Pandangan Pembuat Dasar
Peranan pembuat dasar ialah mengenal pasti dalam konteks kehidupan bermasyarakat yang aman, corak pergerakan imigran seluruh dunia dan menentukan dinamik pergerakan berkenaan. Tujuannya ialah menggalakkan pergerakan yang berarah di kalangan imigran ini yang datang dari pelbagai negara, membuat persinggahan dan memantau destinasi mereka.
Pada 1 Julai 2003, Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perlindungan Hak Pekerja Pendatang dan Keluarga Mereka yang telah diluluskan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 18 Disember 1990 – dilaksanakan. Apabila pemimpin-pemimpin negara G8 bermesyuarat di Evian France, berdekatan Geneva, Switzerland pada 1 hingga 3 Jun, tunjuk perasaan diadakan.
Pada 1997, terdapat 130 juta orang di seluruh dunia yang hidup di luar daripada tanahair mereka sendiri. Pada 2002, bilangan ini meningkat kepada 175 juta. Angka ini mengesahkan betapa migrasi bukan sahaja menjadi fenomena tetap sebaliknya semakin aktif. Daripada jumlah ini, 105 juta atau 60 peratus berada di negara-negara maju seperti Eropah (56 juta), Asia (50 juta) dan Amerika Syarikat (41 juta). Sekitar tahun 1990-an, angka perpindahan atau migrasi di negara-negara maju meningkat kepada 23 juta atau 28 peratus. Di antara 1995 hingga 2000, lebih banyak negara maju menerima pendatang asing iaitu hampir 23 juta setahun termasuk 1.4 juta di Amerika Utara dan 900 juta setahun di Eropah.
Dengan trend menyeluruh ini, dianggarkan 12 juta pendatang asing menetap secara sah di negara-negara Eropah dan beberapa juta lagi menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI). Corak perpindahan yang dilalui oleh negara-negara Kesatuan Eropah beberapa dekad yang lepas memperlihatkan sebahagian besar pendatang asing di utara Eropah adalah pencari suaka politik atau pelarian dan ada juga yang hendak bersama dengan keluarga masing-masing. Di bahagian selatan Eropah, kehadiran pendatang asing disebabkan faktor ekonomi. Perlakuan perpindahan ini secara keseluruhan bersifat heterogenus: zon utara (Ireland, UK, Finland dan Sweden) agak dinamik, zon tengah (Belgium, Denmark, Jerman, Perancis, Luxembourg, Belanda dan Austria) adalah tumpuan utama tarikan pendatang asing yang merancang untuk menetap di Eropah, zon mediterranian (Italy, Sepanyol, Portugal dan Greece) menyaksikan transformasi yang disifatkan dahulu sebagai pengeksport tenaga buruh, kini menjadi pengimport tenaga kerja.
Bagaimana corak dan tingkah laku ini memberi kesan terhadap aliran kehadiran pendatang asing pada masa depan?
Pandangan Jurutera Demografi
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sesetengah negara maju menerima 2 juta pendatang asing setahun dari 2000 hinga 2050 termasuk 1.1 juta setahun di Amerika Syarikat, Jerman (211,000), Kanada (173,000), Britain (135,000) dan Australia (83,000). Negara utama emigrasi yang dijangka ialah China (303,000), Mexico (267,000), India (222,000), Filipina (184,000) dan Indonesia (180,000). Unjuran baru PBB menyatakan penduduk dunia akan bertambah daripada 6 bilion pada 2000 kepada 10.9 bilion pada 2050 dengan separuh daripadanya melibatkan enam buah negara iaitu India, China, Pakistan, Nigeria, Bangladesh dan Indonesia. Pada 1950, terdapat seorang di negara maju bagi setiap dua orang di negara sedang membangun. Pada tahun 2000, nisbah 1 di negara maju bagi 4 di negara sedang membangun, dan pada tahun 2050, unjuran ini dianggarkan pada nisbah 1:7.
Jelas terdapat ketidakseimbangan dalam perkembangan penduduk dunia – ketika pertumbuhan populasi perlahan di negara-negara Eropah, keadaannya lebih pantas di negara sedang membangun. Keadaan ini menunjukkan terdapat hubungan secara langsung di antara bilangan penduduk dan jenayah terancang serta pendatang asing tanpa izin di seluruh dunia.
