Saturday, June 30, 2007

Amerika Syarikat prihatin dengan umat Islam?

Keputusan Amerika Syarikat melantik seorang wakil khas ke Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) adalah perubahan yang radikal bagi sebuah negara yang menyokong keganasan Israel dan membunuh ribuan rakyat Iraq dan Afghanistan melalui dasar luar yang keras.

Perkembangan ini juga membuktikan Washington mengiktiraf OIC sebagai satu badan penting dan mahu ataupun tidak, ia perlu menjalin kerjasama yang lebih erat.

Presiden George W. Bush mengumumkannya ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan Pusat Islam, sebuah masjid dan pusat kebudayaan di Washington. Langkah ini bagi menjelaskan nilai yang dipegang oleh Amerika Syarikat adalah selari dan sama dengan nilai-nilai yang dipegang oleh negara-negara Islam yang lain.

Amerika Syarikat, kuasa besar dunia yang hendak menguasai seluruh organisasi politik, ekonomi dan sosial dunia akan sentiasa mencari-cari peluang dan ruang untuk menyelinap masuk ke setiap pertubuhan dunia. Di Asia, Amerika Syarikat telah menganggotai Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC), cuba menghalang pembentukan Kesatuan Asia Timur dan menjadi jaguh antikeganasan di Asia Tenggara. Apa yang ingin dilakukan oleh Amerika Syarikat ialah mengambil bahagian dalam setiap keputusan supaya agenda penguasaan dunia menjadi milik mereka. Jika tidak ada penglibatan secara langsung, ia akan menggunakan proksi bagi mempastikan agenda mereka berada di landasan yang betul dan kukuh.

Pengwujudan wakil khas ke OIC menjadikan berbagai-bagai andaian boleh dibuat. Di seluruh dunia Islam, sentimen membenci Amerika Syarikat semakin meningkat. Dari Timur Tengah ke Asia Tenggara seterusnya menjalar ke Asia Timur, khususnya negara-negara Islam, kebencian terhadap pengaruh dan tangan panjang Amerika Syarikat memuncak apabila serangan di Iraq tidak menunjukkan kesudahan dan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Israel. Keegoan Amerika Syarikat telah merobek hati dan jiwa umat Islam membuatkan pemikiran mereka terhadap Amerika Syarikat dan rakyatnya semakin negatif.

Kegelojohan Amerika Syarikat melibatkan diri dalam konflik di Darfur, Sudan, ancaman terhadap loji nuklear Iran dan meningkatkan bantuan ketenteraan kepada Jepun, Korea Selatan dan Taiwan adalah contoh kesungguhan Amerika Syarikat untuk menguasai isu seterusnya memancarkan imejnya sebagai pelindung. Malangnya, kehadiran Amerika Syarikat bukannya menyelesaikan konflik malah menyebabkan keadaan menjadi keruh dan tegang. Sikap terburu-buru untuk menjadi polis dunia mengundang rasa berat hati masyarakat dunia yang melibat dominasi ini sebagai mengganggu kedaulatan negara. Bagi jangka masa panjang, Amerika Syarikat akan menggunakan apa sahaja cara yang ada untuk menguasai ekonomi dan politik negara-negara berkenaan.

Kehadiran Amerika Syarikat dalam OIC adalah kemuncak kejayaan kepimpinan OIC yang diterajui oleh Malaysia. Perundingan yang matang diharap akan memberi kejayaan kepada nilai yang disepakati bersama.

Thursday, June 28, 2007

Tabiat 3 Memahami perubahan (2-akhir)

Kisah lain ialah mengenai dua orang anak muda yang masing-masing berjaya menjadi usahawan Internet.

Sen Ze, telah memiliki pendapatan lebih RM1.36 juta melalui penjualan produk buku elektronik (e-book) yang bertajuk "Mini-Encyclopedia of Low-Cost, High-Profits Internet Business Model." Beliau turut menghasilkan e-book yang bertajuk "16 Different Killer Money-Making Internet Business You Can Copy For Your Own." Pejabatnya hanya di rumah.

Bagaimana Sen Ze melakukannya?

Beliau ada idea. Pasarannya luas, seluruh dunia. Beliau mula memasarkan idea tersebut dengan cara paling mudah dan senang tetapi memberi pendapatan yang sangat lumayan. Idea menulis ini ditukarkan ke dalam bentuk e-book menggunakan Microsoft Word dan ditukarkan ke dalam format Portable Document Format (PDF). Produk e-book dijualnya dengan harga RM367.00 (US$97) tetapi sebenarnya, kos menyediakan e-book hanyalah harga sekeping roti canai jika tahu caranya.


Patrick Chan, rakyat Malaysia yang menjadi jurucakap bersama Netpreneur di World Internet Summit 2005. Beliau menulis e-book bertajuk "How To Make More Money Easily?" dan menjualnya di pasaran Internet dengan harga RM178.60 (US$47). Buku beliau yang lain ialah "Niche Checklist" yang dijual dengan harga RM120.60 (US$27). Pasarannya seluruh dunia.

E-book adalah produk Internet yang sangat popular. Banyak, mungkin berjuta-juta e-book dijual dan berlegar-legar di pasaran Internet. Kekayaan yang diperolehi melalui Internet ini merangkumi penulis, penerbit dan penjual e-book sahaja.

Jangan pelik kalau dikatakan, "Masa tidur pun duit akan masuk." Itulah kehebatan Internet. Teknologi ini akan terus berkembang kerana sasaran pencipta teknologi ini ialah setiap orang yang menggunakan telefon bimbit pada masa depan akan dapat membaca e-book di telefon masing-masing, tidak kira masa, di mana-mana sahaja.

Begitulah munculnya jutawan Internet. Anda bila lagi?

Apakah kejayaan sebenar kita? Kejayaan umat Islam bukannya wang ringgit, harta, pangkat dan kemewahan, sebaliknya adalah taqwa. Inilah janji Allah.

"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan (Allah) akan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka kepadanya." Surah At- Thalaq ayat 2 hingga 3

Seorang khalifah Islam yang terkenal, Umar Abdul Aziz adalah seorang pemimpin yang bertakwa. Beliau adalah pemimpin yang telah berjaya membasmi kemiskinan di kalangan rakyatnya sehingga semuanya menjadi kaya. Semasa pentadbirannya, tidak ada rakyat negaranya yang layak mendapat zakat dan terpaksalah dicari rakyat negara lain untuk diberi zakat. Usia pentadbirannya cuma 30 bulan.

Kejayaan dan kecemerlangan adalah impian semua orang. Tahap-tahap kejayaan adalah berbeza-beza di antara seorang dengan seorang yang lain tetapi boleh dicapai dengan memilih salah satu daripada dua: Nasib atau Pilihan.

Nasib setiap orang berbeza-beza. Kalau sabut, timbullah; kalau batu, tenggelamlah. Ada bernasib baik, ada yang malang dan ada yang tidak ada nasib! Kasihan. Penjual dan pembeli nombor ekor mempunyai nasib masing-masing. Ada kaki ekor yang mahu menjadi kaya tetapi menghabiskan banyak wang semata-mata mahu mencari nasib yang baik. Tetapi tukang tilik nasib tidak pernah menilik nasibnya sendiri!

Semasa menunggu bas Tong Fong (syarikat bas ini telah terkubur) untuk ke Kuala Lumpur, saya menyapa seorang lelaki separuh abad yang kelihatan gelisah. "Hendak ke mana?"

"Mau ke Sungai Besi, mau beli nombor."

Oh, rupanya kaki ekor. Patutlah nampak gelisah petang tu.

"Berapa lama sudah main ini nombor?" Saya cuba mengajaknya berkongsi pengalaman.

"Oh... sudah lama. 20 tahun saya main ini nombor."

"Berapa kali sudah kena."

"Ada la sikit-sikit. Kalau tak beli ini nombor, rasa kepala macam mau pecah."

Patutlah nampak risau pakcik ini. Rupanya gelisah hendak membeli nombor ekor. Itulah hakikatnya pemain nombor ekor. Kesan psikologi sangat hebat dan boleh memberi kesusahan kepada diri sendiri.

Pak Kob orang kampung. Oleh kerana dia malas belajar, dia tidak dapat mencari kerja yang terjamin pendapatannya. Tetapi Pak Kob ada satu kebolehan, dia seorang pemain catur yang berbakat. Lalu dia mengambil keputusan menggunakan bakatnya bermain catur sebagai punca rezeki.

Dan memang agak berbaloi kerana wang kemenangan yang diperolehi dalam setiap pertandingan mampu menyara hidupnya. Kadang-kadang dia menang, kadang-kadang kalah.

Ini kerana di samping kebijaksanaan mengatur gerakan dan tipu daya, permainan catur juga bergantung pada nasib. Bila lawan melakukan kesilapan, kita ambil kesempatan itu untuk menang. Begitulah sebaliknya. Pakcik Tua dan Pak Kob sememangnya bergantung kepada nasib untuk meneruskan hidup mereka. Nasib adalah salah satu daripada bermacam-macam jenis judi yang ada. Oleh kerana itu, tidak patut dipermudah dan dibolehkan permainan tersebut dengan dalih bantuan sosial atau tujuan kemanusiaan.

"Hai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, berhala, dan undian adalah kotor dari perbuatan syaitan. Oleh kerana itu jauhilah dia supaya kamu bahagia. Syaitan hanya bermaksud untuk mendatangkan permusuhan dan kebencian di antara kamu disebabkan khamar dan judi, serta menghalangi kamu ingat kepada Allah dan sembahyang. Apakah kamu tidak mahu berhenti?" Surah Al Maidah ayat 90 hingga 91

Allah memberikan kita pilihan. Boleh pilih apa sahaja yang kita mahu, suka atau buat apa sahaja. Orang yang baik cenderung melakukan kebaikan, orang yang jahat bencikan kebaikan.

Individu biasa memberikan hanya 25 peratus daripada tenaga dan kemampuannya dalam kerja mereka. Dunia mengangkat topi untuk memberi hormat kepada sesiapa yang memberikan lebih daripada 50 peratus keupayaan mereka, dan berdiri di atas kepala mereka bagi menghormati mereka yang terlalu sedikit yang mampu menumpukan 100 peratus.

Andrew Carnegie

John C. Maxwell adalah seorang pakar dalam bidang kepimpinan di Amerika Syarikat. Beliau telah memberi dorongan dan semangat kepada lebih sejuta orang melalui seminar dan buku yang telah merubah kehidupan mereka. Dalam bukunya, Your Road Map For Success, beliau berkongsi cerita mengenai pengalamannya menjelajah ke seluruh dunia sama ada seorang diri atau bersama keluarga.

Bersama Margaret, isterinya, mereka kadangkala bersama sebagai satu pasukan melaksanakan urusan kerja dan ada masanya Margaret terpaksa ditinggalkan bagi mendidik anak mereka, Elizabeth dan Joel Porter.

Jika bersama, mereka berempat akan melawat Eropah, Amerika Selatan, Australia dan Korea bagi merapatkan lagi hubungan keluarga. Kehidupan mereka sangat indah dan sentiasa mengecapi kebahagiaan sebagai sebuah keluarga yang bahagian dan harmoni.

Maxwell mempunyai definisi sendiri terhadap kejayaan. Padanya, kejayaan tidak bermaksud berapa kerapnya dia sekeluarga boleh berjalan ke sana-sini bersukaria. Tidak juga bermaksud keupayaannya sebagai pakar motivasi dan penulis buku yang hebat di seluruh Amerika Syarikat.

Kejayaan sebenar bagi Maxwell ialah apabila anak-anaknya berfikir bahawa dia adalah bapa mereka yang terbaik dan Margaret berfikir bahawa dia adalah seorang suami yang paling baik.

John C. Maxwell, biar apa pun dirinya percaya bahawa kejayaan terletak pada perkahwinan yang baik dan ikatan kekeluargaan yang kukuh.

Wednesday, June 27, 2007

Tingkatkan profesionalisme pengamal perubatan tradisional

"Mengkebumikan" batang pisang sebagai salah satu kaedah berubat dalam masyarakat Melayu adalah perbuatan yang aneh bagi fahaman masyarakat moden. Tindakan yang dianggap luar biasa dan jarang didengar ini memberi banyak tafsiran mengenai logiknya perubatan tradisional seperti ini. Kita tidak pasti apakah sebenarnya yang dikehendaki oleh perawat dan yang dirawat bagi menyembuhkan penyakit yang dihidapi.

Tindakan menanam batang pisang mengundang gelak ketawa orang ramai dari segi signifikannya ke atas kesembuhan. Walaupun tidak dinafikan perubatan tradisional sering dikaitkan dengan amalan spiritual dan ada hubungan dengan mainan syaitan dan iblis, keanehan menanam enam batang pisang semakin bertambah-tambah apabila media memberi pelbagai ulasan. Kesannya sangat cepat dan ketara khususnya imej perubatan tradisional Melayu itu sendiri. Taraf perubatan berkenaan dilihat tidak saintifik dan hanya mereka yang sudah habis ikhtiar akan mendapatkan bantuan pengamal tersebut.

Sebaik sahaja media mendedahkan keanehan mengkuburkan batang pisang, imej perubatan tradisional Melayu berada di persimpangan. Sama ada hendak dipercayai ataupun tidak, sukar untuk disimpulkan kerana ada sesetengah amalan dalam perubatan ini telah berjaya menyembuhkan pesakit yang sudah habis ikhtiar.

