Thursday, August 20, 2009

Islam berhak untuk bergerak

“Semenjak dari mula, Islam berhak untuk bergerak. Islam bukanlah agama suatu bangsa atau sistem suatu negara tetapi metodologi Allah SWT dan sistem seluruh dunia. Islam berhak untuk bergerak menghancurkan penghalang-penghalang yang terdiri dari sistem dan situasi yang mengekang kebebasan memilih yang dipunyai oleh ‘manusia’. Cukuplah kalau dikatakan bahawa Islam tidak akan pernah menyerang individu dengan maksud memaksa orang memeluk keyakinannya. Islam hanya menyerang sistem dan situasi dengan tujuan membebaskan manusia dari pengaruh-pengaruh yang merosak, merosak wujud fitrah menusia dan mengekang kebebasan memilih.” [Petunjuk Sepanjang Jalan, Sayed Qutb]

Setiap kali menghadapi kritikan dan tekanan, umat Islam memberi tindak balas yang berbagai-bagai mengikut kemampuan mereka. Dalam kes seorang wakil rakyat bukan Islam yang tidak bersetuju dengan misi sebuah pertubuhan bukan kerajaan berorientasikan Islam yang berhasrat menjadikan syariah sebagai tonggak kehidupan bermasyarakat di Malaysia, sekurang-kurangnya tiga kelompok umat Islam telah dikenal pasti.

Pertama, mereka yang enggan mengambil bahagian dalam perbalahan berkenaan. Bagi mereka, apa yang berlaku adalah kerana ada kepentingan politik dan membiarkan perbalahan itu diselesaikan begitu saja. Lama-kelamaan ia akan lenyap seiring dengan peredaran masa. Kelompok ini mengambil sikap perhati dan lihat serta boleh dikatakan sebagai rakyat umum.

Kedua, mereka yang cepat melenting atas nama mempertahankan Islam. Kecaman demi kecaman dikeluarkan melalui media dan mendesak wakil rakyat berkenaan dikenakan pertuduhan atas dakwaan menghina Islam. Kategori ini boleh dikatakan ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan.

Ketiga, mereka yang memahami latar belakang keadaan wakil rakyat berkenaan dan memberi pandangan berdasarkan pengetahuan sedia ada. Kategori ini boleh dikatakan sebagai ulama dan tok-tok guru.

Ketiga-ketiga kelompok ini memiliki pola pemikiran yang berbeza dan melihat penyelesaian juga dari perspektif yang berbeza. Keadaan ini wujud kerana tahap pendedahan ke atas situasi ini yang berlainan sama sekali.

Melihat Islam dan umat Islam dihina oleh orang jahil adalah amat menyedihkan. Keadaan ini berlaku kerana umat Islam tidak ada kekuatan dan hilang maruah. Sama ada hinaan itu dari orang Islam atau bukan Islam, penghinaan tetap menunjukkan sikap angkuh penghina. Jika orang kafir menghina Islam kerana mereka dianggap jahil, bagaimana pula sikap orang Islam sendiri yang menghina agamanya? Apakah yang boleh kita katakan? Barangkali sikap mereka tidak ubah seperti orang kafir, cuma nama sahaja yang masih beridentitikan Islam.

Orang menghina Islam kerana tidak memahami agama itu. Tidakkah penghina itu orang yang beragama? Bagaimana pula tindak balasnya jika agamanya dihina?


Dr Yusuf al-Qardhawi menulis dengan jelas dalam buku ‘Sanggahan Salah Tafsiran Islam’ bagi menghuraikan persoalan mengenai kaedah untuk memahami dan menghayati ajaran Islam yang sebenar. Kefahaman yang benar terhadap ajaran Islam adalah syarat untuk meninggikan darjat umat Islam. Semua kaedah kehidupan di dunia ini berjalan atas landasan ajaran Islam yang sebenar dan diredhai Allah SWT.

