Oleh Herman Hamid
Peruntukan yang besar kepada kawasan luar bandar seperti yang terkandung dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) akan memastikan usaha membasmi kemiskinan tegar menjelang tahun 2010 berada di landasan yang tepat.
Menteri Kemajuan Luar bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, ia sekali gus menutup kebimbangan sesetengah pihak bahawa usaha membasmi kemiskinan tegar akan terjejas berikutan kenaikan harga minyak baru-baru ini.
"Jadi saya yakin usaha membasmi kemiskinan tegar menjelang tahun 2010 kekal berada di landasannya dengan projek agropolitan akan terus diadakan di banyak lagi tempat.
"Dengan itu, golongan sasar yang berpendapatan bawah RM300 akan dapat ditingkatkan pendapatannya menjadi antara RM1,200 hingga RM1,500," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen selepas pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK-9 oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.
Sementara itu kata Muhammad, peruntukan yang diterima oleh golongan luar bandar ternyata cukup besar dengan jumlah keseluruhannya melibatkan RM4 bilion termasuk untuk Sabah dan Sarawak.
Kata beliau, dengan peruntukan sebanyak itu, masyarakat luar bandar akan terus dipastikan menikmati pembangunan khususnya yang berhubung kait dengan infrastruktur.
''Saya sangat gembira dan masyarakat luar bandar tentunya berterima kasih dengan apa yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi kemajuan luar bandar.
''Peruntukan untuk kemudahan asas yang besar kepada luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak jelas menunjukkan satu justifikasi bahawa Perdana Menteri memberi tumpuan sangat besar kepada masyarakat luar bandar," ujarnya.
Ditanya mengenai penetapan kadar pendapatan di bawah paras kemiskinan yang dirasakan sudah perlu diubah, Muhammad berkata, perkara itu diserahkan kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU).
''EPU menjalankan kajian tentang hal ini terutama daripada segi keupayaan membeli barangan makanan dan perkhidmatan," katanya.
[Utusan Online, 27/06/2008]
No comments:
Post a Comment