Keputusan kerajaan menaikkan had kelayakan penerima elaun bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) daripada RM750 kepada RM1,200 sebulan sangat menggembirakan golongan itu. Ia diputuskan setelah mengambil kira beban yang perlu ditanggung oleh mereka seiring dengan kenaikan harga bahan bakar minyak dan makanan baru-baru ini.
Bantuan kepada golongan OKU yang bekerja adalah sebahagian daripada skim bantuan yang diwujudkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) bagi membantu mereka hidup berdikari dan mengurangkan beban keluarga yang menanggung mereka.
Tidak dapat dinafikan telah ramai OKU yang mendapat kemudahan ini untuk menguruskan hidup masing-masing dengan lebih bahagia. Walaupun tempoh bantuan selama setahun tetapi ia boleh disambung dari semasa ke semasa berdasarkan penilaian keperluan oleh JKMM.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Ng Yen Yen mendedahkan rekod OKU yang berdaftar dengan kementerian itu adalah hampir 220,000 orang. Namun begitu masih terdapat ramai lagi yang tidak tahu wujudnya skim ini dan mengharapkan bantuan orang lain bagi meneruskan hidup.
Kenapa mereka tidak tahu? Apakah peranan agensi kerajaan untuk mencari penerima bantuan yang layak? Sejauh mana pula peranan pertubuhan politik, pertubuhan bukan kerajaan atau persatuan penduduk untuk mencari mereka yang layak menerima bantuan di tempat masing-masing?
Ketika menjalankan penyelidikan di sebuah agensi kerajaan yang terlibat dengan bantuan berkenaan, penyelidik mendapat tahu ada pertubuhan bukan kerajaan khususnya dari masyarakat India yang sangat proaktif dan menunjukkan keprihatian mereka membantu golongan yang miskin dan dhaif untuk memohon bantuan berkenaan. Usaha mereka ialah memohon JKMM memberi taklimat berkaitan skim bantuan berkenaan supaya peserta yang dikenal pasti benar-benar sedar dan teruja memohon bantuan yang disediakan. Walaupun hanya taklimat kesedaran, usaha berkenaan dilihat dapat membantu masyarakat India yang miskin mendapat bantuan sara hidup untuk meningkatkan taraf hidup keluarga.
Namun begitu kesedaran rakyat Malaysia di semua peringkat hidup dirasakan masih rendah. Dalam hal skim bantuan ini, perkara utama yang harus diberi perhatian ialah mencari bakal penerima yang layak melalui kempen dan promosi skim. Panel penilai yang lengkap dengan kriteria pemilihan tentu dapat membuat pemilihan yang tepat siapa yang layak menerima bantuan berkenaan. Di sekeliling kita masih terdapat ramai golongan OKU yang berusaha keras menyara kehidupan masing-masing. Ada yang menjual kuih, menjahit baju dan menjual tisu di tepi jalan untuk mencari wang.
Sebagai individu pula, apakah sumbangan kita bagi menyedarkan OKU untuk mendaftarkan diri di Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri masing-masing?
No comments:
Post a Comment