Kisah menggunakan mentera dan jampi memang dibuat kajian oleh penyelidik Barat khususnya di kalangan masyarakat Orang Asli di Malaysia. Hasil kajian berkenaan dibukukan dan dikupas dari segi logik dan tidak logik perubatan tradisional di kalangan Orang Asli ini. Salah satu keperluan masyarakat Orang Asli ialah perkhidmatan kesihatan dan perubatan. Di dalam hutan, orang yang paling layak untuk mengubat ialah pawang atau dukun di kalangan mereka. Amalan yang sering digunakan untuk mengubat orang yang sakit kepala biasanya melibatkan bacaan mentera untuk menghalau semangat jahat yang mendiami tubuh badan pesakit. Oleh itu dibuatlah jurai daun dan ditepuk di sekitar tubuh pesakit. Pada masa yang sama, kepala pesakit dililitkan akar halus yang panjang dan diketatkan supaya hilang rasa sakit. Tidak lama selepas itu, pesakit diberi air penawar bagi menghilangkan keletihan dan haus setelah tidak minum selama berada dalam tempoh rawatan sakit kepala.

Menggunakan mentera dan jampi serapah dalam perubatan tradisional ada logiknya kerana setiap patah perkataan yang dikeluarkan mempunyai tenaga. Konsep ini sama seperti memberi motivasi kepada seseorang. Contohnya perkataan "sayang" yang memberi tenaga jika diucapkan kepada orang yang betul seperti suami, isteri, kekasih atau anak-anak. Perkataan sayang tidak akan memberi apa-apa makna jika disebut kepada orang gila kerana orang gila tidak dapat mencerap tenaga atau getaran yang terdapat pada perkataan sayang itu. Jadi, orang gila tidak dapat memberi maklum balas yang sebaiknya, sebaliknya orang yang berkata "sayang" itu akan dikejarnya.

Begitu juga dengan menjampi air kosong atau diistilahkan sebagai "air penawar." Ada benarnya air yang dijampi itu akan menjadi penawar kerana getaran daripada perkataan yang dihembuskan ke air berkenaan akan menyerap masuk ke bahagian anggota tubuh yang bermasalah dan akan mengembalikan pesakit kepada kesembuhan.

Berbalik kepada Orang Asli tadi, yang meredakan sakit kepala bukanlah mentera dan jurai daun yang dipupuk di kiri dan kanan pesakit sebaliknya lilitan yang kuat di sekeliling kepala yang mengurangkan sakitnya. Analoginya mudah. Apabila sakit kepala, biasanya kita akan memicit-micit bahagian yang sakit supaya sakitnya kurang. Aliran salur darah yang kembang menjadi kendur dan kuranglah denyutnya. Lebih banyak dipicit, lebih cepatlah hilang sakitnya.

Justeru itu, di sebalik batang pisang, pengamal perubatan tradisional Melayu wajar melihat kembali amalan aneh mereka supaya perubatan ini dilihat lebih bersifat saintifik dan logik. Kurikulum khusus untuk pengamal tersebut wajar dirangka supaya perkara-perkara aneh sebegini tidak lagi berulang pada masa depan. Dengan cara ini, tahap profesionalisme amalan perubatan tradisional Melayu boleh ditingkatkan dan masyarakat memberi pengiktirafan yang tinggi kepada. Seterusnya dapat dilonjakkan ke tahap global seperti yang dilakukan dalam urutan refleksiologi, homeopati dan akupuntur.

Tuesday, June 26, 2007

Mengubah sikap Melayu

Keprihatinan ahli politik, usahawan dan pemikir Melayu terhadap nasib dan masa depan bangsa Melayu sangat terserlah dalam Seminar Legasi Tun Abdul Razak Kepada Pembangunan Negara. Kesedaran mereka mengenai nasib bangsa ini digambarkan melalui kebimbangan yang ditimbulkan apabila melihat peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan dalam sektor ekonomi tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Faktor sikap dan mentaliti menjadi penyebab kepada kegagalan Melayu untuk membabitkan diri dalam arus perdana pembangunan negara.

Tokoh veteran UMNO, Tan Sri Aishah Ghani berpendapat, keputusan untuk memajukan diri dan ekonomi Melayu bergantung sepenuhnya kepada diri mereka sendiri. Kerajaan telah mengambil banyak langkah bagi menyediakan ruang dan peluang untuk mereka memajukan diri tetapi tidak banyak perubahan yang dapat diperhatikan untuk dibanggai.

Berbeza dengan Amerika Syarikat, iaitu negara yang telah lama merdeka, masyarakatnya telah meneroka dunia luar melalui perkembangan pasaran dan pengenalan produk-produk baru. Kentucky Fried Chicken, McDonald dan General Electric adalah jenama besar dalam pasaran dunia yang bermula di sana. Eropah pula berbangga dengan Shell dan Airbus manakala Jepun berbangga dengan Fujitsu dan Toyota. Kejayaan syarikat-syarikat ini bermula dengan ilmu pengetahuan yang mengutamakan penyelidikan dan pembangunan.

Hidup di negara majmuk seperti Malaysia sebenarnya berdepan dengan berbagai-bagai cabaran sebagai penduduk pribumi. Tebing yang didaki dan lurah yang dituruni adalah gambaran halangan dan cabaran yang terbentang di depan mata. Situasi ini menjadikan kita lebih sabar dan cekal.

Kehidupan yang lebih bermakna adalah hidup dengan bermasyarakat bagi membentuk kerjasama. Belajar untuk merangka strategi bagi mempastikan keputusan yang akan diambil kelak memberi manfaat. Strategi dapat mengenal pasti kekuatan, kelemahan, ancaman dan peluang. Semua ini mesti diambil kira bagi mempastikan setiap masa adalah bermakna dan membawa manfaat. Pelbagai halangan yang datang dari semasa ke semasa adalah umpama ombak yang menghempas ke pantai: ada pasang dan surutnya.

Setiakawan, tolong-menolong, bertolak ansur dan bekerjasama adalah nilai-nilai yang mendominasi kejayaan dalam kerja berpasukan. Dengan adanya program khusus bagi menjayakan misi, sedikit demi sedikit nilai-nilai ini dibina dan dibangunkan. Justeru, misi membina minda dan sikap Melayu ke arah pembentukan jati diri yang utuh adalah misi yang berterusan. Gandingan masyarakat Melayu dari semua lapisan wajar digembleng dan diperkukuhkan. Usaha ini tidak boleh dipadam begitu sahaja kerana peranannya sangat penting bagi survival bangsa. Jika dalam konteks bangsa, misi ini akan meneruskan survival bangsa. Jika dalam konteks ideologi, misi ini akan turut memanjangkan ideologi berkenaan.

Bangsa Melayu telah pun melalui beberapa siri survival yang menjadikan mereka lebih perihatin dan mengambil berat tentang nasib bangsa ini. Konsep kesedaran Melayu dilihat melalui tiga fasa kritikal yang mana peringkat awal melibatkan kecemerlangan Melayu yang sangat dominan di Asia Tenggara.

Pada 24 Julai 1511, Sultan Ahmad Shah memanggil orang Besar-besar, hulubalang dan kesatria Melaka ke balairung untuk memperdengarkan bacaan Hikayat Amir Hamzah mengenai kegagahan pahlawan Amir Hamzah dan puteranya Rastam yang berperang melawan Peringgi. Baginda memilih hikayat berkenaan untuk membangkitkan semangat wira dan pahlawan Melayu bagi menentang Portugis pada keesokan harinya.

Masa ini sangat kritikal kerana peperangan akan memusnahkan apa sahaja yang menjadi kebanggaan tamadun Melayu Melaka. Ternyata kekalahan Melaka dan penjajahan Portugis melenyapkan peranan Melaka sebagai pusat perdagangan serantau. Penduduknya bertempiaran lari dan ramai ulama Islam yang diburu dan dibunuh. Ianya adalah gerakan yang terancang kerana tujuan Portugis menjajah dan menakluk negara-negara Timur adalah kerana empat G iaitu gospel (agama), geography (lokasi), gold (harta) dan glory (kemenangan). Selepas itu bangsa Melayu terpaksa menunggu 446 tahun untuk kembali bersatu dan menjadi tuan di negara sendiri.

Penjajahan British telah membina kesedaran dan keinginan bangsa Melayu untuk membebaskan negara mereka. Walaupun sebagai penjajah dan mengaut kekayaan Tanah Melayu, British masih lagi dapat menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada golongan terpilih. Mereka sedar, suatu hari nanti, British akan dihalau keluar dari Tanah Melayu dan kepimpinan negara mesti diserahkan kepada golongan yang dapat meneruskan agenda pentadbiran mereka.

Penentangan yang semakin memuncak di negara-negara terjajah turut menggerakkan semangat nasionalisme anak-anak muda Melayu untuk membebaskan negara daripada British. Ibrahim Haji Yaacob, pengasas Kesatuan Melayu Muda (KMM) telah mengetuai kelompok ini bagi menyedarkan bangsa Melayu untuk membebaskan Tanah Melayu daripada British. Usaha beliau berhadapan dengan banyak halangan.

Setelah sebuah demi sebuah negara-negara yang dijajah mendapat kemerdekaan, Tanah Melayu juga mengikut jejak langkah yang sama. Rombongan kemerdekaan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman telah merealisasikan hasrat dan keazaman bangsa Melayu untuk bebas daripada penjajahan Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris setelah fizikal, minda dan jiwa mereka dibelenggu selama 446 tahun. Slogan "merdeka" yang menjadi perkataan keramat kini menjadi nyata. Dan Melayu bebas mencorakkan negara mereka sendiri.

Letusan semangat patriotisme telah meletakkan pemikiran dan sikap pejuang-pejuang bangsa dan kemerdekaan negara berada pada landasan yang betul bagi mengajak seluruh masyarakat untuk bangkit dan menuntut pembebasan segera. Letusan ini sangat kuat sehingga mampu menarik perhatian British dan dengan terpaksa, menyerahkan Tanah Melayu kepada pemiliknya.

Sepanjang merentas 50 tahun kemerdekaan, Malaysia yang didiami oleh 26 juta orang, pelbagai agama, bangsa dan budaya telah menjadi model kepada masyarakat dunia tentang bagaimana mentadbir masyarakat berbilang bangsa ini. Masyarakat yang produktif tanpa mengira kaum, bergerak aktif membina kekuatan politik dan ekonomi mereka kerana pembangunan adalah pilihan yang terbaik. Sistem nilai dan ideologi semakin kurang mendokong pembangunan sebaliknya kaedah perbincangan dan persetujuan bersama mengambil tempat. Kewujudan bangsa Malaysia, walaupun berdepan dengan banyak halangan, semakin memperlihatkan kemajuan kerana sistem politik berasaskan suku, daerah dan kenegerian telah dikurangkan. Yang ada cuma kesatuan bangsa yang sangat jelas dalam pentadbiran politik: Melayu dengan UMNO, Cina dengan MCA dan India dengan MIC.

Perubahan sikap Melayu sangat ketara ketika berada dalam era selepas merdeka kerana hendak menebus kembali masa dijajah selama 446 tahun. Mungkin 50 tahun yang akan datang masih belum mencukupi bagi mengubah sikap Melayu yang sering dipersalahkan ketika ini. Empat elemen utama yang mempengaruhi sikap ini ialah politik, ekonomi, pendidikan dan sosial.

Politik

Apakah Melayu masih wujud dalam tempoh 100 tahun yang akan datang? Melayu hari ini diasak dengan keruntuhan moral dari lahir hingga mati. Keruntuhan moral sejak lahir kerana kelahiran bayi tanpa perkahwinan dan berleluasanya maksiat dan zina. Keruntuhan moral hingga ke liang lahad pula kerana sehingga mati pun, kisah peribadi arwah masih dijaja ke sana-sini.

Soal pecah amanah, rasuah, nepotisme dan salah guna kuasa telah menjadi bualan umum. Apatah lagi kajian terhadap pemimpin politik di Malaysia meletakkan kelompok ini jauh ke belakang untuk dipercayai. Keadaan ini sangatlah berbeza ketika kesedaran nasionalisme Melayu dahulu yang mula berkembang mulai tahun 1938.

Mengimbas kembali politik dan pengaruhnya terhadap gerakan perubahan minda dan sikap Melayu, W.R. Roff menyatakan kesedaran nasionalisme Melayu telah dicetuskan oleh tiga kelompok yang berbeza iaitu: reformis Islam berpendidikan Arab, intelektual berpendidikan Melayu dan birokrat berpendidikan Inggeris. Ketiga-tiga kelompok ini mengembangkan kesedaran berpolitik Melayu secara beransur-ansur melalui tiga tahap iaitu:

Tahap beragama (1906 – 1926). Menjadikan Turki dan Mesir sebagai model;

Tahap sosial dan ekonomi (1926 – 1938). Kesedaran yang tinggi terhadap kedudukan ekonomi dan sosial Melayu yang ditekan hebat oleh orang-orang Cina yang menguasai aktiviti perniagaan, tuntutan orang Cina supaya diberi peranan yang lebih besar dalam kerajaan dan kecaman mereka terhadap dasar British yang pro-Melayu; dan

Tahap kesedaran politik (1938 – 1945). Kebimbangan Melayu terhadap kegiatan komunis di kalangan penduduk Cina, kemelesetan ekonomi pada 1929 hingga 1933, peperangan China dan Jepun pada 1937 dan pemulauan barang-barang Jepun oleh penduduk Cina di Tanah Melayu telah mengukuhkan kesedaran berpolitik Melayu.

