Sunday, August 30, 2009

Kemiskinan bandar

Dalam Islam, kemiskinan perlu ditentang habis-habisan kerana ia dikatakan boleh membawa manusia menghampiri kekufuran. Seorang ahli falsafah British, George Bernard Shaw menulis bahawa kemiskinan adalah jenayah yang paling dahsyat. Segala kejahatan yang ada, katanya, berkumpul dalam kemiskinan.

Di Malaysia, Awang melihat, usaha membanteras kemiskinan telah menjadi sebahagian daripada dasar integral kerajaan sejak negara merdeka 52 tahun lalu.

Apabila Perdana Menteri, Najib Tun Razak mengumumkan Jumaat lalu mengenai peruntukan kerajaan sebanyak RM100 juta dalam bentuk saham amanah untuk keluarga miskin di bandar- bandar di negara ini, ia sebenarnya merupakan manifestasi iltizam kerajaan dalam menangani kemiskinan.

Rakyat Malaysia wajar bersyukur kerana mewarisi sebuah negara yang berupaya menikmati kedamaian dan kemakmuran hasil daripada usaha berterusan kerajaan membantu golongan miskin melalui sistem pendidikan, strategi perbandaran, dasar ekonomi dan peluang-peluang keusahawanan. Bayangkan apa akan berlaku kepada negara ini, yang mempunyai kompleksiti etnik dan wilayah, jika majoriti rakyatnya dibiarkan kekal dalam kemiskinan dengan segala kejahatan terkandung di dalamnya.

Peruntukan RM100 juta dalam bentuk saham amanah itu adalah sebahagian daripada program kerajaan untuk membasmi kemiskinan bandar. Pada tahun lalu kerajaan telah pun memperuntukkan RM100 juta melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk program kredit mikro golongan miskin di bandar-bandar.

Takrif kemiskinan berbeza antara luar bandar dan bandar. Di luar bandar negara ini, sesebuah isi rumah dikategorikan miskin tegar jika mereka memperoleh pendapatan di bawah RM666 sebulan iaitu garis kemiskinan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Di bandar, isi rumah yang memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan dan memiliki aset kurang daripada RM50,000 sudah boleh dikategorikan sebagai miskin bandar dan mereka boleh terlibat dengan projek pinjaman kredit mikro AIM.

Maklumat awal mengenai projek kredit mikro AIM itu amat memberangsangkan. Setakat ini sebanyak 14,339 isi rumah miskin di bandar-bandar di seluruh negara yang berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan telah terlibat dalam pinjaman untuk membaiki sosioekonomi masing-masing. Kira-kira 7,745 orang daripadanya ialah golongan miskin bandar di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Setakat ini sebanyak RM33 juta daripada peruntukan RM100 juta telah dikeluarkan untuk membantu orang miskin bandar meningkatkan pendapatan mereka melalui projek-projek ekonomi kecil di bawah Program Kewangan Mikro Bandar. Kadar bayaran balik program itu, yang perlu dibuat secara mingguan, amat menakjubkan iaitu pada kadar 99.4 peratus. Mana-mana ahli perbankan akan terpesona dengan kadar bayaran balik itu.

Ertinya, daripada 14,339 isi rumah miskin bandar di negara ini yang memperoleh pinjaman kredit mikro AIM, sebanyak 99.4 peratus membayar semula pinjaman. Mereka membuat pinjaman awal RM3,000 - yang kemudian boleh ditingkatkan kepada RM20,000 - dan membayarnya semula dalam tempoh antara tiga bulan hingga setahun. Jumlah peminjam yang tertunggak bayaran balik cuma seramai 84 orang.

Orang miskin bandar yang menyedari potensi mereka sebenarnya boleh dipercayai, sebagaimana juga yang telah dibuktikan oleh golongan miskin di luar bandar. Berdasarkan pengalaman AIM yang terlibat dengan program pembasmian kemiskinan melalui kredit mikro, sesebuah isi rumah miskin dapat keluar daripada kemiskinan selepas tiga kali mereka memperoleh pembiayaan kredit mikro.

Jika pemantauan dalam program membasmi kemiskinan dilakukan dengan teliti, Awang yakin lebih 14,000 isi rumah miskin di bandar di negara ini akan dapat keluar daripada kemiskinan dalam tempoh kurang tiga tahun.

Strategi kerajaan dalam pembasmian kemiskinan bandar bersifat progresif. Pinjaman digunakan untuk menambah pendapatan keluarga miskin. Pendapatan yang lebih tinggi membolehkan mereka merancang kewangan, memperluaskan perniagaan kecil, menabung dan kemudian membeli aset termasuk rumah sendiri di kawasan bandar. Ia disuburkan lagi dengan strategi lain dalam bidang pendidikan dan peluang ekonomi.

Dengan tambahan peruntukan RM100 juta dalam bentuk saham amanah yang diumumkan oleh Najib kelmarin, jika ia dilaksanakan secara bersepadu dengan program kredit mikro seperti yang ditawarkan oleh AIM, tidak ada pihak boleh mempersoalkan komitmen kerajaan kepada golongan miskin tidak kira di mana sahaja mereka tinggal.

Pihak-pihak tertentu, termasuk pembangkang, mungkin mendakwa kerajaan belum cukup komited untuk membantu rakyat miskin. Dalam konteks ini, yang kita perlu sedar ialah kerajaan boleh membantu rakyat yang miskin harta, tetapi tidak banyak yang boleh ditolong jika mereka terpedaya oleh orang yang miskin jiwa.

Awang Selamat

(Utusan Online, 30/8/2009)

No comments:

Post a Comment