Thursday, June 05, 2008

Urus beban kos minyak

Oleh Mohd. Khuzairi Ismail

Selepas sekian lama menikmati bahan bakar, makanan dan barangan komoditi pada harga yang relatifnya lebih rendah berbanding negara lain di dunia, rakyat kini perlu menerima hakikat bahawa keistimewaan daripada subsidi itu meskipun masih ada, namun tidak sama dengan apa yang dinikmati sebelum ini.

Paling ketara, kesan itu akan terasa secara rasminya bermula hari ini, seiring dengan pengumuman kenaikan harga petrol dan diesel yang agak tinggi iaitu masing-masing 78 sen dan RM1.

Apa yang diharapkan dalam pelaksanaan mekanisme subsidi baru itu, kerajaan benar-benar telah mengenal pasti kumpulan sasaran yang selayaknya menikmati menerusi pengelasan penduduk sama ada berpendapatan rendah, sederhana atau tinggi.

Daripada pengelasan itu pula, perlu juga diambil kira ialah jumlah tanggungan dan pendapatan isi rumah serta kos sara hidup yang boleh disetarakan dengan kawasan tempat tinggal sama ada di bandar, pinggir bandar atau luar bandar.

Aspek lain yang wajar diperhatikan adalah terdapat rakyat berpendapatan rendah atau miskin yang turut tinggal di bandar, dan bukan sedikit pula penduduk di luar bandar atau pinggir bandar yang kaya-raya.

Daripada perspektif pengguna, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh rakyat dalam menangkis kenaikan harga minyak dan bahan makanan dunia meskipun sering diingatkan untuk lebih berjimat cermat.

Lebih kepada mangsa percaturan ekonomi dunia, rakyat sebenarnya sangat bergantung kepada kebijaksanaan kerajaan dalam memastikan nilai ringgit mereka masih tinggi di sebalik kenaikan harga tersebut.

Justeru, mekanisme subsidi baru yang diumumkan kerajaan memerlukan satu bentuk sokongan dan timbal balas positif yang segera buat rakyat bagi mengelak timbulnya situasi yang tegang apatah lagi pelaksanaannya memakan masa yang panjang.

Bagi pensyarah ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah, di sebalik debar dan gusar menerima harga baru bahan bakar itu, perasaan rakyat perlu diredakan dengan satu jaminan yang positif oleh kerajaan.

Jaminan itu jelas beliau, adalah kesediaan kerajaan untuk menurunkan kembali harga minyak kepada paras yang dinikmati oleh rakyat sebelum ini sekiranya harga minyak mentah dunia turun ke paras sewajarnya.

Apatah lagi, jaminan itu sangat diperlukan oleh pengguna tertentu yang sedia berkompromi untuk membeli petrol mengikut harga pasaran dalam penstrukturan subsidi baru yang diperkenalkan kerajaan.

"Rakyat perlu diyakinkan bahawa kerajaan bersedia untuk mengkaji bagi memberikan semula subsidi seperti sebelum ini sekiranya harga minyak mentah mencatatkan paras yang difikirkan wajar dan sesuai. Fleksibiliti sebegini selain membina tanggapan positif rakyat terhadap kerajaan, turut memastikan daya tarikan pelabur asing ke negara ini kekal tinggi," katanya.

Haim Hilman menambah, pengapungan harga minyak seperti dilaksanakan kerajaan dalam membendung kenaikan harga petrol sewajarnya ditampung dengan kecekapan sistem pengangkutan awam.

Alternatif

Rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah katanya, perlu disediakan alternatif kepada kenaikan harga petrol dengan pilihan kepada pengangkutan awam yang berkesan dan mesra pengguna.

Malangnya jelas beliau, isu itu tidak diberi perhatian dan dibincangkan dengan serius oleh kerajaan sebaliknya rakyat dikejutkan dengan hasrat syarikat pengusaha bas yang bercadang untuk menaikkan harga tiket sehingga 100 peratus, baru-baru ini.

"Apa yang boleh dilaksanakan kerajaan adalah merangka satu mekanisme dalam menyalurkan subsidi dengan jumlah yang sewajarnya bagi meningkatkan kecekapan pengangkutan awam sehingga mampu menarik rakyat menjadikannya sebagai salah satu pilihan," ujar beliau.

Dalam mengurus peruntukan subsidi yang kini berjumlah RM56 bilion pula, kerajaan tambah Haim Hilman, perlu menilai semula projek-projek yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia Kelapan dan Kesembilan (RMK-8 dan RMK-9) dengan memberi tumpuan kepada projek utama yang berkaitan dengan rakyat.