Pemacuan terhadap perlunya orang Melayu menubuhkan kekuatan mereka membantu kesedaran politik yang tinggi. Justeru, penguasaan Melayu dalam politik Malaysia selepas merdeka sangat ketara kerana pada tahun 2020, 60 peratus penduduk Malaysia adalah berbangsa Melayu yang menjadi asas kepada pembentukan bangsa Malaysia. Bilangan orang Cina pula dijangka akan berkurangan kepada 20 peratus.

Politik "ketuanan Melayu" dijangka terus mendominasi warna politik Malaysia bagi jangka masa panjang kerana ianya telah bertapak kukuh dalam struktur pentadbiran sistem demokrasi berparlimen di Malaysia. Sistem ini juga dapat mempastikan kestabilan politik yang lebih mantap dan mendidik masyarakat ke arah kewujudan politik matang. Selain itu, mewujudkan keadaan yang merangsang aktiviti ekonomi yang lebih aktif dan berdaya saing.

Ekonomi

Semenjak merdeka, sikap Melayu terhadap pertumbuhan ekonomi telah banyak berubah. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah memberi ruang dan peluang kepada masyarakat bumiputera untuk menempatkan diri mereka dalam arus perdana perdagangan negara. Keupayaan bumiputera untuk bersaing dengan kaum-kaum lain sangat bergantung kepada kesediaan kerajaan membantu mereka. Tanpa penguasaan sebahagian ekonomi, Melayu akan hanya bergantung kepada peniaga-peniaga Cina untuk meneruskan hidup mereka.

Penyertaan besar-besaran usahawan bumiputera ke dalam sektor perniagaan telah melonjakkan minda Melayu untuk berfikir lebih jauh bagi membangunkan ekonomi negara bersama-sama dengan masyarakat Cina dan India. Pencapaian tahap penguasaan yang masih rendah dikaitkan dengan pembabitan mereka dalam sektor ekonomi yang tidak kompetetif. Walaupun kerajaan melakukan pelbagai usaha dan bantuan bagi meningkatkan ekonomi Melayu, masih banyak ruang yang perlu diisi oleh mereka.

Sektor industri yang melibatkan kepakaran dan profesionalisme masih tidak dipenuhi dengan tenaga kerja Melayu. Keutamaan pelajar-pelajar Melayu hari ini yang masih lagi menumpukan pengajian sastera dan sains sosial harus diseimbangkan dengan aliran sains supaya tenaga kerja dalam bidang sains dan teknologi dalam pembangunan negara sentiasa didominasi oleh Melayu.

Peniaga industri kecil dan sederhana (PKS) Melayu masih lagi dalam jumlah yang kecil dan berhadapan dengan banyak halangan khususnya kemahiran perniagaan dan peluasan pasaran. Keadaan ini tentunya tidak dapat menjadi katalis kepada jaringan global sepertimana peniaga Cina yang dianggarkan berjumlah 55 juta orang di seluruh dunia dan di luar negara China. Walaupun pendedahan secara berterusan oleh agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB), perubahan sikap masih lagi memerlukan usaha yang gigih.

Usaha memajukan ekonomi bumiputera melalui sistem francais telah memberi ruang kepada mereka untuk meneroka bidang perniagaan yang lebih kompetetif. Ini kerana perniagaan francais adalah sejenis perniagaan yang paling cepat berkembang di dunia. Di Amerika Syarikat sahaja, terdapat 35 peratus daripada jumlah jualan runcit di negara itu datang daripada cawangan-cawagan francais. Manakala nilai jualan tahunannya pula mencecah US$800 bilion. Kejayaan sistem ini memberi gambaran bahawa francais adalah konsep pemasaran yang paling berjaya dan mudah untuk dilaksanakan.

Sehingga kini, usahawan golongan menengah bumiputera dibentuk bagi merealisasikan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Kementerian Pembangunan Usahawan menyatakan bahawa: dari segi pertumbuhan industri francais, pada masa ini Malaysia menduduki tangga yang kedua (2) di kalangan negara Asia dan tangga yang kedua puluh satu (21) di dunia. Mengikut perangkaan, sebanyak lima peratus dari jumlah jualan runcit tahunan di Malaysia adalah daripada outlet francais. Ini adalah sesuatu yang membanggakan memandangkan industri francais di Malaysia masih agak baru berbanding dengan negara-negara lain. Kementerian tidak mempunyai data yang tepat mengenai bilangan sebenar perniagaan francais yang dijalankan di negara ini. Walau bagaimanapun adalah dianggarkan terdapat 268 buah perniagaan yang difrancaiskan dan sebanyak 6,500 outlet perniagaan francais di Malaysia. Sebahagian besar daripada perniagaan francais ini adalah dalam sektor makanan, perkhidmatan, aksesori wanita, keperluan rumah dan telekomunikasi.

Sudah pasti program ini dapat memberi peluang kepada Melayu untuk mengubah sikap mereka terhadap perniagaan dan keupayaan mereka meningkat maju dalam apa juga bidang perniagaan yang diceburi.

Memperkatakan sikap peniaga Melayu, kajian demi kajian menyerlahkan betapa sikap tidak begitu berperanan besar kerana pembentukan jaringan perniagaan sesama bangsa dilihat lebih dominan. Kejayaan peniaga Cina meletakkan kepercayaan kepada rakan sebangsa dan mengukuhkan jaringan dalam apa juga bidang perniagaan menjadi faktor kritikal bagi kejayaan mereka menguasai ekonomi Malaysia. Usahawan Melayu hanya akan berdaya saing dan lebih maju jika meletakkan jaringan dan pembinaan kepercayaan sebagai teras kepada sesuatu bidang perniagaan.

Pendidikan

Peranan pendidikan sebagai agen perubahan menjadi lebih ketara selepas Malaysia mencapai kemerdekaan kerana hala tuju dan pembinaan modal insan adalah 100 peratus disumbangkan oleh aliran pendidikan yang berkualiti. Tidak ada negara yang mengesampingkan pendidikan termasuk Malaysia. Justeru, peruntukan yang besar dalam bajet tahunan kerajaan bagi pendidikan rakyat sangat dihargai.

Pendidikan membuatkan pemikiran lebih matang dan mengubah kualiti hidup ke arah yang lebih baik. Mempunyai 20 buah universiti awam dan berpuluh universiti swasta adalah pemangkin kepada kemajuan negara. Peluang Melayu untuk melanjutkan pelajaran terbuka luas dan konsep pendidikan sepanjang hayat mesti diberi perhatian oleh pemimpin-pemimpin Melayu supaya mereka terus belajar. Konsep iqra' barangkali sangat sesuai untuk menterjemahkan kesungguhan pemikir Melayu bagi menggerakkan kepintaran bangsa ini.

Bermula sejak pendidikan prasekolah, kurikulum harus menjurus ke arah pembinaan modal insan yang lebih menyeluruh dengan mengambil kira persediaan Melayu bagi 100 tahun yang akan datang. Siapakah yang akan memenuhi agenda "impian" YAB Perdana Menteri jika generasi muda hari ini tidak diberi pendedahan dan galakan yang maksimum?

Usaha memenuhi "impian" berkenaan sama seperti kisah seorang kanak-kanak yang dijumpai tanpa diketahui siapa ibu bapa dan dari mana datangnya. Kulit anak ini yang berwarna sawa matang, sering menangis dan tidak mandi serta tidak cukup makan. Dijumpai oleh seorang pemimpin yang berjiwa besar, anak ini diambilnya, dimandikan, diberi makan dan diasuh dengan pendidikan, adab dan akhlak yang terbaik. Apa yang dilakukan oleh pemimpin berkenaan ialah menyediakan anak ini sebagai pemimpin masa depan.

Siapakah pemimpin yang berjiwa besar ini? Beliau ialah bekas Perdana Menteri, YBhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad. Anak kecil yang berkulit sawa matang itu ialah bangsa Melayu. Kisah ini sering diulang dalam kursus kepimpinan negara sebagai kesan ke atas pembentukan yang berkualiti iaitu menyediakan bangsa dengan pemimpin yang berwawasan.

Kegagalan membentuk modal insan yang berguna mungkin disebabkan asas kepada pendidikan yang kurang mantap, terdapat kekurangan dalam elemen kognitif dan kemahuan yang tinggi.

Sosial

Masyarakat bersosial bukannya masyarakat yang hu-ha-hu-ha sebaliknya melihat kebajikan seluruh masyarakat berada dalam kesejahteraan. Masyarakat Melayu yang sering dikaitkan dengan masalah sosial hari ini dilihat menyumbang kepada masalah negara. Penagihan dadah, adab dan akhlak yang lemah serta sumbang mahram makin menambah perit nasib bangsa.

Dari segi kebajikan sosial, pembinaan bangsa yang bermaruah dalam kewangan keluarga, rendah kadar kemiskinan dan kesedaran keagamaan yang tinggi boleh menutup dan mengurangkan jenayah sosial yang mengganggu kesejahteraan masyarakat keseluruhan. Tidak ada yang mustahil jika kita ingin melihat bangsa Melayu yang dinamik dan dapat menjadi contoh kepada masyarakat lainnya.

Empat faktor yang menjadi pemangkin kepada perubahan sikap Melayu sentiasa dibincangkan dari semasa ke semasa. Seminar, konferens dan konvensyen menjadi medan kepada pemikir dan penggerak bangsa Melayu untuk memacu kemajuan bangsa ini. Tidak ada negara di dunia yang sangat prihatin dengan jatuh bangun bangsanya sepertimana yang direncanakan ke atas bangsa Melayu.

Sekiranya bangsa Melayu sendiri gagal untuk berubah, kegagalan itu tidak upaya diletakkan kepada sesiapa melainkan diri sendiri. Nasib bangsa Melayu diumpamakan seperti cerita pemuda yang angkuh dan pendeta yang bijak.

Di sebuah kawasan kampung, majlis meraikan sekmpulan pemuda yang akan tamat pelajaran seni mempertahankan diri dipanggil untuk diberi anugerah. Mahaguru yang bersama dengan mereka pada hari itu sedia untuk melepaskan anak-anak muda ini. Ramailah orang kampung yang dijemput untuk menyaksikan hari bersejarah tersebut, membuat bulatan dan masing-masing membawa ahli keluarga. Hidangan buah dan daging yang lazat disediakan.

Seorang pemuda yang begitu bangga dan angkuh di atas pencapaiannya ingin sangat menunjukkan kepintarannya sebagai bukti dirinya lebih hebat daripada mahaguru. Dia juga ingin menjatuhkan maruah mahaguru yang mengajarnya selama ini kerana di usia muda, dia merasakan dirinya lebih hebat dan pintar.


Di tengah kesibukan orang ramai, dia meluru di hadapan dan mencabar mahaguru untuk meneka apa yang ada di dalam kantung kecil di tangannya.

"Hei orang tua! Hari ini aku ingin mengujimu. Jika engkau bijak, apa yang ada di dalam kantung ini?" Sambil mencebik bibirnya, dia melirik ke arah mahaguru. Orang ramai mula memberi perhatian kerana ingin melihat sejauh mana kepintaran mahaguru tersebut.

Agak lama juga mahaguru hendak memberi jawapan. Orang ramai mula gelisah dan bersuara meminta mahaguru memberi jawapan. Pemuda yang angkuh masih lagi berdiri di situ dan semakin teruja dengan sokongan orang ramai.

Mahaguru yang sedar pemuda ini ingin mengujinya menjawab dengan perlahan tetapi jelas, "burung." Pemuda itu tersentak. Mata orang ramai beralih kepada pemuda angkuh. Perlahan-lahan dia mengangguk. "Ya, burung. Aku tahu ia seekor burung tapi itu bukan soalan aku yang sebenarnya. Hei orang tua! Ini soalan aku, adakah burung ini hidup atau mati?" Lantang suaranya membingitkan telinga mahaguru.

Orang ramai kembali melihat mahaguru. Mereka bersorak untuk mendengar jawapan daripadanya.

"Di dalam tanganmu," mahaguru menjawab.

"Ya, aku tahu. Burung ini di dalam tanganku. Hidup atau mati?" Pemuda ini mula berpeluh. Barangkali mahaguru mahu mempermainkannya.

"Di dalam tanganmu," mahaguru mengulangi jawapannya. Tanpa ada sebarang kenyataan lain.

Pemuda yang mula resah, semakin terdesak dengan jawapan mahaguru.

Beberapa kali soalan yang ditanya, itulah jawapan diberikan oleh mahaguru. Orang ramai yang mulai sedar itulah jawapan kepada soalan berkenaan mula mentertawakan pemuda ini. Akhirnya, akibat malu beliau meluru keluar meninggalkan majlis berkenaan.

Kisah ini sama seperti bangsa Melayu. Hidup atau matinya terletak pada diri mereka sendiri. Sekiranya mereka tidak mahu mengubah sikap, orang lain akan menentukan nasib mereka. Kritikan yang sangat jauh tersasar daripada Duta Kesatuan Eropah (EU) di Malaysia, Thierry Rommel terhadap dasar negara Malaysia adalah contoh bagaimana orang luar mengambil kesempatan ke atas sikap bangsa Melayu.


