Baru-baru ini sebuah sekolah di Massachusetts, Amerika Syarikat mendedahkan sekumpulan remaja ingin hamil dan membesarkan anak mereka bersama-sama. Pengetua Sekolah Tinggi Gloucester, Joseph Sullivan menyatakan berita itu terdedah selepas pihak sekolah membuat penyiasatan ke atas peningkatan kehamilan di kalangan pelajar perempuan di sekolah berkenaan.
Kebiasaannya hanya empat kes kehamilan remaja setahun di sekolah itu.
Sullivan berkata separuh daripada pelajar berkenaan yang masih di bawah umur 16 tahun kerap datang ke klinik sekolah untuk mengetahui keputusan ujian kehamilan dan berasa sangat kecewa jika keputusannya negatif. Mereka menjangkakan akan hamil bersama-sama dalam tempoh tertentu.
Laporan awal berkaitan kehamilan remaja dengan bertujuan dikesan berlaku pada Mac lalu setelah kejadian itu disiarkan dalam Gloucester Daily Times.
Kejadian remaja hamil ketika berumur 16 tahun ke bawah bukannya perkara baru di negara-negara Barat. Malah ada pelajar yang berumur 12 tahun melahirkan anak. Biasanya kes-kes ini berlaku kerana remaja yang terlibat kurang harga diri dan nipis perasaan kasih dan sayang terhadap kehidupannya.
Banyak faktor yang menyumbang kepada berlakunya kehamilan di kalangan remaja Barat. Selain daripada perubahan nilai terhadap konsep keluarga, sekularisme yang dijadikan panduan hidup memandu remaja untuk hidup dengan bebas dan merasakan diri mereka ada hak untuk menentukan masa depan.
Mengecapi kebebasan hidup adalah cita-cita dan impian remaja yang terpengaruh dengan fahaman hedonisme. Bebas melakukan apa sahaja dan masyarakat harus menerima kesan daripada tindakan tersebut.
Masyarakat Barat sangat maju dalam sains dan teknologi, penyelidikan dan kajian malah menguasai maklumat dan sumber kekayaan intelektual. Dengan kemajuan tersebut mereka menghasilkan beribu-ribu teori tentang kehidupan manusia, sosial dan psikologi, merangka program pembangunan manusia yang dicanang sebagai paling hebat dan sebagainya. Apa sahaja yang datang dari Barat lebih mudah diterima oleh masyarakat lain kerana persepsi bahawa Barat lebih maju dan terbaik.
Corak berfikir begini bakal merosakkan hidup kerana tidak semuanya yang datang dari Barat adalah betul. Dalam kes remaja hamil ini, ternyata kejadian tersebut amat berlawanan dengan nilai dan tradisi masyarakat. Hamil ketika remaja dan tanpa berkahwin mengundang implikasi buruk kepada sahsiah keluarga dan pewarisan harta.
Ia juga membawa kesan ke atas fizikal dan persekitaran sosial remaja berkenaan.
Remaja mesti dibimbing ke arah nilai dan budaya yang dapat memberi makna kepada kehidupan. Membiarkan mereka dengan dunia sendiri akan mengundang padah kepada keluarga dan masyarakat. Jadi, bagaimana seharusnya kita mendidik dan membimbing remaja hari ini?
Mungkin cadangan daripada Dr. Hafizuddin ini dapat membuka ruang kepada penyelesaian masalah remaja hari ini. Beliau yang ditemui ketika menghadiri kuliah maghrib di Masjid Sri Petaling baru-baru merupakan pengamal perubatan di Shah Alam. Bagi beliau, apa sahaja masalah hidup yang berlaku hari ini berpunca daripada iman. Manusia tanpa iman akan hilang pedoman dan panduan hidup. Beliau berpendapat remaja yang bermasalah akan menambah beban kepada masyarakat jika masyarakat berkenaan turut menghadapi kegersangan iman.
Dr. Hafizuddin melihat masalah remaja daripada perspektif agama, sesuai dengan tahap penglibatannya sebagai "karkun" di dalam jemaah Tabligh. Pengalamannya yang luas sebagai pendakwah memberinya ruang untuk membuat rumusan berkenaan.
Orang lain pasti mempunyai pendapat berbeza. Misalnya seorang tetamu dalam sebuah rancangan temubual radio meletakkan faktor teknologi sebagai pencetus kepada cara gaya hidup seterusnya perubahan nilai di dalam diri remaja. Bagi beliau pengaruh teknologi hari ini sangat hebat kerana ia boleh membawa kebaikan dan keburukan. Jika digunakan dengan betul, teknologi memberi manfaat yang sangat besar dan begitulah sebaliknya.
Faktor lain turut menjadi lebih dominan seperti keluarga, persekitaran, pengaruh rakan sebaya dan pendidikan.
Masyarakat kita tentunya tidak ingin melihat nilai yang menjadi anutan sebahagian remaja di Barat berjangkit kepada remaja di negara kita. Justeru, biar apa pun alasannya, kita wajar mengambil langkah untuk menghalang budaya remaja hamil dengan tujuan tertentu kerana implikasinya yang negatif dan memudaratkan dirinya sendiri, keluarga dan masyarakat.
No comments:
Post a Comment