Tuesday, January 11, 2011

Hanizam dalam kenangan

Hanizam Haji Hamdani, seorang rakan yang tidak pernah dilihat menunjukkan kemarahan dalam apa juga keadaan. Sabtu, 8 Januari 2011, dia kembali ke rahmatullah selepas hidup selama 46 tahun di samping isteri dan anak-anaknya, dua lelaki dan dua perempuan. Kematiannya kerana kompilasi kencing manis yang dialami.

Saya mengenali Hanizam selepas kembali ke tanahair lapan tahun yang lalu selepas meninjau peluang-peluang kerja di sekitar Kuala Lumpur. Orang pertama yang saya kenal dan berkawan adalah Hanizam. Beliau dengan senang hati membantu saya dalam banyak perkara, dari mencari tempat tinggal hinggallah menemankan sarapan pagi dan makan malam. Kadang-kadang dia tolong bayarkan kerana berasa bertanggungjawab meringankan beban rakannya.

Hanizam seorang yang mudah membantu, ringan tulang dan sedia menjadi teman untuk mendengar cerita biar pun dalam keadaan kurang sihat. Setia kepada majikannya iaitu pengamal perubatan alternatif di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Dia tidak pernah menceritakan masalah keluarga apatah lagi keadaan kesihatannya. Walaupun sejak dua tiga tahun lalu badannya kelihatan susut dan pipinya nampak cengkung, Hanizam masih lagi mampu senyum dan bertanya khabar.

Kali terakhir saya berjumpa dan minum bersama ialah pada bulan puasa tahun lepas di Pandan Cahaya. Dia bawa sekali dua orang anak lelakinya. Kami bertukar-tukar pandangan kerana sudah lama tidak berjumpa. Masa itu dia demam dan kurang selera makan. Namun digagahi juga untuk datang selepas solat tarawikh di Masjid Al-Azim, Pandan Indah. Selepas minum kami bersalam-salaman, iaitu salam terakhir di antara kami kerana selepas itu kami berpisah untuk selama-lamanya. Lima bulan selepas itu, Hanizam meninggal dunia.

Hubungan kami sangat baik. Setiap kali rakan kami, Mamit datang dari Brunei sama ada bertugas atau dengan keluarga, kami berdua akan menziarahi Mamit dan belanjanya minum teh tarik. Selepas itu kami berbual panjang dan bertanya khabar masing-masing. Biasanya Mamit akan tinggal di hotel berhampiran Pelabuhan Kelang kerana dia menjalankan tugas rasmi di sana. Semasa pertemuan kami di Pandan Cahaya, saya maklumkan kepada Hanizam yang Mamit telah kena serangan angin ahmar (strok) dan belum pulih sepenuhnya.

Kematiannya sangat mengejutkan. Semasa sedang mencari barang keperluan rumah di Bangi, seorang rakan, Sheikh Nazri menelefon,’Assalamu’alaikum.. ada kat mana?’ Saya jawab,’Di Bangi, nak beli barang sikit.’ Agak aneh juga kerana jarang benar Sheikh Nazri telefon, setidak-tidaknya dia akan hantar mesej saja. ‘Ada berita yang mengejutkan...’ Wajah saya mula berubah kerana agak panik dengan kata-katanya. ‘Nizam meninggal dunia tengah hari ni... jenazah ada di Hospital Ampang.’ Berderau darah saya kerana tidak pernah terfikir Hanizam akan pergi lebih awal dalam usia yang masih muda.

Selepas itu saya balik ke rumah dan bersiap-siap untuk menunggu jenazah di Surau Raudhah, Bukit Mahkota. Sebaik sampai di sana, azan asar baru dikumandangkan dan jemaah bersiap-siap untuk solat asar. Sebaik turun dari kereta saya lihat isteri dan anak-anak Hanizam juga baru sampai. Saya berjumpa dengan adik Hanizam dan anak-anaknya sebelum beredar untuk menunaikan solat.

Sebaik sahaja selesai membaca doa, semua jemaah memandang ke arah tengah surau kerana jenazah Hanizam diletakkan di situ. Penutup pengusung jenazah diangkat lantas terbujur kaku tubuh Hanizam di atas pangkin. Ikatan kain di bahagian kepala jenazah dibuka untuk memberi peluang kepada isteri, anak-anak dan saudara mara Hanizam menatapnya buat kali terakhir. Seorang demi seorang mengucup pipi Hanizam. Wajahnya putih bersih. Anak perempuannya yang sulung tidak dapat menahan sedih lalu menangis sepuas-puasnya sambil menahan sebak.

Anak-anak lelaki nampak tenang dan menundukkan kepala sambil mengucup pipi Hanizam seorang demi seorang. Manakala anak perempuan yang kecil dipangku oleh ibunya yang sesekali menitiskan air mata.

Di kawasan kubur Sri Putra, liang lahat telah tersedia untuk menerima jenazah Hanizam. Hanizam tidaklah terlalu berat kerana cukup tiga orang untuk menurunkannya ke dalam liang. Badannya dihadapkan ke arah kiblat. Satu demi satu kepalan tanah diletakkan di belakang dan depan badannya supaya tetap dan berkeadaan mengiring. Lalu tanah dimasukkan sedikit demi sedikit ke dalam liang hingga jenazah Hanizam terus hilang dari pandangan, tempatnya bersemadi sehingga ke hari akhirat.

Imam Surau Raudhah membacakan talkin yang sangat menyentuh emosi setiap orang yang hadir. Sesekali suaranya perlahan, tersekat-sekat sambil menahan sebak membacakan soalan-soalan yang akan ditanya oleh malaikat Mungkar dan Nangkir dan yang patut dijawab.

Isteri, anak-anak dan saudara mara Hanizam yang berada di belakang imam sudah dapat menahan emosi masing-masing dan menerima hakikat bahawa Hanizam telah selamat disemadikan dan insya Allah akan berada dalam kelompok orang-orang yang dirahmati Allah swt. Anak perempuannya yang menangis teresak-esak sebelum ini sudah berhenti menangis dan serius mendengar patah demi patah bacaan talkin berkenaan. Akhirnya, sebelum maghrib menjelma, imam membacakan doa untuk arwah Hanizam dengan harapan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

Al-fatihah.

No comments:

Post a Comment