Thursday, July 30, 2009
Wakaf untuk penunggang motosikal di lebuh raya
Walaupun ruang berehat di bawah jejambat tidak besar, ia membantu penunggang motosikal merehatkan diri, menyejukkan enjin dan menghilangkan sejuk terkena angin semasa merentas perjalanan jauh. Jarak satu jejambat ke jejambat seterusnya tidak menentu. Ada yang mengambil masa 30 minit dan ada yang sehingga sejam setengah barulah berjumpa satu lagi jejambat. Bayangkan jika jaraknya begitu, tiba-tiba datang hujan dan ribut, penunggang motosikal terpaksa meredah hujan dan petir sehingga berjumpa jejambat yang paling hampir. Bagi penunggang yang tidak bersedia dengan baju hujan, terpaksalah menggigil kesejukan.
Apabila sampai di Kuala Lumpur, semua anggota badan kesejukan dan kulit sudah kecut khususnya tapak tangan. Kadangkala terasa kebas dua tiga hari. Kasut yang dipakai tentu basah dan perlu dijemur sehingga kering. Kalau gam tidak kuat, belanja untuk melekatkan bahagian yang lekang terpaksa dikeluarkan.
Susah dan payah yang dialami oleh penunggang motosikal wajar mendapat perhatian PLUS kerana mereka juga menjadi pengguna lebuh raya yang aktif dan menyumbang kepada pembangunan negara. Adalah amat baik jika PLUS dapat menyediakan wakaf bagi setiap 20 hingga 30 minit perjalanan bagi mengelak penunggang motosikal basah kuyup kerana hujan di tengah perjalanan. Wakaf ini boleh diselang-seli dengan jejambat sedia ada. Luas wakaf pula boleh diseragamkan supaya kos pembinaan dapat diminimumkan.
Terdapat satu wakaf yang memberi keselesaan kepada penunggang motosikal di antara plaza tol Serdang dan Sungai Besi. Bentuk wakaf yang sama boleh disediakan di sepanjang lebuh raya utara-selatan bermula dari Bukit Kayu Hitam hingga ke Johor Bahru.
Pembinaan wakaf seperti itu dapat mengurangkan kemalangan jalan raya dalam kalangan penunggang motosikal kerana mereka dapat merehatkan diri dan menyambung perjalanan dalam keadaan segar. Ia juga menunjukkan PLUS sangat prihatin dengan kehendak pengguna yang mengharapkan perjalanan yang lancar.
Wednesday, July 29, 2009
Usahawan kek pisang
Pengalaman usahawan jenama kek pisang, Nasvin Products, mengeluarkan lapan jenis kek pelbagai perisa sangat menarik. Setiap hari diperuntukkan lebih 100 kilogram pisang pelbagai jenis untuk membat 1,000 kek pisang yang dipasarkan ke pasaraya Mydin.
Nasvin, usahawan kek pisang ini memulakan bisnes kek dan biskut secara kecil-kecilan di rumah sehinggalah kini, beliau berbangga mempunyai sembilan orang pekerja, sebuah kilang dan kedai di Gombak.
Bagi mencari pasaran baru, Nasvin menyertai pelbagai jenis karnival dan pameran anjuran Kementerian Pembangunan usahawan dan Koperasi (MECD) dan Persatuan usahawan Wawasan Wanita Malaysia (Wawasanita). Melalui cara ini, dari semasa ke semasa produk beliau akan dikenali.
Bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti bisnes, dia mendapatkan pinjaman dari SME Bank untuk membeli mesin pengisar dan pembakar khas. Dia juga tidak jemu melakukan penyelidikan untuk meningkatkan kualiti pembuatan kek.
Bisnes makanan seperti kek, roti atau biskut sentiasa bertambah di pasaran. Jika kita perasan, di pasar raya terdapat berbagai-bagai jenis produk seperti ini dan ia tidak pernah berkurangan.
Ada pengusaha biskut dari Malaysia yang gigih mencari pasaran di luar negara sehingga di pembungkus luar biskut terdapat pelbagai jenis tulisan – Arab, Jepun, Tamil atau Thailand supaya pembeli dapat memahami maklumat yang hendak disampaikan.
Tuesday, July 28, 2009
Nilai hidup ada pada keimanan
Satu demi satu kisah hidup si mati disingkap oleh media, dari kerjaya hingga peribadi. Hal politiknya semakin genting kerana sudah muncul blog yang akan mendedah kisah politik di Selangor dan mungkin berlaku sesuatu di luar jangkauan pemikiran kita kelak. Namun, kisah tunang Beng Hock yang mengandung lebih menarik kerana ia memperlihatkan kerosakan moral yang berlaku kepada sesiapa sahaja, apatah lagi yang terlibat dalam politik.
Berbanding rasuah yang kerap ditonjolkan media, hubungan seks di luar nikah dianggap masalah peribadi dan jarang diambil peduli. Dalam kes Beng Hock, Dr Reduan Tee dalam akhbar Mingguan Malaysia baru-baru ini menyatakan akhlak pemuda itu sangat lemah dan anak yang bakal dilahirkan hendaklah dikategorikan sebagai anak tak sah taraf (anak zina). Pendapat-pendapat lain juga mengundang idea yang sama kecuali Wanita MCA yang mahu anak berkenaan disahkan tarafnya. Yang hak adalah hak dan tidak boleh dihalalkan begitu sahaja.
Apakah kerjaya politik tidak berkait dengan akhlak seseorang?
Isu Teoh Beng Hock adalah satu rahmat daripada Allah SWT sebagai jawapan kepada orang-orang yang beriman yang sentiasa berdoa supaya didedahkan niat buruk dan perancangan jahat golongan kufar yang cuba melemahkan kekuatan umat Islam dan menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk mencerai-beraikan iman. Cucuran air mata dan doa yang berterusan menjadikan niat mereka disingkap sejelas-jelasnya oleh Allah Azjawa jalla.
Seseorang pemimpin mesti mempunyai akhlak yang mulia supaya dapat dijadikan contoh kepada orang lain. Perilaku buruk seperti berzina yang pernah ditunjukkan oleh seorang pemimpin kanan parti politik tidak lama dulu menjadi bukti untuk kita melihat nilai dan prinsip yang ada dalam masyarakat berkenaan. Agak aneh, pemimpin berkenaan yang meletakkan semua jawatan dalam parti dan kerajaan, kemudiaannya bertanding kembali dan dilantik menjadi timbalan presiden parti. Apa jenis masyarakat ini? Walaupun mereka dianggap golongan yang kaya dan menguasai ekonomi negara, namun nilai hidup mereka sudah rosak. Adakah bala sedang menanti masyarakat ini di kemudian hari?
Apabila memikirkan perilaku zina dalam kalangan ahli politik, pengkaji mula mencari-cari buku yang boleh dijadikan rujukan untuk mententeramkan hati. Lalu pengkaji membelek-belek tajuk sebuah buku yang telah lama dibeli tetapi belum sempat dibaca. Bukan kerana enggan membaca, tetapi kerana ia tidak ada kaitan dengan minat ketika itu. Beli sekadar untuk koleksi perpustakaan rumah sahaja.
Buku ‘Cinta di rumah Hassan Al Banna’ adalah jawapan terbaik kepada permasalahan masyarakat yang dahagakan kasih-sayang dalam rumah tangga, cara mendidik ahli keluarga dan produk yang akan dihasilkan daripada pendidikan tersebut. Dalam subtopik ‘nilai hidup ada pada iman,’ pengkaji dapati ia memberi pengajaran yang amat berguna walaupun artikelnya sangat ringkas. Kisahnya adalah berkaitan penerapan nilai iman kepada seorang anak ketika musim cuti sekolah. Hassan Al-Banna memberitahu anaknya, Saiful Islam bahawa ‘sesungguhnya Allah SWt mencintai seorang muslim yang kreatif.’
Hassan Al-Banna menerapkan nilai iman kepada anaknya dengan mengaitkan belajar percetakan sebagai ilmu yang baru dan wajar dipelajari. Melalui proses belajar percetakan itu, Allah SWT akan mencintai dirinya. Daripada nilai iman yang kecil ini, ia berkembang menjadi nilai teras dalam kehidupan Saiful Islam.
Orang seperti Beng Hock tidak dapat memahami nilai hidup seperti ini, nilai dalam perkahwinan dan kepentingan melakukan hubungan seks selepas berkahwin serta menentukan salur-galur generasi selepasnya. Jika beliau tidak memahami konsep hidup ini, bagaimana pula beliau dapat memberi kefahaman kepada rakyat? Pemimpin yang tidak berakhlak dan bermoral tidak layak memimpin rakyat yang beriman kepada Allah SWT.
Sama ada pemimpin dalam kerajaan atau pembangkang, mereka adalah sama seperti kita iaitu ada pegangan dan nilai. Jika nilai yang dipamerkan itu tidak membantu meningkatkan iman kita, apatah lagi melakukan tindakan di luar akhlak seorang muslim, dia wajar diketepikan kerana ‘iman dan kufur’ tidak dapat berada di dalam satu hati.
Monday, July 27, 2009
Gerakan Radikalisme di Malaysia (1938-1965)
Tahun: 2004
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Muka Surat: 500
Gerakan politik radikal Melayu merupakan kegiatan yang dominan dan menarik dalam sejarah politik Malaysia terutama ketika zaman penjajahan British sehingga selepas merdeka. Gerakan ini boleh dianggap sebagai transformasi politik masyarakat Melayu, yang begitu terkenal selama ini dengan sikap konservatif dan sentiasa menurut perintah golongan atasan dan raja. Buku ini cuba memberi suatu perspektif yang berdasarkan kajian akademik yang bertanggungjawab terhadap gerakan radikal Melayu sebelum perang sehingga pembentukan Malaysia. Dengan menggunakan rekod-rekod rasmi, akhbar-akhbar sezaman dengannya, temu ramah dan memoir, di samping bahan rujukan sekunder, buku ini cuba melahirkan suatu keseimbangan dalam menelusuri kegiatan golonga radikal. Buku ini diharap dapat memberi suatu kronologi dan perkembangan sejarah gerakan golongan radikal Melayu di negara ini. Di samping itu juga, buku ini cuba memberi interpretasi baharu yang dapat memperkayakan lagi horizon pemikiran masyarakat pembaca terhadap kegiatan golongan radikal. Buku ini sangat sesuai dijadikan bahan rujukan untuk pelajar di pusat pengajian tinggi yang mengikuti kursus sejarah Malaysia, para guru danpelajar sekolah menengah dan peminat sejarah Malaysia."
