Monday, January 31, 2011

Banjir di Alor Gajah

Hujan lebat dua hari berturut-turut di Alor Gajah, Melaka mengundang cemas penduduk sekitar bandar itu. Seawal jam 4 pagi, saya menerima pesanan ringkas daripada seorang rakan yang memaklumkan banjir sudah mula melanda Alor Gajah dan penduduk di sebuah taman perumahan berhampiran Masjid Daerah Alor Gajah terpaksa dipindahkan.

Selepas subuh, paras air naik mendadak melepasi dada dan ramai penghuni rumah tidak sempat membawa keluar barang-barang sedia ada kecuali dokumen dan beberapa barang penting termasuk kereta dan motosikal. Pada pukul 12 tengah hari, mangsa banjir ditempatkan di Dewan Ar-Rashidin Masjid Daerah Alor Gajah dengan bilangan mencecah 147 orang.

Perkarangan masjid penuh dengan deretan kereta yang dipindahkan, manakala agensi kerajaan yang terlibat ialah Kementerian Kesihatan, Bomba dan Penyelamat, Majlis Daerah Alor Gajah, Rela dan Polis Diraja Malaysia. Terdapat pertubuhan bukan kerajaan yang membantu mangsa memindahkan barang-barang mereka ke tempat yang lebih selamat.

Seorang sukarelawan dari Haluan Malaysia, Mohd Farid turut membantu rakannya, Surail, pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam berhampiran memunggah barang dan dokumen ke tempat lain.

Paras air di kawasan taman perumahan tersebut masih belum surut sepenuhnya. Sepanjang perjalanan saya meredah air, semua rumah ditenggelami air paras pinggang khususnya rumah yang berada berhampiran alur sungai di belakang taman.

Terdapat beberapa buah kereta dan motosikal yang tidak sempat dibawa keluar dan terendam tanpa dapat dibuat apa-apa. Pakaian yang masih dijemuran tidak diusik menunjukkan penghuninya tidak sempat membawa keluar pakaian mereka melainkan barangan peribadi sahaja.

Banjir kali ini mengundang rasa cemas dalam kalangan penduduk taman perumahan berkenaan kerana kekhuatiran mereka terhadap hujan yang turun berterusan. Kemungkinan besar banjir kali kedua akan datang tidak dapat ditentukan kerana mangsa banjir yang terlibat di kawasan Tampin, Negeri Sembilan telah ramai dipindahkan. Kerugian dianggarkan beribu-ribu ringgit dan mangsa dijangka pulang ke rumah masing-masing dua atau tiga hari lagi bergantung pada paras air.

Dalam pada itu, orang perseorangan dan persatuan digalakkan membantu mangsa banjir dengan menyediakan pakaian dan barangan keperluan untuk kanak-kanak kerana ada dalam kalangan mereka yang tidak sempat membawa pakaian yang cukup untuk tinggal di tempat pemindahan banjir berkenaan.

No comments:

Post a Comment