Monday, August 31, 2009

Pendatang asing Cina di Eropah: perspektif Eropah (1)

Pengenalan

Perbincangan tentang topik ini boleh menimbulkan keadaan tidak selesa dan hingar-bingar serta memberi kesan ke atas emosi pembaca. Ia juga menyerlahkan bagaimana perlembagaan Eropah memilih pendekatan sendiri untuk bertindak balas ke atas persekitaran politik dan ekonomi mereka. Justeru, untuk memilih dan menyesuaikan dasar yang menepati kehendak masyarakat Eropah, ia mengambil masa yang panjang dan memenatkan.

Pandangan Eropah terhadap orang Cina

Perkataan ‘Cina’ dalam kebanyakan masyarakat Eropah adalah gambaran pelbagai imej seperti negara China, jenis makanan, copstik, Chinatown (pekan Cina), tempat berkerumun, Dataran Tianammen dan Bruce Lee. Jadi, reaksi dalaman ini boleh digunakan untuk membina jambatan kognitif yang difikirkan oleh masyarakat Eropah apabila mereka mendengar perkataan ‘Cina’.

Orang Eropah tahu Cina bukanlah ada di negara China sahaja malah berselerakan di seluruh benua itu. Mereka merasainya setiap hari sama ada semasa bercuti di Amsterdam atau Paris, ataupun tinggal di London atau Manchester.

Sebahagian besar penduduk Eropah pasti pernah melawat Amsterdam lebih daripada sekali. Chinatown di bandar itu telah melalui proses transformasi yang menukarkannya daripada dikenali sebagai ‘daerah lampu merah.’ Kerja-kerja pembinaan semula bangunan dan perataan jalan, metamorfosis daerah itu bergerak daripada kawasan yang tidak dihormati menjadi sebuah kawasan yang menggamit kehadiran sesiapa sahaja yang melaluinya. Gerombolan pelancong dari Eropah dapat merasainya apabila mereka mula membeli-belah, melihat gelagat penjual ubat yang cuba memujuk dengan mengatakan ubat herba dari Asia dapat mengubat semua jenis penyakit, kewujudan sekolah seni mempertahankan diri dan itik salai yang bergantungan di restoran Cina.

Di Paris, perkataan Cina kedapatan di sebalik restoran-restoran Cina atau muzium yang terletak di Avenue Foch, Musee d’Ennery. Salah satu daripada muzium seni Cina yang terkenal, Musee Guinet, memiliki 200 tema dalam pertunjukannya di samping simpanan filem dan gambar dalam perpustakaan.

Daripada keagungan Liverpool Imperial Arch ke Chinatown di London, di situ terdapat pintu gerbang Cina yang melambangkan tuah dan kemakmuran, berdiri kukuh menojah langit di Faulkner Street, Manchester sebagai tanda negara Britain yang pelbagai etnik. Orang Cina menjadi sebahagian daripadanya. Sungguhpun Chinatown adalah tempat yang riuh dan menyesakkan, keadaannya berlawanan dengan gambaran umum masyarakat Cina di Britain yang seringkali digelar ‘minoriti tersembunyi’. Tambahan pula mereka perlu berusaha untuk mendapat hak sama rata dalam sistem negara itu dengan mengubah pemikiran terhadap negara asal kerana imej dalam pemikiran adalah refleksi kepada gambaran geografi sebenar.


Selepas mengalami pengalaman mental daripada perkataan ‘Cina’ dengan melawat Chinatown di Amsterdam, Paris, Manchester atau London, berbelanja di kios yang berbelit-belit atau merasai makanan lazat di restoran Cina, gambaran mental yang masih wujud ialah imej tunggal di Chinatown. Kita meninggalkan Chinatown dengan sesuatu yang menarik: pandangan yang menyatakan pendatang ini mencetuskan kacau-bilau dan pengotor. Justeru, kita mungkin menghadapi masalah untuk menerangkan tingkah laku sebenarnya terhadap pengalaman di Chinatown ini.