Rommel mendakwa dasar-dasar yang dijalankan oleh Malaysia termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) hanya menguntungkan golongan tertentu. Tidakkah beliau sedar betapa bangsa Melayu memerlukan perhatian dan bimbingan supaya sosiopolitik di Malaysia menjadi stabil dan peristiwa 13 Mei 1969 tidak berulang lagi? Tindak-tanduk Rommel yang keras kepala dan degil memang diketahui oleh penyelidik Asia dan Eropah. Selepas ini beliau tidak lagi dapat duduk diam setelah ditegur oleh orang nombor dua dalam kerajaan Malaysia.

Bangsa Melayu harus bersedia untuk berhadapan dengan cabaran seperti ini dan mereka boleh berjaya jika bersiap sedia dengan kekuatan. YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan-ucapan beliau sering mengingatkan betapa kita harus bersedia dengan kekuatan. Persediaan yang beliau maksudkan ialah:

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain daripada mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya." (Surah Al-Anfaal, ayat 60)

Monday, June 25, 2007

Bagaimanakah orang jahil menafsirkan al-quran?

Penulis : Harun Yahya
Tahun : 2004 (Edisi Bahasa Melayu)
Penerbit : Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur
Muka surat : 66

Al-quran adalah kitab yang maha ideal yang tidak hanya teruji sebagai panduan hidup umat manusia, tetapi juga terbukti secara sains. Berbagai-bagai penemuan mutaakhir yang muncul di bidang sains mengukuhkan kebenaran al-quran ini. Sungguhpun begitu, tidak sedikit orang yang terkandas di tengah jalan dalam menemukan kesejatian al-quran.

Mengapa hal ini terjadi? Kerana mereka terjebak dalam salah tafsir terhadadap al-quran. Entah kerana memendam prasangka, ada maksud tersembunyi, kurang jujur, tidak mengerti bahasa Arab, kurang menguasai teknik penafsiran, miskin pemahaman, lemah fikiran atau kerana sang pengkaji dihinggapi sikap angkuh. Banyak contoh yang memperlihatkan betapa penyimpangan penafsiran terhadap al-quran itu betul-betul terjadi, sehingga mengaburkan pesanan hakiki dari kitab agung ini.

Maka di sinilah peranan penting dari buku "Bagaimanakah Orang Jahil Menafsirkan Al-Qur'an" ini. Sekalipun kecil, karya Harun Yahya ini mampu menjelaskan kekeliruan ramai orang dalam menafsirkan al-quran. Latar belakang penulisnya sebagai ilmuan turut memperkayakan buku ini, sehingga menghadirkan corak tafsir yang berbeza daripada biasanya.

Salah satu salah tafsiran al-quran ialah minum arak di dalam syurga. Persoalannya ialah bagaimanakah arak boleh diberikan kepada penghuni syurga sedangkan ianya diharamkan di dunia. Dalilnya Surah Muhammad ayat 15 yang bermaksud:

"Sifat syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredhaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak sama)!"


Bagi menolak hujah ini, al-quran menerangkan perbezaan di antara minuman yang disediakan di syurga dan di dunia dalam ayat 18 hingga 19 Surah Al-Waqiah:

"Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir. Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya."


Minuman yang disediakan di syurga sama sekali tidak ada kesan negatif dan sangat berbeza daripada arak yang diminum di dunia. Malahan ciri-ciri minuman yang dilarang di dunia ini tidak wujud di dalam syurga.

Ulasan Editor : Harun Yahya merupakan seorang penulis dan pengkaji yang gigih dalam usahanya. Buku seperti ini wajar dimiliki oleh para pendakwah bagi memantapkan pengetahuan mereka terhadap isi kandungan bagi menjelaskan isu-isu semasa. Piawaian seorang pendakwah tidak lengkap tanpa memasukkan buku tulisan Harun Yahya ke dalam kajiannya kerana memang keperluan pendakwah hari ini ialah selangkah berada di depan dai'.

Malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah Al-Baqarah ayat 32)

Sunday, June 24, 2007

Kudrat orang buta

Kelahiran adalah anugerah Tuhan kepada manusia dan makhluk yang lain bagi meneruskan zuriat. Biar bagaimana keadaan sekali pun, merasai nikmat hidup dan bersyukur menjadi lebih bererti jika seluruh kehidupan setiap makhluk berada dalam keberkatan. Justeru, ketabahan hati seorang nelayan buta yang lebih separuh abad mencari rezeki di laut mencelikkan akal orang yang sempurna betapa usaha adalah keperluan untuk hidup, bukannya berpeluk tubuh. Kegigihan nelayan buta ini mengundang simpati dan doa orang ramai.

Kesempurnaan fizikal atau anggota badan ketika lahir menjadi keutamaan setiap ibu bapa terhadap anak-anak. Kecacatan di mana-mana bahagian badan pasti menjejaskan pergerakan mereka ketika sedang melalui proses tumbesaran. Bagi kes yang istimewa, kecacatan anggota fizikal sedikit pun tidak menjejaskan keupayaan mental untuk meraih kejayaan. Di dalam masyarakat Malaysia, sedikit demi sedikit ruang kejayaan diberikan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk menyumbang buah fikiran, tenaga dan masa mereka bagi pembangunan negara.

Kemudahan infrastruktur di bangunan kerajaan umpamanya disesuaikan bagi kemudahan mereka. Butang aras di dalam lif yang dahulunya direka pada ketinggian tertentu, kini direndahkan dan lebih mudah untuk ditekan. Manakala laluan siar kaki di taman-taman rekreasi awam mula mengambilkira keperluan golongan ini. Kesedaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) semakin menyerlah setelah didedahkan dengan kebaikan menyediakan kemudahan untuk golongan berkenaan.

Pengangkutan awam turut berperanan menyahut seruan kerajaan untuk menyediakan kemudahan yang serupa. Jika dahulu penumpang bas berebut untuk memilih tempat duduk, kini keutamaan diberikan kepada golongan OKU dengan memperuntukkan tempat duduk yang lebih luas dan selesa.

Keupayaan menyediakan kemudahan kepada OKU tidak akan bererti bagi kerajaan jika kanak-kanak OKU dari mula kelahiran hingga dewasa tidak diketengahkan kepada pengetahuan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM). Seruan YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa keluarga yang mempunyai anak-anak OKU agar tidak malu untuk mendapatkan khidmat bantuan daripada agensi kerajaan yang bersedia menghulurkan bantuan. Stigma keluarga yang berasa malu dan berat hati untuk mendaftar anak-anak OKU hanya memudaratkan dan merugikan diri anak-anak tersebut.

Berdaftar dengan agensi kerajaan yang berkaitan memberi manfaat yang besar kepada keluarga. Selain daripada anak-anak OKU mendapat pembelaan dari segi kesihatan, perbelanjaan hidup dan perhatian, ibu bapa dapat berjumpa dengan para pakar yang sedia memberi bantuan dan bimbingan yang terbaik demi masa depan anak-anak mereka. Melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan membantu proses sosialisasi yang lebih bermakna. Sokongan sosial daripada persatuan dan galakan daripada pakar akan menolak jauh tohmahan segelintir ahli masyarakat yang memandang rendah keluarga yang mempunyai anak OKU ini.

OKU yang berjaya adalah mereka yang sedia untuk berubah. Menangisi kecacatan dan kekurangan diri tidak akan memberi apa-apa makna untuk berjaya dalam hidup.

Kisah dua orang rakan yang saya kenali sebagai pekerja gigih boleh dijadikan iktibar kepada kita untuk melihat betapa mereka juga boleh berdikari. Kedua-duanya rabun mata kiri dan kanan tetapi masih ingin mencari rezeki sendiri dan tidak mengharapkan ihsan daripada masyarakat.

Sazani adalah tukang urut refleksiologi yang telah lama bekerja di Kuala Lumpur. Berasal dari Sabah, beliau merantau ke kota raya untuk mengubah keadaan hidup dan memilih perkhidmatan refleksiologi sebagai asas kepada sumber pendapatan sendiri. Belajar dengan rakan-rakan lain di Malaysian Blind Association (MBA), beliau melangkah dengan yakin untuk mencari wang sendiri bagi masa depannya. Kini beliau sedang menunggu kelahiran anak yang pertama setelah mendirikan rumah tangga dengan wanita normal tahun lepas. Setiap hari Sazani berulang-alik dari Sepang ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan tidak pernah mengeluh mengenai kecacatannya.

Kedua ialah Hishamudin, tinggal di Kampung Baru dan telah berkeluarga. Berbeza daripada Sazani, Hishamudin telah bersedia untuk buta sepenuhnya. Pelanggannya dalam urutan refleksiologi memang ramai dan kadangkala tidak menang tangan untuk melayan panggilan pelanggan yang merangkumi orang perseorangan, orang kenamaan dan pegawai kerajaan. Beliau seorang yang gigih dan berani meluaskan perniagaannya serta pernah menawarkan perkhidmatan refleksiologi di Menara Kuala Lumpur. Di samping itu beliau juga memberi khidmat dari rumah ke rumah dan hotel. Sama seperti Sazani, Hishamudin tidak pernah mengeluh kekurangan dirinya. Setiap kali ada kesempatan beliau akan menawarkan khidmat urut kaki kerana berprinsip setiap orang berpotensi untuk menjadi pelanggan yang setia.

Kita percaya ramai lagi orang kurang upaya seperti Sazani dan Hishamudin yang gigih berusaha sendiri untuk memajukan hidup masing-masing. Nelayan tua dan dua lelaki pengusaha kesihatan alternatif seperti ini bakal menjadi semangat kepada orang yang senasib dengan mereka. Suntikan dorongan betapa orang cacat boleh berjaya akan melenyapkan sama sekali persepsi masyarakat yang memandang rendah kepada keupayaan orang kurang upaya untuk berdikari sendiri.

Saturday, June 23, 2007

Haramkan iklan makanan ringan

Tayangan iklan makanan ringan di televisyen akan dihalang daripada disiarkan pada waktu yang ditetapkan. Ketika yang sama, syarikat makanan segera dilarang daripada menaja program seumpama itu. Keputusan kabinet ini adalah bagi memastikan kanak-kanak di Malaysia dapat dididik dan diterapkan dengan budaya serta amalan pemakanan yang sihat. Banyak penyakit kronik ada hubungkaitnya dengan makanan yang tidak sihat ini.

Penyakit jantung, kencing manis dan peningkatan ketara penyakit kronik dalam masa dua dekad sebelum ini telah sampai ke tahap yang membimbangkan. Sejak 20 tahun yang lalu, hanya enam peratus rakyat Malaysia yang menghidap penyakit kencing manis, namun jumlahnya meningkat kepada sembilan peratus. Dijangkakan pada tahun 2020, penghidap penyakit kencing manis akan melonjak kepada 12 peratus.

Di samping itu dianggarkan sebanyak 30 peratus rakyat Malaysia menghidap penyakit buah pinggang.

Walaupun tarikh kuat kuasa larangan ini belum diputuskan, ianya cukup memberi harapan kepada kesihatan kanak-kanak yang lebih baik. Makanan ringan mempunyai kesan kesihatan termasuk ke atas buah pinggang dan malas.

Banyak pihak yang berperanan memastikan kanak-kanak hanya mengambil makanan yang berkhasiat bagi perkembangan tumbesaran mereka. Ibu bapa, keluarga, guru, pihak sekolah dan pengusaha kantin sekolah boleh membentuk sinergi bagi memastikan kawasan sekolah bebas daripada pengaruh makanan ringan. Ini kerana kesan utama yang dapat diperhatikan selepas pengambilan makanan ringan ialah kecelaruan tingkah laku, ekstrem terhadap pengambilan makanan khususnya minuman manis dan kegemukan.

Iklan makanan segera turut menyumbang kepada pengambilan makanan ringan kerana ianya mudah membentuk pengaruh ke atas minda kanak-kanak. Iklan makanan ringan dan makanan segera yang menawarkan hadiah secara bersiri telah pun berleluasa sejak 20 tahun yang lalu. Antaranya ialah "tore" yang telah lama berada di pasaran. Kotaknya yang menarik dan disertakan pelbagai jenis barang mainan menarik perhatian pelajar dan kanak-kanak untuk memilikinya. Secara tidak langsung ia menerapkan keinginan yang membuak-buak di dalam diri mereka untuk membelinya.

Bagaimana ibu bapa dapat mengawal pengambilan makanan ringan ini terhadap anak-anak mereka?

Mendidik anak-anak adalah langkah terbaik tetapi ibu bapa terlebih dahulu perlu mempunyai pengetahuan tentang kaedah untuk mengawal pengambilan makanan jenis ini. Mendidik dan mengawal jenis makanan dapat memberi pengajaran kepada anak-anak untuk memilih makanan yang baik-baik dan selamat untuk kesihatan mereka.

Di samping menjimatkan belanja harian ke sekolah, bekalan makanan dan minuman bagi anak-anak yang bersekolah dapat memberi tenaga yang lebih baik kerana ibu bapa dapat mengawal pengambilan makanan semasa di sekolah.

Ketika keluar untuk makan bersama keluarga, ibu bapa wajar mengambil kesempatan menerangkan makanan yang bagus untuk perkembangan mental dan fizikal anak-anak menggunakan bahasa yang mudah difahami. Penerangan yang mudah ini dapat diserap dengan pantas kerana anak-anak akan mengingatinya sampai bila-bila dan tidak menjadi masalah apabila mereka telah dewasa kelak. Di samping menggunakan bahasa lisan, penerangan bersertakan ilustrasi yang menarik dapat menarik perhatian anak-anak untuk bersama-sama memahami keperluan memakan makanan yang berkhasiat.

