Penulis: Lee Ban Chen
Tahun: 2005
Penerbit: Strategic Information Research Development (SIRD), Petaling Jaya, Selangor.
Muka surat: 180
"Agenda Melayu atau Agenda Rakyat" adalah himpunan artikel di dalam Malaysiakini.com yang ditulis oleh Ban Chen dari awal Januari 2004 hingga Januari 2005 yang merangkumi 41 tajuk.
Artikel-artikel yang dimuatkan di dalam buku ini adalah untuk mengulas isu-isu semasa yang sering mendapat perhatian masyarakat seperti pentadbiran perdana menteri, perhimpunan agung UMNO dan pelaksanaan PLKN. Dalam erti kata lain, ia menyangkut isu-isu politik, ekonomi, sosial dan pendidikan negara.
Dr. Syed Husin Ali yang menulis kata pengantar pada awal buku ini bersetuju dengan Ban Chen mengenai pentingnya agenda rakyat dan ketuanan rakyat demi pembangunan negara.
Ban Chen sangat tertarik dengan perkembangan politik kerajaan dengan memuatkan penilaian ke atas pencapaian perdana menteri dan percaturan politik dalam UMNO. Huraian yang dinyatakan merupakan analisis ringkas tetapi dapat membuka pemikiran pembaca untuk mencari maklumat berkaitan prestasi perdana menteri di laman-laman web berkaitan.
Keprihatinan Ban Chen ke atas isu-isu dalam UMNO memberi mesej bahawa apa yang berlaku dalam perhimpunan agung parti berkenaan mampu mempengaruhi iklim pembangunan negara seperti agihan ekonomi, pendidikan yang berkesan dan keadilan sosial dalam masyarakat berbilang kaum. Walau bagaimanapun Ban Chen mengkritik pelaksanaan dasar "hak istimewa Melayu" kerana bersifat berat sebelah dan mewujudkan amalan kronisme dan korupsi.
Beliau juga mengkritik Dewan Bahasa dan Pustaka kerana gagal menangani "bahasa rojak" yang menghalalkan banyak istilah bahasa Inggeris.
Tajuk buku ini diambil sempena nama satu artikel pada muka surat 81 yang menyentuh mengenai perhimpunan agung UMNO ke-55. Beliau melihat agenda Melayu lebih sesuai diubah kepada agenda rakyat kerana dari segi ekonomi atau sosial, program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak seharusnya hanya mengutamakan orang Melayu sebaliknya termasuk juga golongan bumiputera lainnya. Ini kerana, masalah kemiskinan dan kemunduran lebih merupakan fenomena sosioekonomi berbanding fenomena kaum.
Ulasan Editor: Membaca tulisan orang yang berpengalaman seperti Ban Chen membantu pembaca melihat daripada perspektif berbeza. Ia juga membuatkan pembaca cuba untuk mencari jawapan supaya satu rumusan yang konkrit dapat diputuskan. Ban Chen cuba mengupas isu-isu yang diminatinya dari pandangan orang Cina kerana beliau lebih faham budaya Cina.
Walaupun artikel-artikel dalam buku ini menarik tetapi ia masih menekankan rasa tidak puas hati beliau ke atas dominasi Melayu dalam kerajaan dan melihat ketidakadilan sebagai masalah besar dalam pentadbiran negara.
No comments:
Post a Comment