Thursday, June 05, 2008

Memelihara pendidikan Melayu dan bumiputera

Isu pemberian 45 peratus kouta biasiswa kerajaan kepada pelajar-pelajar bukan Melayu mula mendapat reaksi keras daripada masyarakat Melayu dan bumiputera yang prihatin dan celik perlembagaan. Masa depan bangsa Melayu dan bumiputera di Malaysia bergantung sepenuhnya kepada kuasa politik dan pendidikan yang dimiliki ketika ini.

Sebahagian besar pertubuhan bukan kerajaan yang menjuarai isu ini terdiri daripada kelompok nasionalis yang mahu melihat bangsa Melayu berjaya dalam pendidikan mereka.

Jumlah kaum Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak hampir 67 peratus iaitu satu jumlah yang sangat besar. Walau bagaimanapun, dengan kouta 55 peratus daripada jumlah biasiswa untuk mereka, persaingan untuk mendapatkan biasiswa bertambah sengit. Manakala kaum Melayu termasuk Cina, India dan lain-lain terpaksa bersaing sesama sendiri bagi mengejar impian dan cita-cita melanjutkan pelajaran dengan pembiayaan sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.

Dilihat daripada komposisi kouta biasiswa berkenaan, jumlah kouta yang tinggi untuk bukan Melayu memberi mesej yang jelas kepada masyarakat Malaysia. Terdapat empat mesej yang dikenal pasti setakat ini.

Mesej pertama ialah lebih ramai pelajar bukan Melayu yang telah berjaya dalam peperiksaan utama iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Keupayaan mereka bersaing dengan pelajar-pelajar Melayu dan bumiputera sangat mengagumkan.

Mesej kedua ialah 90 peratus kouta biasiswa untuk Melayu dan 10 peratus bukan Melayu tidak lagi relevan dengan keadaan sekarang, ia juga tidak lagi relevan dengan perlembagaan Malaysia yang dirangka bagi melindungi hak-hak istimewa Melayu dan bumiputera. Tindakan ini jelas membelakangi hasrat dan tujuan perkara tersebut dirangka oleh pemimpin terdahulu.

Mesej ketiga ialah kerajaan berada dalam kedudukan tersepit dengan keadaan politik negara yang menyaksikan dominasi kuasa Melayu semakin lemah. Justeru mereka mencari jalan untuk memenangi undi bukan Melayu bagi pilihan raya akan datang.

Mesej terakhir ialah tawar-menawar masa depan pendidikan yang lebih muram kepada pelajar-pelajar Melayu secara keseluruhan. Kejayaan mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara bergantung sepenuhnya kepada kerajaan kerana rata-rata orang Melayu bukannya masyarakat yang kaya-raya. Tanpa bantuan kerajaan, mereka tidak akan maju dalam pendidikan.

Keputusan kerajaan terhadap isu biasiswa sangat mengecewakan. Jika ingin dianggap sebagai kerajaan yang adil kepada semua kaum, konsep keadilan tersebut adalah salah tempat. Cakap-cakap di kedai kopi yang sudah mula mempertikai kewajaran tindakan berkenaan bukannya membantu menyelesaikan masalah sebaliknya masyarakat melihat kerajaan sekarang tidak lagi peduli dengan masa depan pendidikan tinggi Melayu dan bumiputera.

Kita tidak mahu dipimpin oleh pemimpin yang mudah diarah dan dicucuk hidung dengan mengesampingkan nasib dan masa depan bangsa sendiri. Pemimpin diberi kuasa kerana masyarakat mengharapkan mereka dapat memajukan agama, bangsa dan negara. Tetapi keadaan sebaliknya sedang berlaku.

Masyarakat Melayu adalah sebuah masyarakat yang tidak suka menunjukkan kemarahan. Walaupun mereka marah, sifat sabar yang diterapkan melalui penghayatan ke atas agama Islam menjadikan jiwa mereka tabah dengan cabaran. Namun apabila keadaan terlalu sukar dibendung, mereka akan mula bertindak secara berjemaah supaya kezaliman dan ketidakadilan dimusnahkan.

Sejarah penubuhan Malaysia telah melakar banyak kejadian seperti itu. Jika agama dicemari dan bangsa dihina, apa sahaja halangan akan dirempuh sama ada kecil ataupun besar. Ketika itu yang didengar ialah pemimpin yang mampu memberi harapan tulen, bukannya yang cakap-cakap kosong.

Kerajaan sedia ada dilihat mula mengesampingkan bangsa mereka sendiri dalam memberi peluang pendidikan kepada anak-anak bangsa Melayu yang secara terang-terangan melanggar perlembagaan Malaysia. Jika keadaan ini dibiarkan, sedikit masa lagi tidak ada lagi kontrak dan permit untuk peniaga-peniaga Melayu dalam bisnes, tidak ada lagi kontraktor yang boleh dimegahkan pencapaiannya dan hilang lenyaplah usahawan-usahawan yang ingin meningkat maju.

Seperti kata Tun Dr. Mahathir, bangsa Melayu masih lagi bertatih untuk bergerak maju dalam semua lapangan hidup baik sosial, pendidikan, ekonomi atau politik. Ekonomi negara bukannya kita kuasai, sosial juga kita bermasalah dan pendidikan tidak banyak mengubah nilai dan sikap Melayu. Yang tinggal cuma kuasa yang diperoleh melalui politik. Itupun sedang bergeluat dengan persaingan mendapat pangkat dan jawatan.

Apakah keputusan kerajaan ini mempunyai muslihat tertentu?

Barangkali kerajaan tidak lagi memilih siapa yang akan dianugerahkan biasiswa sebaliknya setiap orang rakyat Malaysia yang layak berhak menerimanya. Jika keadaan itu berlaku, lebih baik hak istimewa Melayu yang dimaktubkan dalam perlembagaan dihapuskan sedikit demi sedikit supaya wujud persaingan yang lebih terbuka. Ia juga akan mempercepatkan proses berdikari di kalangan bangsa itu supaya sedar bahawa setiap kejayaan adalah dengan usaha sendiri.

Bilangan pelajar Melayu dan bumiputera yang cerdik dan pintar semakin bertanbah kerana peluang yang diberikan oleh kerajaan malalui program yang dirancang khusus. Ini kerana masih terdapat perancang polisi dalam kerajaan yang sangat kuat dengan semangat membina kemajuan bangsa sendiri. Mereka inilah yang berfikir dan bertindak bagi menjamin masa depan anak-anak bangsa ketika ahli politik Melayu bercakap tentang harapan masa depan yang belum tentu akan dicapai.

Keputusan yang diumumkan ini sangat tidak bijak dan melemahkan semangat pejuang-pejuang pendidikan anak bangsa Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak. Keyakinan terhadap kerajaan bagi membela pendidikan mereka akan luntur. Jadi, kepada siapa lagi mereka hendak menaruh harapan?

No comments:

Post a Comment