Ibu menyediakan makanan pagi, tengah hari dan malam. Merancang masa untuk makan dapat mengelakkan anak-anak kelaparan tidak pada waktunya. Mendapatkan makanan pada tiga masa ini dapat menghindarkan ingatan anak-anak kepada makanan ringan. Justeru ingatan ibu bapa kepada anak mereka supaya makan pada waktunya sangat berkesan jika dibuat setiap hari.

Bersenam adalah aktiviti yang dapat memberi stamina kepada tubuh badan. Ia juga membakar lemak dan mengurangkan risiko kegemukan. Aktiviti senam berkeluarga yang dirancang menjadi lebih menarik jika semua ahli keluarga bersama-sama mengambil bahagian dan memberi komitmen yang tinggi. Di bandar atau di kampung sama sahaja kerana apa yang dimakan di bandar, turut dimakan oleh kanak-kanak di kampung. Hari ini, makanan ringan telah dijual di seluruh ceruk kampung kerana kesan daripada pengaruh iklan di televisyen.

Mengharamkan iklan makanan ringan di televisyen adalah satu langkah bijak bagi jangka masa panjang. Harus juga diingat, kesan daripada pengharaman ini membuatkan syarikat makanan ringan menjadi lebih kreatif untuk memasarkan produk keluaran mereka kerana permintaannya sentiasa ada. Tidak dapat di media elektronik, mereka akan menumpukan pemasaran kepada media massa dan papan iklan yang berselerakan di seluruh negara. Kempen pemasaran menggunakan pelbagai teknik yang menarik akan muncul dengan ketara selepas ini. Barangkali strategi "membeli dan menang" akan lebih kerap diadakan.

Kejayaan mengawal pengambilan makanan ringan banyak bergantung kepada peranan ibu bapa. Kanak-kanak yang baru hendak mengenal baik dan buruk makanan akan mendengar cakap mereka di samping guru di sekolah. Justeru, kempen kesedaran terhadap ibu bapa juga harus diadakan bagi mempastikan kanak-kanak Malaysia pada depan tidak terdedah kepada bahaya makanan ringan.

Friday, June 22, 2007

Cabaran mahasiswa di institusi pengajian tinggi

Institusi pendidikan di Malaysia memberi peluang yang luas dan saksama kepada pelajar lelaki dan perempuan untuk berjaya sehingga ke universiti. Keadaan ini sangat berbeza pada tahun-tahun sebelum dan 30 tahun selepas merdeka. Kini, persaingan untuk mendapat tempat di menara gading, kolej atau institusi pengajian tinggi swasta mengalami gelombang pelajar yang lebih bijak dan mempunyai keupayaan intelek yang lebih baik.

Kelompok pelajar atau mahasiswa yang rata-ratanya di bawah umur 25 tahun berkembang sebagai kelompok yang sangat istimewa di dalam masyarakat kerana mereka bakal mencetuskan hala tuju baru dalam era kepimpinan Malaysia 50 tahun yang akan datang. YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi ketika membentangkan impiannya bagi 50 tahun yang akan datang turut ingin melihat masyarakat Malaysia yang lebih maju, dinamik dan mampu meraih kejayaan di peringkat dunia. Harapannya kini sebenarnya berada di bahu mahasiswa masa sekarang yang diberi dengan pelbagai kemudahan, sama ada secara fizikal, mental ataupun spiritual melalui bantuan kewangan, infrastruktur yang selesa dan motivasi dari semasa ke semasa.

Mohamad Sofee Razak (Berita Harian, 20 Jun 2007) ketika mengulas keadaan mahasiswa berkata:

"Kelompok masyarakat ini sebenarnya masih ada yang keliru dan hilang arah tujuan serta masih lagi mencari-cari identiti dan entiti mereka sebagai mahasiswa sebenar di mana mereka menjadi insan harapan nusa dan bangsa.


Mereka kadangkala seolah-olah tidak tahu apa yang seharusnya dilakukan dan mungkin juga ada yang langsung tidak mengambil berat dan endah tak endah berkenaan perkara itu sehinggakan terbawa-bawa hingga ke alam pekerjaan.

Keadaan ini menyebabkan mereka masih tidak yakin pada diri sendiri; hilang rasa bangga sebagai seorang mahasiswa; malu berhadapan masyarakat; takut kepada cabaran; kurang persediaan dan persiapan yang amat ala kadar; tidak bersungguh di dalam melaksanakan sesuatu tugasan; hilang arah tujuan dan matlamat hidup; semangat kerja yang mundur dan tiada motivasi serta pelbagai lagi sikap negatif yang sering kali menghantui mahasiswa semasa pengajian dan selepas tamat pengajian."

Peringkat hidup mahasiswa juga ada identiti tersendiri. Agak malang jika di peringkat ini mereka masih lagi tidak dapat membentuk identiti yang mantap sebagai persediaan ke alam pekerjaan. Kematangan amat penting bagi menjamin kejayaan dalam pencarian kerja selain daripada keputusan peperiksaan yang cemerlang.

Ketika mengendalikan kursus peningkatan diri kepada sekumpulan mahasiswa dari institusi pengajian tinggi awam tempatan baru-baru ini, saya juga melihat terdapat aspek yang sangat ketara kelemahannya pada diri seorang mahasiswa. Sebahagian besar peserta lelaki begitu pendiam, takut untuk mencuba dan lebih gemar menunggu soalan daripada cuba untuk bertanya. Berbanding peserta perempuan, semuanya menunjukkan tahap penglibatan yang sangat aktif dan mampu menghidupkan suasana perbincangan dalam kumpulan.

Keupayaan mahasiswa perempuan mendepani halangan dalam kursus seperti ini mendedahkan realiti betapa pelajar perempuan di peringkat sekolah menengah lebih matang, sedia menempuh cabaran dan enggan mengalah. Manakala pelajar lelaki masih lagi dibuai mimpi indah mendapat keputusan cemerlang di peringkat sekolah menengah sedangkan realiti belajar di universiti sangat berbeza.

Perbezaan pelajar lelaki dan perempuan di universiti sangat ketara lebih-lebih lagi apabila diminta untuk membentangkan hasil kerja kumpulan. Ketika mahasiswi bersungguh-sungguh untuk membentangkan hasil perbincangan kumpulan, mahasiswa lebih banyak membebel dan hilang tumpuan apabila diminta menjawab soalan yang berada di luar daripada kursus seperti isu-isu semasa. Namun semuanya mempamerkan sikap yang tidak wajar apabila tidak tahu nama naib canselor atau rektor universiti mereka sendiri.

Apa yang difikirkan oleh mahasiswa juga agak sukar diramal. Jika dikatakan mereka tidak punya idealisme, susah juga diramal kerana keadaan persekitaran yang semakin bersifat global mendedahkan mereka kepada pelbagai sumber maklumat. Apakah ketiadaan sensitiviti dan kesedaran terhadap dunia luar kampus menjadikan mereka kaku, tidak sedar dan leka dengan dunia sendiri.

Semakin ramai pelajar yang dapat menjejakkan kaki ke universiti bererti persaingan dalam pekerjaan akan bertambah. Jika mahasiswa masih hanya dengan bidang pelajarannya tanpa ada nilai tambah, sukar bagi mereka untuk bersaing. Kemahiran yang ada, sama ada ditambah atau ditingkatkan, bergantung sepenuhnya kepada diri sendiri. Keputusan kerajaan untuk mengkelaskan empat buah universiti menjadi universiti penyelidikan membantu Malaysia melahirkan lebih ramai bijak pandai yang lebih dinamik. Justeru, bersediakah mahasiswa hari ini untuk belajar sehingga ke peringkat tertinggi?

Cabaran yang hebat sedang menunggu mahasiswa yang memenuhi institusi pengajian tinggi hari ini. Perancangan masa depan wajar dibuat ketika hari pertama melangkah ke universiti dan secepat mungkin mencari nilai tambah yang bersesuaian. Tidak ada siapa yang akan mengambil tahu nasib diri mahasiswa jika diri sendiri tidak bersedia untuk mencarinya.

Thursday, June 21, 2007

Tabiat 3 Memahami perubahan (1)

Semua orang inginkan kejayaan. Jika ditanya siapa yang tidak mahu berjaya, tentu tidak ada yang mahu mengaku. Sama ada kecil ataupun besar, pasti mahu merebut kejayaan. Kejayaan memberikan kebahagiaan. Itulah yang dikehendaki oleh setiap orang yang mencari kejayaan biarpun bagi seorang perompak.

Kisah sekumpulan perompak yang memecah masuk sebuah bank di Selangor dan melarikan barang-barang kemas, sijil dan bon saham milik pelanggan menceritakan kepada kita yang perompak juga mahu berjaya. Bagaimana mereka bekerja?

Hari itu hari kedua aidilfitri . Mereka mula bekerja pada jam 5.00 pagi dengan menebuk lubang sebesar tayar kereta Perodua Kancil dan masuk ke tempat sasaran menggunakan seutas tali. Kerja perompak ini ialah memecahkan 92 daripada 708 peti simpanan keselamatan dan kejadian ini hanya disedari sebelas jam selepas perompak ini mengemas kini kerja-kerja mereka. Sungguh cekap!

Kumpulan perompak ini dipercayai kumpulan yang sama merompak sebuah bank di Cheras, Kuala Lumpur, 15 tahun yang lalu dengan jumlah rompakan sebanyak RM30 juta.

Itu kisah perompak yang mencapai kejayaan.

Pelajar cemerlang, Nur Amalina Che Bakri yang mencatat pencapaian terhebat dalam sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat 17A1. Ibu bapanya bercerai, belajar di sekolah biasa tetapi semangat dan keazamannya untuk meraih segala impian sangat luar biasa.

Pencapaiannya sungguh mengagumkan sehingga dijemput untuk makan tengah hari bersama Perdana Menteri Malaysia. Pengajiannya di Cheltenham Ladies College, United Kingdom adalah di bawah tajaan Bank Negara Malaysia.

Najmil Faiz, 26 tahun, seorang yang tabah untuk mencapai cita-cita. Pada 14 Mac 2005, beliau membentangkan hasil kajian di hadapan anggota parlimen United Kingdom, London kerana diberi penghormatan dan pengiktirafan di atas kajian "Micro Machine Process" dan memenangi anugerah "The Best Research of Good Prospect (2005)." Beliau membentangkan hasil kajian itu selama 15 minit.

Siapakah Najmil Faiz Mohammed Aris?

Beliau berasal dari Ipoh, Perak dan mendapat pangkat tiga dalam Sijil Pelajaran Malaysia. Pernah bekerja di stesen minyak. Ketika berada di persimpangan hidup di antara belajar dan bekerja, dia mula mengatur strategi untuk belajar. Melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KuiTTHO), Batu Pahat, Johor. Tahun 2000 beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Muda Kejuteraan seterusnya ijazah kedoktoran (PhD) di Universiti Metropolitan di Leeds, UK. Tesis pengajian PhD ialah "Surface Functionality: Modelling, Simulation, Optimization and Control."

Kejayaan Najmil Faiz bukanlah dengan jalan mudah. Agenda pendidikannya sangat besar. Bangkit daripada kegagalan; dipandang rendah kerana menjadi pekerja stesen minyak, lemah bahasa Inggeris dan bukannya keluarga yang senang. Beliau berpegang pada peribahasa Cina, "Menyimpang seinci rugi seribu tahun." Kegagalan adalah pembakar semangat dan kaunselor yang terbaik. Padanya, kegagalan membuatkan dirinya sentiasa berfikir ke arah mana hala tuju hidupnya.

Kecewa kerana mendapat purata nilaian gred keseluruhan (CGPA) 2.2 selepas dua tahun belajar diploma, beliau memulakan azam untuk memenuhi impian terbesar dalam hidupnya. Kenapa Najmil boleh berjaya? Kerana tidak pernah kenal erti putus asa, tidak membiarkan sesiapa sahaja memperkecilkan usahanya selama ini dan berjiwa besar.

Di UK, beliau bertungkus-lumus bekerja sambil belajar, tidur dua atau tiga jam sehari. Semua jenis kerja dilakukan, dari mencuci bangunan hinggalah mengangkat barang-barang untuk menampung kos pengajian. Kejayaan mendapatkan ijazah kedoktoran dalam usia yang muda sangat membanggakan. Beliau adalah contoh intelek muda negara yang mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Antara anugerah yang diperolehi Najmil ialah Anugerah Pencapaian Akademik Terbilang, Anugerah Akademik Gemilang dan Anugerah Personaliti Bitara. Kini beliau berbangga kerana dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia yang dahagakan kejayaan melalui buku autobiografi dan motivasi yang bertajuk "Meniti Puncak Antara Realiti dan Fantasi" yang menyingkap pelbagai pengalaman, susah payah dan keazamannya untuk berjaya.

Monday, June 18, 2007

Minda punca kejayaan

Penulis : Imran Jafar
Tahun : 1993
Penerbit : Golden Books Centre Sdn Bhd, Kuala Lumpur
Muka surat : 117

Buku kompak ini menghuraikan peranan minda dalam kehidupan manusia yang bercita-cita untuk berjaya dalam hidup. Minda adalah perkataan Inggeris iaitu "mind." Ia ditakrifkan sebagai keseluruhan proses fikiran sedar dan separuh sedar yang terjalin dan dikaitkan dengan otak terutamanya fikiran. Tafsiran minda juga membawa pengertian terhadap kaedah berfikir, keupayaan mental, kuasa intelektual dan sebagainya. Huraian berkaitan minda yang lebih terperinci akan pembaca dapati dalam buku ini kerana 14 bab yang dimuatkan, semuanya berkaitan dengan minda dan pembaharuan.

