Wednesday, June 11, 2008

Yang di-Pertuan Agong lambang perpaduan negara

Malaysia adalah salah sebuah daripada negara yang melaksanakan sistem raja berpelembagaan di mana Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua negara. Sistem ini telah berjalan dengan sempurna sejak negara mencapai kemerdekaan dan bebas menentukan corak pentadbiran sendiri. Britain, Sepanyol dan Thailand turut melaksanakan sistem raja berpelembagaan ini.

Masyarakat Melayu tidak dapat dipisahkan daripada raja atau sultan kerana kewujudan sesebuah kerajaan Melayu di Asia Tenggara bermula dengan sistem kesultanan. Empayar Melaka menjadi gah dan gemilang kerana sistem pentadbiran berasaskan khalifah Islamiah di mana sultan mempunyai kuasa dan pengaruh yang sangat kuat. Pada masa yang sama baginda juga menjadi ketua agama dan memantau perkembangan dakwah Islamiah di kawasan takluknya. Justeru kedudukan sultan sebagai pemerintah negara sangat dijunjung dan diiktiraf secara meluas kerana di bawah naungan baginda adalah agama Islam, bahasa Melayu dan adat istiadat Melayu. Jadi, kewujudan raja dan sultan tetap kekal relevan pada hari ini selagi agama, bahasa dan adat tradisi Melayu dikekalkan.

Peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam dan pelindung hak istimewa orang-orang Melayu telah dinyatakan secara jelas dalam perlembagaan Malaysia. Baginda adalah penjaga yang akan memastikan kedua-duanya berada dalam keadaan kuat dan utuh. Oleh kerana istimewanya institusi ini kepada masyarakat, semua rakyat Malaysia menghormati dan menumpahkan taat setia mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ada kebimbangan di kalangan masyarakat Melayu terhadap masa depan raja berpelembagaan di Malaysia. Ini kerana pengaruh globalisasi menyebabkan masyarakat terdedah kepada corak pentadbiran negara yang lebih berkesan dan cekap khususnya sistem republik berpresiden. Kebanyakan negara maju mengguna pakai sistem ini seperti Amerika Syarikat, Perancis dan Rusia. Bagaimanapun Britain dan Jepun tetap dengan sistem raja berpelembagaan yang menjadi kebanggaan mereka. Dalam pada itu, negara-negara Barat sentiasa mempromosi kebebasan bersuara dan berfikir sehingga mempengaruhi sebahagian besar pemikiran rakyat di negara-negara yang masih mempertahankan raja berpelembagaan.

Ada negara yang menolak terus sistem beraja atau monarki seperti yang berlaku di Nepal baru-baru ini. Raja negara itu diminta turun daripada tampuk pemerintahan negara dan rakyat menyambut baik keputusan berkenaan. Barangkali rakyat Nepal sudah serik dengan kongkongan raja dan memilih untuk menentukan masa depan sendiri. Akhirnya institusi raja berkubur di Nepal setelah lebih 200 tahun menjadi sebahagian daripada pentadbiran negara berkenaan.

Yang di-Pertuan Agong tidak dipilih secara pilihan raya sebaliknya ditentukan oleh sembilan orang raja Melayu yang menduduki Majlis Raja-Raja berdasarkan kaedah-kaedah yang dipersetujui. Pengundian dibuat secara sulit dan kertas undi yang digunakan dimusnahkan serta-merta selepas seorang calon terpilih.
Istimewanya Yang di-Pertuan Agong, Perkara 32(1) Perlembagaan Negara menetapkan baginda mengatasi segala orang di dalam persekutuan. Walau bagaimanapun baginda boleh meletak jawatan atau dipecat oleh Majlis Raja-Raja. Fungsi Yang di-Pertuan Agong juga akan terhenti jika dituduh atas sesuatu kesalahan.

Di Malaysia, peranan Yang di-Pertuan Agong dilihat daripada dua perspektif iaitu peranan umum ketua negara dan peranan khusus seperti yang dinyatakan dalam perlembagaan persekutuan.

Peranan sebagai ketua negara ialah melindungi negara dan perlembagaan, lambang kepada kuasa dan penyatuan masyarakat.

Dari sudut perlembagaan persekutuan, peranannya lebih jelas dan meyakinkan. Baginda merupakan kuasa pemerintahan, mengetuai angkatan tentera, menjaga hak istimewa Melayu dan bumiputera, kuasa mengisytiharkan darurat, memberi pengampunan kepada pesalah-pesalah jenayah dan mempunyai kuasa budi bicara berkait dengan penubuhan kerajaan persekutuan dan pembubaran parlimen. Selain itu, banyak lagi peranan yang dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.

Sistem raja berpelembagaan telah diterima baik oleh masyarakat berbilang kaum di Malaysia bagi mempastikan kestabilan dalam pentadbiran. Kewujudan institusi ini akan terus dipertahankan kerana tonggak kepada sebuah kerajaan yang adil, stabil dan maju ialah yang mampu mempastikan sistem yang dipilih berjalan dengan sempurna.

Setiap tahun, hari keputeraan rasmi baginda yang ditetapkan pada hari Sabtu minggu pertama setiap bulan Jun. Hari tersebut disambut dengan rasa bangga oleh rakyat Malaysia kerana baginda adalah lambang kekuatan dan keutuhan negara.

No comments:

Post a Comment