok elektronik mendatangkan penyakit sama seperti rokok biasa. Alasannya, walaupun rokok elektronik hanya mengandungi nikotin manakala rokok biasa mengandungi tar, karbon monoksida dan sebagainya, kesan pengambilan nikotin yang berlebihan tetap buruk. Lapan orang responden yang tidak bersetuju dengan soalan ini menyatakan bahawa nikotin hanya mendatangkan ketagihan tetapi tidak mendatangkan penyakit. Selebihnya memilih tidak pasti sebagai jawapan kerana tidak tahu isi kandungan rokok elektronik.

Rajah 13: E-rokok mampu memulihkan perokok tegar

Berdasarkan Rajah 13, 19 orang responden menyokong bahawa e-rokok boleh memulihkan perokok tegar yang menghabiskan 4 hingga 5 rokok kotak sehari. Mereka berpendapat bahawa e-rokok tidak mengandungi bahan-bahan yang sama seperti rokok biasa dan nikotin yang terkawal mampu mengawal pengambilan nikotin seseorang perokok tegar, seterusnya mengurangkan ketagihan.

Rajah 14: Kaedah RGN selalunya tidak berhasil

Berdasarkan rajah 14, majoriti responden bersetuju bahwa mereka pernah menjalani rawatan gantian nikotin (RGN) seperti menggunakan produk NiQuitin namun, mereka tidak mampu berhenti merokok. Oleh sebab itu, mereka memilih e-rokok sebagai alternatif baru kerana kandungan nikotin yang boleh dikawal memudahkan mereka mengawal kuantiti nikotin yang mereka sedut setiap hari dan mereka boleh mengurangkannya sedikit demi sedikit untuk mengurangkan ketagihan.

Rajah 15: E-rokok boleh menyebabkan kanser paru-paru

Berdasarkan rajah 15, 17 orang responden kami bersetuju bahawa penggunaan e-rokok akan menyebabkan kanser paru-paru kepada penggunanya sama seperti rokok biasa. Hal ini kerana, mereka berpendapat bahawa asap atau wap yang disedut oleh pengguna e-rokok ini tetap berbahaya.

Rajah 16: Kandungan nikotin dalam e-rokok akan menyebabkan ketagihan yang lebih teruk

Berdasarkan rajah 16, menerusi graf yang telah disediakan untuk soal selidik ini, didapati bahawa 16 orang responden kami bersetuju dengan soalan 12, 5 orang tidak setuju dan 9 orang tidak pasti. Kemungkinan 9 orang yang menanda tidak pasti itu adalah mereka yang tidak tahu mengenai rokok elektronik.

Rajah 17: Kekurangan sokongan moral daripada keluarga menyebabkan penggunaan e-rokok

Dari rajah 17, majoriti responden bersetuju bahawa kekurangan sokongan moral adalah punca utama perokok memilih e-rokok. Mereka berpendapat bahawa keluarga memainkan peranan yang penting dalam membantu perokok tegar berhenti merokok.

Rajah 18: Penggunaan e-rokok merupakan simbol kekayaan

Menerusi rajah 18, 11 orang responden tidak bersetuju dengan soalan ini. 4 orang tidak pasti dan selebihnya bersetuju. Bagi responden yang tidak bersetuju, mereka menyatakan bahawa setiap perokok baik pengguna rokok biasa atau rokok elektronik adalah sama kerana mereka membahayakan kesihatan diri dan orang lain, serta menyebabkan pencemaran udara.

Rajah 19: badan kesihatan dunia tidak memperakui e-rokok

Berdasarkan rajah 19, 21 orang responden bersetuju, 4 orang tidak setuju dan 5 orang tidak pasti terhadap soalan ini. Majoriti yang bersetuju menyatakan bahawa tiada sebarang perakuan yang dikeluarkan oleh mana-mana Badan Kesihatan mengenai keberkesanan e-rokok mengurangkan ketagihan termasuk perakuan daripada Badan Kesihatan Sedunia (WHO).

