Sunday, June 22, 2008

13 Mei Dokumen-dokumen deklasifikasi tentang rusuhan 1969 Malaysia

Penulis: Kua Kia Soong
Tahun: 2008
Penerbit: Suaram Komunikasi, Petaling Jaya, Selangor
Muka surat: 165

Penulis buku ini, Kua Kia Soong bersungguh-sungguh meyakinkan pembaca bahawa peristiwa 13 Mei 1969 adalah sebuah rusuhan terancang orang-orang Melayu. Kenyataan beliau boleh dirujuk pada muka surat 74 iaitu "rusuhan 1969 ialah kerja penjahat-penjahat Melayu yang disusun atur oleh ahli politik di belakang kudeta."

Membaca buku ini menjadikan pemikiran kita berlegar-legar untuk mengetahui latar belakang penulis itu sendiri. Di kulit belakang diberikan maklumat ringkas penulis yang pernah ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987 dan ditahan selama 445 hari, menjadi pengarah SUARAM (Suara Rakyat Malaysia) dan pernah dipilih menjadi ahli parlimen kawasan Petaling Jaya dari 1990 hingga 1995 di bawah tiket pembangkang. Kia Soong mendapat pendidikan dalam bidang ekonomi dan sosiologi di Britain. Pendedahan beliau sangat luas di Britain sendiri dan juga di Singapura. Beliau juga menjadi pengetua New Era College, Kajang, Selangor.

Terdapat lima bab yang menerangkan keadaan pada hari kejadian 13 Mei 1969 yang mana sumber rujukan utama buku ini ialah pejabat Rekod Awam, London. Ianya melibatkan pegawai-pegawai Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia Barat dan Timur, pejabat Negara Asing dan Komanwel serta Kementerian Pembangunan Luar Negeri. Bahan-bahan berkenaan diperolehi melalui mesyuarat diplomat, bahan-bahan risikan, laoran kakitangan agensi dan liputan media.

Kia Soong juga lebih kerap merujuk laporan yang ditulis oleh wartawan dari Far Eastern Economic Review (FEER).

Bab pertama mengulas tentang formula parti Perikatan yang bersifat perkauman dengan membentangkan fakta bahawa Suruhanjaya Reid menyokong hampir semua syor Perikatan seperti hak istimewa Melayu, bahasa Inggeris dan Melayu sebagai bahasa rasmi dan prinsip kewarganegaraan jus soli bagi semua yang dilahirkan selepas 1957. Kia Soong menuduh British telah menyokong tuntutan hak istimewa Melayu oleh UMNO, justeru itu beliau menganggap Perlembagaan Malaysia telah menginstitusikan politik perkauman sebagai ideologi kerajaan.

Bab kedua berkaitan pilihan raya 1969 yang menerangkan secara ringkas keputusan pilihan raya berkenaan dan percaturan politik parti-parti yang bertanding. Apa yang hendak disampaikan oleh Kia Soong ialah Perikatan tewas dengan teruk kepada pembangkang.

Bab ketiga ialah mengenai rekod rusuhan yang diperolehi daripada Jabatan Rekod Awam dan laporan wartawan asing yang menyatakan terdapat satu rancangan menghimpunkan penjahat muda Melayu dari seluruh negeri Selangor. Kia Soong membentangkan kronologi peristiwa berkenaan bermula dari 13 Mei hingga 28 Mei. Setiap hari kejadian, Kia Soong memberi tajuk utama seperti "Kebanyakan mangsa orang Cina," "Darurat diisytiharkan" dan "Tentera berat sebelah menentang orang Cina. " Situasi yang berlaku pada Jun dan Julai 1969 juga dihuraikan tetapi lebih kepada usaha kerajaan untuk mengawal kekacauan dan menyalahkan peranan tentera yang diberi tanggungjawab menjaga keamanan.

