Dalam diri kita terkumpul sikap positif dan negatif. Setiap orang ada kedua-dua sikap ini dan adalah normal untuk memilikinya. Namun, untuk mendorong diri dan berjaya dalam hidup, dalam pekerjaan atau pelajaran, satu sikap yang mesti diatasi ialah malas. Macam-macam jenis malas seperti malas solat, malas buat kerja rumah, malas belajar dan malas untuk mengubah diri.
Punca-punca malas memang banyak. Namun, satu punca yang jelas ialah tidak ada matlamat hidup. Tidak ada sasaran yang jelas. Malas belajar kerana tidak tahu gred atau markah yang hendak dicapai, malas membaca kerana tidak ada tabiat dan budaya ilmu dalam diri.
Malas memberi implikasi besar kepada perkembangan mental dan diri yang sihat. Contohnya, bos akan menilai pekerjanya setiap bulan dan tahun. Pekerja yang malas, kurang disiplin dan kerap curi tulang tentulah tidak akan diberi pelbagai insentif lain. Akhirnya, rakan-rakan sekerja yang lain lebih maju ke hadapan dengan memikul tanggungjawab yang lebih mencabar.
Orang malas sentiasa dianggap kurang produktif dan tidak memberi sumbangan kepada kemajuan diri.
No comments:
Post a Comment