Tahun baru 2011 bermula dengan banyak perkara buruk. Di Queensland, Australia, berlaku banjir paling buruk dalam sejarah negara itu. Di negara-negara Eropah, keadaan iklim yang berubah menyebabkan salji turun tanpa musim dan menghalang kehidupan seharian masyarakat benua itu. Di Malaysia pula, banjir kilat menjadi perkara biasa ketika ini. Kos untuk membaik pulih kerosakan kesan daripada banjir mampu mencecah jutaan ringgit.
Dalam khutbah Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya baru-baru ini turut menyentuh mengenai bencana alam yang datang bertimpa-timpa dalam masyarakat tertentu. Antaranya masyarakat Nabi Lut yang mengamalkan kegiatan seks sejenis lalu dibencanakan dengan diterbalikkan tanah dan ribut yang membawa batu yang dibakar.
‘Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.’ (Al-A'raaf: 84)
‘Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang menghujani mereka dengan batu, kecuali keluarga Nabi Lut, Kami selamatkan mereka (dengan menyuruh mereka keluar dari situ) pada waktu jauh malam.’ (Al-Qamar: 34)
‘Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.’ (Hud: 82)
Kemungkinan besar ribut berkenaan adalah letusan gunung berapi yang memuntahkan lahar, panas dan mengalir berterusan.
Seterusnya kaum Nabi Shuaib yang bernama Madyan. Kegiatan mereka ialah menipu dalam sukatan dan timbangan. Azab bencana yang diberikan ialah bunyi teriakan dan gempa bumi.
‘Dan ketika datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami selamatkan Nabi Syuaib beserta dengan umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami; dan orang-orang yang zalim itu dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing.’ (Al-Qamar: 94)
‘Maka mereka mendustakannya, lalu mereka dibinasakan oleh gempa bumi, serta menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.’ (Al-‘Ankabut: 37)
Kaum Nabi Salleh, iaitu kaum Tsamud turut dihapuskan. Kaum ini mahir membuat rumah dan memahat gunung. Namun disebabkan menyombong diri dan memandang hina kepada orang yang diberi kepercayaan, mereka dihantar dengan teriakan, gempa bumi dan halilintar untuk lenyap selama-lamanya.
'Sesungguhnya Kami hantarkan kepada mereka satu pekikan (yang dahsyat), lalu menjadilah mereka (hancur) seperti ranting-ranting dan daun-daun yang pecah hancur, yang dikumpulkan oleh pemilik kandang binatang ternak.’ (Al-Qamar: 31)
‘Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.’ (Al-‘Araf: 78)
‘Maka mereka membesarkan diri terhadap perintah Tuhannya, lalu mereka disambar petir (dengan tidak dapat melarikan diri), sedang mereka melihatnya. Dengan yang demikian, mereka tidak dapat bangun lagi, dan mereka juga tidak mendapat pertolongan.’ (Az-Zaariat: 44-45)
Nabi Hud juga mempunyai kaum sendiri yang bernama Ad. Azab ke atas mereka ialah angin yang sangat kencang, bunyi yang kuat dan bertiup selama lapan hari tujuh malam.
‘Lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang dalam beberapa hari yang nahas malang, kerana Kami hendak merasakan mereka azab seksa yang menghina dalam kehidupan dunia; dan sesungguhnya azab seksa hari akhirat lebih besar kehinaannya; sedang mereka tidak diberikan pertolongan (menghindarkan azab itu).’ (Fussilat: 16)
“Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya, yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka: batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang.’ (Al-Haaqqah: 6-7)
Angin yang dahsyat dan sambaran halilintar menghilangkan kaum Ad. Tidak ada apa-apa lagi yang hendak dibanggakan kerana kisah mereka yang diabadikan dalam al-quran adalah berkaitan dengan perilaku negatif.
Bencana banjir berlaku kepada kaum Nabi Nuh dan orang-orang Saba’. Barangkali kehidupan mereka yang sangat makmur dengan hasil pertanian menjadikan mereka bongkak dan enggan menerima ketauhidan Allah swt. Dalam kes orang-orang Saba’, Allah swt memberi banjir Arim yang memusnahkan hasil tanaman sedia ada yang dibangga-banggakan.
Putaran sejarah mula berlaku pada hari ini. Negara-negara yang dikategorikan sebagai maju mula merasai kesan daripada tindakan mereka yang sombong dan bongkak dengan kurniaan Allah swt. Mereka bangga dengan pencapaian sendiri dan mengenepikan peranan Allah swt dalam menjayakan kehidupan yang dilalui. Kita takut apabila sedang tidur nyenyak, tiba-tiba bencana alam datang tanpa sempat membuat sebarang persediaan.
‘Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?’ (Al-A’raf: 97-98)
No comments:
Post a Comment