Monday, August 17, 2009

Banteras arak melalui kawalan kendiri

Kaedah yang baru diguna pakai oleh kerajaan negeri Selangor untuk mengawal penjualan arak di kedai serbaneka 7-11 mula menampakkan hasil. Malaysiakini melaporkan terdapat kedai cawangan itu di Shah Alam yang memberhentikan penjualan arak di Seksyen Dua, Seksyen Enam, Seksyen 19, Seksyen 11, Seksyen 13, Seksyen 8, Seksyen 7, Seksyen 3, Jalan Kristal dan Jalan Platinum di Seksyen 7.

Tujuh lagi kedai 7-11 telah bersetuju tidak akan mempamerkan botol-botol arak di dalam peti ais premis tetapi akan menjualkannya kepada bukan Islam apabila diminta. Lokasi kedai itu terletak di Seksyen 16, Seksyen 17, Seksyen 20, Seksyen 9, Seksyen 13 (sebelah Giant) Seksyen 13 (sebelah Carlton Holiday Hotel) dan Seksyen 18.

Dalam isu penjualan arak di kawasan majoriti umat Islam, ia bukan sahaja berlaku di Selangor malah di seluruh negara termasuk di Kelantan. Cuma pelaksanaan peraturan sahaja yang membezakannya. Ada Pihak Berkuasa Tempatan yang sangat tegas dan ada yang longgar dalam menguatkuasakan peraturan. Dalam kes Selangor, setelah Datuk Dr Hassan Ali mendedahkan tindakan Ronnie Liew, barulah kerajaan negeri itu bertindak. Jika tidak, umat Islam di Selangor akan terus dimainkan oleh helah peniaga yang rakus dengan keuntungan tanpa mengambil kira larangan arak kepada masyarakat Islam.

Sebelum pilihan raya umum lalu, persatuan penduduk Bangi telah memaklumkan kepada PBT kawasan mereka untuk menghalang penjualan arak di kedai serbaneka 7-11 di pekan itu namun tindakan PBT dan kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional agak perlahan. Rayuan demi rayuan dibuat supaya premis berkenaan menghormati kehendak masyarakat Islam kerana majoriti penduduk di Bangi adalah umat Islam. Keadaan yang berlaku di Shah Alam diharap akan menjadi ikutan kepada PBT yang lain supaya sedar bahawa kuasa rakyat dapat mengubah sesebuah kerajaan.

Ketika Barisan Nasional mentadbir, mereka dilihat tidak sensitif dan enggan mendahului kehendak masyarakat Islam yang ingin bebas daripada penagihan arak di kawasan mereka. Apabila Pakatan Rakyat cepat bertindak balas dengan penjualan arak, ternyata kerajaan baru ini lebih proaktif dan bersedia membuat beberapa perubahan. Walaupun tidak mengharamkan penjualan arak sepenuhnya, ia dilihat sebagai langkah awal mendidik peniaga supaya lebih sensitif dan menghormati pengguna dari kalangan masyarakat Islam. Keadaan ini tidak berlaku semasa pentadbiran dahulu kerana kerap menjadikan alasan ‘peniaga lebih penting’ untuk menutup maksiat di hadapan mata.

Kerajaan negeri Selangor boleh meningkatkan kesedaran kawalan kendiri ini melalui ceramah dan kempen dari semasa ke semasa supaya kesedaran masyarakat dapat ditambah. Kepada masyarakat bukan Islam, kerajaan negeri hendaklah memastikan mereka memahami bahawa arak adalah haram di sisi Islam dan ia tidak boleh dirunding sama sekali. Jika menteri besar berkemampuan, beliau wajar memerangi minuman keras dan menjauhkan rakyat negeri Selangor daripada kesan-kesan negatifnya.