Emosi manusia berkait rapat dengan soal kekuatan dan dorongan minda kerana dapat meningkatkan daya kerja dan fungsinya. Justeru, emosi yang sihat adalah simbol minda yang sihat. Sel-sel otak yang berjumlah 15 juta banyaknya tersusun dalam satu jaringan yang rapi. Keupayaan menggunakan sel-sel yang banyak ini boleh ditingkatkan melalui perbincangan yang harmoni mengenai pelbagai persoalan di antara kumpulan. Mesyuarat, persidangan meja bulat dan konferens adalah kaedah untuk memanfaatkan penggunaan minda yang praktikal.

Terdapat satu bab yang membincangkan secara panjang lebar berkaitan keadaan alam bawah sedar yang menjadi tempat simpanan segala kesan yang telah merangsang jalan fikiran yang masuk melalui pancaindera. Didedahkan juga kaedah memupuk alam bawah sedar pada minda yang mampu menjadikan seseorang itu lebih bahagia dan memandang hidup masa depan dengan lebih positif.

Keistimewaan minda ialah tidak akan rosak dalam keadaan semula jadi walaupun diguna berpuluh-puluh tahun. Kekuatan minda dapat dipertingkatkan dengan menerapkan nilai-nilai yang suci murni di samping menambah ilmu pengetahuan dan daya motivasi.

Di akhir buku ini terdapat 28 soalan untuk pembaca mengenali diri sendiri bagi menilai dan menambah baik potensi minda dan kehidupan. Salah satu daripadanya ialah, "Bagaimanakah pencapaian anda hari ini berbanding dengan hari semalam, setahun yang lalu, dua tahun yang lalu, sepuluh tahun yang lalu?"

Ulasan Editor : Kajian mengenai kekuatan minda telah banyak dilakukan khususnya di Barat kerana manusia ingin tahu bagaimana ia berfungsi. Salah seorang daripada pengkaji dan pengembang kehebatan minda ialah Tony Buzan yang menyebarkan ilmu ini melalui buku dan siri seminar. Individu yang bijak dianggap mempunyai peluang yang lebih luas untuk berjaya dalam hidup kerana faktor kematangan, pengetahuan dan tahap potensi diri yang tinggi. Harus juga diingatkan bahawa keupayaan minda berkait dengan makanan protein, cara hidup sihat dan keinginan untuk belajar dalam berbagai-bagai bidang. Bagi mengekalkan fungsi minda pada tahap maksimum, konsep pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) boleh dijadikan sebagai pilihan.

Thursday, June 14, 2007

Tabiat 2 Merancang untuk berubah

Lima deria yang ada pada setiap orang akan memberi rangsangan untuk melakukan perubahan. Apa yang didengar, dilihat dan dirasa akan memberi gambaran terhadap pemikiran yang bakal menentukan sama ada ingin berubah ataupun tidak. Namun begitu, kita mesti mengenal pasti kaedah yang boleh membawa perubahan kepada kejayaan. Angan-angan atau impian tidak akan menjadi kenyataan tanpa usaha. Malah, dengan hanya berbekalkan semangat dan kemahuan semata-mata, ia tidak akan mencukupi untuk berubah tanpa merancang kaedah yang sistematik.

Kehidupan tidak boleh menjadi terbiar dan gersang. Keindahan, kedamaian dan nikmat hidup harus dihayati dengan kebahagiaan. Yang terbiar adalah minda, bukan fizikalnya. Bukan jiwanya. Bukan sekelilingnya.

Sekitar tahun 1980-an, ramai siswazah yang menamatkan pengajian daripada universiti luar negara tidak mempunyai pekerjaan. Walaupun belajar empat tahun, bersusah payah, pulang ke Malaysia tetapi hampa dengan keadaan ekonomi.

Kerajaan melancarkan program Pemulihan Tanah Terbiar kerana berfikir tanah terbiar boleh dibangunkan oleh para siswazah yang menganggur.

Siswazah Malaysia sangat pintar. Tetapi kenapa otaknya dibiarkan? Mereka ada kemahiran dan ilmu. Mereka harus digerakkan untuk berfikir. Saranan ayat 7 hingga 80 surah Al-Mu’minun untuk berfikir harus dijadikan pedoman.

"Dan Dialah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur; tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur. Dan Dialah yang menciptakan serta mengembangkan kamu di bumi dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan. Dan Dialah yang menghidupkan dan mematikan dan Dialah yang menentukan pertukaran malam dan siang. Maka tidakkah kamu mahu berfikir?"

Kemunduran, kegagalan dan kelemahan adalah kerana kurang berfikir. Semangat dan dorongan berfikir sangat kurang kerana tidak ada OID iaitu Observant (Memerhati), Interested (Berminat) dan Dedicated (Dedikasi).

Memerhati membentuk budaya ingin tahu, mahu mengkaji, meneliti, menyoal dan mahu mencari kebenaran. Umat Islam berjaya membina tamadun yang gilang gemilang adalah kerana mereka menghayati konsep iqra’ iaitu memerangi kejahilan.

Berminat ialah menunjukkan kesungguhan yang berterusan. Daripada minat, sesetengah perniagaan menjadi terkenal. Pengimport ikan hiasan bermula dengan minat memelihara ikan, penjual alat solek membuka salon kerana minat dengan kecantikan dan penulis buku bermula dengan minat membaca dan berkongsi pengalaman.

Dedikasi adalah bersungguh-sungguh, tekun, gigih dan beriltizam.

Walt Disney telah menerbitkan siri kartun tentang persediaan manusia ke bulan dengan roket. Presiden Amerika Syarikat, Ianshower, terfikir kenapa manusia tidak boleh pergi ke bulan. Lalu beliau mengambil filem berkenaan dan ditayangkan kepada pegawai-pegawai Kementerian Pertahanan. Filem ini diulang sebanyak lapan kali bagi meyakinkan mereka.

Akhirnya wujudlah NASA yang ditugaskan untuk merealisasikan cita-cita manusia ke bulan.

Jadi bagaimana hendak berubah? Ulangi impian dan angan-angan banyak kali untuk membina keyakinan. Orang yang berjaya tidak membiarkan otaknya usang dan berkarat.

Sajak Kuala Lumpur Lagu Tiga Kupang oleh Wan Mohamad (pernah dibacakan oleh Pyanhabib) boleh memberi gambaran kepada kita bagaimana otak yang terbiar tidak digunakan.


Kuala Lumpur ada masjid negara
Ada juga beer garden di udara
lelaki di sini mesti diajar
diajar pakai kain
atau skirt dan bra
para perempuan diajar
tidak pakai apa-apa
kerana telah lama
training
mudah membuka mudah terbuka
Kuala Lumpur ada tugu negara
Ada pula bekas tentera jadi peminta
inilah wilayah
six million dollar monkey
petah berkata-kata
ikut tempat dan situasi
agama dan pembangunan rohani
rakyat dan penderitaan
negara dan kemajuan
masa depan dan pengorbanan
orang miskin diminta menyimpan
Taman bunga ada panggung annivesari
Saban minggu, saban minggu penuh muka Melayu
Merehatkan fikiran, merehatkan fikiran
Yang sangat jarang digunakan
di sini ada kilang-kilang istimewa
mengeluarkan kertas-kertas dipanggil degree
….



Sajak ini adalah gambaran sinis terhadap kegersangan minda yang dibiarkan tanpa dibangunkan potensinya. Bayangkan betapa banyak masa dan tenaga serta wang ringgit yang dihabiskan jika pengajian di universiti hanya melahirkan manusia-manusia yang mementingkan ijazah tanpa dapat diguna pakai kemahiran mereka.

Survival seseorang bergantung kepada corak berfikir dan kemahuan yang tinggi terhadap kejayaan hidup. Merancang untuk berubah tentunya melibatkan pelbagai strategi, berfikir pelbagai rupa dan bertindak pelbagai cara. Gabungan perancangan minda, kemahiran dan kemahuan akan merangsang perubahan yang pantas, jitu dan meyakinkan. Ramai orang yang berjaya bukanlah mereka terlalu bijak tetapi mereka melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan tidak bosan dengan kegagalan. Sekali gagal, sembilan peluang kejayaan terbuka untuk mereka.

Semasa mengendalikan latihan dalam kumpulan kepada sekumpulan peserta wanita, seramai 12 orang yang masih muda dan bertenaga, adalah menjadi kebiasaan kepada saya untuk mengetahui slogan kejayaan hidup mereka. Seorang demi seorang diminta berkongsi slogan hidup masing-masing. Salah satu slogan yang saya fikir mempunyai kekuatan luar biasa ialah "kekalahan tangga kejayaan." Saya tidak tahu mengapa salah seorang peserta dalam kumpulan ini begitu prihatin dengan kekalahan dan kejayaan. Rupanya, beliau pernah beberapa kali gagal dalam usahanya untuk menjadi seorang jururawat. Kini, usahanya yang panjang sebelum itu telah dizahirkan dengan sebuah kejayaan. Tidak sia-sialah pengorbanannya selama ini bagi merealisasikan impian hidupnya itu.

Wednesday, June 13, 2007

Melayu berhati mulia

Kesempatan bertemu dengan sepasang suami isteri berketurunan Cina yang kurang upaya sangat menyentuh hati. Si suami adalah seorang yang tabah, bersemangat tinggi untuk bekerja dan telah lumpuh dari paras pinggang hingga ke kaki kerana terjatuh ketika bekerja. Umurnya 41 tahun. Berkerusi roda untuk bergerak ke sana-sini. Manakala si isterinya, seorang yang lembam dan berumur 31 tahun. Mereka belum punya anak.

Walaupun dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU), kedua-duanya tetap berusaha menyara pendapatan sendiri dengan menjual kraftangan di Jalan Petaling. Berulang-alik dari Jinjang ke Jalan Petaling dengan teksi dan kereta memang menyukarkan bagi seorang OKU. Tetapi mereka tidak ada pilihan untuk hidup senang kerana semua orang mesti berusaha untuk hidup. Pendapatan menjual kraftangan aluminium yang dibuat dengan pelbagai bentuk dapat menyara hidup mereka berdua. Bayaran sewa rumah, minyak kenderaan, bil elektrik dan air, bayaran makan-minum dan perubatan semuanya dapat diuruskan dengan baik selama ini.

Melayu berhati mulia. Itulah ungkapan yang menyentuh hati saya ketika berbual-bual dengan si suami yang petah bercakap. Kadangkala si isteri cuba menyampuk bagi menggambarkan dia juga ingin menyertai perbualan kami. Di mana mulianya Melayu ini?

Kedua-dua mereka adalah pembuat barangan kraftangan daripada aluminium yang dibentuk dengan pelbagai corak yang biasanya dijadikan cendera hati. Apabila hendak pergi ke tempat kerja, mereka kadangkala ada wang untuk mengisi minyak kereta dan memandu sendiri. Ada kalanya langsung tidak ada wang dan siapa yang membantu mereka? Di sinilah Melayu berhati mulia. Pemandu teksi yang dihubungi dengan telefon akan datang mengambil atau menghantar mereka pulang ke Jinjang walaupun tidak dibayar. Saya bertanya kenapa pemandu teksi Melayu sanggup berkorban sampai begitu sekali? Kerana mereka tahu balasan Tuhan di kemudian hari. Sambil menunjukkan jari arah ke atas (langit), si suami yakin pemandu teksi Melayu dapat memahami betapa membantu orang lain walaupun bukan sebangsa dan seagama adalah satu tuntutan.

Lalu saya bertanya kenapa pemandu teksi Cina tidak dikata berhati mulia? Kerana terlalu mengejar wang dan beralasankan kebersihan. Jika OKU naik teksi dan memilih tempat duduk belakang, bahagian tersebut kerap kali perlu dibersihkan. Inilah yang dielakkan oleh pemandu berkenaan. Kenapa sampai begitu sekali? Si suami tidak tahu. Manakala si isteri hanya termenung. Entah faham entah tidak.

Kemuliaan pemandu teksi Melayu seperti yang diceritakan ini amat mengharukan. Ia memberi imej yang baik kepada seluruh pemandu teksi Melayu di Kuala Lumpur. Jika beginilah sikap pemandu teksi Melayu yang diceritakan oleh OKU berbangsa Cina ini, siapakah yang sebenarnya telah mendidik mereka untuk menjadi mulia?

Mahu ataupun tidak, nilai agama dan budaya yang menjadi perkara utama dalam proses pembentukan ini. Tidak ada apa yang hendak dipersoalkan kerana keluarga Melayu tetap mengutamakan nilai bangsa dan budaya murni bagi membentuk peribadi dan akhlak yang mulia sejak kecil. Hari ini, anak-anak kecil dilatih menghormati ibu bapa atau orang lebih tua dengan mencium tangan. Inilah gambaran akhlak yang tidak ada dalam budaya Cina. Mencium tangan adalah lambang kerendahan hati dan hormat yang sangat tinggi. Selain mencium tangan, mengucup dahi anak-anak kecil adalah tanda kasih-sayang ibu bapa kepada anak-anak. Amalan ini juga tidak terdapat dalam masyarakat Cina.

