Banyak bercakap
Banyak bercakap adalah suatu sifat yang tercela. Apabila banyak bercakap, kemungkinan besar akan terkeluar dari mulut perkataan-perkataan yang sia-sia, perkataan yang menyebabkan hati menjadi gelap. Malah ada kalanya membawa kepada mati hati.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud,
"Tidak ada yang menyebabkan manusia tersembam di atas muka mereka ke dalam neraka melainkan dosa yang dihasilkan oleh lidah mereka." [Riwayat Tarmizi]
Sabda baginda lagi,
"Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia bercakap yang baik-baik atau berdiam diri."
Sabdanya lagi,
"Sesiapa yang menjamin bagiku apa yang di antara tempat misai dan janggutnya (mulut/lidah) dan apa di antara dua kakinya (kemaluan) nescaya aku jamin syurga untuknya." [Riwayat Bukhari]
Ketika hendak bercakap perkara-perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah, hendaklah difikirkan bahawa jika kita menyebut Allah Ta'ala iaitu berzikir, berselawat, beristighfar, bertahlil, bertahmid, berdoa dan sebagainya untuk menggantikan perkataan yang tidak berfaedah berkenaan, insya Allah kita akan mendapat untung yang sangat besar kerana berzikir itu adalah umpama sepotong emas dan perkataan yang sia-sia itu ibarat seketul tanah yang keras.
Jadi adalah wajar bagi kita yang berakal untuk mengambil ketulan emas dan meninggalkan tanah keras yang tidak berharga.
Sekiranya perkataan yang hendak dicakapkan itu mengandungi dosa, ianya adalah umpama sepotong api yang menyala-nyala dan panas membakar. Orang yang waras tidak akan meninggalkan emas kerana dia tahu emas sangat berharga.
Antara contoh kata-kata yang berdosa ialah: berdusta, mengumpat, berbantah-bantah, mengejek, mencerca, berseloroh dengan kata-kata yang menyakitkan dan menimbulkan kemarahan serta dendam, memuji-muji yang menjadi punca kebinasaan kepada yang dipuji dan mengungkit-ungkit sesuatu perkara yang telah lama dilupai. Adapun yang tidak merosakkan, ianya tidaklah terlarang begitu juga berseloroh seperti pernah nabi berseloroh kepada seorang perempuan tua dengan katanya: "tidak masuk syurga perempuan yang tua" atau dengan maksud lain ialah semua penghuni syurga adalah muda-muda belaka.
No comments:
Post a Comment