Ulasan Editor: Membaca buku sejarah sangat mengasyikkan. Justeru, buku ini mendedahkan kisah-kisah yang berlaku semasa politik orang Melayu mula aktif selepas mendapat pendedahan daripada dunia luar. Aspek utama yang diberi perhatian oleh Ramlah Adam ialah peranan watak-watak khusus seperti Ibrahim Haji Yaakob, Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ahmad Boestamam di samping Dato’ Onn Jaafar.
Buku menarik ini mendedahkan sifat pengecut yang ada pada Ibrahim Haji Yaakob sebagai tokoh ulung yang menggerakkan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Beliau, isteri, abang ipar dan kawan rapatnya telah melarikan diri ke Indonesia dengan bantuan Jepun sebelum Jepun mengaku kalah dan meninggalkan Tanah Melayu. Di Indonesia, Ibrahim mendapat kedudukan yang baik dalam tentera Indonesia dan sempat membuka sebuah bank perdagangan. Beliau meninggal dunia di Indonesia dan dikebumikan di sana sebagai seorang pahlawan Indonesia. Ibrahim berasal dari Sulawesi, ternyata cuba mendapatkan sebuah jajahan baru bagi Indonesia, tanah ibundanya.
Peranan Parti Komunis Malaya juga mendapat perhatian. Penyusupan PKM dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sangat ketara sehinggakan Ketua Rejimen ke-10 (Melayu) PKM, Mokhtaruddin Lasso dilantik menjadi ketua PKMM yang pertama. Contoh lain pengaruh PKM ialah ejaan ‘Malayu” dalam perlembagaan PKMM. Ejaan itu dikekalkan untuk menunjukkan perlembagaan itu dikarang oleh bukan Melayu. Dipercayai dasar-dasar itu telah ditaip dan disogokkan kepada pemimpin PKMM. Selain itu, salah satu keazaman PKM yang lain ialah berhasrat menjadikan Semenanjung Tanah Melayu sebagai jajahan Republik Rakyat China yang ke-20.
Kegagalan pergerakan radikal Melayu mendapat sokongan orang Melayu ialah kerana mereka tidak dapat memecahkan struktur tradisional sistem masyarakat Melayu yang meletakkan raja sebagai pemimpin. Kegelojohan pemimpin radikal Melayu yang menyokong Malayan Union menjadikan UMNO bertambah kuat dan mendapat kepercayaan British sebagai wakil tunggal suara orang Melayu untuk berunding bagi mencapai kemerdekaan.
Pendedahan menarik yang lain ialah satu rombongan orang Cina yang diketuai oleh Lau Phak Kuan telah dihantar ke London untuk mendesak tuntutan-tuntutan mereka seperti bahasa Cina menjadi bahasa kebangsaan, sekolah Cina sebagai sekolah kebangsaan dan penghapusan hak istimewa orang Melayu. Kelompok CIna itu tidak mahu hak-hak mereka dikesampingkan begitu sahaja.
Pergelutan untuk menjadi jaguh dalam mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu menyaksikan pertembungan antara UMNO, PAS dan Dato' Onn. Semasa Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan di Stadium Merdeka, Dato' Onn tidak hadir ke upacara rasmi itu kerana enggan melibatkan diri dalam kemerdekaan yang tidak melindungi orang Melayu. Beliau tetap menolak kerakyatan jus soli sebagai dasar kerakyatan Tanah Melayu. Beliau juga melihat kemerdekaan yang dicapai oleh Tunku Abdul Rahman itu sebagai tidak bermakna. Namun, pemimpin PAS, Dr Burhanuddin hadir pada pengisytiharan itu.
Saturday, July 25, 2009
Colocynthis
Fikiran: Enggan bercakap. Sangat sedih dan meradang; tidak sabar; marah menyala-nyala.
Kepala: Keliru, ada tekanan di kawasan rongga-rongga mata. Cenderung buatkan rasa pening dan loya. Tekanan di bahagian depan, teruk semasa membongkok atau menolak kepala ke belakang. Sakit menyiat-nyiat, menusuk ke dalam melalui keseluruhan otak, memberi kesan pada kelopak mata atas. Berdenyut-denyut di pelipis kanan, hilang bila dipicit.
Mata: Berdenyut-denyut dalam mata, biji mata sakit; bila tunduk atau membongkok. Tajam memotong-motong dalam biji mata kanan. Kelopak mata atas tersentak-sentak.
Telinga: Bergema dan berdenyut-denyut di kedua-dua telinga terutamanya sebelah kiri.
Hidung: Selesema, teruk di tempat terbuka. Berdenyut-denyut, bergerak dari hidung kiri ke glabella (permukaan tulang antara kedua-dua bulu kening).
Muka: Merah gelap. Mengecut dan menekan ke dalam tulang malar kiri dan sakit menyengat-nyengat, melarat ke telinga dan kepala. Sakit berterusan dalam rahang atas. Sakit menyiat-nyiat dalam pipi.
Mulut: Rasa pahit berterusan. Panas terbakar di hujung lidah jika melecur.
Perut: Lapar. Tidak mahu makan, rasa gatal di kerongkong. Sendawa kosong. Loya dan lapar dari dalam perut. Muntahkan cecair pahit, kuning. Sakit terbakar dalam perut. Perut memulas-mulas selepas makan; teruk sebelah petang. Perut rasa kenyang. Perut kejang sebelah malam, lega dengan sendawa. Perut sangat sensitif bila disentuh. Rasa dipotong dan memulas-mulas di kawasan dada dan abdomen, lega dengan tekanan yang kuat dan diikat kejap-kejap; timbulkan kemarahan.
Abdomen: Kejang di kedua-dua sisi abdomen; teruk selepas ditekan atau menyandar di atas meja. Abdomen kembung dan sangat sakit. Semakin teruk dengan ketat, jerutan dan sakit memotong-motong di kawasan pusat; mesti diikat dua kali; tidak cukup rehat dan menjerit-jerit semasa mengubah posisi; melarat di antara lima hingga sepuluh minit; kentut sekejap-sekejap. Sakit perut lega jika ditekan. Celah kangkang berdenyut-denyut, kiri dan kanan bersilih ganti, ada kaitan dengan ovari. Lega dengan minum kopi dan hisap rokok; melarat dengan makan atau minum.
Najis: Kerap hendak berak, rasa dubur lemah jika terus cirit-birit. Berak berdarah. Najis busuk; banyak keluar angin; berdarah; cair; selepas makan kerap kentut dan sakit dalam abdomen; nipis, berbuih, sembelit, tahi keras.
Kencing: Kerap hendak kencing tetapi sedikit. Air kencing keruh, pekat, busuk, likat dan melekit.
Seks perempuan: Kejang di kawasan ovari kiri. Sangat sakit dalam ovari; kesakitan berganda-ganda dan tidak dapat rehat.
Pernafasan: Kerap gatal dan keradangan di tekak yang sebabkan batuk di sebelah malam. Dada rasa tertekan.
Belakang: Otot-otot tengkuk keras. Tekanan di tengkuk kiri; teruk kalau berpusing. Berterusan wujud tekanan di tulang sulbi semasa bernafas; teruk bila berbaring.
Kakitangan: Sakit rheumatik pada sendi-sendi. Sakit berterusan di tapak tangan kanan. Tekanan dalam ibu jari sebabkan susah hendak menggerakkannya.
Umum: Otot-otot badan kejang dan tersentak-sentak. Pitam dengan sejuk di anggota-anggota luar. Letih. Rheumatik dan kebas.
Demam: Sejuk seluruh badan. Luar badan panas; teruk di bahagian atas. Malam berpeluh, bau seperti air kencing; berterusan hingga ke pagi.
Melarat: Petang; rehat; selepas makan dan minum; kesan-kesan selepas marah.
Lega: Kentut; kopi; merokok; ikat ketat; membongkok; panas; tekanan yang keras.
Friday, July 24, 2009
Abu Hanifah yang taat
Setelah masa hukumannya berakhir, Abu Hanifah dibebaskan. Dia bersyukur dapat bersamaibunya kembali.
"Ibu, bagaimana keadaanmu selama aku tidak ada?" tanya Abu Hanifah.
"Alhamdulillah. .....ibu baik-baik saja," jawab ibu Abu Hanifah sambil tersenyum.
Abu Hanifah kembali menekuni ilmu agama Islam. Banyak orang yang belajar kepadanya.
Akan tetapi, bagi ibu Abu Hanifah dia tetap hanya seorang anak. Ibunya menganggap Abu Hanifah bukan seorang ulamak besar. Abu Hanifah sering mendapat teguran. Anak yang taat itu pun tak pernah membantahnya.
Suatu hari, ibunya bertanya tentang wajib dan sahnya solat. Abu Hanifah lalu memberijawapan. Ibunya tidak percaya meskipun Abu Hanifah berkata benar.
"Aku tak mau mendengar kata-katamu, " ucap ibu Hanifah.
"Aku hanya percaya pada fatwa Zar'ah Al-Qas," katanya lagi.
Zar'ah Al-Qas adalah ulama yang pernah belajar ilmu hukum Islam kepada Abu Hanifah. "Sekarang juga hantarkan aku ke rumahnya,"pinta ibunya.
Mendengar ucapan ibunya, Abu Hanifah tidak kesal sedikit pun. Abu Hanifah menghantaribunya ke rumah Zar'ah Al-Qas.
"Saudaraku Zar'ah Al-Qas, ibuku meminta fatwa tentang wajib dan sahnya solat," kataAbu Hanifah begitu tiba di rumah Zar'ah Al-Qas.
Zar'ah Al-Qas hairan kenapa ibu Abu Hanifah harus jauh-jauh datang ke rumahnya hanya untuk pertanyaan itu? Bukankah Abu Hanifah sendiri seorang ulamak? Sudah pasti putranya itu dapat menjawab dengan mudah.
"Tuan, anda kan seorang ulamak besar? Kenapa Anda harus datang padaku?" tanya Zar'ahAl-Qas.
"Ibuku hanya mahu mendengar fatwa dari anda," sahut Abu Hanifah.