Jurang pasaran buruh dan perbelanjaan ke atas perkhidmatan awam mencipta keperluan terhadap pekerja berkemahiran seperti jururawat, guru dan doktor. Laporan PBB menganggarkan Kesatuan Eropah akan memerlukan 35 juta orang dewasa pada 2025 bagi mengisi kekosongan buruh dan menampung keperluan sistem persaraan. Bagi mengekalkan standard ekonomi, Kesatuan Eropah perlukan 1.6 juta pekerja setiap tahun, yang mana jumlah ini jauh lebih banyak daripada kelahiran penduduk secara semula jadi. Dari mana para pekerja ini akan datang? Jika Kesatuan Eropah perlukan pekerja asing, di mana mereka akan dicari?
Bagi jangka masa pendek, pendatang asing adalah jawapan kepada pembangunan yang berterusan di Eropah. Trend demografi jelas menunjukkan populasi Eropah semakin menurun dan negara-negara Kesatuan Eropah memerlukan penduduk untuk menggantikan masyarakat sedia ada.
Angka yang dianggarkan oleh PBB boleh disahkan dengan jumlah yang dikeluarkan oleh Eurostat, agensi perangkaan rasmi Kesatuan Eropah. Menurut Eurostat, penduduk Kesatuan Eropah pada 1 Jun 2001 berjumlah 377.6 juta orang. Dengan kadar kelahiran penduduk yang perlahan sejak 30 tahun lalu, peningkatan 0.3 peratus pada tahun 2000 lebih tinggi sedikit daripada jumlah tahun-tahun sebelum itu. Pertumbuhan penduduk pada 2000 ialah 343,000, dibandingkan 277,000 pada 1999. Di antara 1975 dan 1995, penduduk Kesatuan Eropah berkembang enam peratus sahaja. Dari 1995 hingga 2005, pertumbuhan dijangka separuh iaitu 3.5 peratus. Penduduk bekerja pula ialah 226 juta pada 1995 dan dijangka berterusan kekal untuk beberapa tahun.
Rumusannya, angka-angka ini mengesahkan betapa peranan aliran perpindahan penduduk antarabangsa ini adalah 70 peratus daripada peningkatan penduduk Kesatuan Eropah pada tahun 2000. Andai kata terdesak untuk menggantikan penduduk Kesatuan Eropah secara semula jadi, migrasi adalah pilihan yang cepat dan digandakan dari setahun ke setahun. Bagaimanapun, ketika ini perdebatan masih lagi hangat kerana secara politik, ianya belum dapat diterima. Dalam pada itu, negara-negara Kesatuan Eropah yang berhadapan dengan peningkatan warga tua, sama seperti Jepun, enggan untuk menerima hakikat betapa mereka perlu menguruskan kemasukan pendatang asing secara cekap dan berkesan, bukannya cuba untuk mengawal dan mengekang kedatangan pendatang asing berkenaan.
Jika pendekatan pengurusan ini tidak dibaiki, bagaimana Kesatuan Eropah hendak memberi jawapan kepada persoalan-persoalan berkaitan kebanjiran pendatang asing seperti: populasi yang aktif, bayaran untuk perkhidmatan kesihatan dan persaraan, meneruskan pengembangan ekonomi yang semakin kompetetif dan bagaimana pengurusan kerja-kerja rumah dilaksanakan kerana masyarakat Eropah sendiri tidak mahu melakukannya.
Pandangan Sosiologi
Masyarakat Eropah lebih banyak hidup dalam kelompok yang sama jenis bagi jangka masa yang agak panjang dan kini, mereka sedang berhadapan dengan perubahan bagi kali pertama iaitu masyarakat pelbagai budaya dan agama. Justeru, masalah utama ialah, ketika sesetengah negara Kesatuan Eropah menerima kehadiran pendatang asing dan menguruskan kemasukan mereka, pada masa yang sama cuba untuk mengekalkan kepelbagaian tersebut bagi mempastikan masyarakat keseluruhannya dapat berkembang. Kepelbagaian adalat aset yang sangat berharga, bukannya bebanan. Negara-negara Kesatuan Eropah seperti Perancis, UK dan Jerman yang mempunyai tradisi kedatangan pendatang asing untuk mencari kerja, di sini amalan toleransi amat jelas dipraktikkan. Di Italy dan Sepanyol, tradisi berkenaan tidak wujud dan keadaan menjadi tidak menentu kerana kebanjiran pendatang asing ditafsirkan sebagai "serangan mengejut," dari laut atau menyusup melalui sempadan.
