Monday, August 17, 2009

Bahasa kasar dalam rumah tangga

Hidup berumahtangga adalah anugerah dan rahmat Allah SWT. Cinta dan kasih sayang yang wujud di antara suami dan isteri menjadi pengikat paling hebat yang melatari kepercayaan suami kepada isteri dan sebaliknya. Dengan kasih sayang, lara menjadi bahagia, benci menjadi rindu dan penjara menjadi taman. Kasih sayang mengikat sesebuah perkahwinan kekal sepanjang hayat.

Dalam rumah tangga, tanggungjawab dan peranan suami dan isteri sangat jelas. Sebagai ketua keluarga, suami wajib mencari nafkah untuk keluarga walaupun pendapatan yang diperoleh tidak banyak. Keluar mencari wang melalui pekerjaan yang memenuhi syariat Allah SWT sangat digalakkan dan mempengaruhi persepsi suami terhadap penyediaan makanan yang halal kepada keluarga.

Hasan al Banna, seorang pemimpin dan jurudakwah sentiasa mempastikan dirinya dapat makan bersama dengan isteri dan anak-anak walaupun sibuk dengan urusan kerja dan dakwah. Beliau tidak membiarkan Wafa, Ahmad Saiful atau Roja’ makan sendirian kerana menyedari tanggungjawab mendidik anak-anak hatta ketika berada di meja makan.

Peranan dan tanggungjawab isteri adalah sesuai dengan fitrah kejadiannya yang hebat dalam membesarkan anak-anak dan membantu suami menguruskan keluarga. Isteri juga harus berfikir apakah cara terbaik untuk merapatkan hubungan kasih sayang dengan suami kerana komunikasi sangat mempengaruhi kemesraan mereka berdua. Walaupun isteri pada hari ini ramai yang bekerja bagi membantu suami, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk isteri bersikap kasar atau menggunakan bahasa-bahasa kotor dan biadap terhadap suami walaupun dia berasa marah.

Bagi suami yang dapat menerima bahasa kasar daripada isteri, ia tidak bermakna dia bersetuju dengan perlakuan tersebut. Barangkali ketika itu, suami berfikir jauh dan menjadikan keluarga sebagai keutamaan. Sebagai contoh, terdapat banyak jenis ayat sama ada dalam bentuk lisan atau cetakan yang boleh kita dengar melalui filem atau drama yang disiarkan. Malah dalam beberapa keadaan, mesej yang disampaikan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) turut diselitkan dengan bahasa yang kasar. Antaranya, ‘Abang, lepas ni jangan ajar anak tidor berkelek. Susah la orang macam ni. Lepas ni kalau ajar tidur berkelek, abang jaga baby sorang-sorang. Bengang betul dengan abang hari ni.’ Perkataan lain ialah menyampah, bangsat, kebulor, bangang dan sial.

SMS ni berkait rapat dengan suami dan isteri yang mempunyai kaedah berbeza untuk menidurkan anak mereka. Suami berpendapat, mengelek anak sambil menepuk-nepuk punggung atau paha anak adalah lebih sesuai kerana keadaan tangannya yang kuat. Namun isteri berpendapat membaringkan anak adalah lebih praktikal. Dalam kes di atas, isteri tidak setuju dengan tindakan suami kerana anak tidak akan tidur jika tidak dikelek.

Hubungan kasih sayang di antara ibu bapa dan anak boleh dibina dalam banyak cara. Bagi isteri, menyusu badan menjadi penghubung kasih sayang yang kuat dengan anak manakala bagi bapa, cara kasih sayang ditunjukkan dengan selalu membelai dan mendokong anak.

Proses menidurkan anak adalah satu strategi untuk menjalin keakraban suami dan isteri. Ia tidak sewajarnya menjadi cetusan konflik yang memuramkan kehidupan keluarga. Pandangan yang berbeza adalah satu cara untuk mencari penyelesaian terbaik. Bagi pasangan keluarga yang masih muda, mereka wajar bertolak ansur dengan kaedah yang berbagai-bagai kerana masing-masing terdedah kepada corak pembesaran yang berlainan sama sekali. Di samping itu, jarak umur suami dan isteri juga menjadikan kaedah menidurkan anak sebagai satu krisis yang boleh merapatkan atau menjarakkan kasih sayang mereka.

Dalam semua keadaan, suami atau isteri tidak pernah melakukan sesuatu tanggungjawab yang dapat memberi seratus peratus kepuasan dan kesempurnaan sesama mereka kerana nilaian manusia sering kali bersifat prejudis dan dipengaruhi oleh persepsi. Contohnya, suami memuji peranan isteri yang menyediakan makanan digemari tetapi apabila tiba wakti solat, hati suami sentiasa gelisah kerana isteri amat liat hendak solat di awal waktu dan perlu selalu diingatkan.

Bagi isteri, harapannya ialah suami akan mencuci pinggan selepas makan tetapi harapan itu tidak berlaku kerana pinggan dibiarkan saja dalam sinki. Suami hanya pandai cuci mulut dan tangan, amat malas mencuci pinggan sendiri.

Suami isteri adalah perkongsian hidup. Menjadi ketua keluarga sangat berat, justeru bersama-sama dengan isteri supaya hidup dapat dizahirkan. Tidak ada gunanya berasa kecewa jika tidak memahami erti kehidupan bersama ini.

1 comment:

  1. Takrifan bahasa kasar bahasa halus
    Bahasa halus menurut kamus Dewan sebagai bahasa yang terdiri daripada perkataan –perkataan yang lebih lembut dan digunakan untuk menggantikan perkataan yang dirasakan kasar dan menyentuh perasaan orang lain. Contohnya meninggal dunia – mati. Zaaba mengaitkan bahasa halus dengan bahasa kiasan supaya maksud yang hendak disampaikan itu lebih jelas dengan cara mengiaskan kepada orang lain. Manakala bahasa kasar ialah bahasa yang tidak sopan dan tidak manis dituturkan seperti beranak- melahirkan, mati – meninggal dunia. Rumusannya, bahasa halus adalah bahasa sopan yang menggunakan ungkapan lembut manakala bahasa kasar adalah bahasa tidak sopan dan kurang manis.

    ReplyDelete