Monday, August 24, 2009

Ramadan satu di Masjid Besi dan ramadan dua di Serambi Mekah

Di dalam kegelapan malam, Masjid Besi memancar indah umpama kilauan emas dari dalam sangkar, cahayanya memancar menerangi tebing tasik di antara dua jambatan di Putrajaya. Keindahan Masjid Besi menarik minat penduduk Putrajaya untuk menunaikan solat tarawih pada satu ramadan ini. Berpusus-pusu kanak-kanak lelaki dan perempuan bersama ibu bapa masing-masing mencari ruang bagi memenuhi saf hadapan, betul-betul di belakang imam.

Pertama kali melangkah ke Masjid Besi, terasa indah dan hebatnya binaan ini. Mimbar masjid dan pintu gerbang di dewan solat utama dengan tulisan ayat-ayat suci al-quran di cermin besar melambangkan kebebasan jiwa dan fikiran umat Islam Malaysia setelah Masjid Kampung Hulu dibina di Melaka pada tahun 1728. Selepas Portugis menjajah Melaka, penjajah itu memusnahkan peninggalan rumah-rumah ibadat bukan kristian di Melaka termasuklah masjid.

Catatan dari wikipedia.com mencatatkan maklumat berikut berkenaan masjid ini.

“Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, sebelum ini digelar Masjid Besi, ialah sebuah masjid
yang terletak di Presint 3, Putrajaya, Malaysia. Masjid ini yang mula dibina sejak April 2004 siap sepenuhnya pada Ogos 2009 dan dibuka pada hari Jumaat, malam Awal Ramadan 1430H. Masjid ini dibina bagi menampung sekitar 24,000 penduduk dan penjawat kerajaan sekitar pusat bandar serta kawasan Presint 2, 3, 4 dan 18. Masjid ini yang mempunyai keluasan sekali ganda berbanding Masjid Putra, yang terletak kira-kira 2.2 km ke utara, bakal menjadi mercu tanda baru Putrajaya.

Masjid ini direka berdasarkan 3 konsep iaitu angin, sederhana dan telus. Kira-kira 6,000 tan
keluli digunakan bagi pembinaan tersebut yang mewakili kira-kira 70 peratus manakala selebihnya adalah konkrit.

Masjid Besi mempunyai keistimewaan yang tersendiri antaranya tiada pemasangan kipas
ataupun alat penyaman udara di dalamnya, sebaliknya menggunakan gas penyejuk (gas district cooling atau GDC). Selain itu, masjid ini turut menggunakan Seni Bina Jaringan Wayar (Architectual Wire Mesh).

Anyaman Masyrabiah yang diimport dari Jerman
danChina (turut dipasang pada Stadium Bernabéu di Madrid dan perpustakaan negara Perancis yang dikenali Bibliothèque nationale de France yang terletak di Paris). Pintu gerbang masuk juga menggunakan konkrit bertulang kaca (GRC) bagi mempertingkat integriti sesebuah struktur serta kaca hablur bagi menjadikan masjid kelihatan berwarna putih dari jauh.

Perjalanan menuju ke masjid akan menyeberangi sebuah jejantas yang menghubungkan Dataran Putrajaya ke kawasan masjid ini yang dikenali sebagai Kiblat Walk seluas 13,639 m². Jejantas ini dihiasi dengan kolam air seolah-olah berada di kawasan kota istana purba
Alhambra. Hiasan dalamannya dilatari ukiran Asma Ul Husna menggunakan tulisan kaligrafi dari jenis Khat Thuluth. Pintu utama menuju ke ruang solat utama terukir ayat suci al-quran dari Surah Al-Israa’ ayat ke-80.

Ini ditambah lagi dengan pembinaan dinding mihrab yang diperbuat daripada panel kaca setinggi kira-kira 13 m juga diimport dari
Jerman yang terukir 2 baris ayat dari Surah Al-Baqarah pada bahagian kanan dan Surah Ibrahim di sebelah kiri. Uniknya, dinding mihrab ini tidak memantulkan kesan dari pancaran sebarang cahaya atau lampu menjadikan ukiran kaligrafi ayat suci berkenaan yang berwarna keemasan itu kelihatan jelas dan seolah-olah terapung di udara. Bahagian tepi bumbungnya sepanjang 40 kaki pula mampu mengelakkan jemaah yang bersolat di luar dewan solat utama terkena tempias hujan.