Di samping memastikan pelaksanaan setiap projek itu berjalan lancar dan menepati kumpulan sasaran, ia juga perlu bebas daripada unsur rasuah dan mengelak wujudnya ketirisan oleh mana-mana pihak.

Pentingnya mengawal ketirisan itu ujar beliau, bertujuan memastikan perbelanjaan projek itu diurus tanpa pembaziran dan lebih utama memberikan hak yang sewajarnya kepada wang rakyat yang digunakan.

"Kerajaan dalam memastikan langkah penjimatan dalam pelaksanaan projek RMK-8 dan RMK-9 ini boleh menubuhkan sebuah jawatankuasa profesional yang akan memantau setiap pelaksanaan projek pembangunannya," jelasnya.

Haim Hilman turut mencadangkan antara satu usaha mega yang boleh diambil kerajaan adalah melancarkan kempen yang berkonsepkan sektor swasta berganding bahu dengan kerajaan dalam memastikan harga barang kekal murah.

Mengambil tema 'Industri Bersama Kerajaan' sebagai contoh, kempen itu jelas beliau, boleh dilaksanakan dengan kerajaan memberikan insentif tertentu kepada syarikat dan industri yang sanggup mengekalkan harga barangan atau menjual dengan lebih murah.

Antara insentif yang difikirkan sesuai ialah pengecualian cukai yang lebih besar, pinjaman modal perniagaan dengan bentuk bayaran semula yang menarik serta keutamaan dalam promosi kerajaan di peringkat antarabangsa.

Kerajaan pada peringkat ini juga tambah beliau, wajar memastikan rakyat tidak terus terbeban dengan kenaikan perkhidmatan utiliti lain terutamanya takrif elektrik dan air.

Kenaikan harga bahan bakar tidak seharusnya dijadikan alasan oleh syarikat penyedia utiliti bertaraf syarikat milik kerajaan (GLC) yang sudah sedia mengaut keuntungan berbilion ringgit, dengan menjadikan pengguna sebagai mangsa dalam mengekalkan keuntungan mereka.

"Syarikat-syarikat ini juga perlu diajak dalam agenda atau kempen 'industri bersama kerajaan' dalam membendung kenaikan harga barang di samping memberi penekanan kepada mereka mengenai aspek tanggungjawab sosial kepada masyarakat," katanya.

Ketika ditanya apakah kemungkinan harga minyak mentah di pasaran dunia akan turun bagi membolehkan kerajaan mengembalikan semula subsidi petrol seperti asal, Haim Hilman menjelaskan, kenaikan mendadak harga bahan bakar itu sebenarnya banyak dicetuskan oleh spekulasi.

Walaupun hakikat bahawa minyak mentah ketika ini semakin berkurangan tidak boleh dinafikan, namun penyusutan bahan bakar itu boleh ditampung sekiranya pengagihannya di peringkat global diuruskan secara sistematik.

Atas keperluan itu katanya, selain melaksanakan strategi subsidi bagi keperluan dalam negara, Malaysia juga boleh memainkan peranan yang bersifat global dengan membawa usul berkenaan mekanisme pengurusan minyak mentah yang sistematik ke peringkat antarabangsa. Antara yang boleh dicadangkan adalah mengkaji perbezaan keperluan minyak mentah setiap negara dengan mengenalpasti jumlah yang dihasilkan oleh negara pengeluar serta punca penyusutannya.

"Kerjasama serantau dan global ini amat penting kerana toleransi dan timbang rasa yang wujud di kalangan negara di seluruh dunia dapat memastikan negara yang miskin tidak akan terus miskin dan rakyat yang kebuluran juga tidak akan terus kebuluran," ujarnya.

Dalam pendekatan bersifat global mengekang kenaikan harga bahan makanan ekoran bekalan yang terhad pula, Haim Hilman berpendapat, kerajaan perlu memperluaskan jaringan kerjasama dengan negara-negara pengeluar dan tidak hanya memberi tumpuan kepada negara tertentu sahaja.

Mengambil contoh bagi bekalan beras misalnya, kerajaan tidak boleh bergantung kepada Thailand semata-mata sebaliknya perlu mengenal pasti negara pengeluar di belahan dunia lain.

"Begitu juga dengan bekalan gula, tepung dan minyak serta barangan komoditi lain yang memerlukan rantaian kerjasama perdagangan yang luas dalam memastikan bekalan stok penimbal negara sentiasa mencukupi seterusnya mengekalkan harganya di pasaran," jelasnya.


[Utusan Online, 5/06/2008]

No comments:

Post a Comment