Thursday, August 13, 2009

Analisis kefahaman mahasiswa terhadap konsep Satu Malaysia

Seramai 113 responden telah dipilih untuk kajian ringkas kefahaman mereka terhadap konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Mereka terdiri daripada mahasiswa yang bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama di luar negara. Majoriti responden akan ke United Kingdom (57), Mesir (26), Perancis (13), Jepun (7), Amerika Syarikat (7), Australia (2) dan Kanada (1).

Pecahan responden berdasarkan gender mendapati wanita lebih ramai iaitu 60 orang (53 peratus) berbanding lelaki 53 orang (47 peratus). Mereka terdiri daripada pelbagai etnik di mana Melayu adalah paling ramai iaitu 84 orang (74 peratus), diikuti Cina seramai 18 orang (16 peratus), India 10 orang (9 peratus) dan bumiputera Sabah hanya seorang (1 peratus). Semua responden berada di bawah umur 20 tahun.


MaklumatKekerapan
(n=113)
Peratus
Lelaki5347
Perempuan6053
Melayu8474
Cina1816
India109
Bumiputera Sabah11

Daripada jumlah ini, responden beragama Islam membentuk 74 peratus diikuti Buddha, Hindu dan Kristian. Ia memberi gambaran bahawa semua responden memiliki nilai-nilai hidup berteraskan kepercayaan agama.

Terdapat 14 bidang pengajian yang akan diikuti oleh responden iaitu bahasa Perancis, biokimia, bioteknologi, ekonomi, farmasi, sains aktuari, kewangan, matematik, pengajian Islam, perakaunan, perubatan, sains komputer, undang-undang dan kejuteraan. Sebahagian besar responden telah mendapat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang cemerlang seperti 15A dan 17A. Keupayaan mereka berfikir sangat dinamik dan mengatasi mahasiswa sedia adak di dalam negara.

Kajian ke atas kefahaman konsep Satu Malaysia dibuat dengan meminta responden membentuk kumpulan kecil seramai 11 hingga 12 orang. Mereka diberi penerangan dan pendedahan tentang sejarah negara seperti konsep kewarganegaraan, kontrak sosial, perlembagaan persekutuan dan perkembangan kemajuan negara selepas merdeka hingga hari ini. Maklumat-maklumat ini disampaikan melalui ceramah, latihan dalam kumpulan, soal jawab dan tayangan video supaya asas-asas pembentukan negara dapat difahami dengan baik.

Satu soalan telah dikemukakan kepada responden iaitu: Apakah yang anda faham tentang konsep Satu Malaysia?

Responden diberi masa selama 15 minit untuk berbincang dalam kumpulan masing-masing. Jawapan dalam bentuk esei tidak melebihi 150 patah perkataan. Analisis ke atas jawapan berkenaan telah dikelompokkan di dalam beberapa tema seperti perpaduan kaum, masyarakat maju, nilai bersama dan keamanan.

Dapatan kajian menunjukkan semua responden memahami konsep Satu Malaysia sebagai elemen untuk mengukuhkan perpaduan dan hubungan etnik. Mereka memahami perpaduan adalah unsur penting yang menjamin keamanan dan keharmonian hidup bermasyarakat. Konsep Satu Malaysia tidak sama dengan Malaysian Malaysia kerana responden melihat Satu Malaysia menonjolkan ciri-ciri persamaan nilai dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia, sedangkan Malaysian Malaysia mengutamakan hak sama rata dalam semua perkara.

Dalam Satu Malaysia, lapan nilai yang diketengahkan ialah budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, meritokrasi, pendidikan, integriti dan kesetiaan. Jika diambil nilai pertama iaitu budaya kecemerlangan, konsep Satu Malaysia hendak melihat rakyat Malaysia memahami bahawa cemerlang boleh menjadi budaya.

Bagi tema masyarakat maju, responden melihat Satu Malaysia adalah kesinambungan daripada Wawasan 2020 iaitu kerajaan bersungguh-sungguh melaksanakan impian menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Nilai-nilai yang diterapkan pula adalah nilai yang telah sedia ada dalam masyarakat negara ini. Responden juga mencadangkan kerajaan mengerakkan kefahaman Satu Malaysia melalui kempen dan ceramah motivasi supaya penerapan nilai-nilai kejayaan dan kerjasama antara kaum dapat digerakkan.

Perbezaan etnik tidak mempengaruhi responden untuk menolak negara yang aman kerana responden berpendapat negara ini perlu berada dalam keadaan politik, ekonomi dan sosial yang stabil. Responden melihat Datuk Seri Najib berazam menyatukan semua rakyat Malaysia supaya negara ini mempunyai maruah.

Kajian ringkas ini memberi panduan yang jelas kepada pengkaji sejauh mana kefahaman responden tentang konsep Satu Malaysia. Rata-rata mereka memahami bahawa Satu Malaysia menekankan elemen perpaduan kaum di Malaysia dan sebagai usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju melalui nilai-nilai kecemerlangan. Pada masa yang sama, responden merasai hak istimewa orang Melayu terus dipertahankan manakala hak kaum-kaum lain dilindungi sepenuhnya.

Contoh Esei 1

Konsep Satu Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri yang keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2009. Konsep ini dilancarkan bagi menonjolkan persamaan dalam masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia. Maka, jelaslah konsep ini berbeza dengan ‘Malaysian Malaysia’ yang diwarwarkan oleh pihak-pihak tertentu.

Konsep Satu Malaysia dijelaskan dengan lapan prinsip utama iaitu penerimaan, rendah hati, integriti, meritokrasi, pendidikan, budaya kecemerlangan, ketabahan dan kesetiaan. Ini menunjukkan bahawa tampuk kepimpinan negara telah memberikan garis panduan yang jelas untuk semua rakyat Malaysia tentang cara hidup yang sesuai untuk menghasilkan masyarakat yang maju dan aman.

Selain itu, konsep ini juga selaras dengan Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir, mantan perdana menteri. Ini membuktikan kerajaan bersungguh-sungguh ingin merealisasikan impian negara untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.
Kesimpulannya, konsep ini bukan sesuatu yang baru kerana ia cuma menonjolkan nilai-nilai yang telah wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Contoh Esei 2

Satu Malaysia adalah konsep yang telah diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dengan bermotokan ‘Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.’ Idea ini adalah kesinambungan perpaduan yang telah dilaksanakan ketika merdeka. Konsep ini mengenepikan perbezaan kaum dan kesamarataan antara satu semua rakyat Malaysia yang berpandukan perlembagaan. Terdapat lapan nilai iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, integriti, meritokrasi, pendidikan dan kesetiaan.

No comments:

Post a Comment