Zar'ah tersenyum, "Baiklah, kalau begitu jawabanku sama dengan fatwa putra anda," kata Zar'ah Al-Qas akhirnya.
"Ucapkanlah fatwamu," kata Abu Hanifah tegas.
Lalu Zar'ah Al-Qas pun memberikan fatwa. Bunyinya sama persis dengan apa yang telahdiucapkan oleh Abu Hanifah. Ibu Abu Hanifah bernafas lega.
"Aku percaya kalau kau yang mengatakannya, " kata ibu Abu Hanifah puas. Padahal,sebetulnya fatwa dari Zar'ah Al-Qas itu hasil ijtihad (mencari dengan sungguh-sungguh) putranya sendiri, Abu Hanifah.
Dua hari kemudian, ibu Abu Hanifah menyuruh putranya pergi ke majlis Umar bin Zar.Lagi-lagi untuk menanyakan masalah agama. Dengan taat, Abu Hanifah mengikutiperintah ibunya. Padahal, dia sendiri dapat menjawab pertanyaan ibunya dengan mudah.
Umar bin Zar merasa aneh. Hanya untuk mengajukan pertanyaan ibunya, Abu Hanifahdatang ke majlisnya.
"Tuan, andalah ahlinya. Kenapa harus bertanya kepada saya?" kata Umar bin Zar.
Abu Hanifah tetap meminta fatwa Umar bin Zar sesuai permintaan ibunya.
"Yang pasti, hukum membantah orang tua adalah dosa besar," kata Abu Hanifah.
Umar bin Zar termangu. Dia begitu kagum akan ketaatan Abu Hanifah kepada ibunya.
"Baiklah, kalau begitu apa jawapan atas pertanyaan ibu anda?"
Abu Hanifah memberikan keterangan yang diperlukan.
"Sekarang, sampaikanlah jawapan itu pada ibu anda. Jangan katakan kalau itu fatwaanda," ucap Umar bin Zar sambil tersenyum.
Abu Hanifah pulang membawa fatwa Umar bin Zar yang sebetulnya jawapannya sendiri.Ibunya mempercayai apa yang diucapkan Umar bin Zar.
Hal seperti itu terjadi berulang-ulang. Ibunya sering menyuruh Abu Hanifah mendatangi majlis-majlis untuk menanyakan masalah agama. Abu Hanifah selalu menaati perintah ibunya. Ibunya tidak pernah mahu mendengar fatwa dari Abu Hanifah meskipun beliau seorang ulamak yang sangat pintar.
Sumber: Kisah-kisah Teladan
Thursday, July 23, 2009
Xinjiang: Muslim China yang dilupai
China mempunyai permusuhan yang panjang ke atas agama seperti mana yang dilakukan terhadap ajaran Falun Gong beberapa tahun lalu, seterusnya menyerlahkan sikap berkenaan terhadap Tibet. Bagaimanapun, tidak seperti Falun Gong, Uighur kurang popular di Barat dan mereka juga tidak mempunyai pemimpin yang berkarisma seperti Dalai Lama.
Wilayah Autonomi Xinjiang Uighur (XUAR) adalah nama yang diberi kepada Turki Timur oleh kerajaan China. Xinjiang bererti ‘batasan baru’ dalam bahasa China. Pemerintah Manchu yang menyerang Turki Timur pada 1759 telah menjadikannya sebahagian daripada wilayah China.
Siapakah Uighur?
Uighur bukanlah satu-satunya kelompok Islam di China, sebaliknya masyarakat Hui juga diiktiraf sebagai Islam. Selain itu minoriti Tajik, Kyrgyz dan Kazakh juga boleh dijumpai di Xinjiang. Dua peratus daripada penduduk China adalah Islam iaitu 24 juta orang.
Uighur adalah orang-orang Turki. Bahasa mereka adalah sebahagian daripada rumpun Altaic. Semenjak mereka menerima Islam pada kurun ke-10, masyarakat itu menggunakan tulisan Arab sehinggalah kerajaan China memaksa penggunaan tulisan latin ke atas mereka. Bagaimanapun penggunaan tulisan Arab dibenarkan kembali pada tahun 1983 untuk menjaga ‘minoriti nasional’ China.
Republik Turki Timur
Uighur memiliki sejarah negara yang kaya, sesuatu yang cuba disembunyikan oleh propaganda kerajaan China. Pemerintahan Manchu di Turki Timur telah dihalau keluar oleh pahlawan-pahlawan Uighur pada tahun 1862. Nikmat kemerdekaan tidak lama kerana Manchu menawan semula wilayah itu pada tahun 1876 dan mengukuhkan kedudukan mereka lapan tahun kemudian.
Penentangan terhadap kerajaan China melahirkan dua buah republik pada kurun ke-20 yang mana satu daripadanya muncul kerana pembabitan Kesatuan Soviet pada tahun 1934. Negara kedua ialah Eastern Turkistan Republic (ETR) yang wujud pada 12 Nivember 1944. Di bawah tekanan Kuomintang dan Komunis, pemimpin-pemimpin ETR menerima jemputan ke Beijing yang mana mereka tidak pernah sampai ke sana kerana ketika melalui Kesatuan Soviet, kapal terbang mereka terhempas. Pada Oktober 1949, People’s Liberation Army (PLA) menyerbu ETR.
Sepanjang lima tahun sebelum pendudukan komunis China, pembentukan republik Uighur adalah detik-detik istimewa yang sentiasa diingati dan disambut gembira oleh pejuang-pejuang kebangsaan Uighur pada hari ini.
Komunis China (1949- sekarang)
Revolusi Budaya yang diperkenalkan oleh Mao Zedong adalah detik yang menyukarkan masyarakat Uighur. Agama dikatakan sebagai pelemah masyarakat dan menerima layanan yang buruk daripada tentera-tentera Merah. Laporan Human Rights Watch menyatakan masyarakat Uighur dipaksa menternak babi, masjid ditutup dan dijadikan gudang babi untuk menambahkan penderitaan masyarakat Islam di sana.
Dasar galakan berpindah kepada orang-orang Han menyaksikan pertambahan mendadak dari enam peratus pada 1949 menjadi 40 peratus pada 1978 menyebabkan Uighur menjadi minoriti di negara sendiri, disisihkan dalam kedua-dua sektor pendidikan dan perdagangan.
Permusuhan yang memuncak di antara Uighur dan Han tidak dapat dielakkan lagi. Ketika seorang wartawan bertanya kepada sekumpulan kanak-kanak Han yang berkumpul di sekitar patung Wang Zhen (pejuang revolusi China) kenapa mereka menganggapnya sebagai hero. Jawabnya, ‘kerana dia membunuh ramai Uighur.’
Jawapan daripada seorang kanak-kanak berumur 10 tahun adalah gambaran perasaan penjajah puak Han ke atas peribumi Uighur.
Ketegangan juga ditingkatkan dengan penguasaan bisnes oleh puak Han. Oleh kerana monopoli yang berterusan dan pentadbiran berat sebelah, sesetengah kelompok di dalam masyarakat Uighur percaya bahawa penentangan bersenjata adalah satu-satunya pilihan yang ada seperti mana yang dilakukan oleh masyarakat Islam di Selatan Thailand pada hari ini.
Wednesday, July 22, 2009
Buku resipi tulisan tangan jadi inspirasi
Percayakah anda jika dikatakan seorang usahawan wanita menjadi terkenal kerana buku resepi kakaknya?
MMM Oven Fresh, penyedia pelbagai jenis biskut dan kek enak bermula dengan membuat kuih tradisional Melayu seperti semprit, talam dan pau. Bahan-bahan dan cara menyediakan kuih ini diwarisi daripada keluarga.
Usahawan ini, Maznah Dona, seorang yang cekal dan tabah. Semangat ingin mencuba menjadikannya kaya dengan pelbagai jenis idea ciptaan baru.
Pengalaman membantu ibunya menyediakan kuih ketika hari raya mendedahkan beliau kepada selok-belok membuat kuih ini.
Mula-mula membuat kuih, Maznah hanya membancuh adunan dan belajar memasak daripada buku resepi tulisan kakaknya. Hanya resepi yang mudah-mudah dicuba kerana tidak memerlukan banyak bahan. Lama-kelamaan, beliau mampu menyediakan biskut dan kek yang lebih sedap dan mengikut cita rasa ramai.
Monday, July 20, 2009
Panduan merancang aktiviti prasekolah
Penerbit: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Buku ini ditulis bagi meningkatkan kemahiran dan kreativiti guru prasekolah. Ia boleh dijadikan rujukan para pelajar pusat pengajian pendidikan dan para guru prasekolah. Ia membantu guru mengelola dan mengurus pengajaran dan pembelajaran prasekolah.
Prakata
Bahagian 1: Pengenalan
Pendapat Tokoh Perkembangan Kanak-kanak
2. Pembinaan Jati Diri
3.Persepsi Kanak-kanak
Bahagian 2: Aktiviti Prasekolah
5.Pusat Bermain Pondok-pondok
Aktiviti: Memasak Makanan
6. Pusat Sains
7.Penggunaan Bahan Bergambar
Bahagian 3: Lampiran
9. Rancangan Tahunan Kurikulum Prasekolah
Program pendidikan prasekolah adalah program tidak formal bagi kanak-kanak berumur antara 4 hingga 6 tahun. Program ini menyediakan kanak-kanak dengan kehidupan seharian dan juga persediaan menghadapi pendidikan formal sekolah rendah. Sejak tahun 1950-an lagi pendidikan prasekolah di Malaysia telah dijalankan di kawasan bandar oleh pihak swasta pada tahun 1970-an oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dengan memberi tumpuan pada murid di kawasan luar bandar. Manakala Jabatan Perpaduan Negara pula memberi tumpuan kepada murid-murid miskin di pinggir bandar pada tahun 1980-an. Program ‘Annex’ anjuran Kementerian Pendidikan sudah dimulakan pada tahun 1992 bagi menambah peluang kepada 53% kanak-kanak yang memiliki latar belakang yang tidak mengizinkan mereka mendapat pendidikan prasekolah atau tadika.
