Kaki kita sentiasa digunakan untuk bergerak ke sana-sini, berlari, menyepak atau menekan sesuatu. Kaki juga yang menjadi penghubung dari satu tempat ke tempat lain. Kaki yang baik adalah kaki yang sentiasa dijaga. Untuk menjaga kaki ini, Sazani, seorang yang cacat penglihatan mencari kerja dengan mengurut kaki pelanggan yang datang ke pusat rawatan badan di Brickfields.
Kemahiran mengurut kaki yang ada pada Sazani sangat memuaskan hati ramai pelanggan. Ada di antara mereka yang telah dua tahun mendapatkan khidmat beliau kerana lenggok dan sentuhan tangannya sangat serasi.
Sazani mendapat latihan ini di Persatuan orang Buta Malaysia (MAB) dan dari semasa ke semasa berusaha meningkatkan kemahirannya mengurut dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
Beliau tidak sahaja mengambil upah mengurut di situ, sebaliknya ada pelanggan yang meminta beliau ke hotel. Di situ bukan sahaja seorang pelanggan, malah dua atau tiga orang. Biasanya Sazani mengenakan bayaran RM40 hingga RM50 seorang. Jika ada tiga orang, wang yang diperolehi sudah cukup untuk belanja makan anak-beranaknya selama seminggu.
Sazani bercita-cita hendak memiliki premis perniagaan sendiri supaya dapat berdikari. Sehingga kini dia masih mengumpulkan wang untuk merealisasikan cita-citanya itu.
No comments:
Post a Comment