Bagi berhadapan dengan ketidaktentuan ini, yang diperlukan ialah toleransi. Konsep toleransi ini pula bererti toleransi majoriti ke atas minoriti. Memberi ruang kepada minoriti untuk mengamalkan nilai dan budaya masing-masing. Walau bagaimanapun, peluang berkenaan harus digunakan dengan sebaik-baiknya oleh kelompok minoriti untuk melakukan integrasi ke dalam kelompok utama masyarakat Eropah supaya nilai dan budaya mereka dapat dipertahankan. Namun, terdapat perbahasan yang panas kerana persoalan identiti nasional menjadi perselisihan. Ianya memisahkan di antara agama dan politik. Pada masa yang sama, banyak kerajaan negara Eropah yang sedar betapa pembangunan ekonomi perlukan tenaga buruh. Oleh itu, di Eropah, timbul peribahasa "Beri saya kelayakan anda, kamu sememangnya terpelajar," dan di Amerika Syarikat pula "Berikan saya alasan, kamu sememangnya tidak dapat diharap."
Dengan lain perkataan, ketara sekali idea yang lama dikekalkan di dalam masyarakat pelbagai budaya dan agama untuk memberi laluan kepada kelompok pendatang asing berusaha melaksanakan proses integrasi secepat mungkin. Meskipun begitu, kerajaan mahukan integrasi yang lebih baik daripada pendatang sedia ada dan yang masuk secara sah. Ia membayangkan negara-negara Kesatuan Eropah, tanpa pelaksanaan dasar yang meluas, mengambil pendekatan sendiri ketika bersama-sama berkongsi tujuan untuk mengurangkan bilangan kehadiran pendatang asing.
Proses integrasi ini sama ada mahu ataupun tidak adalah untuk mencegah kemunculan masyarakat yang songsang. Kursus bahasa dan ikrar kesetiaan boleh dijadikan elemen penting dalam proses berkenaan.
Pandangan Ekonomi
Kehadiran pendatang asing dan integrasi yang meletakkan masyarakat di bawah satu bumbung bertujuan membentuk kehidupan yang lebih baik. Keadaan ini dapat memacu pembentukan kesamaan masyarakat yang datang dari pelbagai budaya, kemahiran dan pengalaman. Sebagai contoh, kehadiran pendatang asing dari China boleh dijadikan kajian kes.
Sedar atau tidak, imigran China di negara-negara Kesatuan Eropah berjumlah sejuta orang. Oleh kerana Eropah masih berdebat tentang isu kedatangan pendatang asing dan kadangkalanya sangat beremosi, imigran dari China ini kurang diberi perhatian.
Justeru, Eropah tidak memikirkan manfaat yang jelas daripada kehadiran pendatang asing ini. Bagaimanapun, ada negara Eropah yang memudahkan kemasukan dan pergerakan pendatang China seperti pelajar dan pekerja berkemahiran. Kemasukan mereka ini turut menguntungkan China dari segi pertukaran wang asing dan kepulangan mereka ini ke China akan membentuk kelompok pekerja yang lebih mahir dan berkelayakan.
Eropah kurang mengambil berat perkara ini. Laporan Bank Dunia Mengenai Perkembangan Kewangan Global 2003 menganggarkan pertukaran wang asing di negara-negara membangun mencecah US$80 bilion pada 2002, meningkat dari US$60 bilion pada 1998. Jumlah ini membayangkan pertukaran wang asing sangat hampir dengan pelaburan negara asing sebanyak US$143 bilion bagi kali pertama pada 2002. Sebahagian daripada jumlah ini datangnya dari pendatang asing China di Eropah (US$50 juta). Walau bagaimanapun, jumlah sebenar pengiriman wang ke China mungkin lebih besar kerana kebanyakan pendatang asing ini tidak berminat mengunakan saluran sah seperti bank. Tidak dapat dinafikan, kiriman wang menjadi elemen yang kritikal bagi pembangunan pesat di Selatan China dan menjadi salah satu sumber pertukaran luar bagi jangka masa panjang.