Perkembangan pertumbuhan tadika yang tidak terkawal menyebabkan pelbagai pendekatan, hala tuju dan kurikulum digunakan. Ini menyebabkan kanak-kanak dididik dengan pelbagai acuan dan tidak menepati kehendak negara yang sedang membangun. Menyedari keadaan ini buku yang bertajuk Panduan Merancang Aktiviti Prasekolah dihasilkan sebagai bahan rujukan kepada pusat-pusat pengajian dan guru-guru prasekolah Malaysia. Buku ini merangkumi buku yang sudah dihasilkan oleh penulis-penulis yang ber-pengalaman dalam kaunseling dan pendidikan prasekolah Malaysia.
Buku ini mendedahkan para guru kepada beberapa pendekatan aktiviti serta pengelolaan pengajaran dan pembelajaran serta beberapa perkara yang berkaitan dengan pengurusan kurikulum di tadika. Oleh itu buku ini sesuai dijadikan rujukan kepada guru bagi membuat pengubahsuaian supaya pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan jayanya.
Saturday, July 18, 2009
Arsenicum Album
Simptomnya ialah letusan kulit seperti kulit kering, mengelupas, berkuping hitam, gelembung cecair dan jerawat bernanah. Kuping berkudis, gangren (tisu mati atau merosot), ulser, bisul raja dan kanser pada semua penyakit kulit. Arsenic menunjukkan tanda-tanda sakit kuat terbakar yang tajam menikam, sangat letih dan kekutan fizikal berkurangan, mungkin boleh rebah. Antara penyakit yang boleh dirawat ialah gastrik, radang perut dan usus, cirit-birit, bengkak air pada kaki dan tangan, angina pectoris, asma, batuk, anaemia, selesema, fotofobia, banyak menangis, influenza, radang esofagus, kanser kulit pada mulut, lidah atau kerongkong dan ulser dalam mulut. Dalam tindakan ke atas saraf, Arsenic amat berguna bila sakit kepala, chorea (tersentak-sentak bahu, pinggul dan muka), sawan, lumpuh kaki dan tangan, radang sum-sum tulang, konvulsi, meracau kerana arak dan kesan sampingan tembakau.
Fikiran: Meracau sebelah malam dan sangat letih. Tanggalkan baju tidur. Sedih, kecewa dan bimbang. Sangat kecewa hingga bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain. Keinginan lebih besar daripada keperluan, makan atau minum terlalu banyak, berjalan terlalu jauh. Sangat sensitif pada bunyi. Bimbang; pukul 3 pagi, rasa panas atau loya; selepas pukul 3 pagi; selepas tidur petang. Hilang kesedaran diri. Takut mati. Mahu bunuh diri. Risau, tidak puas hati, cari salah, tidak dapat diramal dan mudah marah. Sangat takut dan dukacita, nampak hantu pada siang dan malam.
Kepala: Pening hendak jatuh; sebelah petang; kepala rasa berat, bunyi ketukan dalam telinga. Sakit kepala; berdenyut-denyut. Keliru dan memeranjatkan. Sangat sakit kepala dan melarat dengan cahaya dan bunyi terutama sebelah kiri. Rasa seperti otak dikeluarkan dan dipukul bertalu-talu semasa bergerak. Hidung berdenyut-denyut semasa bergerak. Sakit dalam pelipis kanan. Sakit menyucuk-nyucuk di sebelah kiri kepala. Sakit di bahagian belakang kepala.
Mata: Merah. Anak mata terbeliak. Air mata keluar dan gatal dalam mata. Biji mata panas dan luka terbakar. Radang mata dan kelopak mata. Seperti ada pasir dalam mata; sebelah petang. Berdenyut-denyut dalam mata dengan rasa menyucuk-nyucuk setiap kali berdenyut; selepas tengah malam. Kelopak mata membengkak berisi air selepas menutup mata. Rasa terbakar di dalam ruang kelopak mata atas. Kelopak mata kering kalau digosok. Radang mata pada bayi yang baru lahir; kulit kasar, kering dan kotor; fotofobia dan banyak tahi mata.
Telinga: Sakit menyucuk-nyucuk dalam saluran telinga kiri pada sebelah malam. Sakit dalam telinga. Bunyi mengaum.
Hidung: Bengkak dan berair. Selesema dengan bersin; suara parau dan tidak dapat tidur; teruk sebelah pagi; lega di tempat terbuka atau cuaca panas. Hidung berdarah. Sensitif dengan bau-bauan.
Muka: Pucat, kuning, kelihatan kemas; bengkak; cengkung, diliputi peluh sejuk. Memulas-mulas. Muka tunjukkan tanda menderita.Bibir mendapat ulser; biru, bengkak, hitam dan pecah-pecah.
Mulut: Gigi berdetip-detip semasa tidur; jadi longgar; sensitif bila ditekan dan dengan air sejuk. Gusi bengkak. Sakit gigi tersentak-sentak pada sebelah malam; melarat ke pelipis. Bibir luka dan mendapat ulser dalam mulut. Lidah; berselaput putih, merah di tengah-tengah; kering dan coklat. Mulut kering dan sangat dahaga. Mulut dan lidah melecur. Kerap minum tetapi sedikit. Mulut, tekak dan saluran makanan rasa terbakar. Berterusan dahagakan air sejuk dalam jumlah yang sedikit. Rasa pahit selepas makan. Banyak air liur; berdarah dan berbuih.
Kerongkong: Ulser. Sakit tekak. Radang dan bengkak lidah. Kering dan rasa terbakar. Sukar menelan. Rasa sempit. Panas bila menelan kerana saluran makanan panas.
Perut: Tidak ada selera makan; bencikan makanan. Tersedu selepas makan. Sendawa tidak habis. Berterusan rasa loya, berdebar-debar hendak pengsan. Perut menggigil; pukul 11 malam dan 3 pagi. Muntah kering. Alah pada buah-buahan, ais krim dan sebagainya. Muntah; semua makanan yang baru masuk ke dalam perut; warna coklat; berlendir dan kehijauan. Berterusan sakit perut dengan rasa sangat dahaga dan muntah kering. Lemah penghadaman. Perut kejang. Berat dalam perut seperti ada batu; selepas makan.
Abdomen: Kembung dan sangat sakit; lega selepas berak. Sakit dipotong-potong. Limpa membesar. Melarat di sebelah pagi; sebelum, semasa dan selepas cirit-birit.
Najis: Dubur rasa panas selepas berak; rasa lemah dan letih. Sakit ketika berak. Buasir. Berak tanpa dapat dikawal. Busuk; berlendir dan warna hijau gelap. Cirit-birit dengan kaki tangan sejuk; muntah; letih. Cirit-birit teruk selepas tengah malam dan sebelah pagi selepas bangun tidur. Sembelit.
Kencing: Saluran kencing panas semasa kencing. Kencing tanpa dapat dikawal. Air kencing sedikit, susah kencing.
Seks lelaki: Sakit bengkak buah zakar. Busung.
Seks perempuan: Keputihan warna kuning, tebal. Haid terlalu awal dan banyak, letih dan bercampur darah. Sakit yang tajam dari abdomen hingga faraj.
Pernafasan: Suara lemah, terketar-ketar dan parau. Batuk kerana merokok; teruk selepas minum. Otot-otot kejang; asma; dalam dan kering; pendek; melarat selepas tengah malam. Batuk dengan kahak berdarah; sesak nafas pada sebelah malam mesti bangun; selepas baring. Sukar bernafas bila berbaring pada waktu petang dengan bunyi bersiul dan trakea rasa sempit. Semput; melarat dengan ribut dan hujan lebat, berjalan cepat, mendaki; panas dan pakaian ketat. Bernafas dengan bunyi diiringi batuk dan kahak berbuih. Susah bernafas dan sangat menderita. Semput, mahu bernafas juga. Asma. Dada rasa sempit; bimbang dan sebelah petang tidak boleh rehat, sesak nafas. Muka berpeluh sejuk. Dada menyucuk-nyucuk bila batuk.
Jantung: Berdebar-debar terutama sebelah malam; selepas berak; dengan keletihan; terketar-ketar, mesti berehat. Angina pectoris; jantung tiba-tiba sendat.
Kakitangan/Belakang: Kaku keras. Menyucuk-nyucuk. Sangat letih dan lemah, mahu berehat. Tersentak-sentak, bergetar-getar dan menggigil. Konvulsi. Lumpuh. Teruk bila baring pada bahagian yang sakit, lega bila dibawa bergerak.
Umum: Sangat lemah. Sawan; kerap pengsan. Sangat bimbang. Lemah tiba-tiba. Pitam, risau, letih sebelah pagi. Bahagian sakit rasa panas, terutama organ-organ dalam, kulit dan ulser.
Kulit: Putih, melekat-lekat. Jerawat bernanah. Berkudis. Mengelupas dari kepala hingga ke kaki. Panas terbakar, sakit selepas digaru. Ulser pada paha; kuping kelabu dan kerkerak.
Tidur: Sekejap jaga sekejap tidur. Sukar tidur kerana selalu menguap. Mimpi ngeri; kilat, api, air hitam, gelap; berkaitan mati.
Demam: Menggigil tanpa rasa dahaga, teruk di tempat terbuka, selepas makan malam, selepas minum. Demam pada masa yang sama untuk beberapa hari. Badan sejuk, kulit kering, berselang seli dengan peluh sejuk. Sejuk dan panas silih berganti di luar atau dalam badan dan pipi kelihatan merah; kuku dan bibir biru. Dalam badan panas terbakar dan kering; selepas tengah malam, semasa muntah dengan rasa haus. Teruk dari 12 tengah malam hingga 2 pagi; muka dan kaki peluh. Peluh masam, belengas.
Melarat: Malam terutama tengah malam; sejuk.
Lega: Panas.
Patologi: Psoriasis; kelemumur; hidung berair; sembab; cirit-birit; keracunan makanan; radang perut dan usus; senak perut; ulser mulut; anaemia; kekangan mental; mata merah jambu; sakit kepala (pening dan muntah); demam sejuk; jangkitan pada faraj; takut; gugup.
Friday, July 17, 2009
Didik anak menjiwai ilmu
Itu belum termasuk jadual pendidikan sampingan anak-anak, seperti kelas tuisyen, kelas agama dan mengaji al-Quran atau kegiatan ko-kurikulum.
Kehidupan seharian anak-anak yang diprogramkan sebegini rupa menunjukkan kepentingan budaya menimba ilmu. Ia penting dalam membentuk manusia yang seimbang nilai rohani, jasmani, emosi dan intelektualnya. Namun, ada anak-anak yang tidak melihatnya sebagai sesuatu yang memberikan makna yang besar, sekadar suatu rutin yang disusun atur oleh ibu bapa.
Pergi ke sekolah dan menuntut ilmu sepatutnya bukan sekadar rutin kepada persepsi anak-anak. Ia perlu dilihat sebagai kewajipan ke atas orang Islam. Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW iaitu "menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim."
Anak-anak perlu difahamkan bahawa menuntut ilmu juga diandaikan seperti berjihad ke jalan Allah seperti hadis: "Barang siapa keluar untuk mencari ilmu maka ia berada di jalan Allah sampailah ia kembali" (riwayat al-Tirmizi).
Sebagai ibu bapa pasti ada antara kita yang pernah diajukan persoalan oleh anak-anak seperti: "Ayah, kenapa saya perlu ke sekolah setiap hari?" atau "Ibu, apa perlunya saya belajar bersungguh-sungguh?"
Apa pula agaknya jawapan yang sesuai untuk diberikan? Adakah mencukupi atau tepat dengan mengatakan kepada anak-anak bahawa: "Kamu mesti belajar untuk lulus peperiksaan dengan cemerlang" atau "Kalau nak jadi orang yang ada kerja yang elok dan banyak duit, kenalah pergi ke sekolah dan belajar rajin-rajin."
Jawapan seperti ini ditafsir sesetengah orang sebagai kurang tepat. Ia menzahirkan trend dalam kalangan ibu bapa yang nampaknya bersungguh-sungguh mendidik anak-anak melangkahkan kakinya ke sekolah dengan hanya bermatlamatkan kecemerlangan dalam peperiksaan atau sebagai batu loncatan untuk mendapat kerja.
Bila anak-anak disemai dengan budaya terlalu mengejar kedudukan nombor satu dalam kelas atau deretan 'A' semaksimum mungkin, ia menjadikan mereka mengejar tanda aras (bench mark) tersebut dan tidak berfikir untuk meraih lebih jauh daripada itu.
Banyak impak negatif jika usaha mencari ilmu itu tidak diiringi dengan amalan.
Antaranya, anak-anak akan terfokus untuk mengejar objektif yang ditetapkan oleh ibu bapa dan tertekan apabila ia tidak menjadi kenyataan.
Rasa takut dan rendah diri akan wujud jika nombor dalam kelas atau keputusan peperiksaan yang diidamkan oleh ibu bapa tidak dicapai. Akan wujud jugalah situasi di mana sesetengah anak yang "kurang berjaya daripada segi akademik" disisih dan dipandang rendah oleh ibu bapa, keluarga dan masyarakat.
Mereka kemudiannya mencari jalan singkat dalam memujuk diri yang dicap 'kurang bijak' dengan terbabit dalam gejala-gejala negatif seperti merokok, melepak, vandalisme, menagih dadah bahkan membunuh diri.
Hakikatnya, gagal dalam peperiksaan bukanlah bererti mereka sudah tewas dan tidak akan mampu mengharungi cabaran kehidupan di masa mendatang.
Bagi sesetengah anak yang berjaya pula, ilmu yang ditimba itu tidak diamalkan sebaiknya bahkan ia begitu rapuh hilang daripada ingatan selepas berakhirnya peperiksaan atau pengajian. Semudah hilangnya nota-nota atau buku-buku rujukan dari pandangan mata.
Mungkin juga gejala-gejala seperti merasuah dan pecah amanah berlaku disebabkan kedangkalan ilmu atau hanya kelihatan pandai tetapi tidak beramal dengan ilmunya.
Inilah antara senario yang biasa berlaku dalam masyarakat kita. Roh ilmu itu tidak benar-benar meresap di dalam diri sejak kecil, kerana ilmu pengetahuan dicari bersandarkan matlamat-matlamat yang orientasinya kurang tepat - tetapi tidak salah.
Ilmu itu sebenarnya perlu dicari, dipelajari dan dihayati secara istiqamah. Bak kata pujangga, "gersang bumi tanpa hujan, gersang minda tanpa ilmu, gersang jiwa tanpa amal, gersang hati tanpa iman".
Sejak kecil lagi, anak-anak perlu dididik bahawa ilmu pengetahuan bukan hanya untuk dicari dan dipelajari, bahkan ia diamal dan diniatkan kerana Allah SWT. Menurut perspektif Islam, dengan cara itu dapat meningkatkan darjat hidup manusia di dunia dan akhirat.
Ibu bapa sebagai role model yang paling rapat dengan anak-anak wajar memberikan misalan terbaik dalam mendasari kaedah mengamalkan ilmu.
Cara paling mudah adalah untuk menunjukkan minat dan sokongan padu terhadap anak-anak. Contohnya, mengambil berat keperluan dan perkembangan pelajaran mereka dengan meluangkan masa membantu atau bertanyakan kerja rumah yang diberikan guru. Selain itu, mereka juga boleh dinasihati agar memelihara kemurnian ilmu untuk kebaikan di dunia dan akhirat.
Dalam hal beramal misalnya, ibu bapa boleh mengajak anak-anak mengerjakan solat pada awal waktu, tidak culas melaksanakan puasa sunat serta bertadarus bersama-sama. Ini merupakan contoh kaedah pengamalan ilmu yang diperoleh secara hands-on atau praktis secara langsung. Barulah ilmu itu tepat dengan sasaran "dari mata turun ke hati, lalu kekal tersemat di dalam jiwa dan pemikiran."
Dalam hal moral dan tatasusila, ibu bapa wajar menunjukkan contoh pekerti mulia seperti tidak merokok, menjaga percakapan daripada mengumpat atau menutur kata-kata kesat, menjaga adab-adab berjiran, dan sebagainya.
Dengan cara ini, anak-anak akan lebih jelas bahawa ibu bapanya tidak menunjukkan tindak-tanduk yang kontra dengan apa yang dipelajari di sekolah.
Kaedah-kaedah yang dicadangkan sebenarnya tidak sesukar mana dan memerlukan komitmen yang berterusan daripada ibu bapa.
Pokok pangkalnya, sekelumit contoh yang diberikan penulis di atas adalah diyakini mampu menjadi pencetus yang signifikan dalam menceritakan kepentingan mengamalkan ilmu kepada anak-anak.
Ia mampu menjadi pencetus terbaik bagi mereka menjiwai bidang-bidang ilmu yang akan diterokainya kelak bahkan memberikan pulangan lebih lumayan dan terkesan dalam membangunkan martabat anak-anak, ibu bapa, masyarakat, agama dan negara.
PENULIS ialah Pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.
[Utusan Online, 16 Julai 2009]
Thursday, July 16, 2009
Islam sebagai pilihan
Mesej daripada al-quran dan hadis Rasulullah SAW bebas daripada pemalsuan. Allah SWT berjanji untuk menjaga dan mengekalkan keadilan dan kesucian teks al-quran dan menjauhkannya daripada korupsi golongan yang membenci Islam.
‘Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.’ (Al-Hijr ayat 9)
Islam adalah versi lengkap sebuah kehidupan yang selari dengan kehendak semula jadi manusia, selari dengan kepercayaan beberapa orang nabi dan rasul seperti Nabi Nuh AS dan Nabi Ibrahim AS. Namun, kepercayaan para nabi ini telah diubah oleh pengikut-pengikut selepas itu sehingga menjejaskan kesucian kepercayaan itu.
Dari perspektif Islam, dunia bukannya tempat yang berdosa, justeru manusia lahir dalam keadaan bebas daripada membuat dosa.Tidak ada sesiapa pun yang bakal membawa dosa orang lain kerana dosa bukannya satu bentuk pewarisan.
Al-quran menyatakan setiap orang bertanggungjawab ke atas tindakannya. Islam mengesyorkan jalan tengah di antara memanjakan diri dan menyeksa diri. Tidak ada sesiapa pun yang dikecualikan, dipinggirkan, diberi keistimewaan tertentu atau dipilih. Tidak ada sesiapa yang membawa beban orang lain di atas prestasi mereka ketika hidup di dunia.
Al-quran menentang isme, menyerang kepercayaan triniti, mendedahkan penyelewengan dalam agama Yahudi dan golongan atheis. Islam memiliki pandangan sendiri terhadap sains dan akidah. Sebagai contoh, al-quran memberi penerangan yang memuaskan ke atas setiap fenomena yang berlaku.
‘Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.’ (Al-Mukminun ayat 14)
Al-quran berulang kali menekankan keperluan, kepelbagaian dan kepentingan mempelajari alam semesta dan sejarah untuk memahami tujuan penciptaan manusia. Islam bukan sekadar pemurnian agama-agama wahyu sebelum itu malah menyempurnakan kewujudan agama-agama tersebut. Islam menolak pendapat yang hanya satu kaum memonopoli satu-satu pegangan agama, sebaliknya bimbingan wahyu adalah bersifat umum dan untuk semua lapisan umur dalam kalangan manusia.
Wednesday, July 15, 2009
Penyelamat ketika bencana alam
Gempa bumi, banjir, serangan puting beliung, kebakaran dan tanah runtuh adalah mala petaka yang hendak dielakkan oleh semua orang. Walau bagaimanapun kita tidak boleh menolak kejadian-kejadian di luar jangka seperti ini kerana perubahan persekitaran termasuk perubahan cuaca sentiasa menyebabkan ada mala petaka yang besar.
Dalam keadaan tidak dapat mengelak, kita boleh menguruskan keadaan tersebut dan menyesuaikan diri. Bersedia dengan bencana alam semula jadi memberi erti yang berbeza-beza. Ada dua cara bagi anda untuk melibatkan diri ketika bencana seperti ini.
Pertama, menyediakan khidmat perancangan bencana dan kedua menjual peralatan yang berkaitan dengan bencana. Kedua-duanya ada potensi besar untuk dibuat keuntungan.
Perkhidmatan anda termasuk memberi perundingan kepada pelanggan untuk mengenal pasti ancaman ketika berlaku bencana dan menyediakan pelan tindak balas ketika berhadapan dengan situasi berkenaan, kemusiannya membuat deraf pelan tindakan sebagai langkah awal untuk bertindak.
Produk bisnes yang anda boleh sediakan ialah ubat kecemasan, enjin penjana elektrik, lampu kecemasan tahan lama, makanan kering dan air minuman.
