Pada 19 September 2006, dunia dikejutkan dengan rampasan kuasa di Thailand yang dilakukan oleh pihak tentera. Tindakan berkenaan dilaksanakan atas arahan Jeneral Sonthi Boonyaratglin.
Walaupun ada kesempatan untuk menjadi Perdana Menteri ketika itu, namun Sonthi berjiwa besar apabila menyerahkan kepada rakyat menentukan kerajaan seterusnya bagi menggantikan kerajaan yang dipimpin oleh Thaksin Shinawatra.
Kini setelah bersara dari bidang ketenteraan, Sonthi menumpukan perhatian untuk membawa keamanan di selatan Thailand. Bagi Sonthi, konflik di wilayah itu harus ditamatkan segera, apatah lagi dengan komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan yang ada sekarang.
Dalam pertemuan khas dengan wartawan Mingguan Malaysia ZULKIFLEE BAKAR di Hotel Imperial, Pattani, Thailand, Sonthi memberikan pandangan mengenai pergolakan di wilayah itu. Sonthi berpendapat, walaupun usaha untuk melihat kedamaian di wilayah berkenaan masih jauh namun ia harus diusahakan demi masa depan umat Islam.
Wawancara itu diadakan sehari sebelum Sonthi melancarkan penubuhan Parti Matubhum atau Parti Bumiputera yang bakal menjadi ‘kenderaan’ politiknya.
--------------------------------------------------------------------------------
MINGGUAN: Apakah pandangan Jeneral berhubung keadaan di selatan Thailand sekarang?
SONTHI: Secara peribadi sebagai seorang jeneral tentera yang bersara, saya berpendapat kejadian keganasan di wilayah berkenaan semakin menurun berbanding dahulu. Walaupun terdapat kemusnahan harta benda setiap kali keganasan berlaku, namun ia perkara biasa. Apa yang penting tindakan ganas tidak lagi meningkat.
Pada masa ini, kita lihat kerajaan menggunakan kekuatan anggota tentera yang agak berlebihan. Bagi saya, langkah itu boleh menjadi alasan kepada pihak musuh untuk meningkatkan tindak balas kerana merasakan kedudukan mereka terancam.
Selain itu, kehadiran anggota tentera yang ramai juga akan mewujudkan pelbagai bentuk pergaulan dengan masyarakat yang sukar untuk dikawal. Keadaan ini akan menimbulkan pandangan masyarakat yang akan mengaitkan tingkah laku anggota tentera dengan perkara-perkara yang tidak baik.
Ada yang berpandangan melalui kehadiran tentera itu, ia akan mampu mengurangkan tindakan keganasan oleh puak pemisah, apa pandangan Jeneral?
SONTHI: Tidak juga. Ia kerana sebenarnya kehadiran anggota tentera yang ramai telah membolehkan pihak musuh menjadikannya sebagai alasan untuk melancarkan serangan. Bagi saya, cara menyelesaikan masalah hendaklah melalui pendekatan politik bukan ketenteraan. Sebab itu saya tegaskan, cara yang terbaik ialah menggunakan masyarakat untuk menyelesaikan masalah, pihak tentera hanya bertanggungjawab menjaga keselamatan nyawa dan harta benda sahaja.
Dalam usaha menyelesaikan konflik di selatan Thailand, apa yang paling penting, ia mesti dilaksanakan mengikut garis panduan yang jelas dan melibatkan masyarakat setempat. Ini termasuklah penglibatan oleh Ketua Kampung, Penggawa, Jawatankuasa Kemajuan Kampung, pemimpin masyarakat dan pemimpin agama.
Namun begitu kita harus memahami usaha untuk mewujudkan keamanan yang kekal di wilayah tersebut sudah pasti memerlukan tempoh masa yang panjang. Apatah lagi dengan sikap sebahagian besar daripada masyarakat setempat tidak mahu terlibat dalam usaha ini.
Sebenarnya, mereka yang terlibat dengan kumpulan pengganas tidak ramai. Saya percaya kalau kita berjaya mengurangkan tuntutan masyarakat dan memberi keadilan kepada mereka, keamanan mampu dicapai dalam tempoh yang pendek.
Selain itu, saya juga yakin mereka yang terlibat melancarkan tindakan keganasan akan berubah sikap suatu hari nanti apabila usia mereka semakin meningkat dan berkeluarga. Selain itu keamanan juga akan wujud apabila masyarakat mendapat layanan dengan adil. Ini asas untuk mewujudkan keamanan, tetapi dalam situasi sekarang mustahil untuk menghentikan pergolakan atau keganasan dengan serta-merta.
Bolehkan Jeneral jelaskan apa yang dimaksudkan dengan keadilan?