Selain arak, banyak aspek lain yang boleh diperhalusi oleh kerajaan Pakatan Rakyat supaya masyarakat Islam mendapat kebaikan yang tidak ditawarkan oleh Barisan Nasional. Antaranya ialah:

1.Menghancurkan fanatisme bangsa dan mengarahkan potensi dan kekuatan rakyat Selangor secara politik bagi membentuk keseragaman dan kesatuan barisan.
2.Meningkatkan kekuatan pasukan, memperbanyakkan golongan pemuda untuk proses membangkitkan semangat hidup dalam rangka memenuhi pembangunan negeri.
3.Melakukan kawalan terhadap tingkah laku peribadi para pegawai dan tidak memisahkan di antara kepentingan peribadi dan pekerjaan.
4.Berusaha menghapuskan rasuah dan komisyen serta bergantung sepenuhnya pada kemampuan kerja dan peraturan yang ditetapkan.
5.Menimbang setiap aktiviti pentadbiran dengan tinbangan wahyu. Justeru, setiap peraturan mengadakan majlis, pesta, keraian dan sebagainya wajar tidak bertentangan dengan syariat Islam.
6.Mendidik masyarakat membiasakan diri pada etika dan kesopanan yang menjadi nilai asas masyarakat Malaysia, membuat peraturan untuk mempertahankannya dan tegas kepada yang melanggarnya.
7.Tidak bertolak ansur dengan amalan judi yang boleh dilihat di merata tempat di Selangor dari bandar hingga ke pekan kecil. Peraturan yang lebih ketat wajar digubal supaya semua ahli masyarakat melihat judi sebagai memusnahkan hidup.
8.Tegas melaksanakan peraturan dan jika perlu menutup pusat-pusat hiburan yang didalangi peniaga yang mengeksploitasi wanita dan memporak-perandakan keluarga.
9.Menjadikan aktiviti memerangi orang yang menentang hukum Allah SWT sebagai amar ma’ruf nahi mungkar seperti meninggalkan solat dengan sengaja, makan di bulan Ramadhan dan mencaci maki atau mempersenda ajaran agama.
10.Memikirkan kewujudan pelbagai cadangan bagi menyatukan keragaman tradisi yang ada dalam masyarakat secara bertahap.
11.Mengambil berat keadaan kampung dan bandar yang berkaitan dengan akhlak, kebersihan, sanitasi, saluran air dan kebajikan penduduk dari semasa ke semasa.
12.Memberi dorongan kepada penduduk luar bandar seperti buruh dan petani supaya memberi perhatian kepada pendidikan keluarga agar kehidupan anak-anak mereka akan dapat diubah.
13.Memerangi tradisi negatif yang diamalkan dalam ekonomi, sosial dan politik. Mengubah tradisi negatif yang melanda masyrakat dan mengantinya dengan nilai dan tradisi positif. Kerajaan Selangor patut menjadi teladan kepada negeri-negeri lain dalam aspek ini.

Barisan Nasional berasa sangat gusar kerana Selangor tidak dikuasai oleh mereka. Banyak projek dan peluang perniagaan di negeri itu tidak dapat memberi wang kepada mereka. Kerajaan pusat yang dikawal oleh mereka akan terus berusaha untuk mendapat kembali Selangor dalam pilihan raya akan datang supaya kekayaan negeri itu akan digunakan untuk membantu negeri-negeri lain yang masih perlu diberi perhatian. Berbanding Johor, kekayaan negeri Selangor dapat menguatkan Barisan Nasional untuk beberapa tahun yang akan datang. Oleh itu, kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat wajar mendengar suara masyarakat Islam dan memenuhi keperluan mereka supaya undi sedia ada tidak beralih arah. Kuasa di Selangor masih terletak di tangan pengundi Islam dan mereka boleh menentukan siapa yang akan dipilih kelak.


Rujukan

Ali Abdul Halim Mahmud. 1999. Perangkat-perangkat Tarbiyah Ikhwanul Muslimin. Solo, Indonesia: Era Intermedia. Edisi terjemahan.

http://www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment