Kematian ketua kumpulan nasyid terkenal di Malaysia, Asri Ibrahim sangat mengejutkan masyarakat. Beliau tidak sempat menerima senaskah al-quran yang diminta daripada adiknya sebelum sesak nafas dan meninggal dunia. Buletin Utama TV3 merakamkan saat-saat cemas Asri diusung rakan-rakannya ke kenderaan yang sedang menunggu untuk dibawa ke Hospital Pantai, Kuala Lumpur. Keadaannya yang nazak dan tercungap-cungap mengingatkan saya dua bulan lalu apabila melihat kematian seorang wanita Cina di Hospital Sungai Buloh.
Saya mengenali Asri melalui suaranya yang unik, mantap dan bertenaga semasa masih di sekolah menengah. Ketika itu beliau bergerak bersama kumpulan Nada Murni. Lirik-lirik yang menyentuh hati dapat mendidik jiwa mencintai Allah SWT dan Islam masih boleh diperoleh sehingga ke hari ini. Antara lagu yang menjadi trademark ialah pondok kecil dan munajat.
Nasyid tidak dapat dipisahkan daripada jiwa Asri kerana hidup dan matinya adalah dengan nasyid. Melalui anugerah suara, beliau berusaha menyebarkan mesej dakwah dengan nasihat dan panduan yang diselitkan dalam setiap lagu. Terdapat satu album terbitan tahun 1998 yang sangat menarik dan memuatkan lagu berkaitan calon isteri, galakan menjadi anak soleh dan mengasihi ibu bapa. Album berkenaan meninggalkan kenangan kerana irama muzik yang tidak rancak dan juga tidak terlalu perlahan.
Kepulangan Asri ke rahmatullah kerana sakit jantung menjadi iktibar kepada anggota kumpulan nasyid yang lain. Di samping menghiburkan orang ramai, mereka juga wajar mengambil berat keadaan kesihatan, menjaga makanan dan perkembangan jantung serta tekanan darah. Sesekali mereka juga perlu bersenam dan berehat supaya dipanjangkan usia.
No comments:
Post a Comment