Monday, August 31, 2009

Menjahit telekung untuk keselesaan

Selepas bersara, kebanyakan orang akan berehat panjang sama ada selalu berjemaah di masjid, makan angin, mengambil cucu di sekolah setiap hari atau berniaga. Pesara yang berniaga lebih baik kerana dia sudah ada jaringan bakal pelanggan yang terdiri daripada rakan-rakan sepejabat, saudara-mara dan adik-beradik yang beranak cucu.

Bagi makcik Sabariah, 63 tahun, minat membuat telekung pada peringkat awal hanyalah untuk suka-suka sahaja bagi mengisi masa lapang selepas bersara. Dia ada sedikit asas dalam jahitan dan memilih telekung sebagai permulaan. Pelanggan awalnya ialah saudara-mara, anak-anak dan rakan-rakan yang tahu.

Tiga tahun selepas itu, beliau memberanikan diri untuk menerima tempahan di samping membaiki telekung pelanggan. Kejayaan makcik Sabariah terletak pada kesabaran, minat dan rasa tanggungjawab. Jadi, rasa penat dan pengorbanan menyediakan telekung yang terbaik kepada pelanggan dan orang ramai akhirnya berbalas juga apabila dapat menjenamakan Sabariah Telekung.

Masa kerja ialah selepas subuh dan berhenti apabila masuk waktu solat. Kadangkala berterusan sehingga pukul 2 pagi.

Pelanggan menyukai jahitan makcik Sabariah kerana keselesaan jahitan pada bahagian dagu dan dahi. Kemahiran menjahit telekung khususnya pada dua bahagian ini memerlukan latihan dan maklum balas beterusan daripada pemakainya supaya bahagian muka telekung lebih kemas, selesa dan sedap dipakai.

Minat yang pada awalnya digerakkan oleh hobi dan suka-suka akhirnya menjadi bisnes yang berjaya. Sambutan dan sokongan daripada pelanggan, saudara-mara dan rakan-rakan menjadikan makcik Sabariah serius untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa apa sahaja bidang yang kita ceburi, insya Allah pasti akan berjaya jika sentiasa berusaha, berdoa dan bertawakkal. Untuk memajukan diri dalam bisnes, kerajinan dan minat menjadi prasyarat tambahan.

No comments:

Post a Comment