Justeru, amat sukar untuk menerangkan apakah sebenarnya Chinatown. Ia boleh dipertimbangkan sebagai daerah kecil dalam kota metropolitan Eropah, berhampiran pusat bisnes, didiami sebahagian besar etnik Cina di luar China, menguasai rantaian gedung perniagaan- farmasi, restoran; di samping reka bentuk tulisan Cina berganding dengan tulisan Inggeris. Di belakang gudang-gudang bisnes ini adalah tempat tinggal pendatang Cina yang mencari pendapatan.

Di Manila dan Bangkok, rumah-rumah kedai adalah pemandangan biasa. Tingkat pertama dijadikan stor simpanan barang dan tingkat kedua menjadi tempat tinggal. Di sesetengah bandar, terdapat lebih daripada satu Chinatown seperti di Paris. Di Kuala Lumpur, kampung-kampung Cina berkembang menjadi bandar.

Media dan industri filem sering menggambarkan Chinatown sebagai tempat berpenduduk padat, sangat teruk dan dibebani dengan masalah sosial. Ciri-cirinya tidak dapat membantu kita untuk memahami apakah sebenarnya Chinatown atau siapakah orang-orang Cina yang menetap di Eropah. Bagi orang bukan Cina, gambaran Chinatown adalah tempat yang sentiasa hidup tetapi penuh misteri, tertutup, berbahaya dan sesak. Namun bagi orang Cina, Chinatown adalah tempat mereka berinteraksi dan membina hubungan sosial pelbagai fungsi.

Cina yang diam di Chinatown adalah Cina seberang laut. Siapakah Cina seberang laut ini?

Secara tradisi, setiap orang Cina yang tinggal di luar sempadan Republik China dikenali sebagai Hua-Chiao atau Cina seberang laut. Sebagai golongan pendatang yang bergerak ke seluruh dunia sejak 5000 tahun lalu, Cina mengekalkan warisan, tradisi dan adat resam ke mana saja mereka pergi. Hasilnya, Chinatown di Eropah kelihatan sama dengan dua perkara utama: apa yang mereka boleh buat dan siapakah mereka.

Isu pertama adalah kuasa ekonomi dan politik. Diaspora ini merentas dari San Fransisco hingga ke Singapura dengan jumlah kekayaan lebih daripada US$1.5 trilion. Mereka digelar sebagai kelas ekonomi ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat dan Jepun. Bagaimanapun kekuatan ekonomi ini tidak menunjukkan kecenderungan kuasa politik kerana rantaian kekayaan ini tidak ada kesatuan dan tidak pernah ada cita-cita ke arah itu.

Isu kedua menyatakan dengan jelas, siapakah diri mereka. Golongan ini adalah mereka yang tidak memberikan sebarang persepsi terhadap usaha bercampur dengan penduduk tempatan. Akibat langsung ialah berlakunya diskriminasi terhadap mereka secara berterusan. Atau lebih tepat lagi, disebabkan pencapaian ekonomi mereka, masyarakat setempat memberi perhatian berlebihan dan menimbulkan rasa cemburu. Justeru, ramai daripada mereka ini menjadi sasaran keganasan dek dengki dan iri hati. Daripada menjadi anugerah, kekayaan yang berjaya dinikmati bertukar menjadi pemusnah. Tambahan pula sikap kerajaan tempatan yang menyasarkan mereka dengan percubaan memiliknegarakan kekayaan yang dimiliki sama ada secara sah ataupun tidak sah. Orang Cina yang berharta ini cuba menyembunyikan kekayaan itu dengan memindahkannya ke seberang laut atau mengambil sikap tidak menonjolkan diri. Kebanyakan mereka terlibat dalam bidang kejuteraan dan perniagaan ini datang dari wilayah Fujian dan Guangdong.

No comments:

Post a Comment