Perkhidmatan dan produk anda ini boleh disasarkan kepada pemilik dan penyewa rumah, ahli perniagaan, badan korporat dan organisasi yang terlibat semasa bencana alam berlaku.
Keperluan untuk memulakan perundingan dalam bisnes ini ialah latihan kecemasan, latihan pengendalian ketika bencana, maklumat berkaitan bencana yang khusus dan kaedah pantas memberi tindak balas kepada bencana.
Biasanya mereka yang mahir dan pernah terlibat dengan pengendalian bencana akan meneroka bisnes ini. Dengan kepakaran dan kemahiran yang ada, peringkat permulaan ialah menyediakan profil lengkap kursus dan latihan yang anda dapat sediakan. Ketika setiap tahun berlaku banjir besar ketika ini, bisnes berkaitan bencana akan menjadi trend baru pada masa depan.
Tuesday, July 14, 2009
Sikap melampau undang bahaya
M. Manoharan ingin menjadi jaguh kepada semua kaum khususnya India. Beliau juga menuntut kesamarataan bagi semua kaum dalam semua perkara. Sudah tentu tindakannya tidak disenangi oleh ramai orang khususnya rakyat Malaysia yang memahami Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial.
M. Manoharan adalah sebahagian daripada pertubuhan haram Hindraf yang telah mengemukakan 18 tuntutan kepada kerajaan semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pelbagai isu yang berkaitan dengan masyarakat India di Malaysia diketengahkan merangkumi politik, ekonomi, pendidikan dan sosial. Namun, sebahagian besar tuntutan ini jika dipenuhi akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang bankrap dan paling miskin di Asia Tenggara.
Cuba kita lihat tuntutan keempat. Hindraf mendesak kerajaan memberi peruntukan sebanyak RM100 bilion bagi menambah sekolah Tamil dan membina semula 300 buah sekolah berkenaan yang ditutup sejak 50 tahun lalu kerana masyarakat India semakin berkurangan. Seterusnya tuntutan kesepuluh iaitu memberi pampasan sebanyak RM10 bilion bagi setiap kuil (jumlah semuanya 15,000 buah) yang didakwa dimusnahkan sepanjang 50 tahun lalu.
Jumlah pampasan yang diminta ialah RM150 bilion.
Dalam pakej rangsangan ekonomi negara, jumlah bajet yang diperuntukkan tidaklah sebanyak itu. Kenapa kerajaan perlu bersusah payah mengeluarkan wang yang banyak semata-mata memenuhi nafsu tamak sekelompok kaum minoriti di Malaysia?
M. Manoharan cuba menunjukkan bahawa beliau adalah juara kepada keadilan rakyat Malaysia tetapi melalui tuntutan Hindraf, dia menunjukkan tembelangnya diri yang sebenar. Pengkaji melihat adalah lebih baik bagi beliau melihat perkembangan yang sedang berlaku dalam kehidupan generasi muda masyarakat India Malaysia hari ini.
Belia dan remaja India Malaysia sering dikaitkan dengan gansterisme dan runtuh akhlak. Beliau patut menjadi juara dan jaguh bagi membaiki akhlak belia India supaya mereka dapat memberi fokus pada kehidupan yang lebih baik. Menuntut wang berbilion ringgit tidak akan menyelesaikan masalah malah menimbulkan kemarahan kepada orang lain.
M. Manoharan sedang tertekan kerana impiannya terlalu ideal hendak dicapai. Seseorang akan cepat kecewa dan marah apabila tidak mampu membezakan realiti dan fantasi. Masyarakat India Malaysia bernasib baik kerana diberi peluang untuk menjadi warganegara Malaysia selepas merdeka kerana tolak ansur orang Melayu. Sekiranya orang Melayu mengamalkan dasar perkauman yang melampau, sudah tentu M. Manoharan akan dihina dan dihalau keluar dari Malaysia.
Jadi, M. Manoharan perlu bijak menjaga mulutnya supaya kaum-kaum lain tidak terguris dan mengambil tindakan sendiri.
Monday, July 13, 2009
Islam pilihanku
Tahun: 2005
Penerbit: Karya Bestari Sdn Bhd, Shah Alam, Selangor.
Muka Surat: 240
Sebenarnya bukan senang bagi seseorang itu membuat keputusan untuk bertukar agama. Apatah lagi agama aal yang dianuti sudah sebati dalam diri. Pelbagai tentangan dan halangan terpaksa dihadapi demi membuktikan agama yang dipilih adalah agama yang sebenar-benarnya. Islam tidak pernah menggunakan sistem paksaan untuk menambah bilangan penganutnya tetapi sentiasa mengalu-alukan kedatangan saudara baru dengan hati yang terbuka. Ini dinyatakan dalam al-quran, ‘sesungguhnya tiada paksaan dalam agama’ (Al Baqarah ayat 256).
Islam Pilihanku adalah himpunan pengalaman beberapa individu yang telah memilih Islam sebagai agama pegangan. Ikuti kisah suka duka mereka sewaktu sebelum dan selepas memeluk Islam. Ada yang mendapat tentangan hebat daripada keluarga dan ada pula keluarga yang menerima dengan baik. Sesungguhnya Islam tidak pernah mengajar umatnya memutuskan ikatan silaturrahim, baik dengan yang bukan beragama Islam apatah lagi yang sudah Islam sejak azali.
Semoga apa yang dipaparkan dapat dijadikan pengajaran dan direnung bersama. Muhasabah diri supaya dijadikan pengajaran dan direnung bersama. Muhasabah diri supaya kita dapat menjadi umat Nabi Muhammad SAW yang tidak menderhaka pada agama-Nya. Pada yang sudah memilih Islam sebagai agama penyuluh hidup, syukur kepada Allah SWT. Sesungguhnya penghijrahan yang dilakukan bukan satu yang sia-sia. Di sebaliknya terdapat satu nikmat yang memang sudah dijanjikan.
Saturday, July 11, 2009
Natrum Sulphuricum
Fikiran: Tertekan; resah; muzik menyebabkannya sedih. Sangat marah; teruk waktu pagi.
Kepala: Pening; keliru dan kelihatan bodoh. Pening pukul 6 petang diikuti muntah dengan bau masam. Tekanan dalam dahi terutama selepas makan. Rasa berat.
Mata: Agak kabur; mata berair. Sakit pada sebelah petang bila membaca di bawah cahaya malap dengan berat kelopak mata. Mata sensitif dengan cahaya; kepala rasa berat. Mata kanan rasa terbakar; air mata meleleh keluar; penglihatan kabur. Mata melekat-lekat pada sebelah pagi. Kelopak mata gatal-gatal.
Telinga: Berdering-dering. Sakit menusuk dalam telinga kanan; menyucuk-nyucuk; melarat bila beredar dari tempat sejuk ke tempat panas.
Hidung: Berdarah semasa datang haid; silih berganti. Tersumbat, bersin dengan hidung berair.
Muka: Pucat lesi. Sakit dalam tulang zigoma kiri (tulang di sisi muka, bawah mata).
Mulut: Melecur dengan sakit terbakar di hujung lidah. Sakit gigi, lega dengan air sejuk. Mulut kering, haus dan gusi merah. Lelangit melecur, sensitif, susah hendak makan; lega dengan makanan sejuk. Banyak air liur selepas makan.
Kerongkong: Kering; tidak haus. Pagi berdehem dengan kahak. Tonsil bengkak. Ada ulser pada tonsil.
Perut: Sangat dahaga dengan ais atau air sejuk pada sebelah petang. Tidak tahan, mudah loya dan muntah sebelum mengambil makanan. Pengirisan mulut dengan tiba-tiba oleh air liur yang cair, rasa loya (waterbrash) dengan kawasan celah kangkang rasa menyucuk-nyucuk pada otot. Loya tidak lega tanpa muntah, garam atau air masam.
Abdomen: Menyucuk-nyucuk dalam bahagian hati dan sensitif apabila berjalan di tempat terbuka; atau dengan perasaan tertekan. Kawasan hati amat sensitif dengan sentuhan, berjalan-jalan, tarik nafas atau terhantuk tiba-tiba. Sakit terkoyak-koyak di sekitar pusat dengan kentut, sebelum sarapan pagi, lega dengan makan. Selalu kentut, berguling dan menderam, abdomen sebelah kanan sempit yang sebabkan tersangat sakit, lega dengan kentut. Radang pada celah kangkang kanak (typhlitis). Menusuk-nusuk sakit di sekeliling abdomen sebelah kanan dengan loya.
Najis: Cirit-birit; teruk dengan keadaan lembap; sebelah pagi; selepas makan sayur dan makanan berkanji; dalam udara sejuk sebelah petang. Najis cair dan kuning. Najis keras, bersimpul-simpul, bercampur darah, dubur menyucuk-nyucuk, kerap bersama sedikit haid.
Seks lelaki: Kuat seks sebelah petang; batang zakar tegak pada sebelah pagi. Zakar gatal-gatal.
Seks perempuan: Haid lewat dan dan sedikit. Hidung berdarah sebelum datang haid.
Pernafasan: Tercungap-cungap semasa berjalan; lega dengan rehat sekejap. Kerap batuk dengan sedikit kahak, jika batuk semasa berdiri pesakit akan rasa sakit menyucuk-nyucuk dalam dada kiri, diikuti semput. Batuk yang kering, teruk selepas bangun pagi; sebelah malam, lega bila duduk dan mengurut dada. Tekanan pada dada seolah-olah ada benda keras. Tekanan pada sebelah kiri; teruk bila bergerak dan ditekan; menyucuk-nyucuk.
Kencing: Sedikit; panas semasa kencing; gelap dan kerap; agak susah pada sebelah malam.
Kakitangan/Belakang: Sakit lebam-lebam pada kawasan kecil di belakang badan. Rasa terkoyak-koyak di sendi. Tangan dan lengan rasa menyucuk-nyucuk dan berdenyut-denyut; rasa seperti hendak lumpuh. Pinggul kanan sakit; teruk kalau tunduk, bangun dari tempat duduk atau berguling-guling di atas katil. Bila berjalan, pinggul kiri rasa menyucuk-nyucuk hingga tidak dapat berjalan.
