Monday, June 23, 2008

13 Mei Sebelum dan Selepas

Penulis: Tunku Abdul Rahman
Tahun: 2007
Penerbit: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Kuala Lumpur
Muka surat: 195

Peristiwa 13 Mei 1969 adalah peristiwa yang sangat tragis berlaku dalam sejarah kewujudan Malaysia. Rusuhan kaum yang tercetus pada hari tersebut hampir memusnahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat. Tunku menyifatkan 13 Mei sebagai “satu pengalaman dan pengajaran yang tidak dapat kita semua lupakan buat selama-lamanya” kerana kesannya ke atas kestabilan politik dan ekonomi negara.

Terdapat berbagai-bagai tafsiran tentang punca rusuhan kaum yang berlaku di Kuala Lumpur ketika itu. Sebuah buku yang ditulis dan diterbitkan sebelum itu menyifatkan kapitalis Melayu sebagai dalang. Tetapi Tunku yang terlibat secara langsung sebagai pentadbir negara merumuskan bahawa rusuhan kaum berpunca daripada golongan pelampau dan golongan komunis. Kedua-dua kumpulan ini sentiasa berusaha mencetuskan kekacauan sejak merdeka lagi dengan terlibat dalam peristiwa hartal (1967), hukuman gantung (1968) dan pemulauan pilihan raya (1969), perarakan mayat pada 9 Mei dan perarakan kemenangan oleh parti-parti pembangkang pada 12 Mei 1969.

Pemerhatian dan analisis Tunku itu bersumberkan maklumat sahih daripada Polis Diraja Malaysia yang mengumpulkan bahan-bahan siasatan di samping pengalaman luas dan panjang sebagai perdana menteri. Inti pati huraian di dalam buku ini penuh dengan fakta yang tidak dapat disangkal lagi.

Dalam satu bab yang bertajuk “Mabuk Kemenangan,” dipaparkan gambar-gambar perarakan kemenangan Gerakan-DAP di Kuala Lumpur pada 12 Mei 1969. Begitu juga dengan keghairahan penyokong pembangkang yang menunjukkan penyapu gergasi sebagai simbolik menyapu orang-orang Melayu di Malaysia.

Elemen “ghairah dengan kemenangan” menonjolkan puak pelampau dalam Gerakan dan DAP yang bertujuan untuk mengeruhkan keadaan di Kuala Lumpur. Mereka cuba menimbulkan ketegangan dengan mengapi-apikan sentimen perkauman yang bakal memusnahkan perpaduan negara. Tindakan mereka turut mempengaruhi pelajar di Universiti Malaya dan Maktab Teknologi MARA. Para pelajar telah mengadakan tunjuk perasaan yang mengecam Tunku Abdul Rahman sebagai pengkhianat bangsa.

Tunku yang kecewa dengan penglibatan pelajar menyifatkan tindakan liar berkenaan adalah untuk menjayakan rancangan jahat menjatuhkan kerajaan seiring dengan kerja yang dilakukan oleh parti komunis di Indonesia dan Kumpulan Perpaduan Afro-Asian di Burma (Mynmar).

Apakah yang telah berlaku kepada Indonesia ketika Sukarno memerintah? Akibat terlalu tunduk kepada tekanan golongan pelampau, ekonomi Indonesia menuju kemusnahan. Modal pelaburan yang berpotensi tidak jadi dilaburkan, kilang perusahaan ditutup, pelabur-pelabur baru enggan melabur menyebabkan ekonomi negara tidak berkembang. Rakyat tidak mendapat pekerjaan dan nilai mata wang rupiah jatuh merudum.

Di akhir bab, Tunku menceritakan mimpinya yang luar biasa. Dia melihat tikus-tikus yang besar keluar dari lorong yang sempit, becak, berlumpur dan kotor dengan sampah sarap. Lalat-lalat hijau yang kotor pula keluar dari sebuah parit di sebelah kanan lorong berkenaan.

Beliau mentafsirkan tikus-tikus berkenaan sebagai komunis-komunis atau konco-konconya yang jahat manakala lalat-lalat hijau ialah surat yang ditulis oleh Dr. Mahathir yang tersebar beribu-ribu naskah. Kandungan surat berkenaan hanya ada satu tujuan iaitu menghina Tunku di hadapan rakyat dan membina perasaan benci orang ramai kepada kepimpinan Tunku. Tetapi bagi Tunku, tikus boleh dibunuh dan lalat-lalat hijau boleh diusir.

Ulasan Editor: Tarikh keramat 13 Mei 1969 sentiasa berada dalam sejarah perkembangan Malaysia. Tidak ada peristiwa buruk dan sedih berlaku kecuali 13 Mei yang meragut puluhan nyawa dan memusnahkan tempat tinggal masyarakat. Jika dibiarkan golongan pelampau dan pemimpin yang kemaruk kuasa untuk memerintah, keadaan seperti 13 Mei mungkin berlaku sekali lagi kerana ketamakan kuasa untuk menjadi pemimpin dan taksub kepada bangsa. Rakyat Malaysia telah cukup menderita ketika berjuang menempuh kemerdekaan dan membina jambatan persaudaraan sesama kaum.

Keupayaan rakyat Malaysia ketika ini sangat terserlah dalam pelbagai bidang dan kita tidak perlu lagi mengenang kedangkalan pencetus rusuhan kaum. Kita perlu melihat kehadapan dengan optimis kerana masa depan adalah milik rakyat Malaysia. Apa juga halangan kita rentasi dan bantu-membantu mengagihkan kekayaan negara. Yang lemah dipapah dan yang kuat menjadi pembela.

1 comment:

  1. Saya sudah membeli buku ini. Sememangnya buku ini wajib dibeli dan dibaca oleh seluruh rakyat Malaysia..

    ReplyDelete