Sunday, August 23, 2009

Perjuangan Umno sia-sia apabila hak orang Melayu makin terhakis

oleh Tan Sri Sanusi Junid

Akta Lucut Kerakyatan 'ajar' pihak pertikai keistimewaan Raja, Bumiputera


Selepas British dengan pihak sekutunya memenangi Perang Dunia Kedua, maka keghairahan untuk meningkatkan kuasa penjajahan di seluruh dunia bertambah. Pihak British umpamanya sudah berhasrat untuk mewujudkan gagasan Malayan Union di Semenanjung Tanah Melayu.

Pada waktu itu, orang Melayu telah bangkit menentang gagasan Malayan Union dan menubuhkan Umno (11 Mei 1946).

Setelah melihat bagaimana Jepun, satu bangsa dari timur dan bukan berasal Eropah menduduki Malaya dan menundukkan British pada peringkat awal peperangan, maka bibit inginkan kemerdekaan telah tersemai di hati sanubari orang Melayu.

Apabila perpaduan Melayu sudah kukuh untuk memperjuangkan kemerdekaan, maka orang keturunan Cina dan India pun menubuhkan parti MIC (Ogos, 1946) dan MCA (27 Februari 1949) untuk bersama-sama dengan Umno, memperjuangkan kemerdekaan melalui parti Perikatan yang dianggotainya.

Antara 1946 dan 1951 ada dua aliran pemikiran di dalam Umno yang boleh dipilih untuk menuju kemerdekaan. Tetapi niat untuk merdeka tetap ada pada semua pihak. Malah, pihak komunis pun telah berhasrat untuk menjadi juara kemerdekaan dengan cara bersenjata.

Dua aliran pemikiran telah membara di kalangan pemimpin Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan bagi Malaya. Aliran pemikiran pertama ialah seperti perjuangan Umno yang mahu memerdekakan Malaya sebagai sebuah Negara Persekutuan yang demokratik dengan sistem Raja Berperlembagaan. Aliran pemikiran kedua ialah dengan cara bergabung dengan Indonesia dalam apa yang dinamakan di Malaya sebagai 'Melayu Raya' dan di Indonesia disebut 'Indonesia Raya'. Gagasan ini merangkumi, selain Malaya dan Indonesia, termasuk juga negeri dan wilayah lain dalam dunia Melayu di Nusantara.

Rancangan ini dipelopori di Indonesia oleh tokoh seperti Sukarno dan Muhammad Hatta, sementara di Malaya pula idea ini didukung, antara lain, oleh tokoh seperti Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Ahmad Boestamam dan Burhanuddin Al-Helmi yang ditemui oleh Sukarno dan Hatta di Taiping pada waktu Sukarno dan Hatta singgah dalam perjalanan dari Kemboja ke Aceh. (Rujukan: Memoir Dr. Soeharto doktor peribadi Sukarno dan bukan Presiden Suharto).

Tujuan Sukarno dan Hatta ke Aceh ialah untuk meyakinkan pemimpin Aceh supaya tidak menerima tawaran kemerdekaan oleh Belanda kepada Aceh kerana kemerdekaan Aceh secara terpisah dari Indonesia, hanya akan memanjangkan tempoh penjajahan Belanda ke atas Indonesia dan ia akan menghalang rancangan penubuhan Melayu Raya.

Oleh kerana rancangan penubuhan Melayu atau Indonesia Raya inilah maka Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan Indonesia.

Empat pemimpin Aceh daripada kalangan ulama yang terdiri daripada Tengku Muhammad Dawud Beureu-Eh, Tengku Haji Hasballah Inderaputi, Tengku Haji Hassan Keurung Kale dan Tengku Haji Jakfar Siddiq Lamjabat telah menyokong gagasan untuk menyatupadukan umat Melayu Islam di Nusantara dan sanggup menolak tawaran kemerdekaan oleh Belanda untuk Aceh berjuang bersama dengan wilayah Indonesia yang lain menuju kemerdekaan.

