Penulis: Mohammad Lili Nur Aulia
Tahun: 2008
Penerbit: Alam Raya Enterprise, Kuala Lumpur.
Muka Surat: 75
Buku kecil ini memberi manfaat yang sangat besar kepada kader-kader dakwah pada hari ini yang mahu mengenali peribadi Hasan al Banna semasa bersama keluarganya. Walaupun beliau diangkat sebagai tokoh pembaharu zaman, kisah keluarganya jarang didengar kerana rujukan yang terbatas. Sumber yang paling hampir dengan tarbiyahnya ialah tiga orang anaknya iaitu Roja’, Saiful Islam dan Wafa, yang mendapat bimbingan secara langsung. Petikan-petikan kenangan anak-anaknya yang dipersembahkan melalui buku ini boleh menjadi contoh kepada kader-kader dakwah untuk meletakkan diri secara lebih tepat bagi menunaikan amanah keluarga dan dakwah.
Hasan al Banna sedar bahawa ayah adalah orang yang penting dalam membangunkan umat kerana jika ayah berjaya menunaikan misi keluarganya, struktur umat akan kukuh. Penulis buku ini memetik kisah Khalifah Umar al Khattab yang bertemu seorang lelaki yang mengadu anaknya telah menderhaka. Lalu Khalifah Umar memanggil anak lelaki tersebut dan mengingatkannya tentang bahaya menderhaka kepada orang tua.
Ketika ditanya sebab menderhaka, anak itu menjawab, ‘Wahai Amirul Mukminin, tidakkah seorang anak mempunyai hak yang harus ditunaikan oleh orang tuanya?’
‘Ya’, jawab Khalifah Umar.
‘Apakah itu?’ tanya anak.
‘Ayah wajib memilih ibu yang baik untuk anak-anaknya, memberi nama yang baik dan mengajar al-quran kepadanya’, jelas Khalifah Umar.
Lantas si anak menjawab, ‘Wahai Amirul Mukminin, tidak ada satu pun daripada tiga perkara itu yang ditunaikan oleh ayahku. Ibuku Majusi, namaku Ja’lan dan aku tidak pernah diajarkan membaca al-quran.’
Khalifah Umar lantas menoleh ke arah ayah anak itu dan berkata, ‘Engkau datang mengadukan kederhakaan anakmu, ternyata engkau yang menderhaka kepadanya sebelum dia menderhaka kepadamu. Engkau telah berlaku tidak baik terhadapnya sebelum dia berlaku tidak baik kepada engkau.’
Penulis buku hendak menceritakan bagaimana Hasan al Banna memilih calon isteri kepada enam orang anaknya- Wafa, Ahmad Saiful Islam, Tsana, Roja’, Halah dan Istisyhad. Didikan Hasan al Banna dirangkum dalam 31 situasi seperti makan bersama, pengurusan wang secara harian, mingguan dan bulanan, menemankan anak-anak semasa bermain dan kaedah hukuman dijatuhkan ke atas anak-anaknya.
Beliau juga sangat mengambil berat perkembangan setiap orang anaknya kerana bagi beliau, anak-anak adalah pelaburan besar untuk dakwah. Dokumentasi maklumat semua anaknya disusun satu per satu yang merangkumi: tarikh dan sejarah kelahiran, nombor kelahiran, jadual pemberian ubat dan makanan, surat keterangan doktor, keterangan atau catatan mengenai keadaan penyakit secara terperinci, ijazah anak-anak, catatan prestasi di sekolah dan hal-hal lain.
Setiap orang anak Hasan al Banna mempunyai catatan masing-masing. Maklumat seperti keterangan pengambilan ubat, dos ubat dan cara pengambilan, semuanya dilaporkan dengan lengkap. Dalam pendidikan, beliau mencatatkannya sendiri. Contohnya, ‘Saif perlu peningkatan dalam... Wafa perlu dibantu dalam mata pelajaran...’
‘Cinta di rumah Hasan Al Banna’ telah menyingkap pembentukan watak Hasan al Banna sebagai kader dakwah yang mempunyai matlamat hanya untuk Allah SWT. Kemampuan kepimpinannya tidak dapat dinafikan justeru dia digelar ‘manusia Rabbani.’
Semasa menyampaikan khutbah pada tahun 1946 bagi memperingati seorang kader dakwah Ikhwan Muslimin yang bernama Mushtafa Kamil, beliau mengatakan, ‘Pemimpin itu ada tiga kategori: pemimpin yang mencetak dirinya, pemimpin yang diciptakan zuruuf (keadaan) dan pemimpin yang diciptakan oleh Allah SWT.’
Ketika diajukan soalan kepada Saiful Islam di manakah kategori ayahnya, beliau berkata, ‘Pada pendapat saya, ayah adalah pemimpin daripada kategori yang ketiga.’
No comments:
Post a Comment