Lazimnya, perokok tegar akan menyedut sehingga 4 kotak rokok sehari. Hal ini semakin membimbangkan apabila terdapat perokok tegar sedemikian dalam kalangan pelajar kerana ia akan menjejaskan kesihatan dan fokus mereka di dalam kelas. Oleh itu, sebuah syarikat di China telah mengeluarkan sebuah produk rokok yang dikenali sebagai rokok elektronik atau e-cigarette. Rokok ini diketahui masih belum melepasi ujian kesihatan sepenuhnya oleh Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO). Namun, semakin ramai yang menggunakan rokok ini atas pelbagai sebab dan alasan. Oleh itu, sebuah kajian telah dijalankan ke atas pelajar universiti terutamanya pelajar UTeM bagi mengetahui isu apakah yang mendorong mereka menggunakan e-rokok.

Berdasarkan kaji selidik yang telah dijalankan ke atas pelajar dan kakitangan UTeM, kami mendapati bahawa terdapat sebilangan mahasiswa di UTeM menggunakan e-rokok kerana mereka terpengaruh dengan media elektronik yang memaparkan kononnya e-rokok ini adalah lebih selamat, bersih dan sesuai untuk dijadikan medium untuk berhenti merokok secara perlahan-lahan. Mereka juga menyatakan bahawa dengan merokok, tekanan mereka sewaktu belajar dapat dikurangkan dan mereka berasa lebih tenang untuk belajar. Adakah benar teori itu?

Teori mengambil rokok ataupun e-rokok untuk menghilangkan stress adalah tidak masuk akal sama sekali kerana penggambilannya akan mendatangkan kesan yang teruk iaitu ketagihan dan sakit kronik. E-rokok juga mendatangkan kesan yang memudaratkan yang sama dibawa oleh rokok tradisional. Oleh kerana itu, Jawatankuasa Islam Malaysia (JAKIM) tidak menghalalkan penggunaan e-rokok kerana pengambilannya membawa kemudaratan kepada tubuh badan si pengguna. Malahan ianya juga telah mencabul hak pencipta-Nya.

Seterusnya, melalui hasil kajian yang sama, kami mendapati bahawa pengguna teknologi ini berpendapat bahawa dengan menggunakan e-rokok mereka dapat menjimatkan lebih banyak wang berbanding ketika menggunakan rokok tradisional. Hal ini sedemikian ketara kerana pengguna berpendapat bahawa e-rokok hanya perlu dibeli sekali sahaja dan boleh digunakan untuk jangka masa yang panjang. Malahan mereka tidak sedar bahawa perasanya juga perlu dibeli dengan harga RM15 hingga RM25, dan ianya sama dengan harga sekotak rokok yang biasa dijual.

Sesetengah pengguna menyatakan bahawa penggambilan e-rokok adalah sebagai kenaikan pangkat ataupun darjat berbanding pengguna rokok biasa. Walhal, di mata umum, setiap perokok adalah sama kerana mencemarkan alam sekitar dengan puntung rokok yang dibuang merata-rata serta pencemaran udara – hasil daripada asap yang dihembus oleh perokok.

Perokok tegar yang memilih e-rokok sebagai rawatan untuk berhenti merokok seharusnya berfikir semula akan penggunaan rokok elektronik ini kerana kerajaan sudah menyediakan rawatan gentian nikotin (RGN) bagi membantu perokok berhenti merokok. RGN ini juga sebenarnya diakui berkesan bagi membantu perokok berhenti merokok dan kos perbelanjaan untuk melalui rawatan ini tidaklah terlalu mahal. Selain itu, keluarga perokok tegar yang berniat untuk berhenti terus daripada merokok perlu sentiasa memberi sokongan moral yang kuat dan membantu mereka merealisasikan impian mereka itu.



5.0 Kesimpulan

Daripada kajian yang telah dijalankan, didapati bahawa semua objektif kajian yang dikemukakan telah berjaya dicapai. Ini kerana, setelah melakukan soal selidik, didapati ramai yang mula faham serta sedar tentang e-rokok. Walau bagaimanapun, masih ada segelintir responden yang masih keliru tentang e-rokok dari segi implikasi e-rokok terhadap kesihatan. Hal ini kerana e-rokok sudah menjadi trend yang popular dalam kalangan perokok tegar tanpa mereka ketahui bahayanya. Selain itu faktor yang mendorong peningkatan penggunaan e-rokok ialah kerana e-rokok telah dipasarkan di merata-rata tempat dan tidak kurang juga yang menjualnya melalui laman internet,