Persatuan Ulama Seluruh Aceh (Pusa) di bawah pimpinan Tengku Muhammad Dawud Beureu-Eh dan tiga ulama tadi sudah bersetuju menjadi sebahagian daripada Indonesia bersyaratkan:

· Indonesia dijadikan sebuah Persekutuan dan bukan sebuah Republik,
· Indonesia berdiri sebagai sebuah negara Islam, dan

· Aceh dibenarkan terus berautonomi dalam kegiatan ekonominya.

(Rujukan: Biography Tengku Muhammad Dawud Beureu-Eh oleh Mohd Nur El Ibrahimy dan wawancara dengan beliau)

Tidak terlaksananya janji inilah yang menyebabkan keadaan politik di Aceh terus bergolak untuk kesekian lamanya.

Empat tokoh Melayu yang berjumpa dengan Sukarno dan Hatta di Taiping ialah pemimpin Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Nama 'Melayu Malaya' telah digunakan untuk membezakan antara Melayu Semenanjung dengan Melayu di Indonesia.

Sukarno memberitahu empat pemimpin di Aceh tadi bahawa PKMM di Malaya juga sudah setuju untuk Malaya tidak merdeka secara terpisah daripada Melayu Raya.

Apabila Umno mengisytiharkan hasrat untuk memperjuangkan kemerdekaan Malaya secara tersendiri, pihak PKMM telah menarik diri daripada Umno kerana perjuangan Umno akan mewujudkan negara Persekutuan yang beraja dan bukan sebuah republik.

Pihak komunis pula terus berjuang menentang British pada mulanya dan kemudian menentang pemerintah Malaya yang merdeka sehinggalah tamat darurat.

Parti PKMM telah diharamkan oleh penjajah British kerana berhaluan kiri. Tokoh PKMM kemudian muncul semula dalam gelanggang politik melalui Parti Buruh aliran sosialis di bawah pimpinan Ahmad Boestamam, Parti Islam di bawah pimpinan Dr Burhanuddin Al Helmy. Ada sebuah parti lagi yang bersifat nasionalis yang dipimpin oleh tokoh keturunan Indonesia bernama Persatuan Melayu Semenanjung (PMS) yang dipimpin Bung Kahar dan Setiausaha Agungnya, Bung Isa.

Parti PMS diharamkan ketika konfrontasi Indonesia kerana mereka menyebelahi Indonesia dan beberapa orang pemimpin mereka telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Malah, ada rancangan untuk membunuh Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Lee Kuan Yew dalam jangka masa peristiwa konfrontasi.

Selepas Malaya merdeka perlawanan debat antara sejarawan Melayu ialah siapalah pejuang kemerdekaan yang sebenar. Walaupun kemerdekaan yang dicapai ialah mengikut model Umno, tetapi PKMM tetap mendakwa sumbangannya cukup besar dalam menghembus semangat merdeka.

Terbukti di dalam sejarah bahawa sumbangan PKMM untuk menghembuskan semangat kemerdekaan adalah besar, tetapi Umno lah dan bukan PKMM yang memerdekakan Malaya. Dakwaan sumbangan PKMM ini dibuat oleh pengarang di kalangan keluarga mereka.

Rakyat Malaya tidak pernah terfikir mengenai dakwaan Chin Peng, di dalam bukunya, bahawa beliau juga penyumbang kepada kemerdekaan Malaya. Dakwaan Chin Peng dan penyokongnya mudah ditangkis, lebih-lebih lagi kerana orang Melayu yang beragama Islam tidak menganggap negara itu merdeka jika berideologi komunis.

Bagi orang Melayu, Parti Komunis Malaya tidak dapat memerdekakan Malaya kerana mereka yang menganut fahaman komunis itu sendiri sebenarnya sedang dijajah ideologinya kerana komunis bukan agama asal mereka dan bukan fahaman asli bangsa penganutnya.

Perjuangan Umno ialah untuk:
· Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,
· Menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara,
· Menuntut hak istimewa bagi orang Melayu,
· Mewujudkan negara demokrasi berparlimen; dan

· Menabalkan sistem Raja Berperlembagaan.