Masalah kepada tafsiran ajaran Islam yang berbagai-bagai adalah kerana kefahaman Islam yang tidak jelas. Pelbagai institusi dan tok guru serta aliran pengajian telah memecahkan umat Islam kepada empat golongan.

Pertama, fundamentalis. Golongan ini mahu umat Islam kembali kepada al-quran dan as-sunnah serta meninggalkan bidaah. Pembersihan hati dan fikiran mesti berteraskan prinsip-prinsip al-quran dan menjadikan sunnah Rasul SAW sebagai panduan.

Kedua, tradisionalis. Golongan ini melihat mazhab sebagai penyelesaian kepada kacau-bilau kehidupan umat Islam. Mereka berbangga apabila ajaran mazhab menjadi dominan dan mempengaruhi masyarakat lain. Di Iraq, dasar Amerika Syarikat ialah melagakan mazhab Sunni dan Syiah supaya wujud perpecahan dan masyarakat Islam tidak dapat bersatu.

Ketiga, modernis. Graduan dan penuntut yang keluar daripada institusi ini mahu membuat tafsiran baru ke atas al-quran kerana menurut mereka tafsiran sedia ada tidak membantu mengeluarkan umat Islam daripada lingkungan pemikiran yang membataskan kemampuan mereka. Justeru, tafsiran segera tidak akan melemahkan potensi umat Islam sebaliknya membantu mendekati tamadun Barat.

Keempat, sekularisme. Golongan ini memisahkan agama dan kehidupan dunia. Mereka berasa perlu kepada agama hanya ketika kahwin cerai, kematian dan doa selamat. Bahagian-bahagian lain seperti jual-beli, jiran tetangga atau pencarian ilmu tidak berkaitan dengan agama.

Pemecahan golongan umat Islam kepada empat kategori ini menjejaskan kefahaman sahih masyarakat terhadap Islam yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Huraian tentang Islam oleh Sayed Qutb dalam petikan di atas tentu sekali dianggap sebagai keras oleh golongan yang enggan menjadikan Islam sebagai cara hidup.

Seperti mana cara hidup selain Islam, cabaran-cabaran juga sentiasa merentangi ajaran Islam. Namun seperti kata Sayed Qutb, Islam berhak untuk bergerak menghancurkan setiap halangan bagi membebaskan manusia. Apabila ada yang cuba menghalang pergerakan ini, ia mesti ditentang. Penagihan arak, berzina, zalim dan politik menghalalkan cara ialah antara sistem dan situasi yang sedang mengekang dan menyerang Islam, memusnahkan kebebasan memilih dan memaksa masyarakat berada di bawah sistem mereka. Sistem seperti ini wajar sekali diperangi supaya kebebasan memilih hanya menepati neraca Allah SWT.

Begitu juga menentukan seseorang ke syuarga dan neraka. Ia menjadi milik mutlak Allah SWT. Kisah seorang wanita yang memberi minum kepada seekor anjing dan wanita yang menzalimi kucingnya sedangkan dia bangun malam untuk bersolat boleh menjadi teladan betapa nilaian Allah SWT sangat berbeza. Namun begitu, ciri-ciri orang yang bakal mendiami syurga atau neraka sentiasa diberikan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Manusia yang jahil akan sentiasa menyatakan si anu masuk syurga dan neraka berdasarkan persepsi mereka semata-mata.

Berhadapan dengan masyarakat Islam dan bukan Islam yang jahil perlukan kesabaran dan perancangan yang lebih bijak kerana mereka jarang sekali ingin memberi hormat kepada Islam. Adakah patut jika musuh menghina kita, dengan senang hati kita berkata, ‘dia boleh hina kita kerana dia tak faham kita.’ Tindakan sebaiknya ialah berhadapan dengan orang seperti ini dan meminta penjelasan darinya, jika tidak, tindakan undang-undang adalah pilihan yang terakhir.

No comments:

Post a Comment