Umum: Terlalu penat; letih; sendi tertentu haus terutama lutut. Serangan tiba-tiba. Sakit merentasi abdomen, bahagian tepi tubuh dan belakang.
Kulit: Gatal, lembap dan berdarah bila digaru. Gatal kalau tidak pakai baju. Ada benjolan-benjolan merah seperti ketuat di seluruh badan.
Demam: Sejuk dan menggigil sebelah petang. Sejuk dalam badan dengan rasa mengantuk dan menguap. Timbul kemerah-merahan pada muka.
Melarat: Udara lembap; perubahan cuaca; baring sebelah kiri; pagi dan senja.
Lega: Tempat terbuka dan udara kering; selepas makan; pergerakan; malam.
Patologi: Gastrik; masalah hati; alahan asid urik; kencing manis; kahak hijau pekat; influenza; sakit kepala kerana sembelit; batuk demam kuning; cirit-birit sebelah pagi; demam dengan selesema; haid dengan cirit-birit; hidung berdarah; perut kembung (kolon); konjuktivitis (kronik); senak perut.
Thursday, July 09, 2009
Statistik perkahwinan dan perceraian seluruh negara 2007-2008
Negeri/Tahun | Kahwin | Cerai | ||
2007 | 2008 | 2007 | 2008 | |
Perlis | 2,884 | 1,768 | 309 | 458 |
Kedah | 20,889 | 14,750 | 2,188 | 2,407 |
Pulau Pinang | 4,458 | 4,388 | 917 | 937 |
Perak | 11,220 | 11,778 | 1,551 | 1,951 |
Selangor | 14,817 | 13,481 | 3,722 | 3,558 |
Kuala Lumpur | 4,507 | 5,502 | 1,459 | 1,444 |
Negeri Sembilan | 5,230 | 5,271 | 907 | 1,054 |
Melaka | 3,559 | 4,084 | 758 | 889 |
Johor | 13,241 | 15,932 | 1,931 | 2,329 |
Pahang | 9,519 | 11,122 | 1,502 | 1,719 |
Terengganu | 8,953 | 10,498 | 1,537 | 1,341 |
Kelantan | 17,201 | 14,699 | 2,257 | 2,266 |
Sarawak | 5,393 | 5,149 | 910 | 1,076 |
Sabah | 10,144 | 11,327 | 1,040 | 746 |
Labuan | 486 | 565 | 63 | 114 |
Jumlah | 132,511 | 130,314 | 21,051 | 22,289 |
Sumber: Bahagian Kesuma (Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid), Jakim
Wednesday, July 08, 2009
PPSMI dimansuh
PUTRAJAYA 8 Julai - Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan.
Keputusan Kabinet itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.
- Utusan
Interaksi sosial dan persediaan membaca
Pramembaca termasuk kemahiran asas membaca seperti perbendaharaan kata, sintaks, struktur naratif dan dapat memahami bahasa untuk komunikasi, kemahiran khusus yang meningkatkan keupayaan mengaitkan bunyi dengan gabungan perkataan.
Kanak-kanak yang diajar mengenal huruf dan kemahiran membaca yang lain sebelum masuk ke alam persekolahan formal biasanya menjadi pelajar yang pintar.
Interaksi sosial dapat menggalakkan literasi yang lebih pantas. Kanak-kanak cenderung menjadi pembaca dan penulis yang baik sekiranya ibu bapa menyediakan ruang untuk kanak-kanak menambah perbendaharaan kata dengan banyak bertanya dan berbual-bual. Oleh kerana kanak-kanak biasanya lebih rapat dengan ibu, pengaruh ibu membantu kanak-kanak mengaitkan kebanyakan peristiwa dengan insiden atau kejadian yang dilalui bersama.
Tuesday, July 07, 2009
Perkembangan bahasa kanak-kanak
Perkembangan pesat bahasa ini disumbangkan oleh kepesatan minda kanak-kanak mengingat makna perkataan baru selepas mendengarnya bagi kali pertama atau bercakap sekali dua dengan rakan-rakannya. Walaupun kadang-kadang sebutan sesuatu perkataan kurang tepat, ia diperbaiki dengan teguran dan kekerapan bercakap dengan orang dewasa seperti ibu, bapa atau adik-beradik saudara.
Kanak-kanak mula bercakap menggunakan ayat yang ringkas dan mudah. Jawapan mereka juga mudah dan singkat. Semakin lama bercakap, mereka dapat memahami sebab dan akibat, kerana perkembangan mental yang bertambah baik. Sebutan dan tatabahasa yang baik menjadikan orang dewasa dapat memahami bahasa mereka. Jika tidak difahami, mereka cuba menerangkannya dengan lebih jelas.
Monday, July 06, 2009
Perlembagaan memperuntukkan Al-Quran dan Hadis undang-undang tertinggi?
Status kebebasan agama di Malaysia merupakan satu isu kontroversi. Islam merupakan agama rasmi dan Perlembagaan Malaysia meletakkan sekatan terhadap kebebasan beragama, paling ketara penyebaran agama selain Islam kepada Muslim. Bagaimanapun, persoalan sama ada Malaysia merupakan negara Islam atau sekular masih belum berjawab. |
Saya meneliti Perlembagan dan mendapati tafsiran sebenar Perlembagaan Malaysia menunjukkan Al-Quran dan Hadis adalah sebenarnya undang-undang tertinggi di Malaysia, dan mana-mana undang-undang, perjanjian atau perbuatan bercanggah dengannya adalah tidak sah dan menjadi terbatal.
Namun itu kenapa ia menjadi sebaliknya? Kenapa pelaksanaan Al-Quran dan Hadis sebagai undang-undang tertinggi diabaikan dan disisihkan? Ini kerana pelaksanaan undang-undang berasaskan fahaman terpesong dari maksud sebenar Perlembagaan. Mereka sekadar menafsirkan Perlembagaan menyatakan Islam agama rasmi di Malaysia. Ini adalah penafsiran yang terpesong. Terdapat beberapa faktor dan antara fahaman terpesong kerana pengamal undang-undang tidak memahami definisi Islam yang sebenar, dan isu tidak pernah dicabar di mahkamah.
Sekarang saya kemukakan alasan-alasan seperti di bawah.
Perkara 4 (1) menyatakan Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi, dan mana-mana undang bertentangan dengannya menjadi terbatal. Undang-undang yang boleh menjadi terbatal dan tidak sah ialah semua undang-undang selain Perlembagaan, termasuk Kanun Jenayah dan peraturan kecil dan sebagainya. Kesemuanya mesti tidak bercanggah dengan Perlembagaan.
Perkara 4 (1) Perlembagaan ini ialah undang-undang tertinggi Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.
Bagi memudahkan pemahaman, kita anggap Perlembagaan seumpama bapa dan undang-undang selainnya seumpama anak. Oleh itu arahan anak tidak boleh mengatasi arahan bapa. Persoalan lain sama ada badan Perundangan (Peguam Negara), Kehakiman (Ketua Hakim Negara), Eksekutif (Perdana Menteri), YDPA/Sultan, dasar-dasar parti politik, dan semua badan/individu tertakluk di bawah Perlembagaan? Ya! Kesemuanya tertakluk di bawah Perlembagaan. Sebarang undang-undang, perjanjian atau perlaksanaan bertentangan dengannya menjadi terbatal dan tidak sah. Seterusnya Perlembagaan memperuntukan Islam ialah agama bagi Persekutuan.
Perkara 3. (1) Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.Perkara 11 (1) memperuntukkan Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.
Alasan ringkas.
Berdasarkan di atas, alasan ringkas ialah Al-Quran dan Hadis undang-undang tertinggi kerana:
Isu: Samada undang-undang Al-Quran dan Hadis adalah undang-undang tertinggi?
Alasan:
1. Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi
2. Undang-undang tertinggi menyatakan Islam agama Persekutuan
3. Islam agama Persekutuan bermaksud Pengabdian Persekutuan
4. Pengabdian Persekutuan bermaksud Persekutuan mesti membenarkan kesemua ibadah mengikut Al-Quran dan Hadis
Rumusan:
Ini bermaksud Perlembagaan mematuhi kesemua ibadah terkandung di dalam Al-Quran dan Hadis, termasuk mengutamakan perlaksanaan undang-undangnya. Oleh itu ini bermaksud undang-undang Al-Quran dan Hadis adalah tertinggi.
Kenapakah salah faham ini terjadi? Pertamanya penjajah memahami Islam seperti agama lain, iaitu mendefinisikan Islam sekadar syahadah, bersolat, membayar zakat, berpuasa dan mengerjakan haji. Pemahaman ini kemudian diwariskan kepada pengamal undang-undang, dan akhirnya menjadi undang-undang yang mempengaruhi jentera kerajaan dan masyarakat Islam keseluruhan. Ini adalah fahaman ke atas Islam yang sangat jauh terpesong.
Sumber: Islamic-ebook@ yahoogroups.com
Saturday, July 04, 2009
Kali Sulphuricum
Kepala: Sakit kepala rheumatik, mula pada sebelah petang dan dalam bilik panas. Kelemumur mengelupas.
Telinga: Discaj kekuningan; otitis media.
Hidung: Sejuk dengan discaj kekuningan dan berlendir. Hilang daya bau.
Muka: Rasa sakit dalam bilik panas, lega dalam bilik sejuk atau tempat terbuka. Kanser kulit (epithelioma).
Perut: Lidah berbalut kuning dan licin. Rasa hambar. Gusi sakit. Rasa dahaga, loya dan muntah. Rasa ada benda tertentu dalam perut. Cirit-birit. Sembelit dengan buasir.
Seks lelaki: Radang buah zakar.
Seks perempuan: Haid terlalu lewat, melekat dengan rasa berat dalam abdomen.
Pernafasan: Bunyi meretih dari paru-paru yang agak kasar. Bunyi mukus berdetar-detar dalam dada dengan sesak nafas dan batuk-batuk. Batuk teruk di sebelah petang dan persekitaran yang panas. Serak-serak dan batuk. Radang tekak.
Kakitangan: Sakit di leher, belakang dan kaki tangan; teruk dalam bilik hangat. Sakit bila digerakkan.
Demam: Psoriasis. Kudis; panas terbakar, gatal ruam dan jerawat pecah. Ruam nettle (tompok merah pada kulit seperti kena miang). Kanser kulit. Kudis selepas campak.
Melarat: Petang, bilik hangat.