Bab keempat adalah berkaitan penilaian negara asing apabila Tunku Abdul Rahman menyerahkan urusan pentadbiran kepada Tun Abdul Razak. Kia Soong memasukkan topik penangguhan pilihan raya di Sarawak, rancangan Tun Abdul Razak selepas rusuhan, keperluan senjata, penilaian dari Thailand dan Singapura serta tindak-tanduk sukarelawan British. Indonesia sangat gembira dengan berita berkenaan yang berharap "Malaysia Melayu" akan menjadi lebih rapat dengan Indonesia. Jeneral Suharto menghantar perutusan tahniah selepas mengetahui perkembangan yang diambil oleh kerajaan selepas 13 Mei itu. Manakala kerajaan China mengambil pendekatan berhati-hati kerana tidak mahu menanggung risiko perasaan anti Cina yang sedang meluap-luap ketika itu.

Bab terakhir berkaitan kelas pemerintah Melayu baru yang mana Kia Soong merumuskan bahawa rusuhan 13 Mei 1969 membolehkan kelas pemerintah kapitalis yang mengawal Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) memegang tampuk kuasa. Beliau menyifatkan Tun Abdul Razak sebagai pemimpin elit Melayu baru yang menenggelami kepimpinan Tunku Abdul Rahman. Kia Soong secara terus-terang menuduh pelaksanaan dasar ekonomi, pendidikan dan kebudayaan yang bersifat diskriminasi dan tertumpu kepada kepentingan Melayu. Dasar-dasar ini juga katanya telah membantu kapitalis Melayu mengumpul harta kekayaan mereka.

Ulasan Editor: Soalan pertama yang muncul di fikiran penyelidik ialah apakah motif sebenar dan terselindung yang cuba disampaikan oleh Kia Soong. Beberapa istilah yang ditekan berulang kali ialah "penjahat-penjahat Melayu," "Melayu Baru," "kerjasama pihak tentera" dan 'hak istimewa Melayu" sangat menarik untuk dianalisis bagi mengurai motif penulisan ini dihasilkan.

Kandungan buku ini memuatkan huraian 13 Mei daripada perspektif berbeza dengan menjadikan dokumen yang diklasifikasi sebagai rujukan utama. Semua dokumen ini terdapat di pejabat Rekod Awam, London tanpa ada satu pun rujukan yang didapati daripada pihak berkuasa Malaysia.

Tulisan Kia Soong boleh dikatakan berpunca daripada sikap dan cara berfikirnya yang menyalahkan Melayu. Berpengalaman ditahan di bawah ISA, beliau sebenarnya mendedahkan kekecewaannya terhadap ketidakupayaan Cina bagi mengatasi sesuatu konflik sehingga mengundang campur tangan luar. Menuduh penjahat-penjahat Melayu sebagai pencetus rusuhan bolehlah dikatakan sebagai lambang kepada minda melepaskan diri daripada kekecewaan tersebut.

Pemikiran Kia Soong juga penuh prasangka buruk iaitu salah satu daripada ciri-ciri orang yang kecewa. Beliau menulis pada muka surat 100 yang berbunyi: Rekod-rekod menunjukkan bahawa rusuhan 13 Mei telah dirancang dan dikelolakan dengan teliti. Maksudnya ialah perancang dalam rusuhan berkenaan ialah golongan Melayu baru yang dipimpin oleh Tun Abdul Razak. Prasangka ini dikuatkan dengan hujah-hujah "meminda perlembagaan untuk memformalkan Melayu, meminggirkan orang Cina dan mengetepikan Tunku Abdul Rahman."

Prasangka buruk dan marah Kia Soong kepada Melayu tidak tertahan lagi apabila menuduh askar Rejimen Melayu Diraja bekerjasama dengan kerajaan dan polis menyebabkan ramai orang Cina menjadi mangsa pembunuhan. Kia Soong tidak pun menyebut penjahat-penjahat Cina kerana di dalam fikirannya, perarakan kemenangan parti DAP dan Gerakan sambil membawa sepanduk berbau komunis dan membawa sekali penyapu besar di jalan utama di Kuala Lumpur tidak memberi kesan kepada ketegangan kaum.