Apa yang dikatakan oleh PKMM sebagai kemerdekaan yang sebenar, pada pandangan saya, ialah sistem republik yang tidak beraja.

Kecuali di Pulau Pinang dan di kota dan bandar, Parti Buruh yang kemudian menjadi Parti Sosialis Rakyat Malaysia dan sebelum bergabung dengan PKR mereka menjadi Parti Rakyat, mereka bukan saingan besar kepada Umno dan Perikatan.

Bagi parti PMIP, yang kini menjadi parti Pas ketidakpuasannya dengan kemerdekaan yang sudah dicapai ialah kerana negara ini bukan negara syariah. Saingannya ialah sama ada ia lebih Islam daripada Umno.

Dalam perlawanan debat atas tajuk 'siapa lebih memperjuangkan agama' cerdik pandai agama daripada Umno dan Pas sentiasa mengkritik satu sama lain dalam ceramah dan pidato mereka. Perlawanan debat yang berterusan ini memberi kesan negatif kepada generasi muda yang tidak pernah mendengar adanya kebaikan pada ahli agama dan yang didengar ialah keburukan yang dilemparkan antara cerdik pandai agama daripada Umno dan Pas.

Untuk jangka masa yang cukup lama permusuhan Pas dengan Umno ialah sekitar siapa yang lebih Islam. Kemuncak perselisihan ini ialah pada awal 1960-an apabila Pas mengkafirkan Umno.

Pengkafiran ini ialah kerana Umno berkawan dengan Cina dan India, yang bukan Islam di dalam Parti Perikatan. Dakwaan balas Umno ialah dengan membezakan kafir di dalam MCA dan MIC dengan kafir yang menjadi anggota DAP. Kafir MCA dan MIC dikatakan 'kafir harbi' yang tidak menghormati Melayu dan Islam.

Sebenarnya jika Dewan Ulama Pas saja yang memutuskan sama ada Umno itu kafir atau tidak, kerana berkawan dengan kafir di dalam MCA dan MIC, sudah pasti Umno tidak dikafirkan. Syaratnya tidak dipengaruhi oleh politik, tetapi mengikut perhitungan agama saja. Malangnya tidak demikian.

Tiga daripada anggota Dewan Ulama Pas iaitu Tok Guru Haji Mohd Nor Teliar, Tok Guru Haji Mohd Noor Selising dan Tok Guru Haji Umar Daud berpendirian bahawa Umno boleh berkawan dengan MCA dan MIC jika ia untuk keamanan dan tidak merugikan umat Islam. Tokoh politik PMIP pada masa itu memfitnah Umno yang nak jual agama dan bangsa sehingga Dewan Ulama Pas telah mengkafirkan Umno.

Akibat daripada perlawanan tarik tali untuk meyakinkan siapa yang lebih Islam antara Umno dan Pas, maka Melayu berpecah dan politik Melayu menjadi begitu lemah sehingga tercetus peristiwa 13 Mei, 1969.

Selepas peristiwa 13 Mei 1969, ketiga-tiga ulama Pas yang menjadi anggota Dewan Ulama Pas ini telah menjadi ahli Umno selepas mereka memfatwakan Pas boleh menjadi anggota Barisan Nasional (BN) kerana mengetahui daripada Tun Abdul Razak sendiri bahawa persahabatan Umno dengan MCA dan MIC ialah untuk keamanan negara dan ia menguntungkan, dan tidak merugikan orang Melayu Islam. Jelas bagi mereka bahawa Umno tidak berhasrat menjual agama dan bangsa seperti difitnahkan pimpinan politik Pas pada waktu itu.

Selaku Setiausaha Agung Umno, saya bertemu dengan ketiga-tiga ulama Pas ini ketika mereka dipilih Tengku Razaleigh Hamzah untuk menjadi pakar rujuk Umno pada waktu Umno bersiap untuk berdebat dengan Pas satu masa dulu. Istanalah yang telah menghalang perdebatan yang tidak akan menguntungkan Melayu atau Islam itu.

Apabila mengetahui sikap Umno dalam bersahabat dengan MCA dan MIC sebagai kafir zimmi itulah, maka ulama Pas telah bersetuju menjadi anggota Barisan Nasional.