Imigran China menghantar wang secara sah dan haram dari Eropah. Kini, jelas betapa eksploitasi dan pencabulan yang dialami oleh imigran ini jarang diselidiki. Justeru itu ia menggamit China untuk mengambil tindakan ke atas ketua sindiket berkenaan. Tetapi, untuk melenyapkan keseluruhan proses migrasi, ia harus bersifat telus. Beberapa usaha berkenaan telah menampakkan perubahan dalam dasar imigrasi yang sedia ada di Eropah. Kepentingan membuat anjakan bagi mengatasi kekurangan penduduk di Eropah, menentukan bagaimana ekonomi bertindak balas terhadap struktur umur penduduk, seterusnya memberi arah bagi pembangunan ekonomi negara pada masa depan.
Sekarang, bagaimana perhatian harus ditumpukan dalam pembangunan ekonomi apabila menteri-menteri yang bertanggungjawab terhadap urusan dalam negara mendominasi perbahasan pendatang asing ini. Apa yang mereka runsingkan bukannya pembangunan ekonomi. Mereka asyik mengetatkan proses imigresen dengan mengawal permohonan supaya lebih tegas. Ketika itu majikan-majikan Eropah sedang mencari tenaga kerja yang mahir dan kurang mahir. Ada ketikanya mereka langsung tidak dapat menjumpainya kerana kebanyakan masyarakat Eropah enggan melakukan kerja dan malas untuk bergerak mencari kerja yang merentas sempadan Eropah.
Sebaliknya beribu-ribu pendatang asing sedang mencari jalan untuk datang ke Eropah. Terdapat permintaan bagi tenaga kerja buruh yang menjadi penggerak kepada migrasi dan selagi ada permintaan, di situ ada penawaran. Di mana terdapat hal undang-undang yang berkaitan dengan membawa masuk tenaga buruh yang tidak menepati permintaan berkenaan, akan ada pendatang asing tanpa izin (PATI). Tambahan pula, pertambahan bilangan pendatang asing jenis ini dan meningkatnya aktiviti penyeludupan pekerja asing adalah jelmaan kepada salah faham di antara dasar perpindahan di Kesatuan Eropah dan realiti ekonomi global.
Dasar sifar migrasi menjadikan penyeludupan lebih aktif dan tidak dapat menggantikan keadaan ekonomi semasa. Oleh itu, jawapan kepada masalah ini bukannya mengawal migrasi sebaliknya menguruskan migrasi. Kerana itulah pengenalan kouta kepada pendatang asing untuk masuk ke Eropah adalah satu langkah yang sangat baik.
Bagi jangka masa panjang, kemakmuran ekonomi Eropah bergantung kepada fleksibiliti pasaran buruh. Negara-negara Kesatuan Eropah berhadapan dengan kadar kelahiran yang rendah bermakna nisbah pesara dan mereka yang aktif bekerja akan melebar. Situasi begini memberi tekanan kepada rancangan persaraan yang dilaksanakan oleh kerajaan masing-masing. Dasar buruh dan imigresen yang ketat adalah berita buruk kepada persaingan ekonomi Eropah dan juga kerjasama Eropah.
Lebih jauh lagi, satu daripada pengajaran yang dapat dipelajari daripada kes "Dover 58" ialah pengetatan undang-undang dan hukuman berat yang diperkenalkan seleps tragedi ini juga berhadapan dengan kegagalan. Lebih keras tindakan yang dikenakan terhadap penyeludup manusia, lebih mewah perniagaan mereka kerana risikonya lebih tinggi bagi ditukar dengan keuntungan kerana pendatang asing sentiasa bersedia untuk membayar perkhidmatan berkenaan.
Lima belas tahun yang lepas, tidak ada organisasi penyeludupan pendatang asing yang terurus. Ia muncul selepas Eropah mengenakan kawalan yang lebih tegas terhadap pendatang asing dan pelarian. Biarpun di seluruh Eropah, para Menteri Kewangan mengadu kekurangan buruh dan keadaan ini memerlukan kepada kehadiran pekerja asing. Buruh asing ini menjadikan ekonomi Eropah berdaya saing kerana usaha Kesatuan Eropah untuk menjadi lebih jelekit, pendatang asing tetap akan terus menjadi isu yang memecah-belahkan.
No comments:
Post a Comment