Kerajaan Malaysia tetap dengan pendirian untuk tidak mengubah keputusan menaikkan harga bahan bakar minyak petrol dan diesel. Alasan kukuh ialah tidak mahu menanggung subsidi yang melibatkan satu per tiga daripada perbelanjaan negara dalam masa setahun. Subsidi minyak yang telah dinikmati oleh rakyat Malaysia mula diperkenalkan pada tahun 1982 bagi mengurangkan beban rakyat ketika itu.
Sebelum ini kerajaan sentiasa memastikan harga produk petroleum lebih rendah melalui pemberian subsidi dan pengecualian cukai jualan kepada pengguna. Bagaimanapun jumlah tanggungan subsidi semakin besar sekiranya harga minyak mentah dunia terus meningkat. Sekiranya jumlah sibsidi dan pengecualian cukai jualan terus bertambah, wang yang ada untuk tujuan pembangunan dan subsidi untuk sektor lain terpaksa di kurangkan.
Tujuan kerajaan memberi subsidi minyak adalah untuk mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Sebaliknya, subsidi lebih banyak dinikmati oleh golongan kaya yang menggunakan kenderaan mewah berbanding dengan golongan sasar yang hanya menggunakan kereta berkuasa kecil dan motosikal.
Bagi membiayai subsidi petrol dan diesel serta pembangunan negara, Petronas menyumbang RM48.3 bilion dalam bentuk cukai, dividen dan royalti pada tahun 2007. Jumlah ini adalah 66.2 peratus daripada keuntungan kasar.
Peningkatan harga minyak kepada USD139 setong adalah jumlah harga yang sangat tinggi bagi negara-negara membangun dan negara dunia ketiga. Negara-negara di benua Afrika sedang berhadapan dengan kemelaratan hidup kerana kemiskinan semakin kritikal disebabkan rantaian kenaikan harga minyak turut mempengaruhi harga barang-barang keperluan seharian yang lain. Negara-negara di Asean juga menghadapi kenaikan harga barang keperluan seperti di Indonesia dan Filipina. Rakyat di negara-negara itu mengadakan mogok yang meminta kerajaan mengkaji semula kenaikan harga minyak di samping memberi subsidi atau rebat kepada barang-barang keperluan lain.
Kenaikan harga minyak mentah dunia berlaku kerana permintaan minyak mentah yang tinggi dari China dan India. Pada 2007, bekalan minyak mentah ialah 84.9 juta tong sehari sedangkan permintaannya ialah 85.9 juta tong. Keadaan geopolitik yang tidak stabil dan tidak menentu di beberapa negara OPEC seperti Iran dan Iraq yang menjejaskan pengeluaran minyak mentah. Selain itu, aktiviti spekulasi pembelian minyak mentah masa hadapan (futures trading).
Baru-baru ini kerajaan Malaysia turut mengikut jejak langkah yang sama. Walaupun keluhan demi keluhan dimuatkan di dalam media massa, kerajaan tetap mempertahankan kenaikan harga berkenaan. Kesan ketara kenaikan 40 peratus itu ialah kerajaan Barisan Nasional tidak menjadi popular. Kesempatan ini digunakan oleh Pakatan Rakyat yang berikrar untuk menurunkan harga minyak jika diberi kuasa membentuk kerajaan.
Pertembungan pendapat sebegini tidak menyelesaikan masalah kenaikan harga petrol dan diesel kerana yang menanggung beban sengsara ialah rakyat Malaysia. Dengan mengguna pakai sistem kapitalis yang mengutamakan keuntungan dan mengesampingkan kebajikan rakyat, padah sesuatu krisis akan terus menjadi beban. Ketika mewah dan hidup senang, negara lebih cenderung membazirkan wang dalam pentadbiran dan tidak cekap menguruskan perbendaharaan negara. Kesannya ialah ketika barang-barang keperluan semakin mahal harganya dan perlu membayar lebih bagi mendapatkannya.
Islam telah memberi panduan menguruskan wang dan sumber pendapatan di peringkat individu, masyarakat dan negara. Dalam surah Al-Furqan ayat 67, Allah swt berfirman yang bermaksud;
"Dan (termasuk hamba-hamba Tuhan yang Maha Pengasih) orang-orang yang apabila menginfakkan (harta), mereka tidak berlebihan dan tidak pula kedekut sebaliknya berbelanja secara sederhana."
Ayat ini jika dilihat dari ruang lingkup yang lebih luas, ia memberi panduan umum tetapi sangat jelas tentang pentadbiran yang sepatutnya dilaksanakan apabila mempunyai harta dan kekayaan. Konsep tidak berlebihan dan tidak kedekut merujuk kepada sifat-sifat yang mesti ada di dalam diri pemegang kekayaan supaya mereka tidak menghadapi beban kewangan jika berhadapan dengan kemelesetan ekonomi.
Manakala belanja secara sederhana adalah panduan yang amat relevan sepanjang masa. Konsep sederhana dalam pengurusan kewangan tentulah mengikut kekayaan masing-masing. Pendapatan besar dengan caranya dan pendapatan kecil dengan caranya tersendiri.
Dalam konteks yang lebih luas, krisis harga minyak sekarang mungkin berlaku kerana prinsip pengurusan di peringkat global tidak menepati etika yang disarankan di dalam al-quran. Negara-negara kaya sangat mewah kehidupan rakyat mereka sedangkan negara-negara miskin dan papa kedana terpaksa menahan lapar dan susah.
Ketika rakyat Amerika Syarikat dan Eropah menikmati hidangan makanan yang sedap dan menyelerakan, rakyat negara Chad dan Habsyah terpaksa makan sup jagung dan bubur dengan berkongsi periuk dan mangkuk. Antara dua darjat yang berada di hadapan mata kita menjelaskan bahawa Islam datang dengan konsep kehidupan yang sederhana.
Begitu juga dengan harta kekayaan. Allah swt hanya meminjamkan harta berkenaan supaya dapat diuruskan sebaik-baiknya untuk manfaat masyarakat. Justeru, negara-negara kaya ketika ini sedang diuji dengan dua perkara: bakhil dan boros. Jika kedua-dua amalan buruk ini menjadi keutamaan negara-negara kaya, tentu suatu hari nanti mereka akan menjadi miskin dan hidup dalam kemelaratan.
Islam mendidik umatnya untuk berbelanja secara sederhana supaya masa-masa susah ketika krisis dapat dilalui dengan rasa bahagia.
Saban hari hari orang bertanya kepada kerajaan ke mana perginya pendapatan minyak negara yang banyak dan bagaimana kerajaan menguruskannya. Kerajaan yang prihatin terhadap rakyat akan mengutamakan kebajikan, bukannya meminta rakyat menanggung beban akibat pengurusan ekonomi yang boros dan membazir. Panduan daripada al-quran tersebut boleh menjadi pendorong kepada pengurusan ekonomi negara yang lebih berhemah dan diredhai.
No comments:
Post a Comment