Friday, June 13, 2008

Nilai semula jumlah bantuan golongan memerlukan

Oleh Siti Fatimah Abdul Rahman

Kenaikan harga bahan api yang berlaku secara mendadak pada kadar yang tinggi seperti diumumkan baru-baru ini, amat mengejutkan banyak pihak.

Jika kita mahu merungut mengenainya, memang banyak perkara yang boleh dirungutkan seperti: "Mengapa ia dibuat secara mendadak?"; "Kenapa rakyat tidak diberi amaran lebih awal?"; "Kenapa rakyat tidak disediakan dalam masa sebulan dua?"; "Mengapa kadar kenaikan itu terlalu tinggi?"; dan sebagainya.

Namun, hakikatnya ialah kenaikan itu telah berlaku dan ia menjadi sebahagian daripada hidup kita mulai 5 Jun lalu.

Malah, rakyat perlu sentiasa bersedia dengan turun naik harga bahan api bila mana kerajaan terpaksa menaikkan juga harganya mengikut harga pasaran global pada tahun hadapan.

Kenaikan harga bahan api membawa bersamanya peningkatan harga barang-barang keperluan yang lain. Apabila harga barang meningkat, kuasa beli kita akan menurun.

Dalam kerangka harga petrol, jika sebelum ini dengan wang sebanyak RM50 kita boleh membeli sebanyak 26 liter petrol, tetapi kini, dengan jumlah wang yang sama, kita hanya dapat membeli lebih kurang 18 liter petrol sahaja. Demikianlah menyusutnya nilai wang RM50 kalau kita membeli petrol.

Sebagai pengguna, apa pilihan yang kita ada? Sebenarnya, kita ada dua pilihan. Pertama, untuk memastikan kita mendapat jumlah petrol yang sama bagi memenuhi keperluan bulanan, kita perlu menambah peruntukan untuk membeli petrol. Maknanya, kalau dulu kita memperuntukkan RM300 sebulan untuk tujuan ini, kini kita perlu tambah 40 peratus lagi peruntukannya iaitu sebanyak RM120.

Pilihan ini mudah untuk dilaksanakan bagi mereka yang ada lebihan pendapatan. Bagi yang tiada lebihan pendapatan, apa pilihan yang mereka ada?

Apa yang boleh dilakukan oleh golongan ini ialah mencukupkan penggunaan bahan api itu mengikut jumlah yang mampu mereka beli. Katakanlah mereka biasa mengisi petrol sebanyak RM50 seminggu. Maka, mereka perlulah 'pandai-pandai' mencukupkan 18 liter petrol untuk penggunaan selama seminggu walaupun ini bermakna mereka perlu berjalan kaki untuk mencari makan tengahari atau tidak boleh membawa anak dan isteri ke mana-mana pada hujung minggu.

Dalam kata-kata lain, golongan ini perlu mengubah cara hidup mereka - satu saranan yang amat wajar, walaupun saranan ini boleh menaikkan kemarahan ramai pihak.

Saranan ini menaikkan kemarahan ramai pihak kerana sebenarnya kebanyakan rakyat telah lama mengubah cara hidup mereka. Ada yang telah lama membawa bekal ke pejabat. Bukan satu, tetapi dua bekal. Satu untuk sarapan dan satu lagi untuk makan tengah hari. Malah, ada yang hanya mampu makan satu hidangan sehari sahaja ketika di pejabat. Begitu juga, ada yang telah lama memasukkan daun pandan ketika memasak beras murah yang mengeluarkan bau yang kurang enak bila ditanak.

Bagi golongan ini, bila ada yang mencadangkan agar mereka mengubah gaya hidup pastinya mereka marah kerana perubahan yang bagaimana lagi yang kita harap mereka lakukan?

Dalam keadaan yang seperti ini, badan-badan kebajikan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal dan Pusat Pungutan Zakat perlu mengambil daya usaha yang lebih giat untuk memastikan golongan sasaran dapat dibantu.


Satu perkara yang boleh dijangkakan ialah bahawa jumlah kumpulan sasaran akan semakin bertambah dengan pesat. Betapa tidak, jika dahulu dengan wang RM100 pelbagai keperluan dapat dibeli, tetapi kini tidak lagi. Maka, kajian semula ke atas had kifayah, yakni kadar keperluan asas yang ditetapkan bagi mereka yang layak dibantu, perlu dilakukan segera.

Dalam kata-kata lain, kayu ukur yang menentukan sama ada seseorang itu layak mendapatkan bantuan ataupun tidak, perlu dinilai semula pada kadar segera.


Sebagai contoh, jika dulu, had kifayah di kawasan bandar di negeri Selangor ialah RM750, maka kini ia amat perlu dinaikkan. Ini kerana dengan kenaikan harga barangan, mereka yang berpendapatan RM2,000 sebulan dengan lima orang tanggungan dan hidup di bandar, mungkin tergolong dalam kumpulan orang miskin yang berhak mendapat zakat.

Selain had kifayah, jumlah bantuan juga perlu dinilai semula untuk memastikan jumlah bantuan yang diberi itu benar-benar membantu golongan sasaran. Bantuan sebanyak RM200 mungkin besar nilainya lima tahun lalu tetapi kini nilainya semakin menyusut.

Dalam kerangka inilah, badan kebajikan yang berfungsi untuk menjaga kesejahteraan golongan yang tidak berkemampuan, perlu mengambil daya usaha yang bersungguh-sungguh bagi memastikan nasib golongan sasarannya terbela. Jika tidak, badan-badan ini akan hilang manfaat, kepentingan serta menjadi tidak lagi relevan dengan keadaan semasa.

[Utusan Online, 13/06/2008]

No comments:

Post a Comment