Lega: Tempat sejuk dan ruangan terbuka.
Patologi: Abses (darah kotor); batuk; kahak; campak (mencegah dari berkudis); cirit-birit sebelah malam; discaj berair kuning; kembung perut; psoriasis; lidah berselaput kuning; tahi mata kuning; tahi telinga kuning kehijauan dan melekat-lekat; keputihan; haid.
Friday, July 03, 2009
Pemandu perkhidmatan bas RapidKL kurang sopan santun
"Bang, bas ni gi KL ke?"
Saya terkilan dengan sikap pemandu bas RapidKL yang tiada budi bahasa kerana sebagai orang Melayu, sikapnya memang kurang ajar. Walau perkhidmatannya efisien, tiada makna jika nilai murni seperti budi bahasa diketepikan.
MARZIANA MUHAMAD, Shah Alam.
[Berita Harian Online, 2 Julai 2009]
Thursday, July 02, 2009
Mengurus konflik DAP Kedah
[Bagaimanapun operasi merobohkan premis berkenaan tidak ada kena mengena dengan penularan wabak selesema babi ketika ini namun ia mengingatkan kita kepada virus Nipah di Bukit Pelanduk sepuluh tahun yang lalu]
Kita tidak dapat mengenal pasti dengan tepat punca DAP Kedah mengambil tindakan demikian kerana mereka sering meluahkan kekecewaan sejak berada di bawah pimpinan menteri besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak khususnya apabila kerajaan negeri menaikkan kouta 50 peratus kepada pembeli rumah bumiputera.
Mencipta isu sangat mudah. Barangkali ada sebab lain yang disembunyikan seperti wakil DAP yang tidak diberi muka dalam kerajaan Pakatan, tidak diberi ruang yang lebih besar dalam proses membuat keputusan ataupun tidak diberi jawatan utama. Jika alasan keluar Pakatan semata-mata kerana pusat sembelih babi dirobohkan, ia adalah keputusan politik yang sangat lemah dan dilihat tidak matang, jadi bagaimana hendak menguruskan isu-isu lain yang lebih besar?
Lebih baik kita biarkan ahli atau kumpulan politik ini yang tidak melihat jauh dan belum matang dalam membuat keputusan serta menguruskan krisis tenggelam dan hanyut dalam kolam perkauman sempit yang dibinanya sendiri.
Di bawah menteri besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, beberapa polisi berkaitan taraf hidup dan kepentingan umat Islam diperkukuhkan supaya wujud keadilan sosial dalam negeri yang majoritinya umat Islam bangsa Melayu. Kekayaan negeri Kedah dimonopoli oleh masyarakat bukan Islam khususnya Cina yang memenuhi kawasan bandar. Oleh kerana kawasan tanah di Kedah masih luas dan banyak kampung, proses perbandaran dan migrasi desa-bandar berlaku dengan sangat perlahan.
Politik PAS dan DAP sangat jauh berbeza. Politik Islam dan politik bukan Islam juga mempunyai tujuan yang berbeza. Dalam politik Malaysia, persamaan di antara PAS dan DAP ialah berhadapan dengan Barisan Nasional dan menewaskannya dalam pilihan raya.
Politik Islam ialah dakwah dan tarbiyah, menyeru orang ramai kepada meletakkan Allah SWT sebagai rabb, Tuhan yang disembah. Ia tidak meletakkan wang, kuasa atau kedudukan exco sebagai tujuan. Program dan aktiviti yang dilaksanakan dari semasa ke semasa mesti menepati syarak dan mengajak orang ramai untuk melaksanakan sistem Allah SWT, mempersaudarakan umat Islam dan menyemarakkan rasa kehambaan kepada Allah SWT.
Politik Islam juga menggunakan kuasa sebaik-baiknya untuk menunaikan keperluan fardhu ‘ain dan fardhu kifayah dalam masyarakat. Sebagai contoh, taraf hidup dan tahap pendidikan masyarakat Islam masih belum maju, jadi tanggungjawab melaksanakan kedua-dua fardhu ini terletak pada kepimpinan menteri besar supaya masyarakat Islam kuat dalam ekonomi dan pada masa yang sama memiliki ilmu yang dapat memperkukuh kehidupan mereka.Walaupun kedua-dua aspek ini mengambil masa untuk dilihat keberkesanannya, ia boleh dicapai jika asasnya dibentuk dan dicanai dengan teliti. Kita ingin sekali melihat umat Islam Kedah menguasai ekonomi dan memiliki modal insan yang cemerlang dalam semua bidang utama pentadbiran negeri.
Politik bukan Islam pula ialah politik dunia. Konsepnya sangat terbatas pada apa-apa sahaja untuk kehidupan dan memutuskan sebarang hubungan dengan kehidupan selepas mati. Oleh kerana itu, DAP yang mengamalkan politik bukan Islam bermati-matian berjuang kerana pusat sembelih babi dan membantah kouta 50 peratus bumiputera. Mereka akan rasa sangat megah dan bangga apabila dapat berbeza pendapat dengan pemimpin Pakatan Rakyat kedah dan puas hati dengan tindakan berkenaan.
Sejarah tamadun Islam yang berkembang dan sampai ke Malaysia adalah kerana kuatnya pengaruh dan peranan politik Islam. Saudagar, pendakwah dan perajurit menjelajah dua per tiga dunia bagi melebarkan pengaruh agama Islam. Kenapa mereka begitu bersungguh-sungguh? Apa yang mendorong mereka untuk bertindak? Kenapa kubur Saad bin Abi Waqas berada di China? Banyak lagi persoalan yang boleh kita fikirkan jika hendak melihat sumbangan dan peranan politik Islam ke atas masyarakat.
Umpama pepatah, ‘datang tidak dijemput, pergi tidak disuruh,’ DAP Kedah tidak memberi makna apa-apa kepada masyarakat negeri Kedah. Jika sudah naik tocang, barangkali golongan ini tidak kekal lama dalam politik semasa kerana pengundi hari ini semakin pintar dan dapat berfikir dengan lebih baik.
Politik ugut kerana kecewa semakin tidak relevan kerana sebarang bentuk kecewa boleh diurus dengan baik. Banyak kaedah boleh diguna pakai oleh DAP Kedah jika mereka melihat krisis sebagai peluang. Antaranya ialah berunding, mewujudkan tawaran munasabah atau kompromi supaya imej dan maruah parti itu tidak tercemar dan tercela.
Dari kaca mata pengundi muda, DAP Kedah mengamalkan politik bukan Islam yang langsung tidak memberi faedah kepada perpaduan rakyat Kedah. Kelaku mereka sangat bertentangan dengan kenyataan Lim Guan Eng iaitu “Saya ingin mencontohi Khalifah Umaiyah, Khalifah Umar Abdul Aziz dalam gerak kerja saya.”
Wednesday, July 01, 2009
Erti hidup kepada Michael Jackson
MJ bakal menjadi sebahagian daripada lagenda artis dunia moden kerana jualan album-albumnya yang berjumlah jutaan unit. Kita tidak pernah mendengar artis tempatan negara kita dapat menjual album sebanyak itu kerana pasaran album di Malaysia adalah kecil berbanding MJ di mana pasarannya adalah seluruh dunia hingga ke pekan kecil di luar banda pun akan ada kaset MJ. Walaupun albumnya tidak banyak namun jangka hayat setiap album adalah panjang.
MJ terkenal kerana mencipta tarian unik yang dipanggil moonwalker dan menjadi tanda pengenalan persembahannya. Tarian ini sering ditiru sehingga terdapat kelas khusus untuk menggayakannya. Selain tarian, persembahan MJ ditandai dengan gerakan yang tepat, bertenaga dan semangat pasukan yang mantap.
Di televisyen, Internet dan surat khabar, kita dapat membaca sejarah hidup artis ini. Menariknya ialah kesediaan MJ mengucap dua kalimah syahadah dan menjadi seorang muslim. Walaupun MJ digilai ramai golongan muda-mudi, tindakannya memilih Islam sebagai cara hidup tidak pula menjadi ikutan golongan tersebut. Dari dulu hingga sekarang, tidak terdengar berbondong-bondong peminatnya yang mencari imam dan masjid untuk mengucapkan kalimah syahadah.
Lebih misteri lagi ialah kita tidak dapat melihat bagaimana kehidupan MJ selepas bergelar muslim. Adakah dia menunaikan solat lima waktu sehari semalam? Adakah dia menghadiri sebarang kelas agama untuk menambah kefahaman agamanya? Apa yang berlaku kepada anak-anaknya, adakah mereka juga menjadi seorang muslim? Persoalan-persoalan ini akan terus menjadi misteri jika kehidupan peribadinya tidak didedahkan kepada umum.
Setiap kejadian ada hikmahnya. MJ menerima Islam sebagai cara hidup setelah yakin dengan pilihannya. Walaupun sukar menguruskan kehidupan baru, MJ sama seperti saudara baru yang lain iaitu beliau perlu berusaha untuk memahami Islam supaya hayatnya akan bermakna. Lahir sebagai seorang kristian dan mati sebagai seorang Islam adalah peristiwa yang sangat menakjubkan, peristiwa yang menunjukkan kasih dan sayang Allah SWT kepada seorang hamba-Nya. MJ bertuah kerana dipilih Allah SWT untuk menerima limpahan rahmat dan hidayah.
Selain MJ, beberapa artis ternama seperti Madonna dan Tom Cruise juga memilih cara hidup masing-masing dalam beragama. Selebriti yang dilimpahi kemewahan hidup tidak kisah dengan rumah dan kereta yang mahal kerana mereka mampu membelinya. Namun untuk mendapat ketenangan jiwa, wang berjuta-juta tidak dapat membeli ketenangan yang diimpikan. Mereka perlu mencarinya sendiri dengan mengamalkan prinsip dan amalan agama berkenaan.
Bergerak dari satu agama ke satu agama yang lain adalah biasa. Namun setelah berjumpa dengan Islam, kebanyakannya akan berhenti di situ. Mereka tidak lagi mencari agama lain. Justeru dapat disimpulkan bahawa kembara hidup seseorang artis bukanlah menjadi penghibur kerana diri mereka sendiri yang sebenarnya perlukan hiburan. Dan hiburan yang mereka cari hakikatnya berada dalam hidup yang beragama.