SONTHI: Keadilan yang dimaksudkan adalah dari segi perundangan, bukan melalui tindakan kekerasan. Undang-undang Thailand mengambil masa yang panjang untuk mendakwa dan menjatuhkan hukuman bagi sesuatu kes. Semuanya bergantung kepada bukti yang dikemukakan. Oleh itu kita mesti menggunakan undang-undang untuk mendapat keadilan.
Tetapi kalau dilihat dari segi keadilan itu, kes di Takbai contohnya, apabila ia dibawa ke mahkamah, keputusan akhirnya tidak menyebelahi rakyat dan ini menyebabkan mereka menganggap tidak mendapat keadilan. Adakah perkara ini akan menyulitkan lagi proses keamanan?
SONTHI: Dalam kes Takbai atau mana-mana kes yang dibicarakan, mahkamah perlu mempunyai bukti yang kukuh dan saksi sebelum menjatuhkan hukuman ke atas pelaku terbabit.
Bagaimanapun, pada pendapat saya secara peribadi, kerajaan yang ada pada hari merupakan kerajaan yang begitu berhati-hati dalam melaksanakan undang-undang dan telah melaksanakan dengan betul dan telus.
Bagaimana pula dengan usaha mengadakan rundingan dengan puak bersenjata supaya mereka menghentikan tindakan ganas mereka?
SONTHI: Sebenarnya semua pihak dalam kerajaan ingin mengadakan rundingan, namun perbincangan tidak wujud atau tidak dapat dilakukan. Ia disebabkan pihak yang melakukan keganasan tidak mendedahkan diri mereka.
Kalau berdasarkan kepada jawapan itu, bermakna harapan untuk melihat kedamaian itu masih jauh, apa komen Jeneral?
SONTHI: Tidak jauh jika kumpulan bawah tanah mempunyai susunan organisasi yang tertentu dan memiliki ketua. Jika ini dapat dilakukan sudah pasti rundingan dengan pihak kerajaan mampu dilaksanakan.
Tetapi ketika ini, apa yang diharapkan itu tidak ada memandangkan di kalangan puak pemisah sendiri sama ada PULO atau BRN tidak bersatu. Kita tidak tahu siapa ketua sebenar mereka.
Jadi bagaimana pihak kerajaan Thailand hendak berunding dengan kumpulan pemisah?
SONTHI: Walaupun di pihak kerajaan, mereka bersedia berunding dan banyak agensi boleh berbuat demikian tetapi ia tidak dapat dilaksanakan. Semuanya bergantung kepada puak pemisah. Kita tidak tahu dengan siapa harus berunding memandangkan mereka (puak pemisah) banyak kelompok. Apabila datang berbincang didapati mereka itu bukan puak pemisah yang sebenar. Hakikatnya, sehingga ke saat ini masyarakat di dalam tiga wilayah selatan Thailand itu sendiri tidak pernah sebut mengenai rundingan dengan puak pemisah. Ia disebabkan setakat ini penduduk tidak berasa mereka terancam.
Sejauh mana masyarakat menerima dan menyokong usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan?
SONTHI: Secara peribadi masyarakat menyokong usaha kerajaan. Sebenarnya masalah tuntutan kemerdekaan merupakan satu propaganda kumpulan pengganas. Mereka melihat ia cara mudah untuk mempengaruhi masyarakat, terutama di kalangan mereka yang mempunyai masalah dan tidak mendapat keadilan.
Dalam menghadapi masalah di selatan Thailand, apakah kerajaan Thailand pada pandangan Jeneral boleh memberikan jaminan keselamatan jika puak pemisah menyerah diri?
SONTHI: Sebenarnya sistem menyerah diri adalah tertakluk kepada undang-undang negara.
Tidak ada sesiapapun yang boleh bertindak di luar batas undang-undang. Apabila menyerah diri, mereka terpaksa diproses mengikut undangan-undang. Pihak polis akan membuat soal siasat, sekiranya mempunyai bukti yang kukuh mereka terlibat dalam jenayah dan sebagainya mereka akan didakwa dan dibicarakan di mahkamah.
Bagaimana Jeneral melihat komitmen yang diberikan oleh negara jiran terutamanya Malaysia dalam membantu menyelesaikan konflik di selatan?
SONTHI: Secara peribadi, saya berpendapat rakyat Thailand melihat Malaysia adalah sebuah negara Islam yang amat maju. Mereka cuba melihat Malaysia sebagai sebuah negara contoh untuk membina corak kehidupan orang Islam. Malaysia telah banyak memberi bantuan kepada pihak Thailand, tetapi mungkin tidak secara menyuruh. Di peringkat bawahan mereka sentiasa ada perhubungan dan pemberian bantuan.