Bagi melengkapkan lagi kajian kami tentang e-rokok, kami telah mengkaji tentang faktor pengguna e-rokok menggunakan e-rokok. Jika diteliti secara mendalam terdapat banyak faktor yang mendorong perokok memilih e-rokok sebagai pengganti rokok biasa. Antara faktor utama ialah kerana e-rokok dikatakan mampu membantu perokok mengurangkan ketagihan terhadap rokok biasa. Hal ini berlaku kerana perokok kurang cara untuk berhenti merokok menyababkan mereka mengambil e-rokok sebagai alternatif utama. Seterusnya terdapat segelintir responden yang berpendapat yang e-rokok merupakan simbol kekayaan dan dapat berada dalam kelas tersendiri apabila menggunakan e-rokok. Selain itu, e-rokok juga dikatakan lebih menjimatkan serta mudah digunakan berbanding rokok biasa. Oleh yang demikian, pengguna e-rokok harus sedar serta peka tentang implikasi-implikasi yang akan terjadi sekiranya e-rokok terus digunakan.

Seterusnya, pendidikan awal dan pembelajaran kepada kanak-kanak tentang bahaya rokok. Bak kata aforisme Melayu, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Generasi muda dan akan datang akan sedar tentang bahayanya e-rokok ini apabila diberikan pendidikan dan pengetahuan tentang e-rokok ini.

Selain daripada itu, pihak kerajaan harus membuat sebuah kawasan yang digelar ‘kawasan bebas asap’. Undang-undang dan peraturan yang ketat harus dibuat pada kawasan ini. Kawasan ini juga boleh dibuat untuk ‘kawasan hijau’ yang dipenuhi tumbuh-tumbuhan hijau untuk udara yang lebih segar dan tidak tercemar dengan asap-asap rokok yang berbahaya.


Rujukan

http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130120/kn_02/E-rokok-tidak-buang-Ketagihan
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/pengharaman-e-rokok-pengguna-mahu-penjelasan-terperinci-1.126129
http://drzubaidi.com/blog/?p=2795
http://persadasite.blogspot.com/2013/01/bahaya-rokok-elektrik-e-cigarette.html
http://www.mysumber.com/berita/hisap-e-rokok-bukan-cara-elak-ketagihan
http://beritasemasa.com/rokok-elektronik-elektrik-malaysia
http://www.theborneopost.com/2013/06/25/e-rokok-rosakkan-paru-paru-nikotin-serupa-racun-serangga/
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/e-rokokundangsakitkronik/Article/artikel
http://www.sciencebasedmedicine.org/e-cigarette-safety/
http://www.hmetro.com.my/articles/E-rokoklebihbahaya/MA/Article
http://www.kualalumpurpost.net/e-rokok-haramkan-di-malaysia2/
http://malaysiaelectroniccigarettes.blogspot.com/2012/11/rokok-elektronik-malaysia-why-wwwe.html
http://id.wikipedia.org/wiki/Rokok_elektronik
http://health.howstuffworks.com/wellness/smoking-cessation/10-facts-about-e-cigarettes.htm
http://www.medicalnewstoday.com/articles/249784.php
http://en.wikipedia.org/wiki/Electronic_cigarette
http://www.guardian.co.uk/society/2013/jun/04/e-cigarettes-health-revolution-smokers
http://www.azcentral.com/healthyliving/articles/20130301electronic-cigarettes-benefits-health-risks.html
http://www.ksdk.com/news/article/378118/3/Electronic-cigarette-health-risks-and-benefits
http://www.fda.gov/forconsumers/consumerupdates/ucm173401.htm
http://abcnews.go.com/Health/electric-cigarette-explodes-fla-mans-face/story?id=15645605#.UeGtyzsp9mM
http://who.int/mediacentre/news/releases/2008/pr34/en/index.html


MZ Zainudin, Muhammad Firdaus Jamaluddin, Aliff Aiman Ramli, Ngo Chen Bang, Nur Hamizah Shaharoni, Nor Asmaliza Abidin, Siti Zahrah Mustakim

No comments:

Post a Comment