Perusahaan nurseri flora jika dibuat dengan bersungguh-sungguh dapat memberi hasil yang memberangsangkan. Minat dalam perniagaan ini memboleh anda membina pendapatan tambahan yang memberi banyak faedah kepada disiplin diri dan menambah pengetahuan dalam bidang tanaman.
Kerja makan gaji tidak menghalang anda untuk mencari wang tambahan dengan nurseri flora kerana ia boleh dibuat sebagai kerja tambahan ataupun sebagai hobi masa lapang.
Ramai juga orang yang telah bersara menjadikan bisnes seperti ini untuk menjana pendapatan khususnya yang berjinak-jinak dengan tanaman.
Tanaman flora yang anda boleh pilih ialah spesies bunga, tumbuhan liar (pokok lokan, pokok putat, paku-pakis serta orkid hutan), herba (seperti kacip fatimah, tongkat ali, gaharu, mas cotek, ginseng Malaysia) dan tanaman hiasan (maniltoa, saraka), rempah ratus (cengkih, kayu manis, pokok pala, serai wangi dan pokok 'golden chain' atau rantai emas).
Kos pelaburan untuk membuka bisnes nurseri bergantung kepada minat dan kesungguhan anda. Dengan RM30,000, anda sebenarnya dapat mewujudkan sebuah tapak semaian yang boleh menghasilkan 18,000 anak pokok pelbagai tumbuhan.
Harga tumbuhan yang dijual adalah berpatutan dan berdasarkan harga pasaran iaitu bermula serendah RM2 hingga RM50 mengikut jenis tumbuhan. Kalau anda dapat membiakkan 500 jenis tumbuhan, bunga dan kaktus pelbagai jenis, bayangkan jumlah pendapatan yang dapat dijana hanya dengan bekerja separuh masa.
Pulangan besar usaha anda mampu mencecah RM10,000 sebulan, sekali gus mengubah kehidupan santai anda. Di samping pokok, anda juga boleh menjual pasu dan baja organik dalam bentuk cecair atau baja campuran.
Cabaran utama bisnes ini ialah cuaca dan serangan serangga perosak khususnya pokok eksotik manakala helicornia atau sepit udang perlukan cuaca yang panas.
Sektor pertanian kini berpotensi besar dan boleh dijadikan sumber pendapatan menguntungkan jika diusahakan secara meluas dan komersial sebagai perniagaan yang bersifat intensif dan berdaya saing. Jika anda ingin meluaskan lagi bisnes nurseri, anda patut mempelbagaikan produk berasaskan tumbuhan eksotik kerana trend sekarang lebih terarah kepada tanaman jenis ini.
No comments:
Post a Comment