Akar umbi kepada tingkah laku yang mulia dalam masyarakat Melayu berakar umbi daripada agama mereka, Islam. Kehadiran Islam sejak 600 tahun yang silam secara jelas mengubah amalan dan budaya Melayu yang disesuaikan dengan agama dan tidak bercanggah dangan tuntutannya. Apa sahaja yang bercanggah, akan dipinggirkan dan digantikan dengan perkara atau aturan yang selari dengan agama. Peranan alim-ulamak sangat penting. Mereka terus juga mendidik masyarakat bagi mempastikan agama berada di dalam hati setiap umat Islam. Kecekalan mereka juga dapat memastikan sesetengah amalan bidaah dapat dilenyapkan dalam masyarakat seperti mandi safar. Ajaran sesat dan menyeleweng juga dapat dihapuskan sedikit demi sedikit.

Melayu berhati mulia: ungkapan yang sangat menyentuh hati.

Tuesday, June 12, 2007

Perancangan bandar wajar mengambil kira psikologi penduduk

Banjir yang berlaku kelmarin mengulangi sejarah lama iaitu kira-kira empat tahun yang lalu. Bandaraya Kuala Lumpur kembali bergenang dengan air di kawasan-kawasan tumpuan seperti Dataran Merdeka, Masjid Jamek dan Kampung Baru. Walaupun tidak sehebat banjir di Johor pada tahun lepas, kesan banjir ini tetap meninggalkan trauma yang sukar dihilangkan dalam masa yang singkat.

Banjir di Kuala Lumpur berlaku sangat pantas. Hujan yang turun tanpa henti meningkatkan paras sungai dan parit serta longkang yang dibina di seluruh bandaraya ini. Air yang tidak dapat mengalir akan bergerak memasuki ruang-ruang yang ada termasuk premis perniagaan, rumah dan kenderaan yang terperangkap. Kerugiannya pula tentulah mencecah ribuan ringgit jika melibatkan peralatan elektrik, perabot, pakaian atau mesin. Akhirnya peniaga mengeluh kerugian dan terpaksa menanggung beban akibat bencana alam.

Banjir yang kerap berlaku disebabkan pelbagai faktor dan biasanya peralihan angin monsun dikaitkan dengan hujan yang lebat. Orang ramai akan tertanya-tanya apakah banjir berlaku dengan kerap ini disebabkan oleh peralihan angin monsun sahaja atau ada sebab-sebab lain seperti pengurusan sungai, sampah dan sistem peparitan. Pihak berkuasa mentadbir iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tentunya mempunyai pasukan perancang bandar yang mantap untuk menguruskan pembangunan Kuala Lumpur yang bebas daripada banjir seperti yang berlaku ini.

Aspek yang wajar diberi perhatian kini oleh perancang bandar ialah psikologi penduduk bandaraya. Mangsa utama ialah penduduk Kuala Lumpur sendiri yang mendiami kondominium, rumah pangsa dan taman-taman. Termasuk juga kawasan setinggan yang masih wujud di celah-celah pembangunan yang pesat. Mereka yang tidak mempunyai rumah dan tidur di tepi jalan juga berhadapan dengan kesan psikologi banjir ini. Mangsa-mangsa lain ialah mereka yang terperangkap dalam kesesakan dan juga pelancong asing. Semua mangsa sama ada secara langsung atau tidak menghadapi tekanan yang disebabkan oleh banjir.

Tekanan adalah asam garam dan rencah hidup bagi seseorang yang normal. Hidup dengan tekanan adalah hidup yang normal. Tekanan yang berlebihan dan tidak dapat diatasi itulah yang menyebabkan gangguan ke atas kesihatan fizikal, mental dan spiritual. Kita tidak dapat lari daripada tekanan walaupun mendapat khabar yang baik seperti berjaya mendapatkan pekerjaan atau berjaya mengikat tali pertunangan. Walau bagaimanapun tekanan yang berbentuk negatif lebih ketara memberi kesan ke atas kemerosotan hidup.

Mangsa banjir di Kuala Lumpur pasti kecewa dengan berulangnya kejadian banjir kali ini. Trauma rumah dimasuki air, kereta tenggelam dan sampah berselerakan akan muncul setiap kali hujan turun dan lambat berhenti. Dengar sahaja bunyi rintik air hujan jatuh ke atas bumbung rumah, mereka akan cepat-cepat membuat persiapan seperti mengalih kenderaan dan menyusun barang-barang di dalam rumah pada kedudukan yang lebih tinggi. Keadaan yang berulang-ulang seperti ini akan menimbulkan rasa syak wasangka terhadap pengurusan banjir sedia ada dan bagi jangka masa panjang, keyakinan terhadap usaha-usaha pihak berkuasa akan semakin berkurangan.

Daripada banjir, mangsa juga turut mengalami kemerosotan dalam badan. Tekanan yang berterusan menyebabkan rembesan hormon yang turut merosakkan saluran darah dan jantung. Tidak dapat dielakkan juga, daya tahan melawan penyakit akan lemah. Interaksi psikologi, emosi dan fizikal ketika dalam keadaan lemah memungkinkan kecelaruan psikomatik yang ditunjukkan melalui penyakit-penyakit masa kini seperti tekanan darah tinggi, asma dan keradangan sendi.

Persekitaran rumah atau kawasan perdagangan yang comot dengan sampah-sarap turut mengundang tekanan sosial kepada mangsa banjir. Waktu dan tenaga yang diperuntukkan untuk membersihkan kawasan perniagaan dan kediaman tentunya meletihkan dan menyebabkan peningkatan kos.

Kerja-kerja pembersihan yang melibatkan banyak pihak hanya dapat membersihkan persekitaran fizikal tetapi sampah-sarap yang bersarang di dalam hati mangsa banjir akan mengambil masa untuk dibersihkan kerana kesan perancangan bandar yang tidak berkesan. Kesan psikologi yang muncul ketika bencana seperti ini sukar dibendung apatah lagi dengan pelbagai program pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan. Sudah sampai masanya perancang bandar di bandaraya Kuala Lumpur melihat elemen pembangunan sosial dalam usaha mereka kerana yang menghuni bandaraya ini ialah manusia yang sangat bergantung kepada kelancaran pergerakan dan terhindar daripada bencana alam.

Monday, June 11, 2007

Jangan tidak-tidak

Penulis : Dr. HM Tuah Iskandar al-haj
Tahun : 2006
Penerbit : Karya Bestari Sdn Bhd, Shah Alam, Selangor
Muka surat : 320

Salah satu daripada kunci kejayaan menerapkan mesej kepada pembaca ialah kaedah penulisan yang digunakan. Buku ini menggunakan elemen bercerita dan mengungkit kembali pengalaman penulis yang sangat bermakna untuk dijadikan teladan. Beliau berjaya menarik perhatian pembaca dengan gaya penulisan yang bersahaja dan berkesan.

Pengalaman sangat bermakna kepada perubahan bagi dikongsi bersama dan secara tidak langsung memberi penyelesaian yang berguna kepada pembaca yang sedang menghadapi kebuntuan berfikir dan bertindak. Proses membuat keputusan yang diterapkan menjadi memori yang sukar dilupakan seperti pentingnya memasukkan elemen tuah dalam sesuatu tindakan. Sebagai contoh, "dikencing Udin" sangat bererti bagi empunya diri kerana kejadian itu membawa tuah dalam kehidupan. Ianya berkait dengan usaha bersungguh-sungguh, pengorbanan dan maruah keluarga.

Begitu juga kesungguhan yang dicontohkan oleh ibu penulis yang melaksanakan puasa tiga bulan sekali gus dan berturut-turut, qiamullail dan kesediaan memaafkan kesalahan orang lain. Kisah-kisah ini boleh menjadi inspirasi kepada pembaca untuk turut sama mencontohi keperibadian seseorang. Amalan itu juga turut dipanjangkan kepada kesan-kesan positif kerana berpuasa, qiam dan memaafkan orang lain menjadikan diri sendiri lebih berkualiti.

Hubungan hamba dengan Tuhan dibina dengan solat, qiam dan puasa manakala hubungan sesama manusia disuburkan kembali dengan kemafan.

Nilai-niai yang disampaikan oleh penulis akan lebih berkesan jika pembaca dapat menganalisis kandungan cerita berkenaan. Lebih baik lagi disertakan rumusan pembelajaran utama bagi setiap cerita itu dengan petikan ayat al-quran, hadis dan kata-kata mutiara yang dapat menjadi pedoman kepada pembaca. Al-quran umpamanya merupakan penunjuk yang membentuk peribadi lebih unggul.

Ulasan Editor : Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. (Surah Al-An'am ayat 116)

Friday, June 08, 2007

Mengurus pembantu rumah harian

Keperluan mendapatkan pembantu rumah, amah atau bibik bagi menguruskan kerja-kerja rumah sentiasa menjadi perhatian khususnya di bandar-bandar besar. Kehadiran pembantu rumah dari Indonesia, Nepal, Thailand dan Kemboja dapat meringankan kerja-kerja harian keluarga khususnya yang besar dan sibuk. Permintaan yang tinggi terhadap pembantu rumah terjadi kerana kebanyakan suami isteri hari ini bekerja dan pulang lewat hari.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho ketika ditanya di Dewan Rakyat pada 18 April 2007 yang lalu menyatakan terdapat 310,661 orang iaitu 16.6% merupakan pekerja asing di dalam sektor pembantu rumah. Daripada jumlah ini, hampir 294,115 adalah pembantu rumah dari Indonesia. Keperluan menguruskan rumah rakyat Malaysia kini sangat bergantung kepada pembantu rumah asing yang sentiasa mendapat sambutan.

Di antara faktor penting kenapa keadaan ini berlaku ialah kerana perubahan cara hidup wanita Malaysia yang bekerja. Memang menjadi lumrah negara yang sedang meningkat maju, keperluan kepada menambah pendapatan sangat diutamakan.

Kehadiran pembantu rumah dapat membantu meringankan kerja-kerja suri rumah di dalam rumah tangga. Apatah lagi amah yang tinggal bersama dapat menguruskan kerja-kerja rumah dengan segera dan cekap. Kerja-kerja rutin begini kadangkala menyebabkan pembantu rumah lari dari rumah dan mencari pekerjaan lain. Walaupun kes lari dari majikan ini tidak serius, imej buruk pembantu rumah terpalit kepada mereka yang terlibat dalam industri ini.

Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) yang menjadi payung kepada agensi pembantu rumah di Malaysia sejak akhir-akhir ini kembali dengan isu pembantu rumah harian bagi mengatasi pelbagai masalah dalam bidang ini. Gaji rendah, lari dari majikan, agensi yang menipu dan kemasukan pembantu rumah dari China adalah antara agenda yang menjadi tumpuan Papa.

Amah yang lari dan kemudiannya dilihat bekerja di restoran adalah kes yang kerap didengari. Kenapa pembantu rumah asing ini begitu berani bertindak begitu sedangkan baru beberapa bulan datang ke Malaysia? Bayaran gaji yang rendah berbanding sektor lain merentap minat pembantu rumah ini untuk berkhidmat kepada majikan. Tambahan pula, pergerakan mereka tidak bebas seperti mana rakan-rakan yang lain. Ada yang lari kerana telah berjumpa dengan teman lelaki dan paling aneh, disuruh lari oleh majikan, mungkin kerana majikan sudah bosan dengan sikap dan perangai pembantu rumahnya.

Papa mencadangkan beberapa penyelesaian yang dapat diguna pakai oleh majikan dan dijadikan panduan untuk mencari pembantu rumah asing ini. Cadangan membenarkan pembantu rumah harian dengan umur melebihi 30 tahun dilihat satu langkah yang dinamik. Ia telah lama dilaksanakan di China dan Indonesia. Bagaimanapun reaksi masyarakat khususnya wanita dan ibu nampaknya bercampur-campur. Ada kelompok yang melihat cadangan ini sebagai beban dan sebaliknya kerana keadaan hidup masing-masing mempengaruhi persepsi mereka.

Keluarga yang terlalu bergantung kepada pembantu rumah asing bagi menyediakan keperluan harian: mengemas rumah, mencuci pakaian dan menyediakan makan-minum kurang bersetuju menggunakan khidmat amah harian kerana banyak urusan rumah tangga akan terbengkalai. Masak-memasak dan mencuci pinggan serta kerja rutin yang lain akan terencat kerana banyak kekangan yang bakal dihadapi.

Jarak dari rumah adalah faktor yang diberi perhatian oleh majikan. Pergerakan dari tempat penginapan amah ke rumah majikan akan mengambil masa khususnya di bandar lebih-lebih di awal pagi kerana masing-masing berebut ke tempat kerja. Ada sesetengah kawasan perumahan perlukan lebih dari satu kenderaan awam untuk sampai. Ini juga tentunya melibatkan kos kewangan yang terpaksa ditanggung oleh majikan. Seterusnya bentuk kerja yang boleh dilaksanakan oleh amah harian. Jika pembantu rumah berkenaan tidak biasa dengan peralatan elektrik yang hendak digunakan, sukar baginya untuk menyediakan makanan atau menguruskan keperluan harian majikannya.