Dalam keadaan konflik yang berlanjutan sekarang, adakah perlu Persidangan Negara Islam (OIC) terlibat?
SONTHI: Semasa berlaku keganasan dan terdapat beberapa peristiwa yang didakwa masyarakat Islam tidak mendapat keadilan, pihak OIC telah datang ke Thailand. Salah satu prinsip yang dipegang oleh OIC ialah di mana sahaja masyarakat Islam tidak mendapat keadilan mereka akan datang untuk memberi bantuan dan pertolongan.
Bagaimanapun, dakwaan berlakunya diskriminasi atau penindasan ke atas orang Islam di selatan Thailand boleh dipertikaikan kerana dari segi pentadbiran ia dikuasai oleh 80 peratus hingga 90 peratus umat Islam. Ini termasuklah bagi jawatan Gabenor, Pegawai Daerah, Ketua Kampung, Penggawa, Jawatankuasa Kemajuan Wilayah dan Jawatankuasa Kemajuan Kampung.
Tetapi kalau dilihat dari laporan media baru-baru ini, ada pihak termasuk kerajaan Thailand tidak begitu selesa kalau OIC campur tangan di selatan Thailand?
SONTHI: Maklumat itu mungkin tidak benar kerana Setiausaha Agung OIC sendiri datang berbincang dengan saya di Bangkok lebih dari satu jam berkaitan dengan masalah di selatan.
Selepas bersara, adakah Jeneral mempunyai hasrat untuk menceburkan diri dalam bidang politik?
SONTHI: Kalau lihat di Malaysia terdapat parti orang Melayu, parti orang Cina, parti orang India dan sebagainya, tetapi di Thailand tidak ada begitu. Di Thailand terdapat orang Islam seramai 10 peratus dari seluruh penduduk negara. Umat Islam yang tinggal di Thailand seharusnya bersatu dan memikirkan sesuatu untuk pembangunan dan kemajuan ummah.
Oleh itu saya berhasrat untuk mewujudkan sebuah parti yang selain memperjuangkan nasib semua rakyat, ia juga bertujuan membantu menaikan taraf hidup umat Islam. Suasana di Thailand berbeza dengan Malaysia iaitu Muslim di Thailand tidak mempunyai kelulusan, oleh yang demikian taraf hidup dan ekonomi mereka tidak begitu baik dan menyebabkan orang Islam tidak ada kemajuan.
Adakah misi Jeneral untuk membangunkan orang Islam di Selatan Thailand atau bagaimana?
SONTHI: Sebenarnya orang Islam di tiga wilayah Selatan Thailand hanya lebih kurang 1.7 orang sahaja, sedangkan umat Islam di Thailand secara keseluruhannya lebih kurang lima hingga tujuh juta orang. Kita mesti menggabungkan umat Islam dari seluruh negara. Walaupun Parti Matubhum yang saya tubuhkan bukan parti Islam tetapi umat Islam paling ramai menganggotainya.
Jeneral membuat keputusan untuk menceburkan diri dalam politik, kenapa ia tidak dilakukan ketika berlaku rampasan kuasa dahulu, di mana Jeneral boleh terus menjadi Perdana Menteri?
SONTHI: Jika itu saya lakukan sudah pasti dalam sistem demokrasi, saya akan dilabelkan sebagai kuku besi. Saya tidak berhasrat berbuat demikian pada masa itu kerana apa yang penting bagi saya ialah menyelamatkan rakyat. Saya serahkan kepada mereka menentukan siapa yang mereka mahu untuk memimpin negara, itu lebih demokrasi.
Tetapi tidakkah perbuatan merampas kuasa itu sudah melanggar lunas-lunas demokrasi itu sendiri?
SONTHI: Sebenarnya ukuran kepada demokrasi itu mempunyai banyak perkara. Persoalannya, apakah ketika saya melakukan rampasan kuasa itu, kerajaan yang sedia ada benar-benar mengamalkan demokrasi? Bagaimana dengan perbuatan mereka membeli undi ketika pilihan raya? Bagi saya, persoalan sama ada kerajaan pada masa itu mengamalkan demokrasi atau tidak, hanya rakyat Thailand sahaja yang mengetahuinya. Namun begitu saya memahami pihak di luar melihat ia dari sudut berbeza.
Apakah harapan Jeneral kepada masyarakat Islam di selatan Thailand?
SONTHI: Mereka perlu bersatu untuk menjadi kumpulan yang kuat. Kita akan cuba untuk memajukan orang Islam dalam pelbagai bidang serta mempunyai peranan dalam politik.
(Utusan Online, 23/8/2009)
No comments:
Post a Comment