Dalam buku ‘Pendidikan Anak-anak Dalam Islam’ yang ditulis oleh Abdullah Nasih Ulwan, terdapat beberapa adab yang wajar disemai ke dalam jiwa anak-anak. Adab-adab ini membantu mereka mengembangkan watak dan membentuk personaliti yang menarik sesuai dengan masyarakat kita.
1. Berdiri untuk orang yang datang
Adab ini sesuai untuk tetamu, musafir, orang alim atau orang yang lebih dewasa kerana amalan ini dianggap sebagai satu amalan sosial yang diterima oleh semua jenis manusia.
Bukhari, Abu Daud dan Al-Tarmizi telah meriwayatkan daripada Siti Aisyah r.a katanya: Saya tidak pernah melihat seorang pun yang menyerupai Nabi saw dalam perawakannya, lemah-lembutnya, perjalanannya ketika bangun dan duduk seumpama Fatimah, puteri Rasulullah saw sendiri. Apabila Siti Fatimah datang menemui Nabi saw,baginda sentiasa bangun menyambutnya dan menciumnya, kemudian baginda mendudukkannya di sisi. Begitu juga apabila baginda saw datang kepadanya, Siti Fatimah terus bangun menyambutnya, menciumnya lalu mendudukkan di sisinya.
2. Menyebarkan salam
Orang berkenderaan memberi salam kepada orang berjalan kaki. Orang berjalan kaki memberi salam kepada orang duduk seterusnya kumpulan kecil memberi salam kepada kumpulan yang lebih besar dan ramai. Riwayat Muslim menyatakan: Bahawa Rasulullah saw sering menemui kanak-kanak di perjalanan sambil memberi salam kepada mereka.
3. Meminta izin
Terdapat tatacara yang baik untuk kita ikuti sebelum masuk ke rumah atau mengambil barang kepunyaan orang lain. Pertama, memberi salam supaya ada makluman tentang kehadiran kita. Kedua, sekiranya ada nama, gelaran atau sifat orang berkenaan, adalah lebih baik menyebutnya sebagai tanda hormat. Contohnya, andai kata orang berkenaan bergelar Datok, mulakan dengan menyebut panggilan gelaran diikuti namanya. Malah kalau ada sifat-sifatnya yang isitimewa, lebih baik juga disebut seperti ‘Datok Mat yang baik hati.’
Ketiga, sebaik-baiknya meminta izin sebanyak tiga kali kerana ia dianggap mendesak kalau meminta izin berkali-kali. Keempat, elakkan dari mengetuk pintu dengan keras dan berterusan. Kelima, selesai meminta izin, jarakkan sedikit daripada pintu. Akhir sekali, jika tuan rumah meminta datang esok, usah bermasam muka kerana mungkin pada saat itu dia belum bersedia untuk bertemu atau ada keperluan lain yang lebih penting.
4. Duduk dalam majlis
Rasulullah saw menunjukkan beberapa adab yang mudah tetapi sangat praktikal untuk membina persahabatan yang berpanjangan.
Pertama, bersalaman dengan orang yang ditemui dalam majlis. Sabda Rasulullah saw: Berjabat tanganlah kamu, nescaya dengki akan terhapus dan bertukar-tukar hadiah, nescaya kamu akan lebih sayang menyayangi dan terhapuslah permusuhan.
Kedua, duduk di samping orang ramai bukannya di tengah-tengah orang ramai. Abu Daud meriwayatkan dengan isnad yang baik daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a: Bahawasanya Rasulullah saw pernah melaknati orang yang duduk di tengah-tengah dalam satu bulatan.
Ketiga, tidak duduk di antara dua orang melainkan dengan izin. Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi dan Abu Daud daripada Amru bin Syuaib, daripada ayah dan datuknya, bahawasanya Rasulullah saw telah bersabda: Tidak dibenarkan bagi seseorang itu untuk memisahkan duduk di antara dua orang melainkan dengan izin keduanya.
Keempat, jangan berbisik-bisik apabila majlis itu hanya tiga orang. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Mas’ud r.a bahawasanya Rasulullah saw bersabda: Jika kamu tiga orang, makan janganlah dua orang di antara kamu berbisik serta membiarkan yang ketiga kerana yang demikian itu akan mendukacitakannya.
5. Adab berbicara
Pertama, memberi perhatian penuh kepada si pembicara. Nabi saw sentiasa memberi perhatian penuh kepada sesiapa sahaja yang berbicara dengannya. Baginda saw sering menaruh minat dengan segala pendengarannya serta selalu berlemah-lembut kepada mad’unya.
Abu Daud telah meriwayatkan daripada Anas r.a: Aku tidak pernah melihat seorang muslimin yang berbisik-bisik ke telinga Nabi saw lalu baginda menarik kepalanya daripada orang itu melainkan setelah orang itu menarik kepalanya terlebih dahulu daripada Nabi saw.
Kedua, pembicara wajar menumpukan perhatiannya kepada semua orang yang duduk berbicara dengannya. Ini perlu dilakukan sehingga setiap orang yang ada di hadapannya merasakan bahawa perbicaraan itu ditujukan kepadanya.
No comments:
Post a Comment