Pembantu rumah harian juga lebih mudah letih kerana terpaksa bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Keletihan menyebabkan kerja-kerja yang sepatutnya dilaksanakan dengan cekap menjadi sekadar "cukup makan" dan tidak ada kesempurnaan. Faktor keletihan juga menyebabkan pembantu rumah ini menjadi semput, dan akhirnya majikan terpaksa mengeluarkan belanja sendiri untuk rawatan. Keadaan akan menjadi gawat jika pembantu rumah berkenaan adalah pendatang asing tanpa izin yang belum diketahui status kesihatannya. Dalam satu kes yang melibatkan seorang majikan yang menggajikan pekerja pendatang asing tanpa izin dalam sektor pembinaan, akhirnya dalam masa dua minggu sahaja terkena jangkitan batuk kering.

Bagi keluarga yang menerima konsep pembantu rumah harian ini, ia dianggap sama seperti penjaga kanak-kanak. Setiap hari diambil dan dihantar. Keperluan rumah, pengangkutan dan makan-minum mereka dijaga oleh majikan. Kaedah ini sangat praktikal jika kemudahan pengangkutan disediakan dan majikan meletakkan kepercayaan penuh kepada pembantu rumah. Ruang lingkup kerja boleh disusun oleh majikan supaya hanya kerja yang penting sahaja dilakukan oleh pembantu rumah.

Pembantu rumah yang hadir ke Malaysia untuk bekerja tidak semuanya bermasalah. Sebaliknya ada di antara mereka yang telah bertahun-tahun memberi khidmat dan silih berganti dari ibu ke anak dengan hanya satu majikan. Duri dalam dagingnya ialah segelintir pembantu rumah asing yang membuat onar dengan melarikan barang kemas atau anak majikan dan lari meninggalkan majikan kerana hal yang remeh-temeh.

Media: Di antara maklumat dan keuntungan

Media menjadi sangat penting sebagai perantaraan untuk menyampai dan menyebarkan maklumat kepada masyarakat umum. Ada media yang mengumpul wang berjuta-juta ringgit kerana peranannya yang berpengaruh khususnya dalam hiburan dan maklumat semasa. National Geographic umpamanya, menjadi rangkaian pilihan kerana maklumat yang dipaparkan sangat berguna kepada umum. Dedikasi petugasnya yang sanggup bersusah-payah membuat dan mencari sesuatu punca atau keadaan sangat mengagumkan. Reuters, yang terlibat dalam menyebarkan maklumat isu dan perkembangan semasa turut menjadi kukuh dan semakin berpengaruh setelah bergabung dengan Thompson.

Di Malaysia, tiga jenis media utama ialah media elektronik, media massa dan Internet. Media elektronik dipecahkan kepada kawalan kerajaan dan swasta. Media massa yang dimiliki oleh pihak swasta dengan pegangan saham oleh kumpulan atau individu yang berpengaruh. Manakala Internet, kandungannya sangat sukar dikawal. Oleh itu, bagi maklumat yang lebih cepat, pengguna dan orang ramai semakin beralih kepada Internet yang boleh disifatkan sebagai pasar saya maklumat global.

Media kerap bergantung kepada pembaca untuk mendapatkan tajaan iklan. Bagi menarik perhatian umum dan meningkatkan jualan seterusnya keuntungan, media cetak khususnya berlumba-lumba menyiarkan berita yang menarik atau sensasi. Antaranya ialah yang berkaitan dengan orang kenamaan, bencana yang besar, peperangan dan kisah-kisah kejayaan seperti penjelajahan, keuntungan dan penciptaan baru. Apabila isu begini disiarkan, edaran surat khabar atau majalah berkenaan akan meningkat secara mendadak.

Dalam sehari dua ini, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, berasa gembira kerana YAB Perdana Menteri akan mengakhiri zaman duda. Maklumat ini menjadi tajuk utama semua akhbar di Malaysia kerana ia ada tarikan dan sensasi. Isi kandungannya lebih menarik kerana disiarkan perasaan beliau, kisah pertemuan dan latar belakang bakal isteri. Suasana gembira ini turut dikongsi oleh semua rakyat Malaysia.

Saya menghubungi rakan saya di sebuah indtitusi pengajian tinggi di utara bagi memaklumkan berita ini. Rakan ini masih bujang walaupun usianya hampir mencecah 40 tahun. Saya maklumkan yang YAB Perdana Menteri sudah mahu berkahwin, dia bila lagi? Responnya sangat mudah, "Ha...ha..tak tau lagi. Belum ada jodoh agaknya." Saya cadangkan agar beliau belajar bagaimana Pak Lah mencari isteri dalam tempoh setahun.

Rebakan maklumat begini memang cepat. Dari segi kepantasan maklumat, Internet lebih dahulu menyiarkan khabar angin ura-ura YAB Perdana Menteri akan berkahwin semula. Hari ini maklumat yang diterima dua tiga bulan yang lalu menjadi kenyataan.

Internet menjadi media alternatif bagi orang ramai mendapat maklumat dan mengikuti isu-isu dengan lebih pantas. Sedikit demi sedikit pergantungan mereka ke atas Internet semakin kukuh dan lebih dipercayai. Promosi oleh penyedia perkhidmatan Internet utama, TM makin menggalakkan orang ramai melanggan perkhidmatan itu. Timbul pula nanti bagaimana hendak mengawal maklumat yang banyak. Mungkin penyelesaian kepada kebanjiran maklumat boleh menguna pakai tema Kesatuan Eropah iaitu "bebas, selamat dan adil."

Google mengubah paradigma penggunaan Internet dan membuat revolusi besar bagi merapatkan dunia siber. Konsep pengiklanan yang dilakukan oleh Google menjadi ikutan hari ini. Keuntungan yang diperolehi oleh syarikat penyedia carian Internet sangat berganda kerana pelanggan di atas talian kebanyakannya mempunyai kuasa membeli yang tinggi.

Maklumat yang disediakan oleh enjin carian pula semakin hari semakin bertambah dan bercampur-baur di antara yang membina diri dan meruntuhkan akhlak. Yang berfaedah dan memusnah. Bagaimanapun, maklumat dalam Internet berkembang-biak tanpa dapat dihalang lagi. Suatu hari nanti ia akan mengubah hidup manusia seluruh dunia. Apakah kita telah bersedia dengan perubahan ini?

Thursday, June 07, 2007

Tabiat 1 Dapatkan mesej "Aku boleh berubah" (4-akhir)

Apabila kita memahami konsep berjaya ini, tidaklah menjadi tekanan dan bebanan yang berat untuk menjadi “usahawan yang jutawan” kerana yang penting adalah setiap kerja yang dilakukan memberi rahmat dan berkat di dalam hidup kita.

Bill Gates, pengasas empayar Microsoft adalah orang yang paling kaya ketika ini. Beliau mempunyai pendapatan US$46.5 bilion dan dinobatkan sebagai orang yang paling kaya di dunia pada tahun 2005. Kajian kekayaan ini dilakukan oleh Forbes.

Bill Gates adalah pengasas dan pengerusi kepada Microsoft Corporation. Beliau mempunyai impian untuk melihat semua kerja dilakukannya tanpa menggunakan banyak kertas. Penggunaan e-mail dimaksimumkan kerana inilah pilihan beliau untuk berkomunikasi dan memberi maklum balas kepada rakan-rakan perniagaannya.

Di Microsoft, e-mail menjadi medium pilihan untuk berurusan berbanding telefon, dokumen, blog, papan kenyataan ataupun mesyuarat. Cara ini bagi memastikan setiap keputusan dibuat dengan lebih cepat.

Bill Gates mendapat 100 e-mail setiap hari yang ditapis mengikut keutamaan. Terdapat pelbagai jenis e-mail yang merangkumi perniagaan, maklum balas dan cadangan. Kaedah komunikasi ini telah membantu Microsoft membuat keputusan dengan pantas bagi setiap tindakan yang perlu diambil. Dia mendapat 90 peratus maklumat dan berita melalui talian Internet. Jika kematian Abraham Lincoln mengambil masa lapan bulan untuk diketahui, sesuatu maklumat hanya mengambil beberapa saat sahaja di sini dengan kos yang lebih murah.

Dalam tempoh yang tertentu, Bill Gates akan mengambil cuti selama seminggu untuk membaca lebih daripada seratus kertas kerja daripada kakitangannya yang berkait dengan isu-isu syarikatnya dan cuba memikirkan teknologi pada masa hadapan.

Satu-satunya alat teknologi lama yang masih ada di pejabatnya ialah papan putih yang digunakan untuk sesi perbincangan bersama rakan-rakannya. Impian Bill Gates ialah mempunyai sebuah papan putih pintar yang bercirikan tablet PC yang digunakannya sekarang.

Bill Gates telah membuat revolusi besar dalam era teknologi maklumat dengan mengurangkan penggunaan kertas sebaliknya menjadikan industri tenaga elektrik lebih berkuasa. Sekiranya semua kemudahan elektrik tidak dapat berfungsi akibat bencana alam, Microsoft akan menghadapi masalah besar dalam operasi mereka.

Setelah anda mendapat mesej untuk berubah, tindakan anda seterusnya adalah ...

Wednesday, June 06, 2007

Pendatang asing: Perspektif Eropah (4-akhir)

Setelah kita melihat pandangan pembuat dasar, jurutera demografi, ahli sosiologi dan ekonomi, perbincangan ini sebenarnya dimuktamadkan oleh ahli politik yang memegang kuasa. Biasanya, pandangan pakar mengenengahkan idea yang bersifat pro dan kontra bagi setiap alternatif untuk menyelesaikan masalah, peringkat seterusnya ialah merangka dasar.

Melihat kepada penurunan kadar kelahiran di negara-negara Kesatuan Eropah dan proses penuaan yang berlaku secara semula jadi, Eropah sedang berhadapan dengan dilema: bagaimana demokrasi bebas dapat memenuhi kawalan atau menguruskan pergerakan manusia untuk mempromosi sempadan terbuka, pasaran bebas dan standard yang saksama? Pada masa yang sama juga, pandangan umum masih lagi menganggap kehadiran pendatang asing adalah punca kepada peningkatan jenayah dan pengangguran. Sikap dilihat kerapkali melambatkan sesuatu dasar yang dibentuk bagi mencapai kualiti atau memecahkan halangan integrasi. Dua unsur utama yang berperanan ialah media dan politik.

Justeru itu, tidak mengejutkan apabila membaca surat khabar antarabangsa seperti International Herald Tribune yang mendapat pengaruh besar di Eropah, kedapatan beberapa pendapat yang mempamerkan kebekuan fikiran. Sebagai contoh, 27 Julai 2003 memaparkan artikel yang bertajuk "Kepalsuan Eropah terhadap isu pendatang dan penuaan." Ia menyatakan: setiap kajian yang dibuat menunjukkan jalan keluar yang mudah bagi isu umur persaraan – tetapi lebih daripada separuh tahun yang lalu dicadangkan oleh Jerman dan Perancis, sebenarnya ia mampu menyelesaikan masalah besar ini. Ketika ramai orang menikmati hidup yang lebih lama dan kehidupan yang sejahtera, adalah tidak masuk akal untuk menggalakkan mereka bekerja terlalu awal dalam hidup.

Aspek lain yang perlu dipertimbangkan ialah laporan yang dikeluarkan oleh Kesatuan Eropah pada 13 Mac 2003. Laporan ini mengenai penemuan 17 kajian yang berbeza, menyediakan gambar-gambar terkini kehadiran pendatang asing ke Eropah. Terdapat dua petunjuk penting dalam laporan ini. Pertama, keadaan ekonomi semasa yang mungkin menjadi magnet kepada pendatang asing yang miskin, menggalakkan mereka untuk menetap di Eropah. Lebih jauh lagi, pengalaman diasingkan daripada masyarakat dan pendatang asing dari negara lain di awal peringkat kedatangan mereka mewujudkan keadaan tidak seimbang dan kepuakan yang menggalakkan jenayah. Kedua, tidak ada kaitan secara langsung antara imigrasi, jenayah dan pengangguran.

Dekad 50-an hingga 60-an, pendatang asing adalah pekerja-pekerja tambahan di kebanyakan negara Eropah. Negara-negara seperti Perancis, Jerman, Belanda dan Belgium mengambil langkah untuk memudahkan kemasukan pekerja ini. Tahun 60-an hingga 70-an, isu pendatang mula melebar di dalam masyarakat. Ketika ini berlaku perubahan yang ketara iaitu dari bersifat membenarkan kemasukan yang longgar kepada langkah pengawalan yang lebih ketat. Tahun 80-an hingga 90-an, isu ini telah menjadi agenda politik kerana fokus penyelesaian telah berubah, bercampur-aduk di antara isu pendatang asing dan pencari suaka politik. Perbezaan fasa ini menjadikan inisiatif penyelesaian oleh Kesatuan Eropah juga berbeza.

Suruhanjaya Kesatuan Eropah yang bertanggungjawab ke atas pembangunan konsep imigrasi yang menyeluruh di Eropah lebih menjurus kepada menangani isu pendatang dalam konteks objektif: politik. Ini tidak dapat dielak kerana mereka berusaha untuk merealisasikan tema "Kawasan bebas, selamat dan adil" di Eropah. Di sebalik tanggungjawab ini, suruhanjaya berkenaan tidak berada dalam kedudukan yang kukuh untuk membuat undang-undang berkaitan migrasi kerana kata pemutus masih berada pada negara-negara Kesatuan Eropah sendiri. Oleh itu, usaha dan inisiatif ini bersifat reaktif berbanding proaktif. Ia bermaksud, keputusan yang bersifat emosi lebih dominan daripada rasional. Justeru itu, usaha yang konkrit perlu diambil kira bagi merancang strategi yang menyeluruh.