Kemudahan yang disediakan ialah ruang solat termasuk dewan utama, dewan terbuka dan dewan solat muslimat, tiga unit kuaters dua tingkat tiga bilik untuk kakitangan masjid, sepuluh unit bazar atau ruang niaga di dalam kawasan masjid, bilik pameran yang mampu memuatkan 250 orang, dapur, bilik orang kenamaan, bilik penyelenggaraan, bilik jenazah, pejabat, bilik kawalan audio visual dan ruang letak kereta bawah tanah.”

Paling menarik ialah masjid ini mempunyai banyak tangga bergerak (escalator) untuk membawa jemaah ke ruang solat utama dan dewan solat muslimat. Tidak banyak masjid di Malaysia ini yang menyediakan kemudahan seperti ini. Di Brunei, hanya masjid Jame Asr dan Masjid Sultan Omar Ali Saifudin yang ada tangga bergerak, itu pun hanya satu.

Meletakkan kaki di atas permaidani putih bercorak kotak memberi ketenangan kepada penulis untuk melaksanakan solat dengan khusyuk. Pemilihan warna putih ini bertepatan dengan corak keseluruhan pembinaan masjid ini yang mementingkan kesucian dan kebersihan jiwa apabila menjadi tetamu rumah Allah.

Lokasinya di pinggir tasik memberi ketenangan jiwa yang berganda-ganda kerana jauh dari riuh-rendah kenderaan. Hembusan angin segar yang bertiup dari tasik menambahkan lagi kekhusyukan solat serta rasa rendah diri di hadapan Allah. Keriuhan suara anak-anak kecil yang turut menunaikan solat tarawih tidak memberi bekas kepada jiwa yang sememangnya mengharapkan agar ramadan ini diterima.

Ramadan dua penulis telah berada di Kelantan, negeri Serambi Mekah. Hujan yang turun renyai-renyai di Kota Bharu tidak menghalang penulis untuk bergegas ke Dataran Stadium Sultan Mohd Ke-IV. Khemah Terawih yang besar mampu memuatkan seramai 2,000 jemaah. Program ini merupakan program kerajaan negeri dan dikendalikan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sebagai sebahagian daripada program pelancongan ibadah (ibadah tourism) yang telah dimulakan pada tahun lepas.

Penulis bertuah kerana solat terawih malam kedua ini diimamkan oleh Syaikh Ahmad Rejab Al-Fayyumi dari Mesir. Alunan al-quran yang dibacanya sangat jelas, ada turun naik dan kadangkala menggerunkan. Namun ia memberi kepuasan maksimum kerana jarang-jarang imam solat terawih yang boleh membaca ayat-ayat al-quran dengan penuh penghayatan dan menaikkan bulu roma walaupun tidak faham bahasa Arab.

Usai empat rakaat, tazkirah pendek disampaikan oleh seorang ustaz muda berkenaan dengan alihan kiblat dari Baitulmaqdis ke Mekah. Urus setia telah menyediakan sebuah buku catatan kecil berwarna hijau lengkap dengan ruang nama dan nombor telefon untuk diisi oleh jemaah. Setiap helaian mencatatkan tajuk-tajuk yang akan disampaikan mengikut hari ramadan sehingga hari ke-30. Usaha ini dilihat dapat membantu kefahaman jemaah menyegarkan kembali pengetahuan mereka terhadap sejarah Islam, meningkatkan kefahaman ke atas isu-isu kehidupan dan menyeru jemaah menjadikan Islam sebagai cara hidup.

Di antara ramadan di Putrajaya dan Kota Bharu, masing-masing memberi pengalaman baru kepada penulis untuk merasai suasana berbeza dan menakjubkan. Keindahan ramadan ada di mana-mana saja kepada mereka yang ingin mencari hikmah dan fadilatnya.

No comments:

Post a Comment