Tunku Abdul Rahman dalam buku "13 Mei Sebelum dan Selepas" menceritakan dengan terperinci apa yang berlaku ketika perarakan berkenaan tetapi Kia Soong tidak pun menyentuh dengan tegas kejadian tersebut.

Walaupun Kia Soong mendakwa sumber rujukannya sangat boleh dipercayai tetapi terdapat rujukan yang berat sebelah dan bersifat dengar cakap. Contohnya beliau memetik rencana pengarang Bangkok World pada 26 Mei 1969 yang menyimpulkan bahawa "dasar-dasar diskriminasi kaum yang bertanggungjawab ke atas pertelingkahan; rusuhan ini mempunyai satu tujuan dan rancangan serta suasana gembira selepas pilihan raya bukan sebab yang mencetuskan rusuhan." Rujukan ini sangat lemah kerana Bangkok pada hari telah melaksanakan dasar-dasar diskriminasi yang sangat berat sebelah di Selatan Thailand yang dihuni oleh lebih lima juta orang Melayu Islam. Dasar-dasar berkenaan menyebabkan lebih 3,300 mangsa yang terbunuh termasuk hampir 100 orang di Tak Bai. Apakah dasar diskriminasi tersebut tidak mempunyai sebab dan tujuan tertentu?

Kia Soong sangat terkilan dengan Jeneral Suharto yang merasa gembira dengan perkembangan pemulihan selepas 13 Mei kerana beliau tidak setuju dengan pandangan Suharto yang menyebut "orang Cina ialah orang Cina sama ada mereka berada di China, Taiwan dan Singapura atau di mana saja."

Membuka kembali lembaran sejarah rusuhan 13 Mei 1969 dengan tujuan menyalahkan orang lain, menyalahkan keompok kaum tertentu atau menyalahkan pasukan tentera adalah motif utama Kua Kia Soong supaya generasi Malaysia pada masa depan tidak menyalahkan golongan komunis yang sebilangan besar terdiri daripada orang Cina.

Kia Soong tidak mahu sejarah menyalahkan orang Cina sebaliknya mendendami orang Melayu, pemimpin-pemimpin Melayu dan apa-apa yang dikaitkan dengan Melayu seperti bahasa Melayu dan agama Islam. Beliau begitu marah dengan Melayu sehingga menimbulkan satu soalan: Apakah asas asal keistimewaan Melayu diletakkan dalam perlembagaan?

Kegigihan dan kesungguhan Kia Soong menulis mengenai hak-hak kemanusiaan sangat baik. Kerajinannya mencari sumber rujukan di London tentunya telah melalui susah payah yang berpanjangan. Usahanya untuk membuktikan "Melayu adalah salah" adalah corak pemikiran pemimpin yang ketinggalan zaman.

Ketika ini generasi muda Malaysia lebih terbuka fikirannya kesan daripada dasar liberal dan terbuka serta kesan globalisasi. Pemikiran cetek dan berbau perkauman yang dianuti Kia Soong tidak lagi sepadan dengan semangat dan keperluan rakyat Malaysia. Pada masa depan politik perkauman akan diketepikan sedikit demi sedikit kerana berkongsi kekayaan dan keamanan adalah lebih baik daripada merusuh dan menimbulkan huru-hara.

Dalam jangka masa panjang, rakyat Malaysia seperti Kua Kia Soong akan pupus kerana tidak dapat menerima realiti bahawa Malaysia sedang menuju perhubungan etnik yang lebih baik. Akan sampai masanya hak istimewa Melayu akan dikurangkan dan ketika itu persaingan tentulah berdasarkan keupayaan dan kebolehan masing-masing. Menyalahkan orang lain hanya menimbulkan kebencian yang berkekalan.

Jadi kita ingin bertanya kepada Kia Soong: Apakah asas asal Kia Soong mendapat kerakyatan Malaysia disisi perlembagaan?

No comments:

Post a Comment