Perlu diingat, Pas tidak menyertai BN kerana perjuangannya untuk Islam, tetapi lebih untuk bersama dengan Umno mempertahankan hak dan kuasa Melayu yang telah terhakis sehingga mengakibatkan peristiwa 13 Mei 1969.

Pas dan Umno pada waktu itu menganggap DAP sebagai kelompok 'kafir harbi' yang menjadi seteru kepada kepentingan Melayu dan Islam. Perlawanan debat atas tajuk 'siapa lebih Islam' telah berakhir apabila Pas berada di dalam BN dan perlumbaan atas tajuk ini telah tiada lagi.

Apabila Pas terkeluar daripada BN, maka Pas terpaksa mencari garis perjuangan baru untuk membezakannya daripada Umno. Maka bermulalah isu 'hudud'. Buat sementara waktu 'hudud' telah dipopularkan dan Umno digambarkan oleh Pas sebagai penghalang kepada terlaksananya hukum hudud.

Isu 'hudud' dan 'cita-cita mewujudkan negara Islam' kemudian terpaksa diketepikan oleh Pas kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya menjambatani persahabatan antara Pas dan DAP yang dulunya dianggap 'kafir harbi'.

Umum mengetahui bahawa DAP bukan saja anti 'hudud', antikewujudan negara Islam, malah antikonsep ketuanan Melayu yang kelihatan padanya melalui hak istimewa orang Melayu yang terjamin dalam Perlembagaan.

Oleh kerana semua keistimewaan orang Melayu yang ada di dalam Perlembagaan Malaysia dapat dipertahankan oleh sistem kehakiman kita, maka sasaran penentang segala keistimewaan orang Melayu telah menghala kecaman mereka terhadap sistem kehakiman kita.

Demi kepentingan politiklah, maka Pas menerima DAP sebagai kawan dan bukan kerana agama. Politik nampaknya lebih penting daripada Islam dan Melayu. Sudah tentu kalangan pimpinan politik Melayu yang bersahabat dengan DAP ini akan membisik kepada penyokong mereka yang mempersoalkan 'keharbian' DAP itu bahawa mereka perlu bersabar kerana Melayu yang berkawan dengan DAP hanya memperalatkan DAP saja untuk mendapat kuasa. Lepas dapat kuasa barulah program Islam akan diketengahkan. Mereka sebenarnya memperkecil kecerdikan pimpinan DAP. Bagi DAP mewujudkan negara Islam hanyalah over my dead body.

Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004 telah memberi kemenangan yang terbaik untuk BN di bawah kepemimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kemenangan ini diperoleh kerana rakyat belum mengenal beliau. Selepas mengenali beliau dan keluarganya maka pada 2008 BN kehilangan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, selain Pas kekal memerintah Kelantan.

Bagi Pas kemenangan ini ialah kerana berkawan dengan DAP dan PKR sebuah parti yang dipimpin oleh wanita Melayu, tetapi dikuasai oleh profesional daripada keturunan India.

DAP tahu bahawa kemenangan mereka disebabkan kegagalan kepemimpinan Abdullah. Itulah sebabnya DAP dengan terus tenang mengharapkan Abdullah tunggu hingga ke Pilihan Raya Umum Ke-13 supaya BN kecundang.

Umno pula terpinga-pinga kerana malu dan segan untuk menyalahkan Abdullah dan keluarganya. Adalah lebih mudah bagi Umno mempercayai bahawa kekalahan BN ialah kerana tiada sokongan daripada bukan Melayu. Lebih sukar untuk menerima bahawa bukan Melayu juga menolak BN kerana kecewa dengan kepemimpinan Abdullah. Umno tentu tahu bahawa di negeri kubu kuat Umno pun ramai orang Melayu yang dulunya menjadi pengundi Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tidak menyokong BN.

Mungkin penganalisis Umno berasa mudah nanti untuk menawan kembali hati orang Melayu dengan pelbagai macam program barunya. Oleh itu, pimpinan Umno dalam BN, seperti juga dengan pemimpin MCA, MIC, PKR, DAP dan Pas terus sibuk berusaha untuk berlumba-lumba menawan hati bukan Melayu.

Pas agak toleran terhadap keruntuhan moral dalam PKR, Pas juga ingin mengajar bagaimana arak boleh dijual di Selangor seperti di Kelantan. Pas juga membolehkan Islam dikritik oleh DAP berasaskan kejahilan mereka mengenai Islam. Pemimpin PKR juga menjanjikan untuk bersama dengan Pas dan DAP menghapuskan ISA dan menghapuskan banyak lagi yang dirasakan elok dihapuskan untuk mendapat sokongan bukan Melayu.

BN juga memperkenalkan dasar liberalisasi yang nampak bagi orang Melayu tidak menguntungkan mereka. Begitu banyak tindakan BN yang membimbangkan Bumiputera seperti mengurangkan peratus biasiswa kerajaan untuk Bumiputera daripada 95 peratus ke 55 peratus sedangkan biasiswa daripada swasta bukan Bumiputera 100 peratus kekal diperoleh untuk mereka saja. Orang Melayu juga takut kerana melihat saham amanah untuk Melayu tidak habis dijual dan yang Bumiputera tidak mampu beli dijual saja kepada bukan Bumiputera.

Melayu dan Bumiputera kini bergantung banyak kepada kepercayaan dan keyakinan mereka bahawa pemimpin mereka tidak lupa pada mereka.

Perlumbaan antara pemimpin Pakatan Rakyat dan BN ialah untuk 'menawan hati bukan Melayu. Ini adalah peringkat ketiga setelah lebih dulu Umno dan PKMM, berlawan 'siapa yang lebih menyumbang kepada kemerdekaan' dan kemudian Umno dan Pas bersaing pula 'siapa yang lebih Islam antara Umno dan Pas'.

Sementara Melayu sedang berlumba dari segi 'siapa lebih baik kepada orang bukan Melayu' kini timbul pula 'siapakah pengkhianat bangsa Melayu'.

Perlumbaan mengenai tajuk 'Melayu yang manakah lebih berjasa kepada bukan Melayu?' telah banyak mengecewakan orang Melayu dan kurang pasti sama ada hati bukan Melayu sudah tertawan. Semuanya bergantung kepada maklum balas yang diterima oleh pemimpin BN.

Adalah jelas kumpulan yang tidak simpati dengan kedudukan orang Melayu yang dianggap istimewa itu, walaupun Melayu kurang merasainya dalam bidang ekonomi, sudah menunjuk keberaniannya untuk bersikap kurang sopan kepada raja dan agama Islam.

Jika Melayu mengalah dalam hal ini, maka ancaman yang lebih besar akan mengancam negara.

Apa yang jelas bagi kita ialah kelompok yang kurang sopan kepada raja dan agama ini juga adalah sama dengan kelompok menentang ISA. Apakah dengan tiadanya ISA mereka akan lebih bermaharajalela lagi.

Saya bersetuju dengan Mufti Perak yang mencadangkan supaya mereka yang antiraja dilucutkan kerakyatan. Malah kita perlu gantikan ISA dengan ALK atau Akta Lucut Kerakyatan. Dengan adanya ALK kita tidak perlu sibuk ke mahkamah, tetapi menentukan supaya mereka yang menentang Islam, raja, bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu dan kalangan 'separatist' yang ingin mengeluarkan mana-mana negeri dalam Malaysia dan menyokong negara lain yang memusuhi Malaysia dilucutkan kerakyatannya. Akta ALK hendaklah mandatori, terbukti saja salah maka lucutlah kerakyatan tanpa hak hakim untuk meringankan hukuman.

Pihak yang menjadi pengkhianat Melayu adalah mereka yang mempersendakan raja, agama Islam, bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu, pihak yang ingin memisahkan negeri daripada menjadi sebahagian daripada Malaysia dan pihak yang memihak kepada negara atau pihak yang memusuhi Malaysia. Inilah cara menuju 1Malaysia.

(Berita Harian Online, 23/8/2009)
Post a Comment